Dikisahkan dalam Mahabharata bahawa pada suatu hari, Devayani dan Sarmishtha pergi untuk mandi-manda di sungai bersama dayang-dayang. Sarmishtha ialah puteri kepada Vrishaparva iaitu raja golongan asura. Devayani pula anak kepada Sukracharya iaitu penasihat diraja bagi Vrishaparva.

Selepas puas mandi-manda dan bergurau-senda, kumpulan gadis itu bersedia untuk pulang. Sarmishtha tersilap memakai pakaian milik Devayani.

“Aduh! Pakaian aku dipakai oleh kau? Ayahku penasihat dan guru kepada ayah kau,” kata Devayani secara bergurau. “Mana kau layak pakai pakaian aku?”

Mendengar kata-kata itu, Sarmishtha marah. Dia rasa tercabar.

“Ah! Bapa kamu menyembah bapa aku setiap hari. Semua harta dan kemewahan yang bapa kau miliki adalah sedekah daripada bapa aku. Jadi, kau adalah anak pengemis,” jawab puteri itu pula.

Kedua-dua gadis itu mula bertelingkah. Para dayang tercegat kerana tidak tahu apa yang boleh dilakukan untuk meleraikan mereka. Tiba-tiba, Sarmishtha menampar pipi Devayani sebelum menolaknya ke dalam sebuah perigi buta tidak jauh dari situ.

“Biarkan dia di sana!” Kata Sarmishtha yang masih dikuasai kemarahan. “Wahai dayang-dayang, mari kita pulang! Nanti kita hantar orang untuk tolong dia.”

Tidak lama kemudian, Maharaja Yayati daripada keturunan Bharata lalu di sisi perigi buta berkenaan. Dia baru selesai berburu di hutan berdekatan. Apabila terlihat perigi, dia pun berhenti untuk minum.

Betapa Maharaja Yayati terkejut melihat seorang gadis jelita di dalam perigi itu! Devayani menghulurkan tangan kanan. Maharaja Yayati pun memegang tangan itu dengan tangan kanan lalu menarik Devayani keluar.

“Saya anak kepada Sukracharya,” kata Devayani lalu menceritakan secara terperinci apa yang berlaku.

Selepas itu, Devayani mengatakan bahawa dia tidak mahu pulang semula ke rumah kerana tidak rela bersemuka dengan Sarmishtha.

“Bawalah saya bersama. Jadikan saya isteri,” dia merayu kepada Maharaja Yayati.

“Oh, tidak! Kau keturunan Brahmin manakala aku keturunan Ksatrya. Kasta kau lebih tinggi. Mana boleh seorang gadis Brahmin berkahwin dengan lelaki yang lebih rendah kastanya?” Tanya Maharaja Yayati dalam usaha menolak cadangan Devayani.

Sementara itu, Sukracharya ,ula risau apabila anaknya tidak pulang menjelang senja. Maka dia pun pergi mencari Devayani di tebing sungai. Akhirnya dia menemui Devayani dan Maharaja Yayati di tepi sebuah perigi buta. Devayani dengan penuh sedih menceritakan apa yang berlaku sejak mula.

“Oh! Tidak patut Sarmishtha berkata begitu,” kata Sukracharya. “Tapi mungkin dia tidak benar-benar bermaksud hendak menghina kau. Mungkin sekadar bergurau sahaja.”

“Tidak, ayah,” pintas Devayani. “Kalau sekadar bergurau, masakan dia akan menolak saya ke dalam perigi buta dan pulang ke istana. Dia memang telah menghina saya. Dia mahu menjatuhkan martabat saya. Saya tidak boleh tinggal lagi di negeri ini.”

“Bersabarlah, nak,” pujuk Sukracharya.

“Tidak! Saya tidak mahu mendengar kata-kata sesiapa pun. Sarmishtha memang kaya tetapi perangainya buruk. Dia memandang rendah pada kasta Ksatrya. Sebenarnya, dia lebih hina daripada golongan paria yang tidak ada kasta.”

“Sabarlah. Jangan biarkan emosi menguasai fikiran dan kata-kata,” pujuk Maharaja Yayati pula.

“Tidak! Keputusan saya muktamad. Saya tidak akan tinggal di negeri ini lagi,” Devayani menegaskan.

Pada waktu itu, Raja Vrishaparva pun sampai. Dia telah mendapat tahu apa yang belaku lalu bergegas ke tempat kejadian. Devayani mengulangi kisah tadi serta keputusannnya untuk meninggalkan negeri berkenaan.

“Kalau anak aku pergi, aku juga akan pergi,” kata Sukracharya pula.

Kata-kata itu merunsingkan Raja Vrishaparva kerana khidmat Sukracharya amat diperlukan oleh keturunan asura.

“Kalau kau tinggalkan beta, maka beta akan masuk dalam api dan membunuh diri!” Kata raja itu pula.

Tanpa berlengah, Raja Vrishaparva menyembah kaki Devayani sambil berkata, “Beta pohon maaf bagi pihak anak beta.”

Orang ramai terkejut melihat insiden berkenaan. Namun, Devayani masih berkeras. Dia mahu Sarmishtha sendiri menyembah kakinya.

Akhirnya Sarmishtha dibawa ke tempat itu. Dia mengaku salah dan menyembah kaki Devayani.

“Ini tidak mencukupi. Sarmishtha mesti menjadi orang suruhanku,” Devayani membuat tuntutan di hadapan orang ramai.

Sarmishtha yang terasa bersalah atas segala masalah yang wujud bersedia menerima keputusan itu. Namun, tuntutan Devayani belum berakhir.

“Aku mahu Maharaja Yayati mengambil aku sebagai isteri. Dia telah memegang tangan kananku dengan tangan kanannya. Jadi, dialah suamiku mengikut hukum budaya walaupun kastanya lebih rendah daripada kastaku.”

Maharaja Yayati, Raja Vrishaparva dan Sukracharya berunding untuk mencapai kata sepakat. Keputusan diambil untuk melangsungkan perkahwinan Maharaja Yayati dan Devayani.

Selepas itu, Devayani pun pergilah bersama suaminya ke istana. Sarmishtha dibawa sebagai dayang. Maka bermulalah kehidupan baru bagi Devayani dan juga Sarmishtha. Devayani terasa gembira kerana kini bergelar Maharani. Puteri Sarmishtha pula kini hanya menjadi seorang dayang.

Masa berlalu. Maharaja Yayati mula menaruh perasaan ghairah terhadap Sarmishtha. Maka mereka menjalin hubungan sulit. Tidak lama kemudian, Maharaja Yayati mengumumkan keputusannya untuk memperisterikan Sarmishtha.

Berita itu merupakan satu tamparan bagi Devayani. Terus dia menghubungi bapanya. Sukracharya pun datang dengan segera untuk mengetahui apa yang berlaku. Maka diceritakanlah secara terperinci semuanya.

“Kau melakukan semua ini kerana tidak boleh mengawal nafsu sebagai orang muda. Maka aku sumpah kau menjadi tua!”

Sebaik sahaja Sukracharya berkata begitu, Maharaja Yayati terus menjadi tua dan kurang bermaya. Devayani tercegat memikirkan nasib dirinya.

Siasah, Ogos 2003

Kavya, Oktober 2003

Hosted by www.Geocities.ws

1