Terkenang-kenang

Ret dan Sai masih ingat pengalaman dijemput menghadiri pooja sebuah filem pada 7 Mac 2003 di Chennai, Tamil Nadu. Memandangkan Sai hanya sekali pernah menyertai majlis seumpama itu dan Ret pula sekadar mendengar mengenainya, kami amat berminat untuk turut serta.

Majlis dijadualkan antara 9.00 dan 11.30 pagi iaitu masa yang baik mengikut kiraan joshiyar. Setiba di Studio Prasad, salah sebuah studio filem yang terkenal, kami lihat ramai yang sudah berkumpul. Terfikir Ret dalam hati, "Tahu pulak mereka ini menepati masa."

Kawasan studio agak luas dan apabila kami menuju ke tempat yang ditetapkan, cuba teka kami bertembung dengan siapa? Penyanyi yang terkenal dengan lagu ‘Valparey’ – tidak lain dari Malgudi Shuba. Beliau tersenyum lebar apabila terpandang Sai dan Ret yang datang dari arah bertentangan. Sai perkenalkan Ret pada beliau dan sekali lagi terserlah suatu senyuman yang begitu ramah. Malangnya kami tidak sempat berbual kerana beliau perlu buat persediaan bagi rakaman.

Beliau menghalakan kami ke dewan di mana upacara sedang dijalankan. Ret dan Sai bak orang yang hilang di thiruvila kerana tidak mengenali sesiapa. Orang yang memberikan jemputan juga masih tidak kelihatan. Nasib baik seketika kemudian datang seorang sahabat Sai, penulis lirik yang kini sedang menempa nama. Beliau tidak mahu namanya disebut maka Ret sebut saja ‘Dr.’

Dr. mengenali ramai juga yang hadir. Beliau memperkenalkan Sai dan Ret kepada hadirin yang beliau kenal. Beliau juga menjelaskan beberapa perkara berkaitan dengan pooja sebuah filem.

"Pooja diadakan sebelum sebuah projek dimulakan. Kesemua pihak yang penting seperti watak utama, pengarah, pengarah muzik dan jurukamera akan berkumpul," beliau menceritakan.

“Bagaimana dengan pooja? Ada apa-apa keistimewaan?”

Dr. berfikir seketika.

”Apa yang Retna maksudkan dengan istimewa?” 

Ret jelaskan bahawa Ret ingin tahu tujuan dan proses bagaimana pooja dijalankan serta kelainan daripada pooja biasa.

Beliau mengangguk dan kemudian meneruskan penerangan yang diselang-selikan dengan pertanyaan daripada Ret.

Setelah memilih tempat yang sesuai, gambar dewa-dewi diletakkan di atas meja panjang yang direntang dengan kain. Gambar Dewa Ganesha (pemusnah halangan) dan Dewi Lakshmi (pemberi kekayaan) pasti ada. Gambar yang lain bergantung pada kepercayaan dan amalan individu.

Purohita yang dipilih adalah orang yang istimewa. Setengah-tengah pengarah akan menjemput purohita yang akan berlakon dalam filem tersebut kerana dipercayai akan membawa tuah.

Fail yang mengandungi cerita filem akan diletakkan di hadapan gambar dewa-dewi dan kemudian archanai dilakukan ke atas tajuk fiem tersebut. Setelah tamatnya pooja, kerja perfileman akan dimulakan.Paling kurang satu adegan akan difilemkan atau sebuah lagu akan dirakamkan.

Dunia perfileman hanya indah khabar; ia bergelumang dengan seribu satu macam politik, umpatan, pijak atas kepala orang untuk maju ke depan dan juga pelbagai jenis kepercayaan kolot.

“Ei, jangan guna orang itu. Dia itu takda raasi.”

“Ya, ke? Saya pun fikir begitu. Filem dia itu dah dua kali ditolak oleh badan penapis. …”

Perbualan sebegini sering kedengaran di kalangan orang filem. Andaikata, seseorang dicap sedemikian rupa, masa depan orang itu akan hancur sama sekali dalam industri filem di Tamil Nadu.

Pengarah dan terutamanya penerbit akan menyatakan pelbagai sebab untuk kegagalan dan kejayaan sebuah filem. Mereka akan nyatakan bahawa nasib atau masa tetapi tidak pula menyebut tentang kekuatan dan kelemahan dari segi cerita atau lakonan.

Ret meninggalkan pooja tersebut dengan perasaan berbaur. Industri perfileman hanyalah sebuah rumah perjudian. Kadang-kadang untung, kadang-kadang rugi. Mereka yang tertarik dengan glamor dunia filem akan terjerumus ke lembah berselut – akhirnya menghabiskan hayat menghitung hari, mengadu nasib.

Demikian Sai dan Ret terkenang-kenang akan pengalaman tersebut.

Kavya, Mei 2003

Hosted by www.Geocities.ws

1