Dikisahkan dalam Mahabharata bahawa Maharaja Yayati daripada keturunan Bharata adalah seorang pemerintah yang tidak mengenal erti kalah dan kecewa. Dia menjadi pemerintah yang dihormati, disegani dan dikasihi rakyat atas segala kejayaan yang dibawakannya untuk wilayah yang diperintah.

Namun, pemerintah agung itu mempunyai satu kekurangan. Sukracharya telah menyumpah Maharaja Yayati menjadi tua dan tidak bermaya (Siasah Ogos 2003; Kavya Oktober 2003). Akibatnya, maharaja yang masih muda dan bertenaga itu terus menjadi tua – secara zahir dan batin.

Lalu, kekurangan zahir dan batin itu cuba diisi dengan pencapaian fizikal dan material. Kehebatan wilayah yang diperintah dicanang ke seluruh mayapada. Pemerintahan serta kehebatan struktur fizikal yang dibangunkan di kerajaan keturunan Bharata diwarwarkan kepada semua.

Walau bagaimanapun, Maharaja Yayati masih belum menemui ketenangan jiwa yang diinginkan. Beliau masih mengimpikan keseronokan sebagai seorang pemuda. Isteri sulungnya, Devayani, dan isteri keduanya, Sarmishtha, tidak mampu berbuat apa-apa bagi memenuhi keinginan maharaja berkenaan.

“Ah! Sungguh tidak adil hidup ini,” marah Maharaja Yayati dalam diri. “Usia beta masih muda tetapi sumpah Sukracharya membuatkan beta kehilangan segala nikmat hidup orang muda.”

Maharaja itu ada lima putera. Kesemuanya lahir sebelum Maharaja Yayati disumpah menjadi tua. Kini, kelima-lima putera berkenaan sudah remaja dan mula menikmati gaya hidup orang muda.

Melihat kebahagiaan yang dinikmati oleh kelima-lima puteranya menyebabkan Maharaja Yayati semakin kempunan untuk merasai nikmat usia muda. Beliau sedar bahawa kemewahan fizikal dan kehebatan sebagai seorang maharaja tidak mampu menandingi nikmat seksual yang sudah lama hilang daripada hidupnya.

Lalu, pada suatu hari, Maharaja Yayati memanggil kelima-lima putera datang mengadap. Maka datanglah mereka dengan penuh setia tanpa banyak soal. Mereka bukan semata-mata menghormati Maharaja Yayati sebagai seorang ayah. Sebaliknya, pada usia remaja, mereka menyedari kuasa yang dimiliki oleh ayah mereka. Kuasa, pengaruh dan kemewahan yang dimiliki oleh Maharaja Yayati turut dinikmati kelima-lima puteranya.

Berbekalkan kuasa, pengaruh dan kemewahan itulah kelima-lima putera mampu melakukan apa sahaja yang mereka hajati – sama ada yang halal atau haram. Selagi mereka dilindungi kuasa, pengaruh dan imuniti Maharaja Yayati sebagai pemerintah tertinggi di semua wilayah yang diperintahnya, selagi itulah mereka bebas melakukan apa sahaja yang diingini.

Semua ini juga membuatkan Maharaja Yayati terasa sedikit cemburu. Kelima-lima puteranya mampu merasai nikmat zahir dan batin berbekalkan kuasa dan pengaruh yang dimilikinya. Para penari istana dan gadis jelita habis dimesrai oleh mereka. Maharaja Yayati pula tidak mampu berbuat apa-apa.

Bukan tidak mampu berbuat apa-apa untuk menghalang mereka! Sebalik tidak mampu berbuat apa-apa untuk merasai nikmat yang sama. Semua ini berikutan sumpah Sukracharya.

Walau bagaimanapun, selepas disumpah dahulu, Maharaja Yayati telah merayu kepada Sukracharya. Maka Sukracharya mengatakan bahawa Maharaja Yayati boleh mendapatkan semula usia mudanya jika ada orang yang sanggup bertukar usia dengannya.

Sebaik sahaja kelima-lima puteranya datang mengadap, maka Maharaja Yayati menceritakan kisah lama secara terperinci. Mereka mendengar dengan teliti.

“Beta merasakan apa yang berlaku adalah tidak adil. Beta belum puas menikmati hidup sebagai orang muda. Banyak nikmat yang ingin beta kecapi tetapi usia tua menjadi penghalang,” kata Maharaja Yayati.

Kelima-lima putera mendengar dengan penuh kepatuhan.

“Kamu berlima telah menikmati segala kepuasan zahir dan batin berbekalkan kedudukan kamu sebagai putera beta. Beta juga mempunyai keinginan untuk memesrai gadis-gadis yang cantik.”

Para putera berpandangan. Mereka tidak pernah menyangka ayah mereka masih mempunyai nafsu seksual pada usia tua.

“Jangan lupa bahawa beta sepatutnya masih muda. Beta sepatutnya berhak menikmati kehidupan orang muda sebelum menjadi tua. Jadi, beta meminta salah seorang daripada kamu menyerahkan usia muda kamu kepada beta,” kata Maharaja Yayati dengan suara bercampur antara ketegasan, arahan, rayuan dan pujukan.

“Maafkan saya, ayah,” kata putera sulung apabila menyedari Maharaja Yayati sedang merenung ke arahnya.

“Janganlah kecewakan beta. Kalau kamu serahkan usia muda kepada beta, maka kamu akan menjadi pemerintah bagi kerajaan Bharata,” pujuk si maharaja.

“Maaf, ayah. Golongan gadis dan wanita akan mentertawakan saya jika saya menjadi tua. Para dayang dan pembantu istana juga tidak akan sudi melayan saya dengan mesra. Maka, saya tidak bersedia menerima tawaran ayah.”

Lalu, Maharaja Yayati memandang pula ke arah putera kedua.

“Ampunkan saya, ayah,” kata putera itu pula dengan penuh hormat. “Usia tua memusnahkan kekuatan dan kecantikan fizikal. Malah, turut memusnahkan fikiran rasional dan daya ingatan. Saya belum bersedia untuk menanggung cabaran dan perubahan drastik ini. Ampunkan saya, ayah.”

Putera ketiga yang masih belia pula berhujah: “Orang tua seperti ayah tidak boleh menunggang kuda dan gajah. Percakapan juga sudah tidak jelas dan teratur. Saya tidak sanggup menanggung semua kelemahan itu. Saya masih terlalu muda untuk menjadi tua! Lagi pun, apa gunanya saya menjadi maharaja yang berkuasa kalau tidak mampu melayan nafsu seksual?”

Maharaja Yayati marah dan kecewa mendengar hujan itu. Beliau sedih kerana putera sendiri tidak mahu membantu.

“Beta harap kau tidak akan mengecewakan beta,” kata Maharaja Yayati kepada putera keempat. “Kita buat pertukaran sementara sahaja. Selepas beta puas menikmati usia muda, beta akan serahkan kembali usia muda kepada kau dan beta akan menjadi tua semula. Bagaimana?”

“Saya begitu sayangkan ayah. Dan saya telah melihat sendiri segala penderitaan yang ayah tanggung. Ayah terpaksa bergantung pada orang lain dalam segala hal; termasuk mandi, makan dan buang air. Sungguh memilukan,” katanya. “Dan saya tidak rela melalui segala penderitaan itu setelah melihat penderitaan yang ayah tanggung. Jadi, ampunkanlah saya, ayah.”

Maharaja Yayati benar-benar kecewa dan putus asa. Keempat-empat putera beliau tidak bersedia menyerahkan usia muda mereka kepada beliau. Maka tinggal putera bongsu yang bernama Puru.

“Sanggupkah kau memenuhi permintaan beta? Beta merayu kepada kau. Beta terseksa. Beta ingin menikmati hidup orang muda walau untuk tempoh yang singkat sahaja.”

“Baiklah, ayah. Saya bersetuju.”

Maharaja Yayati terharu dan hampir tidak percaya mendengar kata-kata Puru. Lalu, dipeluknya putera bongsu itu dengan penuh gembira. Pada saat itu jugalah Maharaja Yayati bertukar menjadi seorang pemuda yang kacak – seperti sebelum disumpah oleh Sukracharya.

Puru pula bertukar menjadi warga tua. Seperti yang dijanjikan, Puru menjadi maharaja. Apabila rakyat mendengar berita itu, masing-masing terpinga-pinga.

“Selama ini kita diperintah maharaja yang tua. Kita sangka penggantinya tentu putera yang muda. Sebaliknya kini kita diperintah oleh maharaja yang tua juga.”

Maharaja Yayati tidak mengendahkan semua itu. Beliau bergegas ke kamar tidur isterinya. Segera dimesrainya Devayani. Selepas puas bersama isteri pertama, beliau pergi pula ke kamar Sarmishtha iaitu isteri kedua.

Namun begitu, Maharaja Yayati belum puas. Beliau begitu ingin memuaskan nafsu yang dipendam sekian lama. Keghairahannya memuncak dan sukar dipujuk. Maka mulalah beliau memesrai dayang dan penari istana.

Selepas itu, Maharaja Yayati membina sebuah istana khas di dalam taman. Beliau menjemput ramai pelayan untuk memuaskan nafsunya. Setiap hari, itulah sahaja kerjanya. Kesemua posisi yang diperkatakan dalam Kamasastra habis dicubanya. Setelah puas mempraktikkan kesemuanya, dicubanya pula aksi-aksi yang dianggap di luar tabii.

Bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun. Maharaja Yayati belum mencapai kepuasan seksual yang diinginkannya. Namun, apabila cukup tempoh yang dijanjikan, beliau diarahkan pulang ke istana menemui Puru.

“Sudah puaskah ayah melayan nafsu?” tanya Puru yang tua.

“Belum,” jawabnya. “Nampaknya nafsu seks dan nafsu kuasa tidak mungkin akan dapat dipuaskan sepenuhnya. Jadikanlah pengalaman beta sebagai pedoman.”

Maharaja Yayati memeluk Puru. Lalu, transformasi berlaku sekali lagi. Maharaja Yayati menjadi tua dan tidak bermaya. Puru pula menjadi muda dan bertenaga.

“Beta sudah teramat penat kerana terlalu asyik dan aktif melayan nafsu seks semasa menjadi muda. Jadi, beta tidak mampu memerintah. Kau kekallah sebagai pemerintah,” kata Maharaja Yayati.

Siasah, September 2003

Kavya, November 2003

    

Catatan: Majalah Siasah dihentikan penerbitan selepas keluaran September 2003; iaitu selepas genap 12 edisi.

Hosted by www.Geocities.ws

1