Petikan Cerpen

Air

Uthaya Sankar SB

      

Dia dikatakan berjaya tinggal di dalam air tanpa menyedut udara selama dua puluh dua jam. Benar atau tidak, anda sendiri yang putuskan. Saya sekadar menceritakan.

            Dia memang terkenal di kampung kami kerana keupayaannya menyelam ke dalam sungai selama berjam-jam lamanya. Itulah hobinya sejak kecil. Saya memang mengenalinya sejak kecil.

            Kami hidup berjiran. Tiap-tiap hari, kerjanya tidak lain, hanyalah menyelam ke dalam sungai tidak jauh dari rumah. Seluruh Siru Kambam maklum akan minatnya yang pelik itu.

            Memang ramai kanak-kanak suka mandi sungai; tetapi tidak ada pula yang hanya suka menyelam selama berjam-jam. Memang ada yang cuba menyelam selama beberapa minit tetapi tidak ada yang pernah berupaya kekal di dalam air lebih daripada sepuluh minit.

            Lama-kelamaan, minatnya yang luar biasa itu bertukar daripada hal yang pelik menjadi hal yang menakjubkan pula. Maklumlah, siapa lagi yang boleh menyelam dalam air selama lebih sejam tanpa menyedut sedikit pun udara.

            Mula-mula dia hanya menyelam selama lima belas minit. Kemudian, dia mula menyelam setengah jam, sejam, dua jam, tiga jam dan seterusnya empat setengah jam.

            “Inilah buktinya manusia tetap boleh hidup tanpa udara,” kata seseorang pada sekali itu sambil kagum melihat pemuda yang saya maksudkan itu berjaya menyelam dalam air selama empat setengah jam.

      

Kavya, Februari 2003

Baca teks lengkap dalam Siasah, Februari 2003

Senarai cerpen Uthaya Sankar SB di SINI

Hosted by www.Geocities.ws

1