TOC
FORWARD

Satu Era Berlalu

Walaupun lapangan terbang yang pertama di Perak diadakan di Taiping, pada waktu itu telah dibuat rancangan untuk memindahkan pusat pentadbiran ke Ipoh yang jauh lebih maju dari segi perkembangan ekonomi. Perpindahan itu mula-mula dicadangkan oleh Pesuruhjaya Tinggi (Hugh Clifford) sendiri di Majlis Persekutuan pada tahun 1927 tetapi tiada tindakan diambil sehingga tahun 1937. Rancangannya ialah untuk melakukan perpindahan itu dengan beransur-ansur dalam jangka masa tujuh tahun.

Apabila kedengaran berita tentang cadangan perpindahan itu satu golongan penduduk Taiping - mereka yang berpelajaran Inggeris telah menyuarakan bantahannya. Untuk menjadikan suara mereka lebih lantang mereka telah menerbitkan sebuah akhbar Taiping Weekly Record. Penduduk Ipoh yang mendesak supaya perpindahan itu dilakukan sebenarnya mempunyai akhbar juga untuk menyuarakan pendapat mereka; akhbar itu ialah Times of Malaya. Yang memainkan peranan utama dalam penerbitan akhbar Taiping itu ialah Yeoh Teng Khoo, seorang guru, juga ahli sukan yang terkenal.

Penduduk Taiping berpendapat bahawa di Taipinglah mula-mula diletakkan asas pemerintahan yang tersusun, perniagaan yang makmur serta kedamaian di antara berbagai kaum. Justeru itu Taiping adalah bandar yang terkanan; memang sesuailah ia dijadikan ibu kota negeri Perak. Taiping, bahkan dianggap sebagai suatu carta melambangkan kedamaian yang menjadi punca kemakmuran dan kemakmuran adalah alasan yang ditonjolkan oleh penduduk lpoh yang mendesak supaya pusat pentadbiran dipindah ke situ. Ipoh, menurut penduduk Taiping, walaupun besar dan penting, tiada hak dari segi perlembagaan, sejarah atau ekonomi untuk menjadi bandaraya pertama di Perak. Kekayaan Ipoh adalah terbatas kerana lambat laun pengeluaran bijih timah akan merosot.

Selain daripada akhbar Taiping Weekly Record, ahli-ahli Majlis Negeri yang berasal dari Taiping seperti Toh Eng Hoe dan Dr. Saw Ah Choy juga berkali-kali terlibat di dalam perbahasan mengenai isu itu. Tetapi kesemua bantahan itu tidak berhasil. Perang Dunia II tidak juga melambatkan perpindahan yang telah bermula pada 1937. Bila tamat sahaja zaman Pendudukan Jepun, iaitu lapan tahun sejak tahun 1937, pusat pentadbiran tetap dipindah ke Ipoh. Taiping menjadi bandar yang kedua pentingnya di Perak sehingga hari ini. Peninggalan-peninggalan daripada zaman Taiping menjadi ibu kota masih ada. Yang sudah lapuk kerana telah lama tidak digunakan lagi ialah jalan keretapi Taiping - Port Weld. Taiping kini menjadi tempat persinggahan penting keretapi Kuala Lumpur - Butterworth tetapi stesen keretapi di Port Weld sama sekali tidak dijaga dan ada dalam keadaan kopak-kapek. Peninggalan yang masih berfungsi ialah penjara yang pernah menjadi penjara utama di Tanah Melayu. Pada suatu ketika dahulu penjenayah yang menjalani hukuman lebih daripada satu tahun dikurungkan di penjara Taiping. Bangunan-­bangunan lain yang sehingga akhir-akhir ini masih ada dan melambangkan kedudukan luhur Taiping dahulu termasuklah Residensi dan pejabat-pejabat Kerajaan.

Taiping masih mempunyai kemudahan-kemudahan untuk sukan yang tidak terdapat di bandar-bandar lain di Perak kecuali Ipoh seperti stadium dan kolam berenang serta tempat-tempat untuk beristirehat seperti Bukit Maxwell dan tasik. Mungkin yang paling penting Taiping mempunyai sejarah yang menarik yang sepatutnya ditonjolkan kerana Taiping pada suatu waktu dahulu adalah bandar utama di Semenanjung Tanah Melayu.


TOCFORWARD

Hosted by www.Geocities.ws

1