Terkenang-kenang

Thinesh Nagalingam

         

Saya selalu melihat ‘mama’ (adik lelaki kepada emak saya) bercukur. Selepas mencukur misai dan janggut, mama akan menyapu ‘after shave’ pada dagu dan mukanya.

Pada suatu hari, saya tinggal sendirian di rumah. Jadi, saya teringin untuk menggunakna pisau cukur kepunyaan mama. Jadi, saya pun menyeludup pisau cukur dan ‘after shave’ kepunyaan mama ke bilik air.

Saya berdiri menghadap cermin dan melihat wajah saya. Tentulah saya belum ada misai dan janggut kerana saya masih kanak-kanak. Walau bagaimanapun, saya begitu ingin cuba bercukur.

Lalu saya pun mencukur bahagian atas bibir dan dagu saya – sama seperti yang saya lihat mama selalu bercukur. Saya dapat merasakan diri saya sudah dewasa! Seronok kerana dapat menggunakan pisau cukur orang dewasa.

Selepas bercukur, saya mengambil botol ‘after shave’. Saya menyapu minyak wangi itu pada dagu dan pipi. Baunya sungguh harum. Saya sangat sukakan bau itu. Jadi, saya pun menyapu lebih banyak ‘after shave’ pada muka, tangan, kaki dan badan.

Hanya beberapa minit kemudian saya mula terasa pedih. Bahagian dagu saya mula menjadi sejuk dan terasa sangat pedih. Agaknya, semasa saya bercukur, ada luka kecil pada kulit. Sebab itulah saya terasa pedih.

Saya terus mengambil air dan mencuci muka. Selepas dibilas berkali-kali, barulah hilang rasa pedih. Menyesal pula saya melakukan eksperimen secara berlebih-lebihan!

Selepas itu, timbul satu lagi masalah. Botol ‘after shave’ mama sudah hampir kosong. Apa yang saya boleh buat sekarang?

Tiba-tiba saya mendapat satu idea. Saya segera mengambil botol minyak angin yang disimpan oleh nenek di dalam almari. Warna minyak angin dan warna ‘after shave’ sama sahaja. Jadi, saya menuangkan minyak angin ke dalam botol ‘after shave’.

“Alamak! Macam mana kalau nenek mahu gunakan minyak angin?” Saya terfikir beberapa minit kemudian.

Saya mendapat satu lagi idea. Saya segera mengambil botol berisi air bateri yang digunakan oleh bapa untuk bateri kereta. Saya tuangkan sedikit air bateri ke dalam botol minyak angin kepunyaan nenek.

Pada keesokan hari, terdengar suara mama menjerit dari bilik mandi. Semua orang terkejut. Perut saya pula kecut.

“Adoi! Adoi! Pedihnya! Siapa yang masukkan minyak angin dalam botol ‘after shave’ saya?” Jerit mama sambil menahan rasa sakit.

Akhirnya saya terpaksa mengaku salah. Nasib baik nenek belum menyapu air bateri pada kepalanya. Kalau tidak, entah apa yang telah berlaku!

“Kalau mahu melakukan eksperimen, janganlah sampai menyusahkan orang,” bapa menasihatkan dengan penuh mesra.

Umur saya sekarang 16 tahun. Namun, pengalaman menjadi saintis muda semasa kanak-kanak tetap segar dalam ingatan saya.

NILA 15 Jun 2003

Kavya Julai 2003

Hosted by www.Geocities.ws

1