Petikan Cerpen

Dendam Leela

Nyanaambigai

   

“Leela, cepatlah sikit. Kita dah lambat untuk ke kelas,” laung Saro tak sabar-sabar.

“Sabarlah sikit, Saro,” ujar Leela.

Kedua-dua gadis berkenaan belajar di Universiti Oxford. Mereka berdua adalah anak jati Negeri Di Bawah Bayu yang melanjutkan pelajaran ke luar negara. Leela belajar dalam jurusan perubatan manakala Saro pula dalam jurusan perakaunan. Leela merupakan anak seorang usahawan yang terkemuka di Malaysia, manakala Saro pula anak seorang petani yang telah mendapat biasiswa Yayasan Sabah untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

“Eh, tunggu kejap! Aku terlupa nak tutup gas. Nanti aku pergi tutupkan.”

“Engkau ni, Leela. Ada-ada sajalah. Cepatlah sikit.”

“Yalah tu. Nanti kalau tak tutup, silap hari bulan meletup pula apartmen ini,” kata Leela sambil berlari-lari anak menuju ke dapur untuk menutup gas.

Selepas memastikan semuanya selamat, kedua-dua rakan itu menuju ke kampus.

“Saro, nanti kita jumpa di kafeteria,” pesan Leela sebelum mereka berdua berpisah untuk pergi ke dewan kuliah.

Di dalam dewan kuliah, Leela terasa resah dan tidak dapat menumpukan perhatian.  Perubahan ini disedari oleh Jenny yang kebetulan duduk bersebelahan dengannya.

“Saya nampak awak resah aje. Ada apa-apa yang tak kena, Leela?” tanya Jenny, seorang pelajar yang berasal dari Taiping.

“Entahlah, saya pun tak tahu. Tiba-tiba saja saya rasa tak sedap hati,” Leela menjelaskan.

Apabila kuliah tamat, Leela berjumpa dengan Saro di kafeteria seperti yang dijanjikan. Sambil berjalan pulang ke apartmen, kedua-dua orang gadis itu bergurau-senda. Namun begitu, Saro sedar bahawa Leela nampak tidak begitu gembira. Dia  menyedari bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan rakannya.

“Leela, is there anything wrong? Awak nampak murung dan tak bertenaga sepanjang hari ini.”

“Tak ada apa-apa yang perlu dirisaukan,” jawab Leela dengan ringkas.

Tiba-tiba telefon bimbit Leela berdering.

“Biar saya yang jawab,” kata Saro seraya menyambar telefon dari tangan rakannya.

Air muka Saro berubah sejurus selepas itu. Perbualan telefon ditamatkan dengan segera kerana dia tidak tahu apa yang perlu dikata.

“Kenapa ni, Saro?”tanya Leela.

“Ayah engkau … .”

“Jangan cakap apa-apa tentang ayah saya. Saya tak nak dengar sebarang berita berkaitan dengannya,” kata Leela dengan suara menyampah. “I hate him! Dialah penyebab kematian ibu saya.”

Air mata Leela gugur serta-merta.

“Bertenang, Leela. Tak baik engkau cakap macam tu. Dia kan ayah kandung engkau. … Boleh aku tanya sesuatu?”

“Apa dia?” tanya Leela sambil mengesat pipi.

“Kenapa engkau benci sangat dengannya?”

“Aku masih ingat dengan jelas. Ketika itu aku berumur tujuh tahun dan aku berada di rumah bersama dengan ibuku. Tiba-tiba loceng pintu berbunyi dan ibuku membuka pintu.”

Belum sempat Leela menghabiskan penceritaannya, air mata sekali lagi membasahi di pipi.

“Leela, janganlah menangis. Macam budak-budak pula,” Saro cuba menenangkannya.

“Bukan apa, Saro. Aku cuma rasa sebak apabila terkenangkan peristiwa silam. Apabila ibuku membuka pintu rumah, muncul seorang perempuan muda dalam lingkungan umur dua puluhan.”

Leela masih ingat dengan jelas apa yang berlaku selepas itu.

“Awak siapa?” tanya ibu Leela.

“Saya Mumtaj. Saya datang nak berjumpa dengan Encik Nathan,” kata wanita itu yang kelihatan agak terkejut.

“Apa kaitan awak dengan Encik Nathan?” tanya ibu Leela.

“Saya setiausaha peribadi Encik Nathan … dan saya bakal mengahwininya. Awak pula siapa?”

“Saya isterinya,” kata ibu Leela sambil cuba menahan air mata daripada gugur.

“Tak mungkin! Setahu saya, isteri Encik Nathan telah pergi ke Pulau Langkawi,” kata wanita itu dengan nada terkejut. “Sebab itu saya berani datang berjumpa Encik Nathan di rumahnya.”

“Mungkin wanita bernama Mumtaj itu berbohong.”

Kata-kata Saro menyedarkan Leela daripada kenangan silam.

“Tak kan kau boleh mempercayai bulat-bulat apa yang wanita itu kata tanpa bertanya kepada ayah kau dulu,” Saro berhujah.

“Memang benar kata engkau, Saro. Ibu aku telah bertanya kepada ayah …,” ujar Leela.

“Apa penjelasan ayah kau?” tanya Saro dengan penuh debar.

“Ayah aku mengaku apa yang dicakapkan oleh perempuan itu adalah benar. Apabila mendengar pengakuan ayah, ibu menangis dan berlari keluar rumah menuju ke kereta di seberang jalan. Ketika itulah datang sebuah van lalu melanggar ibu. … Ibu rebah ke bumi. … Darah berlumuran di tubuhnya.”

Mereka berdua terdiam seketika. Hanya kini Saro berpeluang untuk mendengar kisah silam rakannya.Tahulah dia mengapa Leela begitu membenci ayahnya.

“Ibu telah dibawa ke hospital tetapi dia gagal diselamatkan kerana mengalami pendarahan dalaman yang teruk. Sejak hari itu, aku mula membenci ayahku dan menjauhkan diri daripadanya. Selepas ibu meninggal, aku tinggal di rumah pak cik. Aku juga memilih untuk belajar di London kerana tidak mahu berselisih dengan ayah di Sabah.”

“Tapi Leela, engkau tidak patut menghukum ayah kau sampai begini kerana kesalahan di masa lampau. Adakah ayah kau berkahwin dengan perempuan itu?” tanya Saro ingin tahu.

Kavya, Ogos 2003

Teks lengkap dalam Nila, 1 Julai 2003

Hosted by www.Geocities.ws

1