Terkenang-kenang

       

Sejak tahun 1993, cerpen saya sering disiarkan dalam akhbar dan majalah Bahasa Malaysia. Saya menulis cerpen untuk bacaan kanak-kanak, remaja dan dewasa. Setiap kali karya saya tersiar, pasti ada pembaca yang menghubungi saya untuk mengucapkan tahniah.

Pada suatu hari, saya sedang berehat di rumah. Tiba-tiba ada orang mengetuk pintu. Lalu saya melihat ke luar dan ternampak beberapa remaja berpakaian sekolah. Ada beberapa pelajar kaum Melayu, Cina dan India.

Saya pun membuka pintu sambil menyangka bahawa mereka tentu datang mengutip derma bagi acara sukan di sekolah.

“Ini rumah Encik Uthaya Sankar SB?” tanya salah seorang pelajar.

“Ya,” kata saya. “Apa halnya?”

“Kami telah membaca cerpen yang ditulis oleh Encik Uthaya dalam majalah Dewan Siswa. Kami telah membincangkan tema dan persoalan cerpen itu dalam kelas Bahasa Malaysia,” jawab seorang pelajar.

Saya menjemput mereka masuk dan duduk. Keenam-enam pelajar itu masuk ke ruang tamu dan duduk sambil berbisik-bisik. Mereka melihat beberapa buku saya yang tersusun di atas rak.

“Encik Uthaya memang pandai menulis. Cikgu kami selalu memuji Encik Uthaya,” seorang pelajar menjelaskan kepada saya.

“Cikgu kami jugalah yang berikan alamat ini kepada kami. Jadi, kami pun datang untuk bertemu dengan penulis yang kami kagumi,” tambah seorang lagi pelajar.

“Apa yang kamu kagum?” Saya cuba mendapatkan pandangan mereka.

“Cerpen-cerpen oleh Encik Uthaya sangat mencabar fikiran. Ada banyak ilmu bantu yang sangat berguna kepada pembaca. Tentulah penulis juga seorang yang sangat berpengalaman dalam hidup,” seorang lagi pelajar perempuan menjelaskan.

Saya tersenyum bangga. Kemudian para pelajar yang datang itu terdiam sebentar. Mereka mula saling berpandangan dan berbisik. Saya pun mula tertanya-tanya apa yang menjadi masalah.

“Err … Ini betul-betul rumah Encik Uthaya Sankar SB?” tanya seorang daripada mereka sejurus kemudian.

“Ya, betul.”

“Err … Boleh kami berjumpa dengan beliau?”

Saya terdiam. Kemudian saya ketawa.

“Kamu semua mahu berjumpa dengan Uthaya Sankar SB, bukan? Sayalah orangnya,” kata saya sambil tersenyum.

“Oh, maaf! Selama ini kami sangka Encik Uthaya adalah seorang tua berumur lebih 50 tahun. Rupa-rupanya encik masih muda,” kata mereka.

Setelah membaca karya saya, mereka menyangka saya mestilah seorang tua. Jadi, mereka terkejut melihat saya begitu muda. Tambahan pula, saya memang kelihatan lebih muda berbanding umur saya yang sebenar.

Orang selalu berkata, “Don’t judge a book by its cover”. Agaknya kita juga boleh berkata, “Don’t judge a writer by his book”.

NILA 15 Mei 2003

Kavya Jun 2003

ArahKiri* 1 Jun 2003

* Dengan judul "Boleh Kami Berjumpa Penulis?"

Hosted by www.Geocities.ws

1