Cerita Bersiri - Bahagian Dua

Perjuangan Berterusan

Wartawan: Gayathry

Sasterawan: Uthaya Sankar SB

         

“Saya tidak boleh membiarkan semua kesusahan ini berterusan,” fikir Chellam sambil tekun membasuh pinggan-mangkuk yang kotor dan berminyak. “Saya mesti melakukan sesuatu. Walaupun bukan untuk diri saya, sekurang-kurangnya untuk anak-anak saya.”

Sambil bercakap sendirian, Chellam terkenangkan kisah lama iaitu apabila dia bersama-sama suami dan tiga anak perempuan mula-mula datang ke Kuala Lumpur. Mereka telah dihalau oleh emak Selvam.

Akhirnya mereka sampai ke satu kawasan rumah setinggan. Selvam dan Chellam mengambil keputusan untuk membina rumah haram di situ. Chellam mengumpul papan dan kayu serta atap terbuang. Dia bertungkus-lumus membina sebuah pondok buruk untuk mereka sekeluarga berteduh.

Anak-anak yang bernama Kavita, Kogila dan Kannama masih kecil dan tidak boleh membantu. Mereka hanya bermain-main di sekitar rumah dan menangis apabila lapar. Selvam pula memang tidak boleh diharap. Dia langsung tidak membantu Chellam yang bersusah-payah membina sebuah rumah setinggan.

“Ah! Buat pondok macam ini pun saya mesti tolong? Buatlah sendiri,” tengking Selvam sebelum keluar berkeliaran.

Sebenarnya Selvam pergi menghisap dadah. Dia sanggup mencuri untuk mendapatkan wang untuk membeli dadah daripada penjual dadah yang terdapat di sekitar kawasan setinggan itu.

Prannggg!

Chellam terkejut. Sebiji mangkuk kaca yang sedang dibasuh dengan sabun tercicir dan terhempas ke lantai.

“Haiyo! Awak mimpikah? Habis pinggan itu pecah,” marah tuan punya kedai makan di mana Chellam bekerja membasuh pinggan-mangkuk. “Awak mesti ganti duit untuk mangkuk itu.”

Chellam tidak mampu berkata apa-apa. Dia hanya terdiam dan tertunduk. Air mata gugur kerana dia tidak dapat mengawal rasa sedih. Gaji minggu ini akan dipotong kerana pinggan telah pecah. Jadi, bagaimana Chellam boleh menampung perbelanjaan sekolah anak-anak?

Semasa Chellam membina pondok buruk dulu, dia sedang mengandungkan anak keempat. Dia mengandung lapan bulan. Jadi, tentulah susah untuk dia membuat kerja-kerja berat. Tetapi, apa boleh dibuat? Suaminya memang tidak boleh diharap. Chellam terpaksa berusaha sendiri demi kerana anak-anaknya.

Chellam terasa lega sedikit setelah pondok buruk siap dibina. Sekurang-kurangnya keluarga mereka ada tempat untuk berteduh. Memang pondok itu sangat buruk dan tidak selesa tetapi itu sahajalah yang mereka mampu miliki.

Selvam pula terus tidak melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa. Dia terus ketagih dadah dan berkeliaran di sekitar Kuala Lumpur.

Chellam pula cuba mencari kerja. Akhirnya dia mendapat kerja sebagai tukang sapu jalan. Wang daripada kerja itu digunakan untuk menampung keperluan anak-anak.

Tidak lama selepas mula bekerja, Chellam melahirkan anak keempat. Anak itu juga perempuan.

“Tak guna! Semuanya anak perempuan. Memang awak dan anak-anak awak sangat sial,” marah Selvam.

Chellam hanya mampu bersabar. Dia bertekad untuk membuktikan bahawa anak-anaknya tidak membawa sial. Dia bertekad untuk membuktikan kepada semua bahawa anak-anaknya boleh berjaya dalam hidup.

Untuk itu, pelajaran adalah penting. Untuk menghantar anak-anak ke sekolah, Chellam perlukan duit. Untuk mendapatkan duit, Chellam mesti bekerja.

Seminggu sahaja selepas anak keempat lahir, Chellam memutuskan untuk pergi bekerja semula. Walaupun badannya sakit, dia tetap bekerja keras. Dia berkorban demi anak-anaknya.

Akhirnya, Chellam mampu menghantar anak-anaknya ke sekolah. Kavita, Kogila dan Kannama terasa seronok kerana dapat belajar. Mereka memang suka pergi ke sekolah. Mereka belajar Bahasa Tamil, Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

“Emak, hari ini cikgu ajar sebuah peribahasa Tamil,” kata Kavita pada suatu hari apabila pulang dari sekolah.

“Peribahasa apa?” tanya Chellam dengan mesra walaupun dia sangat penat kerana bekerja keras.

“Cikgu mengatakan bahawa kita boleh menukar nasib dengan akal,” kata Kavita dengan bangga lalu menyebut peribahasa itu dalam Bahasa Tamil.

Chellam tersenyum mendengar peribahasa itu. Dia juga pernah pergi ke sekolah dan belajar peribahasa itu. Akan tetapi hanya sekarang Chellam benar-benar sedar akan kepentingan peribahasa Tamil yang sangat bermakna itu.

“Betul,” kata Chellam kepada Kavita, Kogila, Kannama dan Karpagam. “Kalau kita ada akal, kita boleh mengubah nasib kita.”

“Kita sangat miskin. Bolehkah kita mengubah hidup kita?” tanya Kogila.

“Tentulah boleh,” jawab Kavita. “Sebab itulah kita mesti rajin belajar. Kalau kita rajin belajar, kita boleh jadi pandai. Kita akan ada banyak ilmu. Selepas itu, kita tentu boleh mengubah nasib keluarga kita.”

“Betul!” kata Kogila dan Kannama.

Chellam benar-benar terharu mendengar kata-kata anak-anaknya. Dia kagum dengan kebijaksanaan anak-anaknya. Lalu, Chellam bertekad untuk bekerja lebih keras supaya anak-anaknya boleh belajar tinggi. Pada waktu siang, Chellam menyapu jalan. Pada sebelah malam, dia bekerja di kedai makan.

“Saya kini hidup untuk anak-anak saya sahaja,” kata Chellam dalam hati sambil meneruskan kerja mencuci pinggan-mangkuk di kedai makan. “Saya mahu buktikan bahawa anak-anak perempuan tidak membawa sial. Saya mahu anak-anak saya mengubah nasib buruk yang menimpa keluarga ini.”

Akan tetapi, apakah impian Chellam bakal menjadi kenyataan? Bagaimana pula dengan Selvam yang menagih dadah dan menghina anak-anak perempuan? Semuanya masih menjadi suatu persoalan.

... bersambung dalam keluaran akan datang

         

Bahagian Kedua Cerita Bersiri Perjuangan Berterusan disiarkan dalam majalah NILA keluaran 1 Mei 2003 dan Kavya keluaran Jun 2003.  [Baca Bahagian Pertama] Majalah NILA terbit pada 1 dan 15 haribulan setiap bulan. Harga: RM1.50. Hubungi [email protected] untuk maklumat lanjut mengenai majalah NILA atau layari laman web www.neela.cjb.net

Hosted by www.Geocities.ws

1