Cintailah Bahasa Kita

Cara memupuk semangat cinta akan Bahasa Malaysia

                   

Kedudukan dan martabat Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini mengikut Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan memang tidak patut dipertikaikan. Malah, Akta (Pindaan) Perlembagaan 1971 memperuntukkan bahawa status Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan tidak boleh dipersoalkan. Sesiapa yang menyoal tentang perkara ini boleh dituduh melakukan kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948.

Perlu diakui bahawa isu bahasa pernah tercetus pada tahun 1967 apabila perbahasan Rang Undang-undang membenarkan Bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain bersaing penggunaannya dengan Bahasa Melayu. Keadaan ini telah menimbulkan reaksi negatif pencinta dan pejuang bahasa. Isu bahasa juga menyumbang kepada tercetusnya Krisis 13 Mei 1969.

Kemelut bahasa reda apabila dilaksanakan Dasar Pelajaran Kebangsaan 1970, dan istilah “Bahasa Melayu” ditukar menjadi “Bahasa Malaysia” untuk menimbulkan semangat kekitaan terhadap bahasa berkenaan. Bahasa Malaysia terus berkembang dan digunakan secara meluas.

Soalnya kini, bagaimana kecintaan generasi muda Malaysia terhadap Bahasa Malaysia dan apakah cara untuk mewujudkan rasa cinta terhadap bahasa kebangsaan. Kavya keluaran Januari 2003 meninjau pendapat dan pandangan beberapa individu yang prihatin terhadap isu ini. Bacalah  pandangan peribadi mereka berhubung cara memupuk semangat cinta akan Bahasa Malaysia di kalangan generasi muda. ...

_______________

Tak kenal maka tak cinta. Jadi, untuk mengajak generasi muda supaya cintakan Bahasa Malaysia, saya berpendapat mereka perlu disedarkan bahawa Bahasa Malaysia adalah bahasa yang menarik, mudah, dinamik dan segala macam ciri yang baik yang ada pada Bahasa Malaysia. Rancangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) haruslah disebarluaskan supaya umum tahu apa perancangan yang sedang berjalan buat mendepani cabaran masa hadapan yang bakal menjadikan mereka nampak betapa Bahasa Malaysia tidak terkebelakang dan tidak akan terkebelakang. – Mohamad Azley Ahmad

Semua orang (tanpa membezakan etnik atau tempat asal) hendaklah bertutur dalam Bahasa Malaysia yang betul tanpa dicampur adukkan dengan bahasa asing. Keindahan bahasa hendaklah diperdengarkan menerusi aktiviti-aktiviti bahasa seperti pembacaan puisi dan pidato yang mempunyai unsur retorik berkualiti tinggi. Pengajaran kesusasteraan Bahasa Malaysia hendaklah menonjolkan keindahan bahasa, dan tidak diajar secara kaku, seolah-olah bahasa itu merupakan unsur yang telah mati. – T. Devaraj

Rasa cintakan Bahasa Malaysia hanya boleh dipupuk melalui usaha yang bersungguh-sungguh daripada semua pihak. Pendekatan harus kreatif, kerana anak muda khususnya mahu pendekatan yang menarik dan tidak membosankan. Ancaman utama buat Bahasa Malaysia adalah Internet dan Teknologi Maklumat, tetapi itu juga senjata utama kita untuk membuatkan Bahasa Malaysia kekal relevan buat semua generasi. – Nik Nazmi Nik Ahmad

Keadaan mungkin tidak begitu kondusif sekarang, dan banyak perkara yang perlu dilakukan. Antaranya, kesedaran dan cinta terhadap Bahasa Malaysia mungkin masih ada tetapi terlalu longgar. Justeru, penekanan dalamanlah yang lebih penting diusahakan, serta bahasa itu sendiri perlu dikembalikan maruahnya! – Al-Abror Mohd Yusuf

Bahasa Malaysia bagaikan rentak dan kita semua penari-penarinya.  Langkah tari kita mungkin berbeza, liuk dan lentok kita juga berlainan tetapi semua yang berbeza itu akan kelihatan indah juga kalau disusun rapi dan dipaut rentak yang sama. Hazidi Bin Abdul Hamid

Walaupun Bahasa Malaysia merupakan Bahasa Nasional dan digunakan oleh semua kaum di Malaysia, pada hakikatnya, masih ada orang yang berpendapat bahawa Bahasa Malaysia (atau Bahasa Melayu) masih melambangkan kaum Melayu. Masalah ini mungkin berkaitan dengan cara lingua franca diajar di sekolah: Bahasa Melayu adalah milik orang Melayu. Cara Bahasa Malaysia diajar sejak tahap sekolah rendah perlu berubah untuk melambangkan sebuah identiti kebangsaan (Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia) dan bukan identiti sesuatu kaum sahaja. – Joshua Ryan

Kesedaran tentang kepentingan  Bahasa Malaysia dalam aspek kenegaraan, ilmu dan martabat kemanusiaan adalah tonggak keutuhan Bahasa Malaysia. – V. Raman

Saya merasa cukup bangga kerana tidak mengambil sifat sambil lewa terhadap pembelajaran Bahasa Malaysia di sekolah. Kini, Bahasa Malaysia menjadi serasi dengan jiwa dan fikiran saya; sama seperti bahasa ibunda saya. Cara untuk menyemarakkan semangat cintakan Bahasa Malaysia di kalangan pemuda-pemudi adalah dengan menggalakkan mereka memperluaskan dan mementingkan penggunaan Bahasa Malaysia dari segi pertuturan, pembacaan dan penulisan dalam segala aktiviti harian. Generasi muda juga harus diajar sejak kecil untuk berasa bangga dan menghormati bahasa rasmi negara. Jika Bahasa Malaysia menjadi lemah, keadaan itu sebenarnya menggambarkan kelemahan dan kelekaan Bangsa Malaysia. – V. Vijayaletchumy

Cinta datang dengan tidak dipaksa. Cinta datang dengan sendiri. Tapi bagaimana cinta itu bermula? Pasti daripada perkenalan. Begitu juga, jika kita hendak memupuk semangat cintakan Bahasa Malaysia, kita harus memperkenalkannya. Beritahu ciri-cirinya yang menarik, keistimewaannya, sejarah perkembangannya dan tokoh-tokoh pejuang bahasa tersebut kepada generasi muda. Usaha ini perlu dilakukan secara meluas dan melingkupi semua lapisan masyarakat. – Sam Ahmad, editor Risalah OnLine Arah Kiri

Perlu diperbanyakkan usaha karya-karya antarabangsa (Bahasa Inggeris dan sebagainya) dan majalah antarabangsa dialih bahasa ke Bahasa Malaysia; sebagaimana yang dilakukan dengan jayanya di Indonesia. – Nizam

Sebahagian besar daripada kita mengaku sebagai warganegara Malaysia dan Bangsa Malaysia; malangnya kecintaan terhadap bahasa kebangsaan adalah jauh meleset. Tidak hilang jati diri mana-mana kaum semata-mata kerana menggunakan Bahasa Malaysia. Malah penggunaan Bahasa Malaysia oleh semua kaum akan mempereratkan lagi semangat setiakawan di kalangan kita yang mendiami sebuah negara yang begitu unik dan kompleks pembentukannya.  Namun, berapa keratkah daripada kita yang menginsafi kelebihan ini. – Jamilah bt Taib

Kita perlu percaya akan keutuhan Bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu. – Dr Nor Faridah Abdul Manaf

Tak kenal maka tak cinta. Kita perlu kikiskan sifat rendah diri apabila menggunakan Bahasa Malaysia dalam segala urusan. Bahasa Malaysia adalah milik 22 juta rakyat Malaysia. Jika budaya membaca karya Bahasa Malaysia berjaya disemai sejak kecil, saya percaya semangat cintakan Bahasa Malaysia tidak lagi menjadi masalah bagi generasi akan datang. Cuma, kita perlu perkayakan khazanah sastera dan bahan bacaan bermutu dalam Bahasa Malaysia. – Neo Peng Soon

Kita perlu menggalakkan generasi muda pelbagai kaum menguasai sebanyak mungkin bahasa. Tentu sahaja Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan tidak terkecuali. Penguasaan pelbagai bahasa ini akan membolehkan generasi muda mendalami serta menjiwai sepenuhnya karya sastera setiap kaum di Malaysia. Di masa hadapan, saya begitu ingin bertemu generasi muda kaum India yang lancar dan fasih menggunakan Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin dan bahasa ibunda. Kelebihan ini pasti menjadikan kaum India di Malaysia lebih unik dan gharib berbanding kaum India di mana-mana penjuru dunia. – Bissme S, wartawan The Sun

Bahasa Malaysia adalah bahasa kebangsaan Malaysia. Pada masa sekarang, Bahasa Malaysia memang kurang digunakan oleh banyak pihak – suatu hakikat yang memang menyedihkan. Jadi, adalah penting kita menggalakkan generasi muda menggunakan Bahasa Malaysia agar bahasa rasmi Malaysia tidak pupus. – Halini Paramanathan

Bahasa itu jiwa bangsa. Sekiranya seseorang individu ingin memaparkan keperibadian sebagai masyarakat Malaysia, maka dia perlu menguasai Bahasa Malaysia. Apa gunanya menyatakan diri sebagai rakyat Malaysia jika tidak fasih menggunakan Bahasa Malaysia. Penguasaan Bahasa Inggeris menunjukkan keupayaan bertanding dalam era pascamoden tetapi penguasaan Bahasa Malaysia menonjolkan identiti serta nilai estetik suatu bangsa. Oleh itu, majulah Bahasa Malaysia demi Bangsa Malaysia. – Retna Devi Balan

Walaupun Bahasa Malaysia menjadi antara mata pelajaran wajib di sekolah, tanpa corak pembelajaran yang menarik, nescaya bahasa ini tidak mampu mempertahankan kedudukannya. Jadi, cara pengajaran dan pembelajaran subjek Bahasa Malaysia mesti diberi perhatian oleh semua pihak terbabit. – Revathi Thirupathy

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu menjadi pemangkin dalam memartabatkan Bahasa Malaysia dengan mengadakan persefahaman dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM). Rancangan “Bersama DBP” perlu diwujudkan melalui siaran radio atau televisyen. Di samping itu, kempen, iklan dan promosi bahasa kebangsaan pada badan bas awam seperti yang telah diadakan selama tiga bulan pada tahun 2000 perlu dilaksanakan secara berterusan. – Raja Rajeswari Seetha Raman

Bahasa Malaysia harus digunakan dalam pelbagai situasi; dan situasi untuk menggunakan Bahasa Malaysia harus diwujudkan oleh semua pihak terbabit. Kepentingan Bahasa Inggeris tidak dinafikan tetapi setiap rakyat Malaysia sepatutnya fasih berkomunikasi menggunakan Bahasa Malaysia. Dan kelebihan inilah yang harus digunakan untuk menyatukan rakyat pelbagai kaum yang memiliki bahasa ibunda berbeza. Semangat cinta akan Bahasa Malaysia harus dipupuk sejak usia muda; sejak bayi. Individu atau kumpulan yang menggunakan Bahasa Malaysia harus diberi galakan dan pengiktirafan oleh kerajaan. S.G. Prabhawathy

_______________

Tentu saudara juga ada cadangan mengenai cara-cara memupuk semangat cinta akan Bahasa Malaysia di kalangan generasi muda. Sila kirim melalui e-mel ke alamat [email protected]  supaya dapat dimuatkan dalam Kavya keluaran akan datang. Sila sertakan nama dan alamat e-mel saudara bersama pendapat yang dikemukakan. Baca dulu syarat mengirim bahan di SINI.  Seboleh-bolehnya tulis pendapat saudara menggunakan Bahasa Malaysia.

Hosted by www.Geocities.ws

1