| Mahaguru KRU Oleh:Izza Safinaz Ibrahim |
| Sepuluh tahun dahulu,3 beradik ini muncul di arena seni tanah air cuba membawa pembaharuan dalam industri muzik dengan album pertama mereka yang berunsur rap.Ketika itu,muzik mereka masih asing namun keadaan itu tidak melemahkan semangat Norman bersama dua adiknya,Yusry dan Edry. Menempatkan nama sebaris dengan artis sedia ada bukan perkara mudah.Berkat usaha gigih dan tidak pernah kenal erti putus asa,kumpulan KRU melangkah berdikit-dikit ke arah kejayaan.Mereka menjadi antara perintis muzik moden yang diserapkan dengan elemen R&B. "KRU sudah matang.Kami tak boleh jadi budak-budak lagi dan peminat kami juga sudah matang.Mereka mengikuti perkembangan kami sejak dulu dan sama-sama matang dengan muzik kami,"kata Norman yang gembira single terbaru mereka berjudul 'Mahaguru' menduduki carta stesen radio popular. Memasuki tahun ke-10 ini,KRU kembali menyemarakkan pentas hiburan dengan kemunculan mereka yang masih dinantikan peminat setia.Sebelum ini,KRU lebih cenderung memberi tumpuan dalam bidang perniagaan dan penerbitan melalui syarikat milik mereka,KRU Records. Bukan mudah untuk tiga anak muda ini menceburi bidang korporat,banyak cabaran dan dugaan ditempuhi dalam usaha memastikan industri tetap segar dengan kemunculan album walaupun dilanda masalah cetak rompak dan kelembapan pasaran. "Kami adalah antara syarikat rakaman yang aktif mengeluarkan album baru termasuk kompilasi.Artis bawah naungan kami,juga mendapat sambutan baik dan keadaan ini memberangsangkan.Di samping itu,kami turut menceburi bidang penerbitan visual dan pertunjukkan pentas,"tambah Edry yang arif dalam bidang kejuruteraan muzik. Berbanding dulu,KRU lebih senang untuk berada di belakang tabir dan jarang muncul dalam mana-mana media jika bukan bercerita mengenai kerjaya mereka. "Dulu,memanglah kami sering keluar majalah dan media,tetapi itu perlu untuk memperkenalkan diri kami dan secara tidak langsung,ia meletakkan kami dalam dunia glamor.Kami menceburi bidang muzik bukan kerana glamor tetapi ingin mengetengahkan kebolehan kami dalam bidang muzik.Namun,apa daya,sebagai artis kami juga memerlukan publisiti dan secara tidak langsung kehidupan peribadi kami,juga menjadi tumpuan,"cerita Yusry yang lebih banyak berdiam berbanding abang dan adiknya. Sempena tahun ke-10 ini juga,mereka menghasilkan album istimewa, KRUjaan yang menampilkan artis di bawah naungan KRU Records serta beberapa lagu baru oleh KRU sendiri sebagai hadiah untuk peminat yang selama ini menyokong pembabitan mereka. Selain kejayaan di tanah air dengan menggondol beberapa anugerah berprestij,KRU juga berjaya menembusi pasaran luar negara.Album 'The Way We Jam',turut dipasarkan di Australia,Filipina,Thailand dan beberapa negara sekitar Asia. Kami juga pernah dipilih sebagai ' Artist of the month' di MTV dan 'The Chosen One' di Channel V.Ini sudah membuktikan bahawa muzik dari Malaysia boleh pergi jauh dan kami ingin membuktikannya,bukan saja melalui KRU,tetapi juga membuka laluan untuk artis kami,"kata Yusry. KRU mengakui perjalanan masih jauh untuk artis Malaysia melangkah sejauh Amerika dan Eropah kerana berisiko tinggi dan memerlukan pelaburan wang yang banyak. "Kalau dikira,lebih kurang RM20 juta diperlukan untuk membawa seseorang artis ke pasaran antarabangsa.Sanggupkah kita mengeluarkan wang sebanyak itu dan yakin akan mendapat pulangan kembali ataupun artis itu diterima.Mungkin belum masanya lagi,"kata Norman. Konsert terbesar Mengubat kerinduan peminat,KRU sudah pun merancang sebuah konsert besar yang dijadualkan berlangsung 19 Oktober nanti.Konsert terbesar oleh KRU ini akan diadakan di Dataran Merdeka,adalah peluang terbaik untuk peminat seluruh Malaysia datang menyaksikan persembahan bertenaga tiga beradik ini. "Kami gembira kerana mendapat sokongan penaja Perodua dan kami berharap akan mendapat sokongan peminat untuk datang.Jika dulu,kami mengembara dari satu negeri ke satu negeri,kali ini kami adakan konsert terbesar supaya semua dapat menyaksikan persembahan kami serta artis KRU Records,"kata Edry yang tidak sabar untuk bertemu peminat di konsert itu. Bermula dengan Elite,Indigo,X-factor,Juliana Banos,Dr Kronik,Preety Ugly,Trez,Phyne Ballerz dan terbaru Izzlyn,KRU boleh dianggap berjaya menggilap penyanyi baru berbakat untuk diketengahkan bersaing dengan artis dari syarikat rakaman besar lain.Walaupun KRU berdepan dengan beberapa kontroversi dengan artisnya,ia bukanlah penghalang untuk mereka terus memeriahkan persada muzik dengan muzik segar dan tersendiri. |
![]() |