TOC
FORWARD

Sukan

Salah satu warisan daripada zaman penjajah yang besar kemungkinan akan berkekalan ialah sukan. Permainan yang paling popular di negara ini, tak dapat disangkal, ialah bola sepak. Tetapi masyarakat Barat di negara ini dahulu juga berminat dalam sukan seperti tenis, kriket dan ragbi. Salah seorang pegawai Inggeris yang banyak memberi galakan kepada sukan ialah Kol. R.S.F. Walker. Beliau sendiri amat handal dalam bidang kriket dan bola sepak. Maka di Taiping pada tahun 1889 telah diadakan, buat kali pertama, perlawanan kriket antara negeri iaitu di antara Perak dengan Selangor. Selanjutnya pertemuan di antara dua negeri itu bukan hanya diadakan setiap tahun bahkan pasukan Pulau Pinang dan Singapura juga menyertai perlawanan antara negeri menjadikan keadaan amat meriah. Selain daripada Walker, Frank Swettenham dan E.W. Birch juga pernah memberi galakan kepada kriket dan, seperti Walker, mereka berdua ini juga mewakili Perak.

Walker juga memainkan peranan utama memulakan perlawanan bola sepak di Perak; beliau telah mendermakan suatu piala untuk dipertandingkan oleh berbagai pasukan. Taiping, sebagai bandar terkemuka di Perak, telah diwakili oleh 4 pasukan iaitu bandar Taiping, Taiping Recreation Club, Sekolah King Edward VII dan Matang. Pasukan-pasukan lain yang pernah menyertai pertandingan itu ialah Kuala Kangsar, lpoh, Batu Gajah, Tapah dan Teluk Anson. Bola sepak kemudian begitu popular di daerah Larut sehingga di kawasan Matang sendiri, dalam awal 1920-an telah ada liga yang berasingan dengan piala yang didermakan oleh H. Sperling tuanpunya Matang Estate; beberapa pasukan dari Taiping menyertai liga itu.

Oleh kerana kaum Eropah sangat berminat dalam sukan maka mereka kemudian telah menggalakkan penduduk tempatan supaya menyertai sukan-sukan seperti bola sepak, kriket, hoki dan ragbi. Pada peringkat awal, kaum Eropah memberi tunjuk ajar kepada murid-murid sekolah dan sebagai sekolah yang utama di Taiping, sekolah King Edward mendahului sekolah-sekolah lain di Semenanjung ini dalam bidang sukan. Sekolah itu pada 1902 berjaya memenangi Piala Walker. Pemain-pemain yang berkebolehan waktu itu ialah, di antaranya, dua orang adik beradik W.H. Toft dan E.H. Toft, Chung Ah Ming dan mungkin yang paling terkemuka P.C. Lesslar. Mereka ini mewakili negeri Perak juga. Kemudian apabila sekolah-sekolah lain mulai memperkenalkan bola sepak telah diadakan perlawanan tahunan di antara King Edward dengan sekolah-sekolah lain terutamanya dengan Sekolah Anderson Ipoh. Pengetua Sekolah, R. Stainer, sendiri memberi galakan kepada perlawanan di antara sekolah.

Dalam bidang hoki pula, murid-murid King Edward banyak mendapat bimbingan daripada anggota-anggota Malay States Guides. Orang India memang handal dalam permainan hoki dan sebelum Perang Dunia II tidak pernah dikalahkan dalam perlawanan hoki di Sukan Olimpik. Taiping juga mendahului bandar-bandar lain dalam bidang hoki kerana pertandingan di antara kelab telah bermula di Taiping tidak lewat daripada awal kurun ke-20.

Sekolah King Edward merupakan tempat pertama di negara ini di mana orang-orang tempatan mula-mula sekali menyertai permainan ragbi. Permainan itu diperkenalkan oleh orang Inggeris seperti Kpt. Newboult, J.D. Mead dan H.P. Bryson. Salah seorang pemain sekolah itu yang kemudian terkenal dalam bidang ragbi ialah Lim Swee Aun (kemudian Dr. dan pernah menjadi Menteri dalam Kabinet Tunku Abdul Rahman).

Perkembangan sukan berlaku dengan amat pesat dalam 1930-an. Bola sepak tetap menjadi permainan yang paling popular. Pada pertengahan 1930-an, pasukan bola sepak yang terkemuka termasuk Larut Peranakan Club dan Tekka Tin. Beberapa orang pemain mewakili Perak dalam pertandingan Piala Malaya, di antara yang sangat terkenal ialah Liew Kam Yoong (penjaga gol), Chin Guan Lean (bek kanan) dan Wan Kim Chan (sayap kanan).

Badminton juga suatu permainan yang popular. Pada 1930-an ada beberapa pasukan badminton di Taiping seperti Taiping Physical Culture League, Lodge Badminton Party, Evergreen, Freshmen, Ann Cheng Party dan Catchments. Pada 17 Mei 1935 telah ditubuhkan Taiping and District Badminton Association.

Taiping mendahului bandar-bandar lain dalam bidang olahraga kerana pada 10 April 1908 telah diadakan kejohanan olahraga Sekolah King Edward VII. Bangunan dan padang sekolah telah d­hiaskan dengan bendera-bendera dan bunga-bunga oleh Malay States Guides. Maka sekolah inilah kemudian melahirkan olahragawan yang sangat terkenal seperti Alladad Khan. Sesungguhnya beliau bukan hanya terkemuka dalam bidang olahraga (iaitu sebagai sprinter), beliau adalah ahli sukan yang serba boleh kerana selain daripada olahraga beliau juga mewakili Perak dalam bola sepak, ragbi dan hoki.

Pertandingan sukan di Taiping sebelum Perang Dunia II amatlah hebat kerana, walaupun selepas Perang Dunia I, Malay States Guides telah dibubarkan, ahli-ahli sukan terdiri daripada penduduk-penduduk tempatan, orang Eropah (beberapa orang daripada mereka pernah giat di negara sendiri sebelum datang ke Tanah Melayu) dan askar­askar dari India dan Burma (Burma Rifles) yang berkhidmat dengan British.

Dalam masyarakat yang didominasi oleh orang Barat kebanyakan kemudahan yang ada terutama sekali adalah untuk faedah dan penggunaan mereka. Maka sebagaimana telah disebutkan, berbagai jenis sukan itu mula-mula disertai oleh orang Barat kemudian, khususnya melalui sekolah, orang tempatan mempelajari sukan-sukan itu. Walaupun kebanyakan sukan, seperti bola sepak, ragbi dan kriket adalah untuk lelaki, kaum wanita Barat tidak ketinggalan. Tenis merupakan permainan yang sama-sama disertai oleh kaum lelaki dan wanita. Hoki melalui wanita Barat kemudian menjadi permainan yang popular di sekolah-sekolah perempuan.

Di Taiping wanita-wanita Barat (isteri-isteri pegawai) bukan hanya berminat dalam tenis, pada April 1903, sekumpulan wanita itu telah mengadakan perjumpaan di mana sebuah pertubuhan Perak Ladies' Rifies Association - telah diasaskan. Dilantik sebagai Yang Dipertua yang pertama ialah isteri Sir J.P. Rodger, Residen Perak. Untuk berlatih rnenembak mereka diberi kebenaran oleh Lt. Kol. Walker untuk menggunakan padang menembak Malay States Guides dan Lt. Kol. Walker sendiri telah memberi beberapa syarahan kepada ahli-ahli persatuan itu. Ramai juga isteri pegawai yang menganggotai persatuan itu walaupun bilangan ahlinya terumbang­ambing kerana apabila pegawai dipindah maka isterinya terpaksa menarik diri daripada persatuan itu. Pada keseluruhannya persatuan itu giat kerana yang menduduki jawatankuasa kerjanya ialah isteri­isteri pegawai yang tinggi dan isteri Residen menjadi Yang Dipertua persatuan itu.

Sukan dahulu merupakan satu kegemaran dan disertai waktu kelapangan. Bandar-bandar di Semenanjung, termasuk Taiping, tidaklah begitu besar. Bagi mereka yang tinggal agak jauh sedikit daripada pusat bandar, basikal adalah bentuk pengangkutan yang biasa digunakan. Maka tidak banyak masa yang dibuang untuk ahli sukan berkumpul di satu-satu tempat guna mengadakan perlawanan. Tidak sukar juga untuk para penuntun berkumpul di tempat permainan. Setiap kali diadakan permainan suasana yang ditimbulkan amatlah meriah. Tetapi sebagai bandar yang utama di Semenanjung (sehingga 1896 apabila Kuala Lumpur muncul sebagai ibu kota Negeri-negeri Melayu Bersekutu) Taiping mempunyai banyak lagi kemudahan yang istimewa untuk pegawai-pegawai Eropah dan orang tempatan yang dapat menyesuaikan diri dengan kebudayaan Barat.


TOCFORWARD

Hosted by www.Geocities.ws

1