Cerpen

Kamovarthini

Retna Devi Balan

   

Sejak saya membawa Bairavi pulang dari hospital, saya sudah membatalkan semua program muzik. Malah tidak berlatih atau saja-saja bermain peralatan muzik. Sejak Bairavi mula-mula menghuni hati saya, tiada program muzik yang saya  persembahkan tanpa kehadirannya.

Saya adalah seorang ahli muzik karnatik yang semakin mencipta nama. Malah, Bairavi muncul dalam hidup saya sebagai seorang peminat. Kemudian, kami bercinta dan ahkirnya berkahwin.

Kegembiraan kami bertambah apabila isteri kesayangan saya mengandung. Malangnya, selepas mengandung sembilan minggu, Bairavi keguguran. Doktor mengatakan bahawa keguguran itu disebabkan kami berdua masih aktif walaupun Bairavi sedang mengandung.

Apabila diberitahu hal itu, Bairavi bertambah sedih dan marah. Dia merajuk. Dia juga tidak mahu bercakap dengan saya. Mungkin di menganganggap sayalah punca kandungannya gugur.

Saya menggeleng untuk menghilangkan kecelaruan  fikiran. Kadang-kadang terasa bagaikan muzik saya hanya untuk Bairavi. Tanpa penghargaan daripada Bairavi dan tanpa dihargai oleh Bairavi, muzik saya tidak bermakna.

Apakah muzik saya akan sepi selama-lamanya?

Tiada jawapan yang terlintas dalam fikiran. Lalu saya melangkah ke loteng untuk mengisi masa yang terus menyering. Ruang kecil ini sering menjadi tempat saya berehat dan mencari ilham. Setibanya saya di loteng, mata saya berehat pada kotak-kotak yang tersusun rapi. Kotak-kotak yang tidak pernah saya endahkan.

Albums, Books, Dinnersets … Letters.”

Bacaan saya terhenti pada label itu. Entah mengapa, tiba-tiba jantung saya berdegup kencang. Saya menurunkan kotak berkenaan dari atas rak.

Kesemuanya berlabel kemas. Setiap satu surat yang ditulis semasa kami berjauhan.

Athan, mana surat-surat yang Bairavi tulis?”

“Ada. Kenapa?”

“Boleh berikan kepada saya?”

Permintaan Bairavi pada suatu hari selepas kami berkahwin kedengaran agak aneh. Namun saya tetap memenuhi permintaannya. Selepas itu, tidak pernah saya bertanyakan apa yang dibuatnya pada surat-surat berkenaan.

“Daripada Bairavi. … Daripada Sridhar.”

Saya tidak dapat mengelakkan senyuman yang mula terukir di bibir. Bairavi seorang yang sangat mementingkan kekemasan dan aturan hinggakan surat-surat pun dilabelnya.

Sesuatu yang pasti: ikatan yang berlabel ‘Daripada Sridhar’ kecil sahaja.

“Kenapa payah sangat nak tulis surat?” sering Bairavi bertanya apabila kami berjauhan.

“Entahlah; susah. Lebih seronok mendengar suara kamu melalui telefon.”

Memang pun perangai saya begitu: malas menulis surat. Berbeza sama sekali dengan sikap Bairavi; seperti yang dibuktikan oleh ikatan berlabel ‘Daripada Bairavi’.

Beberapa pucuk surat saya keluarkan sebelum duduk di kerusi malas. Mata saya kembali digenangi air apabila membaca kandungan surat berkenaan.

My hugs miss your hugs. See you in my dreams.”

Seolah-olah kedengaran suara manja Bairavi berbisik ke  telinga saya. Lalu surat itu saya tekapkan ke dada. Dapat saya bayangkan kemesraan di wajah Bairavi jika dia berada di depan saya pada ketika ini.

Apakah saya tidak akan berpeluang lagi untuk menikmati kemesraan dan kemanjaan isteri saya?

Surat seterusnya yang saya keluarkan dari ikatan berlabel ‘Daripada Bairavi’ bagaikan memberi jawapan kepada keserabutan fikiran saya.

“Apakah mungkin?” Saya tertanya-tanya pada diri sendiri dengan perasaan berdebar-debar sambil menggenggam erat surat yang baru selesai saya baca.

Saya meluru turun dari loteng dan menuju ke bilik peralatan muzik. Setiba di sana, saya tercegat di muka pintu; takut untuk meneruskan niat di hati.

“Bagaimana kalau saya gagal?” tanya hati.

“Tak cuba, mana nak tahu?” bidas jiwa.

Selepas menarik nafas panjang, saya melangkah ke dalam bilik peralatan muzik dan mencapai veenai. Tangan saya terketar-ketar sedikit semasa saya menala tali veenai. Apabila saya yakin bahawa saya sudah bersedia, saya memejamkan mata dan menenangkan jiwa.

Aandava! Berilah saya peluang untuk menebus dosa. Kembalikan Bairavi,” pohon saya kepada Tuhan.

Lalu saya mula bermain veenai tersebut. Tetapi suara saya pula seakan-akan tersekat di kerongkong. Namun akhirnya suara saya berjaya melepaskan diri dalam bentuk Kamovarthini.

Ya, Kamovarthiniraaga yang paling Bairavi minati.  Raaga bagi lagu yang menjadi latar percintaan kami. Raaga itu yang akhirnya membebaskan suara saya yang tersekat di kerongkong sekian lama.

Saya menyanyi semula setelah sekian lama:

“Neril irangi vanthu, unnai ennidam thanthu,

yekkam thiiradi penne!”

“Datanglah kepadaku … serahkan dirimu

dan hilangkan rindu di jiwaku!”

Saya menoleh apabila terdengar bunyi kolusu. Kaget juga saya dibuatnya apabila melihat Bairavi berdiri di situ dengan linangan air mata.

Veenai di riba saya ketepikan dan saya mendepakan tangan ke arah Bairavi, isteri tersayang saya.

Kavya, Oktober 2003

Nila, 1 September 2003

Hosted by www.Geocities.ws

1