TOC
FORWARD

Kemudahan-kemudahan Istimewa  

Muzium yang pertama di negara ini dibina di Taiping; dahulunya ia dikenali sebagai Perak State Museum. Muzium itu dicadangkan oleh Hugh Low dan perkembangannya adalah akibat usaha Leonard Wray yang dilantik sebagai Kurator setelah beliau berkhidmat sebagai Merinyu Government Hill Gardens di Larut. Muzium itu dimulakan pada tahun 1883 dengan menggunakan dua bilik di dalam bangunan Kerajaan. Bangunan barunya (yang masih kekal hingga sekarang) telah siap dibina pada tahun 1885. Pada tahun 1906, barang-barang yang dipamerkan telah dirakamkan kepada 13,000 kad.

Walaupun Muzium itu memberi keutamaan kepada kebudayaan tempatan, koleksinya termasuk barang-barang dari negeri China, India, Arab, Jepun, Sumatra, Fiji, Borneo, Papua, Siam dsb. Terdapat juga gambar-gambar berbagai suku bangsa yang menghuni kawasan­kawasan di Kepulauan Melayu serta rantau yang berhampiran dengannya. Bahagian sejarah pula mempamerkan senjata, pedang, benet dan peninggalan- peninggalan lain daripada rusuhan orang Cina (Perang Larut) bersama-sama dengan peluru, kaca dan tembikar yang digunakan oleh angkatan tentera yang pernah dihantar untuk mematahkan kebangkitan di Pahang (awal 1890-an). Selain daripada itu, dipamerkan juga mata wang lama termasuk mata wang zaman Kornpeni Hindia Timur. Keseluruhannya, pameran-pameran di Muzium itu dianggap sangat menarik.

Salah satu kegemaran orang Barat dan orang tempatan yang berada pada masa awal-awal lagi di Taiping ialah lumba kuda. Perak Turf Club telah dimulakan pada tahun 1886 dan sekali lagi Lt. Kol. Walker memainkan peranan utama mengasaskan kelab itu. Lumba kuda sebagaimana dikenali di negara ini bermula di gelanggang di Taiping (lebih kurang 4 ½ kilometer dari pusat bandar). Perlumbaan. biasanya diadakan dalam bulan Ogos dan kuda dari Burma digunakan. Setiap kali diadakan perlumbaan amat meriahlah suasananya. Ia seolah-olah dianggap satu majlis sosial yang memberi kesempatan kepada pergaulan di kalangan masyarakat atasan. Dua orang anak Kapitan Cina Chung Ah Kwee (salah seorang ketua Hai San dewasa Perang Larut), iaitu Chung Thye Siong dan Chung Ah Yong, sangat berminat dalam lumba kuda. Kedua-duanya mempunyai kuda lumba, kuda Chung Ah Yong dilatih oleh seorang Eropah.

Perak, sebagai negeri yang paling awal mengalami pembangunan, juga merupakan negeri yang terpenting, mendahului negeri lain dalam menyediakan kemudahan untuk faedah dan kebajikan pegawai­pegawainya. Pada tahun 1884 telah dibina tempat berehat di bukit­bukit di Taiping. Pada awal abad ke-20 telah ada stesen bukit di banjaran Gunung Hijau dengan lima buah banglo Kerajaan. Terdapat juga rumah untuk Merinyu Ladang-ladang Kerajaan serta sebuah banglo swasta. Perhubungan dengan dunia luar adalah melalui pejabat pos dan telegraf; tambahan pula, setiap banglo dihubungkan dengan Taiping melalui telefon.

Rumah-rumah yang berada di atas bukit itu ialah:

The Cottage: kediaman Residen-Jeneral, terletak di Bukit Caulfield lebih kurang 4,513 kaki ke atas paras laut dan jaraknya dari kaki bukit melalui lorong adalah lebih kurang 13 kilometer. Rumah ini dibuat daripada batu bata. Jumlah perbelanjaan untuk membina rumah itu ialah $12,000. Pembinaan rumah itu bermula pada tahun 1884 dan telah diperbaiki beberapa kali.

The Box : kediaman Residen Perak, terletak 4,076 ke atas paras laut dan lebih kurang 12 kilometer dari kaki bukit. Ada taman bunga ros yang mengelilingi rumah itu,

The Nest: bangelo swasta; pada asalnya dibina untuk satu keluarga dari Singapura tetapi pada awal abad ke-20 telah ditukar miliknya kepada Mubaligh Amerika. Terletak di tempat lebih rendah sedikit daripada The Box.

The Hut: untuk penggunaan pegawai-pegawai Kerajaan Perak; dibina pada tahun 1889 dan berjumlah $2,000 kemudian diperbaiki dengan perbelanjaan $500. Rumah ini adalah 11 kilometer dari kaki bukit dan 3,700 kaki ke atas, paras laut.

The Federal Bungalow: dibina pada tahun 1906 untuk penggunaan pegawai-pegawai dalam perjawatan Kerajaan Persekutuan; di bawah The Hut. Banglo ini sebenarnya terdiri daripada dua buah rumah yang berasingan tetapi dihubungkan dengan pelaluan.

Maxwell's Hill: rumah kecil yang pertama untuk penggunaan pegawai­pegawai Kerajaan Perak; dibina pada tahun 1887 dengan harga $600; kemudian diperbesar dan dibaiki dengan perbelanjaan $2,350. Rumah ini berdiri di teres 3,396 kaki ke atas paras laut dan lebih kurang 9 kilometer dari kaki bukit.

The Tea Gardens: juga untuk penggunaan pegawai-pegawai Kerajaan Perak; terletak 2,152 kaki ke atas paras laut dan 7 kilometer dari kaki bukit. Dibina pada tahun 1887 dengan harga $3,600 kemudian diperbesarkan dengan harga $5,100. Pada asalnya terdapat ladang teh (jenis Assam) di kawasan rumah; ia merupakan satu eksperimen tetapi kemudian telah diabaikan kerana perkembangan perladangan teh di Selon jauh lebih maju.

Stesen bukit itu bukan hanya memberi kesempatan kepada orang Barat menikmati keadaan iklim yang lebih kurang sama dengan yang terdapat di negara mereka sendiri bahkan suasana di atas bukit itu juga dijadikan lebih kurang 'Eropah' pada sifatnya. Tumbuh­tumbuhan dan sayur-sayuran yang ditanam adalah daripada jenis Eropah. Mereka yang berehat di atas bukit dapat makan sayur-sayuran seperti kacang Perancis, lobak, ubi manis, kobis, tomato dan asparagus. Lembu diternakkan supaya mudah mendapatkan daging dan susu. Orang Eropah dapat juga berjalan-jalan di kebun bunga, satu kegemaran mereka. Walaupun pada awal abad ke-20 telah ada stesen bukit lain - di Gunung Kledang (Kinta), Bukit Kutu (Selangor), Gunung Angsi (Negeri Sembilan), dan Bukit Pinang (Pulau Pinang), stesen di banjaran Gunung Hijau, Taiping, adalah termaju.

Taiping juga merupakan tempat pertama di Perak di mana lapangan untuk pendaratan kapal terbang dibina. Pembinaan lapangan itu bermula pada tahun 1930 dan telah diselesaikan pada tahun 1931. Pada 6 November 1931, dua buah kapal terbang daripada Angkatan Udara Diraja (Royal Air Force) telah mendarat di lapangan itu yang mempunyai landasan 920 ela panjang dan 880 ela lebarnya.


TOCFORWARD

Hosted by www.Geocities.ws

1