Seperti
disebutkan tadi, sesudah tamatnya Perang Larut dan bandar Taiping
mulai berkembang, sebilangan besar penduduknya terdiri daripada orang
Cina. Orang India telah juga tiba walaupun bilangannya masih kecil.
Tetapi selain daripada orang India Selatan, orang Punjabi juga
bertambah ramai di Taiping. Mereka berkhidmat dengan
pasukan polis.
Orang
Punjabi dan juga Pathan, sebagai anggota angkatan bersenjata, mula-mula
sekali dibawa oleh Kapten Tristram Speedy waktu beliau tiba di Pulau
Pinang pada 1873 dan seterusnya berkhidmat dengan pentadbiran British
di Negeri-negeri Selat. Menjelang Perjanjian Pangkor, Speedy
telah meletakkan jawatannya di Pulau Pinang untuk berkhidmat dengan
Ngah Ibrahim. Sesudah Perjanjian Pangkor ditandatangani, Speedy
dilantik sebagai Penolong Residen dan diberi tugas menubuhkan pasukan
polis. Selain daripada orang Punjabi dan Pathan yang dibawanya, orang
Melayu juga diambil
untuk menambahkan bilangan pasukan polis. Waktu itu pentadbiran
British di Perak, Selangor dan Sungai Ujong belum lagi bebas
daripada pentadbiran Negeri-negeri Selat.
Hanya
pada awal 1875 langkah diambil untuk menubuhkan
pasukan
polis di Perak yang diasingkan daripada perkhidmatan polis di Negeri-negeri
Selat. Tetapi sebelum rancangan itu berhasil, Birch terbunuh.
Semasa LG. Davidson menjadi Residen Perak, rancangan itu dihidupkan
kembali. Orang Punjabi dan Pathan yang dibawa oleh Speedy akan menjadi
bahagian induk pasukan polis Perak, tetapi pegawai-pegawai kanan
Inggeris di Negeri-negeri Selat tidak mahu mengekalkan Speedy
dalam perkhidmatan pentadbiran. Setelah beliau dipindah ke Hilir
Perak, tidak lama kemudian (pada lewat tahun 1877) beliaupun meletakkan
jawatan.
Penubuhan
pasukan polis Perak bermula secara rasmi dengan
tibanya
Paul Swinburne. Sebilangan besar pasukan polis itu terdiri daripada
orang Punjabi dan Pathan juga. Markas mereka di Taiping. Pada tahun
1879 Swinburne bercuti dan Lt. R.S.F. Walker menjadi pemangku ketua
pasukan polis Perak. Pasukan polis itu telah mendapat ujian pada
Oktober 1879 apabila kongsi gelap sekali lagi terlibat dalam rusuhan.
Tetapi kali ini pasukan polis yang terlatih dapat mengawal keadaan dan
selanjutnya kekacauan tidak lagi berlaku di Taiping.
Swinburne
bersara pada tahun 1882 dan diganti olch R.S.F. Walker.
Pada tahun 1896, Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan disatukan
sebagai sebuah Persekutuan. Pada masa itu sepasukan askar yang
dikenali sebagai Malay States Guides telah ditubuhkan. Markasnya di
Taiping juga. Angkatan sepai ini diwujudkan untuk mempertahankan
Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan boleh juga, jika sekiranya
perlu, digunakan untuk mempertahankan Negerinegeri Selat. Ketua
Malay States Guides ialah R.S.F. Walker dan sebilangan besar rejimen
ini terdiri daripada orang Punjabi (kasta Jat atau peladang). Terdapat
juga satu kompeni yang terdiri daripada orang Punjabi beragama Islam serta orang Pathan. Pada tahun 1915,
sebahagian
sepai dalam Malay States Guides dihantar ke Aden di mana mereka
berada selama 4 tahun. Dengan tamatnya Perang Dunia I, Malay States
Guides telah dibubarkan.
Sehingga
penghujung abad ke-19, Taiping bukan hanya menjadi tumpuan
orang Punjabi di Tanah Melayu, ia juga menjadi tumpuan orang Selon di
negara ini. Mereka mulai tiba pada 1880-an untuk
(a)
bekerja dengan keretapi, (b) berkhidmat dengan pentadbiran British
sebagai kerani. Keretapi di Larut yang menghubungkan Port Weld dengan
Taiping, sepanjang 8 batu, memang dibina oleh orang Selon. Akibat
permintaan daripada pihak British di Negeri-negeri Selat,
pentadbiran British di Selon telah menghantar dua kumpulan pekerja
berpengalaman yang dikenali sebagai Ceylon Pioneer Corps ke Larut.
Jalan keretapi Port Weld-Taiping dapat dibina dalam lebih kurang
satu tahun.
Adalah
menjadi kebiasaan untuk orang yang mempunyai asal usul yang sama
Untuk berkumpul dan memformalisasikan hubungan mereka supaya
dalam keadaan tertentu mereka dapat sama-sama bergerak atau
bertindak dan pada masa-masa lain, (misalnya perkahwinan dan
perkebumian) mereka dapat saling bantu membantu. Persatuan Selon yang
pertama di negara ini ditubuhkan di Taiping pada tahun 1899.
Kemudian orang Punjabi pula yang menubuhkan persatuannya pada tahun
1903 yang diberi nama Khalsa Diwan Malaya. Tetapi, tidak seperti
Persatuan Selon yang wujud untuk orang Selon di Taiping, Khalsa Diwan
Malaya adalah untuk semua Punjabi (beragama Sikh) di Tanah Melayu atau,
dalam lain perkataan, ia merupakan pertubuhan Sikh yang utama di Tanah
Melayu. Selanjutnya orang India pula yang menubuhkan persatuan India
yang pertama di Tanah Melayu. Persatuan India yang bertempat di
Taiping itu muncul pada tahun 1906.
Tetapi
Taiping telah mulai kehilangan kepentingannya menjelang kurun ke-20.
Pengeluaran Bijih timah telah merosot pada 1890-an; di samping
itu pula terjumpa banyak bijih timah di kawasan Kinta. Orang Cinapun
berhijrah ke lpoh. Bila Ipoh menjadi semakin penting sebagai pusat
perlombongan bijih timah, jalan keretapi telah dibina untuk
menghubungkan pelabuhan Teluk Anson (sekarang Teluk Intan) dengan
lpoh.
Di
kawasan Larut, pada awal kurun ke-20, tinggal sebuah sahaja
syarikat perlombongan yang agak terkemuka iaitu Kamunting Mine kepunyaan Ng Boo Bee. Beliau berasal dari Wilayah Hokkien dan hanya
datang ke Tanah Melayu lebih kurang pada tahun 1880. Beliau pernah
menceburkan diri dalam berbagai perniagaan di lpoh dan Teluk Anson di
samping Taiping. Hanya waktu beliau menjadi kontraktor keretapi di
Taiping, beliau berjaya memperolehi tanah untuk mengerjakan bijih timah.
Ng Boo Bee kemudian menjadi dermawan yang sangat terkenal di Taiping.
Walaupun
Taiping kehilangan kedudukannya sebagai pusat perlombongan, perubahan
baru yang berlaku pada awal kurun ke20 memberi faedah juga kepada
bandar itu. Getah dewasa itu telah mulai muncul sebagai perusahaan
utama Tanah Melayu. Di sekitar Taiping telah dibuka beberapa ladang
getah. Terletak 6 batu dari Taiping dan berhampiran dengan stesen
keretapi Simpang ialah Jebong Estate yang sangat maju. Pejabat
berdaftarnya adalah di Colombo, Selon. Tidak jauh dari ladang ini dan
berdekatan juga dengan Matang ialah Matang Jamboe Estate kepunyaan
Frederick H.E.
Sperling yang telah membuka ladang itu pada tahun 1898. 16 kilometer
dari Taiping dan 7 kilometer dari stesen keretapi Simpang ialah
Selinsing Estate yang pada asalnya kepunyaan W.F. Dew, G. Graham
Clarke dan C.L Bayley; pada tahun 1907 estate itu dibeli oleh
Selinsing Rubber Company yang juga mempunyai pejabat berdaftar di
Colombo. Di Kamunting juga telah dibuka Kamuning Estate,
pemilik
ladang ini ialah Guthrie & Co.
Getah
dan kenyataan bahawa Taiping tetap menjadi ibu kota Perak adalah dua
faktor yang menjamin supaya Taiping tidak merosot sama sekali.
Terutama sekali pegawai-pegawai kerajaan yang terkanan di Perak
kesemuanya berada di Taiping dan kemunculan ladang-ladang getah telah
juga menambahkan bilangan orang Barat di Taiping atau sekurang-kurangnya
peladang-peladang Eropah bergantung kepada Taiping untuk bekalan
dan kegiatan sosial.
Sejak
1880-an lagi, masyarakat Taiping memang memperlihatkan
perbezaan kelas yang ternyata. Di atas sekali ialah pegawai-pegawai
Barat; di bawah sekali ialah mereka yang terlibat di dalam pekerjaan
sebagai buruh kasar. Di tengah-tengah berdiri dua golongan orang
tempatan: yang berada (berpelajaran Inggeris serta bukan berpelajaran
Inggeris) dan yang berkhidmat dengan kerajaan rnemegang jawatan-jawatan
yang lebih rendah.
Masyarakat
Barat sangat cerewet tentang status. Mereka mempunyai beberapa
persatuan yang tidak terbuka kepada orang bukan Eropah seperti
Perak Club (ditubuhkan pada tahun 1880), New Club
(ditubuhkan pada
tahun 1894), Perak Golf Club (ditubuhkan pada tahun 1894) dan
Taiping Swimming Club (ditubuhkan pada tahun 1914). New Club
sebenarnya ditubuhkan kerana ada ahli-ahli Perak Club yang merasa
kurang puas hati tentang penerimaan Serani dan pegawai tentera yang
bukan daripada keluarga baik-baik sebagai ahlinya. Maka New Club
dianggap sebagai institusi sosial yang utama di Perak waktu itu.
Jelas
bahawa keadaan di Taiping adalah sama seperti mana yang wujud
di tiap-tiap bandar di Tanah Melayu iaitu setiap golongan etnik
mempunyai persatuannya yang tersendiri dan terdapat juga masjid, kuil
Hindu, tempat berhala orang Cina dan gereja yang memperlihatkan
adanya berbagai agama yang dianuti oleh berbagai golongan etnik itu.
Telah diasaskan juga, di samping sekolah-sekolah Inggeris,
sekolah-sekolah vernakular iaitu Melayu, Cina dan India.
Institusi-institusi itu yang menampung kepentingan satu-satu
golongan etnik menimbulkan keadaan berpecah-belah kerana pembahagian adalah tajam di kalangan penduduk. Hanya di kalangan
orang tempatan yang berpelajaran Inggeris sahaja terdapat hubungan
sosial yang melintasi garis-garis etnik.
Terutama sekali murid-murid yang belajar di sekolah Inggeris terlibat di
dalam alam sekitar budaya yang lebih luas - mereka berganding
bahu di bilik darjah dan di padang sukan; mereka juga dapat
berkomunikasi dalam bahasa yang sama-sama diketahuinya iaitu
bahasa Inggeris. Dan setelah mereka keluar dari sekolah kebanyakannya
berkhidmat dengan kerajaan maka di pejabat kerajaan mereka tetap
bergaul dan berkomunikasi. Selanjutnya mereka sama-sama
menganggotai beberapa persatuan seperti Kempe Club (salah sebuah kelab
separuh kerajaan yang terbesar di Perak Utara) dan Perak Postal
Athletic Club yang terbuka hanya kepada kakitangan JabatanPos dan
Telegrap, Taiping. Di samping itu terdapat juga Edwardian Old Boys'
Association serta Old Georgian Association di mana wujud hubungan
sosial pada dasar yang lebih luas. Namun demikian hubungan sosial yang
terjalin di dalam alam sekitar kelab riadah dan sukan tidaklah begitu
mendalam. Bahkan di antara, misalnya, orang Cina berpelajaran Inggeris
dengan mereka yang bukan berpelajaran Inggerispun wujud jurang yang
ternyata tetapi tidaklah begitu luas berbanding dengan pembahagian
yang wujud di antara satu golongan etnik dengan yang lain.
Perpecahan
yang paling jelas ternampak ialah haluan politik
masing-masing.
Orang Cina, misalnya, sejak masa berlakunya revolusi di negeri China (menentang
kerajaan Mancu) lagi amat terlibat di dalam pergolakan politik di
negara ibunda mereka. Dalam akhbar Perak Pioneer (3 November 1911) ada
laporan bahawa ramai orang Cina yang berpelajaran Inggeris telah
berkumpul di stesen keretapi Taiping untuk mengucapkan selamat
jalan kepada beberapa orang sahabat mereka yang dalam perjalanan ke
negeri China guna melibatkan diri dalam revolusi di sana. Kemudian
apabila berita diterima bahawa kerajaan Mancu telah dapat digulingkan
anggota-anggota Taiping Reform Club (pertubuhan yang mempunyai
matlamat mengislahkan negeri China) telah mengadakan perayaan di mana
taucang (simbol kerajaan Mancu) telah dipotong. Pada 10 Oktober 1912,
iaitu ulang tahun kejayaan revolusi 1911, telah diadakan perarakan
tanglung sebagai tanda kegembiraan. Pada tahun 1937, waktu negeri
China berperang dengan negeri Jepun, orang Cina di Taiping
menyumbangkan wang untuk membantu Kuomintang (parti yang berkuasa di
negeri China) mempertahankan negeri China; barangbarang Jepun yang
setakat itu dijual di Taiping dipulaukan dan ada orang membaling batu
terhadap kedai Tong Fong kerana menjual barang-barang
Jepun.
Di
kalangan orang India-Selon pula, satu peristiwa yang
dianggap bersejarah
ialah lawatan Pandit Nehru ke Taiping pada pertengahan
tahun
1937. Pada masa itu Nehru sedang dalam kunjungannya ke Burma dan
Tanah Melayu. Nehru sendiri merasa kagum kerana ketibaannya di kedua-dua
negara itu diterima dengan penuh perasaan kebangsaan oleh penduduk
India. Di Taiping, orang India dan Selon berebut-rebut untuk
melihat wajahnya sehingga beliau sendiri terpaksa berdiri di atas meja
untuk meminta para hadirin supaya berdisiplin.
Di
Taiping juga, menjelang Perang Dunia I, sepai dalam Malay States
Guides hampir memberontak, terutamanya bahagian yang terdiri daripada
orang Punjabi Islam dan Pathan. Dalam Perang Dunia I, negeri Turki
berpihak pada negeri German; musuh Turki termasuklah Britain. Bagi
orang Islam, terutamanya di India, dewasa itu, negeri Turki masih
dianggap sebagai Khalifah negara-negara Islam. Tetapi satu
bahagian lain Malay States Guides bersama-sama dengan sepai
dari rejimen lain cuba merampas kuasa di Singapura pada 1915. Pada
masa 1914-1915, walaupun kekacauan akhirnya tidak berlaku,
keadaan di Taiping adalah tegang.
Kesedaran
politik juga ternampak di kalangan masyarakat Melayu. Bilangan orang
Melayu di bandar Taiping tidaklah ramai. Mengikut Banci tahun 1921,
bilangan penduduk di Taiping bagi satusatu golongan etnik adalah
seperti yang berikut:
| Golongan
Etnik
|
Bilangan
|
| Eropah
|
285
|
| Serani |
232 |
| Melayu |
1,839 |
| Cina |
12,193 |
| India |
6,349 |
| Lain-lain |
213 |
Kebanyakan
orang Melayu menetap di luar sempadan bandar Taipingmisalnya, di
Bukit Gantang, Matang, Selama dan Batu Kurau.
Tetapi
kawasan Larut itu boleh dianggap sebagai pusat intelektual untuk orang
Melayu kerana pada tahun 1898 telah dimulakan sebuah maktab perguruan
di Taiping untuk melatih guru-guru sekolah Melayu. Maktab ini
berjalan selama dua tahun dan dalam masa itu telah melatih 10 orang
guru. Pada tahun 1900 maktab itu telah di tutup kerana telah
diasaskan Maktab Melayu Melaka untuk melatih bakal guru-guru
dari Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu. Maktab
di Taiping itu di bawah kelolaan Shaikh Nasir, seorang Guru Pelawat
yang telah berumur. Seorang guru penolong Melayu juga berkhidmat di
maktab itu dan Nazir Sekolah-sekolah di Taiping ditugaskan
mengawasi perjalanan maktab itu sebanyak mungkin.
Maktab
itu, kerana wujud hanya dalam suatu jangka masa yang singkat, mungkin
kurang memberi kesan kepada masyarakat Melayu di Taiping. Pada 11
Oktober 1913, sebuah maktab perguruan baru telah dibuka di Larut.
Maktab itu terletak di Matang tetapi ia tidak menggunakan bangunan
yang didirikan khas untuknya. Maktab baru itu terletak di kediaman
keluarga Ngah Ibrahim. Rumah Ngah Ibrahim sebenarnya terletak di dalam
kubu. la juga digunakan oleh Ngah Ibrahim sebagai tempat mengutip
cukai bijih timah. Dipercayai rumah itu siap dibina pada tahun 1858,
iaitu selepas keluarga Long Jaafar berpindah dari rumahnya di Bukit
Gantang.
Pada
tahun 1876, rumah itu digunakan sebagai tempat perbicaraan
beberapa orang pembesar Melayu Perak yang terlibat di dalam
pembunuhan Birch seperti Dato' Sa'gor, Maharaja Lela, Pandak Endut dan
lain-lain lagi. Perbicaraan ini berjalan daripada 14 hingga 22
Disember 1876. Ngah Ibrahim sendiri, bersama-sama dengan
Sultan Abdullah, telah diasingkan ke Pulau Seychelles pada tahun 1877.
Rumah itupun telah diambil alih oleh kerajaan Perak.
Pengetua
pertama Maktab Perguruan di Matang itu ialah A. Keir (1913-1920)
yang kemudian dilantik sebagai Nazir Sekolahsekolah Perak dan
selanjutnya Pemangku Pengarah Pelajaran. Di antara guru-guru
maktab itu ialah Muhammad bin Datuk Muda Linggi, bapa saudara pada
Za'ba.
Muharnmad bin Datuk Muda Linggi adalah kelulusan Maktab Melayu Melaka.
Beliau telah mengajar di Sekolah Kuala Pilah, Sekolah Johol dan
Sekolah Repoh, Tampin dan, di samping itu menolong kerja-kerja di
Pejabat Pelajaran Negeri Sembilan, sebelum di pindah ke Matang.
Sehingga 1918, beliau menjadi guru di Matang kemudian dilantik
menjadi Guru Pelawat di dalam 'kelas istimewa'. Daripada 1924 hingga
1932 beliau adalah pengarang Majalah Guru bahkan pernah disebutkan
bahawa "Cikgu inilah pengarang, cikgu inilah pengurus dan cikgu
inilah juga kerani mengirim dan sebagainya; lain pula kalanya di
press, tidak berkertas, mesin rosak dan komputer lain semuanya itu
dapat diselamatkan dengan sehabis-habis ikhtiar." (Majlis,
9.8.34). Beliau juga seorang penulis yang terkenal pada zamannya. Majalah Guru waktu itu
diterbitkan di Seremban. Di Negeri Sembilan
beliau sangat giat di dalam Persatuan Guru-guru Negeri Sembilan
serta Persidangan Belia Negeri Sembilan. Tetapi setakat ini belumlah
jelas bagaimanakah pengaruhnya ke atas masyarakat Melayu di kawasan
Larut.
Yang
lebih banyak diketahui ialah tentang Pemangku Pengetua (dua kali)
maktab itu Abdul Majid bin Haji Zainuddin. Abdul Majid telah
merakamkan pengalamannya di Matang dalam autobiographynya (dalam
Bahasa Inggeris) yang diberi jodol: The Wandering
Thoughts of a Dying Man (diterbitkan pada tahun 1978). Pada masa
beliau berada di Matang, Abdul Majid juga rapat dengan Za'ba yang pada
awal 1920-an mengajar di Maktab Melayu, Kuala Kangsar. Mereka
berdua bersama-sama dengan Mohd. Zin bin Haji Ayub (kemudian
menantu Abdul Majid) sangat berminat tentang gerakan Pan-Islam;
mereka melanggan majalah-majalah Islam yang diharamkan oleh
pihak pemerintah.
Dua
majalah yang dilanggan mereka ialah Islamic Review dan
Muslim
India kedua-duanya dikelolakan oleh Khwaja Kainaluddin yang
berasal dari Lahore. Khwaja Kamaluddin adalah seorang yang terpelajar
dan pernah menjadi Professor Sejarah dan Ekonomi di Islamia College,
Lahore. Beliau juga pernah menjadi peguam. Kemudian beliau telah
meninggalkan bidang kesarjanaan dan kepeguaman kerana terpengaruh oleh ajaran Mirza
Ghulam Ahmad dari Qadian untuk bergiat mengembangkan ajaran Islam. Kegiatan dakwah ini beliau jalankan di
England di mana beliau juga menjadi Imam Masjid Woking (Surrey).
Walaupun
terpengarah oleh ajaran Mirza Ghulam Ahmad, Khwaja
Karnaluddin
kemudian tidak mendukung faham yang diasaskan oleh pengikut Mirza
Ghulam Ahmad iaitu Parti Qadian kerana parti itu menganggap Mirza
Ghulam sebagai nabi. Khwaja Kamaluddin termasuk dalam golongan yang
dikenali sebagai Parti Lahore yang menerima Mirza Ghulam. Ahmad
sebagai mujaddid dan bukan nabi. Pada 1921 Khwaja Kamaluddin telah
melawat ke Singapura dan Tanah Melayu. Berikutan daripada itu ialah
ditubuhkan Anjuman-iIslam yang ahli-ahlinya terdiri
daripada orang Islam di Singapura dan Tanah Melayu; pertubuhan itu
mula menerbitkan majalah The Muslim pada Januari 1922. Parti Qadian
dianggap pro-British dan sikap ini dikritik oleh Parti Lahore.
Setelah
melawat Singapura, Khwaja Kamaluddin telah meneruskan
kunjungannya ke negeri-negeri Melayu. Beliau bertolak dari
Singapura pada 29 Mac 1921 bersama dengan Hakim Abdul Baksh (Hafiz) ke
Taiping. Beliau singgah di Kuala Kangsar sebelum pergi ke Taiping di
mana beliau disambut oleh Abdul Majid Zainuddin, Dr. Mohd. Ghaus, Syed
Abu al-Hasan, Nawabuddin dan Amir Bad Shah. Pada 30 Mac 1921,
selepas waktu Maghrib, beliau memberi syarahan mengenai "Keluasaan
Pengajaran pengajaran dan Amalanamalan dalam Islarn" di
Dewan Bandaran Taiping. Pada 31 Mac 1921, Khwaja Kamaluddin bersama
Abdul Majid, Dr. Ghaus dan Nawabuddin telah pergi ke rumah Za'ba di
Kuala Kangsar dan makan tengah hari di situ. Khwaja Kamaluddin tinggal
di Taiping sehingga 2 April 1921 dan meneruskan lawatannya ke Pulau
Pinang.
Walaupun,
selain daripada lawatan Khwaja Karnaluddin ke Taiping, tiada maklumat
lain yang menunjukkan sejauh mana orang Melayu di Taiping terlibat di
dalam kegiatan yang bersifat reformasi Islam atau faham kebangsaan
dalam 1920-an dan awal 1930-an, satu peristiwa yang
berlaku pada pertengahan 1930-an mempunyai pengertian yang agak
besarnya. Pada awal tahun 1934 melalui ruangan akhbar Saudara
dicadangkan supaya diadakan semacam satu kelab surat-menyurat
yang akan diberi nama 'Sahabat Pena'. Pada permulaannya tujuan para
penganjur ialah supaya diadakan suatu cara untuk orang muda bertukar-tukar
fikiran dan di samping itu memupuk kemajuan persuratan. Kemudian
orang dewasa mulai memainkan peranan penting dalam Sahabat Pena.
Akibatnya dibuat keputusan untuk mengadakan satu persidangan
kebangsaan.
Pada
11 November 1934, persidangan pertama Sahabat Pena telah diadakan di
Sunlight Muslim Association, Taiping. la sebenarnya merupakan
perjumpaan pertama peringkat seluruh Tanah Melayu bagi orang Melayu
dan dihadiri oleh tokoh-tokoh Kaum Muda yang terkenal seperti
Syed Alwi bin Syed Sheikh al-Hadi, Zainal Abidin bin Sutan
Maidin dan Sheikh Abdullah al-Maghribi. Pada Mei 1935 Sahabat
Pena mempunyai lebih daripada 1,000 orang ahlinya. Pada Jun 1935 Syed
Alwi sekah lagi melawat Taiping, kali ini untuk berkempen menambahkan
ahli Sahabat Pena. Tidak begitu jelas mengapa Taiping dipilih untuk
persidangan yang pertama itu dan agak jelas bahawa selanjutnya Taiping
bukanlah pejabat pusat untuk Sahabat Pena. Tetapi pada lewat
1930-an ada individu-individu dari Taiping yang terlibat dalam kegiatan politik.
Mungkin
yang lebih terkemuka ialah Wan Mohd. Noor dan Ali bin Haji Hussain.
Mereka berdua itu adalah di antara pengasas Persatuan Melayu Perak
yang ditubuhkan pada tahun 1937 dan bertempat di lpoh. Persatuan itu
merupakan persatuan negeri Melayu pertama yang diwujudkan di
Semenanjung Tanah Melayu. Wan Mohd. Noor berasal dari keluarga Ngah
Ibrahim dan pada tahun 1937 berkhidmat dengan Pejabat Kesihatan. Ali
bin Haji Hussain pada masa itu memegang jawatan Pembantu Pegawai
Kehutanan. Persatuan itu memberi perhatian kepada kedudukan
sosio-ekonomi
orang Melayu tetapi telah mengubah haluannya selepas tahun 1938 kerana
Wan Mohd. Noor dan Ali bin Haji Hussain telah dipindah ke tempat lain.
Ali
bin Haji Hussain ialah saudara pada Mustapha bin Haji Hussain yang
terkenal sebagai salah seorang pemimpin Kesatuan Melayu Muda. Tetapi
Mustapha bin Haji Hussain terlibat di dalam pertubuhan politik semasa
beliau mengajar di Sekolah Pertanian Serdang dan bukan di
Taiping. Beliau dilantik sebagai Naib Yang Dipertua
Kesatuan Melayu Muda yang diketuai oleh Ibrahim Yaacob. Kesatuan itu
ditubuhkan pada tahun 1938 dan merupakan parti politik kebangsaan Melayu
yang pertama.
Di
Perak, Kesatuan Melayu Muda menubuhkan cawangan pertamanya di Taiping
pada akhir tahun 1938. Dipercayai penubuhan K.M.M. Perak berlaku di
kediaman Pachik bin Ahmad iaitu No. 126, Lorong Dua, Jalan Stephens,
Kampung Boyan. Perjumpaan pertama itu dihadiri oleh 8 orang dan
dianjurkan oleh Pachik Ahmad sendiri dan Mohd. Hanafiah Abdul Rahman.
Pachik Ahmad berasal dari Pulau Pinang dan mendapat pendidikan di
Madrasah Masyhor AlIslamiah, Mohd. Hanafiah adalah orang Taiping dan
pernah menuntut di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim. Adalah
difahamkan bahawa mereka berdua itu mula berkenalan waktu melibatkan
diri dalam Sahabat Pena, Mohd. Hanafiah sebagai Setiausaha Agung dan
Pachik Ahmad sebagai Naib Pengerusi. Ibrahim Yaacob sendiri telah
datang ke Taiping untuk memberi penjelasan kepada Pachik Ahmad dan rakan-rakannya
tentang perjuangan K.M.M. Dari Taiping pengaruh K.M.M. merebak ke
kawasan-kawasan lain di Perak terutamanya di Maahad II Ihya
Assyariff Gunung Semanggol kerana Pengetua Maahad itu, Abu Bakar
al-Baqir, adalah di antara ahli jawatankuasa cawangan K.M.M. di
Taiping. Ibrahim kemudian kembali ke Taiping pada pertengahan 1945
untuk berunding dengan pihak Jepun tentang kemungkinan Tanah Melayu
diberikan kemerdekaan bersama-sama dengan Indonesia. Bersabit
dengan perkara ini satu pertemuan di antara pemimpin Indonesia dengan
Ibrahim Yaacob telah berlangsung di Taiping pada 12 Ogos 1945. Dua orang
pemimpin Indonesia yang datang ke Taiping ialah Sukarno dan Mohd. Hatta.
Mereka singgah di sana dalam perjalanan balik ke Indonesia setelah
melawat Saigon.