Golongan dewa beranggapan mereka lebih berkuasa dan lebih istimewa berbanding golongan asura yang dianggap berkedudukan lebih rendah. Tambahan pula, puak dewa mempunyai kelebihan tinggal di kayangan. Maka, secara automatik, mereka beranggapan bahawa mereka lebih istimewa berbanding puak asura yang hodoh dan tinggal di bumi.

Semasa berlaku sengketa, kedua-dua kelompok memiliki pakar rujuk masing-masing. Kumpulan dewa sentiasa meminta panduan dan tunjuk ajar daripada Brihaspati iaitu seorang dewa yang terpelajar dalam bidang pengajian veda. Apa sekalipun arahan dan panduan Brihaspati, pasti dituruti para dewa tanpa dipersoalkan.

Bagi kelompok asura pula, pakar rujuk mereka ialah Sukracharya iaitu raksasa yang menghafaz mantera Sanjivini. Keistimewaan mantera Sanjivini adalah bahawa mantera berkenaan mampu menghidupkan semula apa-apa benda bernyawa yang mati.

Apabila berlaku pertempuran antara puak dewa dan asura, pasti ramai yang terkorban di kedua-dua pihak. Bezanya, di pihak golongan asura, Sukracharya hanya perlu membaca mantera Sanjivini dan serta-merta tentera asura yang terkorban akan hidup semula.

“Hal ini tidak boleh berterusan,” kata para dewa. “Golongan asura yang hina itu memiliki ilmu istimewa. Kuasa di pihak mereka adalah berterusan dan tidak boleh dipatahkan. Semakin kita membunuh mereka, semakin mereka hidup semula dengan semangat lebih kental untuk menentang kita.”

Ternyata golongan dewa semakin bimbang melihat kekuatan istimewa yang dimiliki puak asura. Kuasa dan kekuatan yang dimiliki puak asura tidak boleh dimusnahkan. Makin diperangi, makin kuat pula puak asura. Di pihak golongan dewa pula, setiap kali mereka menyerang puak asura, pasti ada yang terkorban. Secara logik, kekuatan puak asura tidak berkurangan sedangkan kekuatan puak dewa semakin susut.

“Kita mesti lakukan sesuatu! Kalau tidak boleh dilakukan secara baik, kita gunakan taktik licik. Yang penting, kuasa kita mesti berkekalan. Puak asura tidak boleh dibiarkan berkuasa. Jika mereka sudah bangkit, puak dewa tidak akan ada tempat lagi di kayangan. Segala kemewahan yang kita miliki sekarang akan hilang,” kata para dewa dengan penuh bimbang.

Setelah mengadakan mesyuarat dan rundingan peringkat kabinet, golongan dewa memutuskan untuk meminta bantuan Brihaspati yang bijak pandai. Adapun, Brihaspati juga risau memikirkan masalah yang sama.

“Sukracharya adalah satu-satunya individu yang tahu mantera Sanjivini. Dia tidak pernah mengajarnya kepada sesiapa. Malah, dia tidak pernah mengucapkan mantera itu dengan suara lantang melainkan diucapkan dalam hati,” kata Brihaspati. “Jadi, kita perlu fikirkan cara untuk masuk ke dalam hatinya untuk mempelajari mantera Sanjivini.”

“Maksudnya?” tanya beberapa dewa kerana kurang faham apa yang dimaksudkan.

“Seseorang perlu mendapat tempat dalam hati Sukracharya. Apabila orang itu benar-benar dipercayai oleh Sukracharya, pasti akan diajarnya mantera Sanjivini,” Brihaspati menjelaskan.

Akhirnya, anak Brihaspati yang bernama Kacha dipilih untuk misi tersebut. Dia seorang dewa muda yang tampan. Golongan dewa pasti bahawa Kacha akan mampu melaksanakan misi yang diberikan padanya.

“Kau harus berguru pada Sukracharya. Kau harus menambat hati asura itu. Apabila dia sudah benar-benar menaruh rasa percaya yang tidak berbelah-bagi terhadap kau, itulah masanya kau harus cuba mendapatkan mantera Sanjivini daripadanya,” Brihaspati mengarahkan anaknya.

“Bagaimana kalau dia tidak mahu mengajar mantera itu kepada saya?”

“Kau gunakanlah apa cara sekalipun. Apa yang penting adalah bahawa kau mesti berjaya mendapatkan mantera Sanjivini. Mantera itulah kelebihan puak asura yang terhina itu. Kalau kita memilikinya, golongan dewa akan dapat berkuasa di seluruh mayapada. Golongan asura dapat dimusnahkan dengan mudah,” kata Brihaspati.

Maka pergilah Kacha ke tempat tinggal Sukracharya setelah berjanji akan melaksanakan misi yang diberikan.

“Saya Kacha, anak kepada Brihaspati. Saya ingin berguru pada tuan,” kata Kacha dengan penuh sopan sambil menyembah di hadapan Sukracharya.

Sukracharya tahu bahawa Brihaspati adalah golongan dewa. Bagaimanapun, seorang guru tidak boleh menolak permintaan seorang murid yang mahu berguru padanya.

“Ayah kau seorang dewa yang terpelajar dalam bidang veda. Aku berbangga dapat menjadi guru kepada anaknya. Jika niat kau baik, maka aku terima kau sebagai murid,” kata Sukracharya.

Maka Kacha berguru pada Sukracharya selama bertahun-tahun lamanya. Mengikut tradisi, seorang murid perlu tinggal bersama-sama gurunya dan membantu dalam segala tugas harian. Tugas utama yang diberi kepada Kacha adalah mengembala lembu-lembu milik Sukracharya.

Sukracharya mempunyai seorang anak bernama Devayani. Secara semula jadi, gadis jelita itu mula menaruh minat terhadap Kacha yang tampan dan berasal daripada golongan dewa. Namun, menyedari hakikat bahawa Kacha sedang berguru pada ayahnya, Devayani terpaksa memendam rasa.

Golongan asura pula mula mengesyaki tujuan sebenar kedatangan Kacha untuk berguru pada Sukracharya. Mereka menyangka bahawa dia mahu menggoda Devayani. Lalu, pada suatu hari, semasa Kacha mengembala lembu di padang, sekumpulan asura membunuhnya. Mayat Kacha dikerat dan diberi makan pada anjing.

Pada senja berkenaan, Devayani mula risau kerana Kacha tidak pulang bersama-sama kumpulan lembu. Lalu diadunya pada Sukracharya. Maka bibir Sukracharya mula terkumat-kamit membaca mantera Sanjivini.

Sejurus selepas itu, Kacha kelihatan berjalan pulang. Keadaannya sangat normal. Tiada sebarang tanda dia dibunuh dan mayatnya dikerat-kerat.

“Sungguh ajaib,” kata Kacha kepada Devayani. “Saya diserang dan dibunuh sekumpulan pemuda puak asura. Entah apa yang berlaku selepas itu. Tiba-tiba sahaja saya mendapati saya sudah pulih dan mampu berjalan pulang.”

Sukracharya hanya tersenyum mendengar kata-kata itu kerana sebenarnya dia tahu motif kedatangan Kacha untuk berguru padanya.

Tidak lama kemudian, pada suatu hari, Kacha pergi ke hutan untuk memetik bunga yang diminta oleh Devayani. Sekali lagi, dia diserang sekumpulan pemuda asura. Kali ini, mayatnya dikerat, dilenyek dan dibuang ke dalam laut.

Pada kali ini juga Kacha berjaya dihidupkan semula oleh Sukracharya menggunakan mantera Sanjivini. Perasaan kasih Devayani terhadap Kacha pula semakin bertambah. Tentu sahaja perkembangan ini membuatkan para pemuda asura semakin mendendami Kacha.

Bagi kali ketiga, Kacha dibunuh oleh mereka. Mayatnya dibakar menjadi abu. Kemudian, abu itu dicairkan dalam teh dan dihidangkan kepada Sukracharya. Asura yang tidak menyedari asal-usul teh itu terus meminumnya.

Senja itu, Devayani mengadu Kacha belum pulang. Maka Sukracharya mula membaca mantera Sanjivini. Anehnya pada kali ini, roh Kacha bersuara dari dalam tubuh Sukracharya.

“Mayat saya telah dibakar dan abunya dicampurkan dalam teh yang tuan minum sebentar tadi. Saya kini berada di dalam tubuh tuan.”

Sukracharya terkejut. Kalau dia menggunakan mantera Sanjivini untuk menghidupkan Kacha, dia pula akan terbunuh. Devayani juga mula menangis. Dia sayangkan ayahnya dan dia juga sayangkan Kacha. Dia tidak mahu kehilangan mereka.

Akhirnya Sukracharya tiada pilihan lain. Dia mengajar mantera Sanjivini kepada Kacha yang berada dalam tubuhnya. Kemudian, Sukracharya membaca mantera berkenaan untuk menghidupkan Kacha. Sebaik sahaja Kacha muncul dari dalam tubuh Sukracharya, lelaki tua itu pula meninggal dunia.

Bagaimanapun, Kacha menggunakan mantera Sanjivini yang baru dipelajarinya untuk menghidupkan semula Sukracharya. Maka Devayani terasa sangat gembira. Bagaimanapun, kegembiraannya tidak lama.

“Saya telah muncul dari dalam tubuh Sukracharya. Maka saya adalah anak kepadanya. Dengan itu, saya tidak boleh menerima cintamu.”

Setelah berkata begitu, Kacha pulang ke kayangan dengan perasaan gembira kerana telah berjaya melaksanakan misi yang diberikan.

Siasah, Julai 2003

Kavya, Ogos 2003

Hosted by www.Geocities.ws

1