TOC
FORWARD

Menjadi Ibu kota

Perjanjian Pangkor sebenarnya tidak mendatangkan kedamaian yang berpanjangan. Birch menghadapi masalah dalam menjalankan pentadbiran kerana Sultan Abdullah dan pembesar-pembesar enggan menyerahkan kuasa masing-masing kepada Residen British itu. Pada bulan November 1875, Birch terbunuh di Pasir Salak, Hilir Perak. British menggunakan senjata api untuk mematahkan tentangan terhadap pentadbirannya. Pada 1876, kedudukan British di Perak mulai kukuh. Pembesar-pembesar yang menentang British, termasuk Ngah Ibrahim, telah kehilangan kuasa. Buat sementara waktu, Birch diganti oleh J.G. Davidson, Residen pertama di Selangor. Pada 1877, Hugh Low telah dilantik sebagai Residen Perak.

Taiping tidak terlibat di dalam. kekacauan menentang pentadbiran British. Sejak tamatnya Perang Larut, kegiatan ekonomi di Larut berkembang kembali. Maka setelah pembunuhan Birch, Taiping pula yang dipilih sebagai pusat pentadbiran, iaitu ibu kota Negeri Perak. Kapten Speedy, Penolong Residen, di pindah pula ke Hilir Perak,

Pada pertengahan 1870-an, Taiping muncul sebagai sebuah bandar yang semakin sibuk. Di dalam bandar itu terdapat se batang jalan lebih kurang setengah batu panjangnya dengan beberapa pasar dan kedai yang besar, Seperti di penempatan-penempatan lain di mana ramai orang Cina telah menetap, rumah-rumah khas untuk main judi disediakan. Oleh kerana penduduk Cina di Taiping terdiri daripada beberapa suku maka setiap golongan mempunyai dewan mesyuaratnya masing-masing.

Pentadbiran British telah juga menyediakan bangunan-bangunan untuk berbagai tujuan: Pejabat Bendahari, tangsi untuk pasukan polis (terdiri daripada orang Punjabi), rumah sakit, gudang senjata, stor, penjara dan banglo untuk pegawai British.

Jumlah penduduk Taiping waktu itu dalam lingkungan 6,000 orang, sebilangan besarnya terdiri daripada orang Cina. Terdapat juga sekumpulan kecil orang India yang membuka kedai atau memberi pinjaman wang (kaum Cetiar). Orang India lain bekerja sebagai pemandu kenderaan (kuda atau lembu) dan pembasuh kain. Menurut seorang wanita Inggeris (Isabella Bird) yang telah melawat Taiping waktu itu, pada siang hari, bandar Taiping sunyi senyap sahaja kerana sebilangan besar penduduknya bekerja di lombong. Dengan kembalinya mereka ke bandar waktu senja maka gegak-gempita menelan bandar itu dan yang kedengaran ialah leter-leter dalam bahasa Cina.

Pembangunan di Taiping berjalan dengan agak pesat kerana pada tahun 1883 telah ada bangunan-bangunan baru yang digunakan sebagai mahkamah dan pejabat. Bandar itu juga mempunyai sebuah bilik bacaan dan perpustakaan. Bekalan air telahpun disiapkan dan penduduk-penduduk yang tinggal di dalam bandar dapat menggunakan air yang bersih.

Sistem pengangkutan dan perhubungan dimajukan. Pembinaan jalan raya untuk menghubungkan Taiping dengan Parit Buntar hampir selesai pada tahun 1883. Di sepanjang jalan baru ini kawat telegraf akan diadakan untuk rnenghubungkan Taiping dengan Pulau Pinang. Pembinaan jalan keretapi di antara Taiping dengan Port Weld (dahulu Kuala Sepetang) telahpun dimulakan dan telah ada rancangan untuk melanjutkan jalan keretapi itu ke Parit Buntar.

Keretapi buat kali pertama membawa penumpang dari Port Weld ke Taiping pada 12 Februari 1885. Port Weld pada masa itu adalah sebuah pelabuhan yang sangat sibuk kerana segala import dan eksport di antara Taiping dengan Pulau Pinang disalurkan melalui pelabuhan itu. Ulu Perak dan Kinta juga bergantung kepada Port Weld walaupun Kinta juga menggunakan pelabuhan Teluk Anson. Pada tahun 1888, kemudahan di Port Weld didapati tidak memuaskan lagi kerana jumlah eksport dan import telah bertambah maka pada tahun 1891 suatu dermaga terapung telah dibina untuk memperluaskan pelabuhan di Port Weld. Sementara itu jalan keretapi dilanjutkan ke bandar Kemunting.

Sepanjang 1880-an pembangunan di bandar Taiping berjalan terus. Beberapa bangunan kerajaan didirikan lagi termasuk sebuah Pejabat Telegraf. Taiping pada dewasa itu mempunyai beberapa hospital; yang paling besarnya ialah Hospital Yang Wah khas untuk orang miskin. Hospital itu diketuai oleh Dr. Wright dan mempunyai tempat untuk 900 orang pesakit; ia adalah di bawah urusan kaum Cina.

Taiping juga mendahului bandar-bandar lain dalam bidang pelajaran Inggeris. Sekolah Inggeris yang pertama di negeri-negeri Melayu telah dibuka di Kemunting oleh Hugh Low pada tahun 1878.

Murid-murid sekolah itu terdiri daripada anak-anak tuan punya lombong, anak-anak pekerja lombong dan, apabila perkhidmatan keretapi telah bermula, beberapa orang anak jurutera Eropah yang berkhidmat dengan keretapi. Pada tahun 1883 telah dibuka sebuah sekolah lagi, iaitu di bandar Taiping. Sekolah Pusat (Central School) ini kemudian berkembang dengan amat pesat. Di antara 1900-1922, Pengetuannya ialah Roger Francis Stainer, B.A. (London). Dalam masa itulah bangunan sekolah yang lama didapati tidak mencukupi lagi. Pada tahun 1905, sekolah itu berpindah ke bangunan baru dan dengan itu telah diubah namanya kepada Sekolah King Edward VIl bersempena pertabalan Raja England pada 1901. Sekolah itu bukan hanya terkemuka di dalam bidang pelajaran tetapi berbagai jenis sukan, seperti bola sepak, olahraga dan ragbi yang memang mula-mula sekali diperkenalkan kepada pemuda-pemuda tempatan di sekolah itu.

Sekolah Inggeris untuk murid-murid perempuan juga muncul di Taiping pada masa yang lebih awal daripada di tempat-tempat lain. Pada tahun 1889 Kerajaan Perak menubuhkan sebuah sekolah perempuan. Pada tahun 1899, pengurusan sekolah itu diserahkan kepada Methodist Episcopal Mission dan pada tahun 1902 sekolah itu diberi nama baru Treacher GirIs' School, Nama baru itu adalah untuk mengenangkan jasa Puan Treacher kepada sekolah itu, (William Treacher pada waktu itu ialah Residen Perak).

Sebuah lagi sekolah Inggeris perempuan yang diasaskan pada penghujung kurun ke-19 ialah Convent, Taiping. Pada tahun 1899, tiga orang Sisters telah dihantar dari Convent Pulau Pinang ke Taiping bagi membuka sebuah sekolah Inggeris untuk murid-murid perempuan. Mubaligh Katholik telah juga cuba mengembangkan pelajaran Inggeris untuk kanak-kanak lelaki. Pada penghujung abad ke-19 pernah didirikan sebuah Sekolah Anglo Tamil, kemudian sebuah Sekolah St. Michael  tetapi kedua-duanya tidak berkekalan. Pada tahun 1915 ditubuhkan St. George's Institution. Pada zaman Jepun bangunannya digunakan sebagai Nippon-Gakko, Markas Kempetai (Polis Militer) serta Hotel Pegawai Jepun.

Walaupun dalam abad ke-20 dengan beransur-ansur sekolah-sekolah Inggeris di lpoh telah mengungguli sekolah Inggeris di Taiping, sehingga akhir kurun ke-19 tidak dapat disangkal Taiping sebagai ibu kota, dianggap sebagai pusat kegiatan intelektual. Misalnya, akhbar Inggeris yang pertama di negeri-negeri Melayu diterbitkan di Taiping pada 4 Julai 1894. Akhbar itu yang diberi nama Perak Pioneer (naskhah-naskhahnya masih tersimpan di Muzium Taiping) diusahakan oleh Syed Abul Hassan ibnay Burhan.

Akhbar itu menerbitkan berita dan mengeluarkan pendapatnya dengan berani dan selama suatu masa yang agak berpanjangan dianggap sebagai akhbar yang berwibawa di Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Melalui pejabat S.A.H. Burhan juga akhbar Tamil yang pertama di Malaysia, Perak Varthamanan, telah diterbitkan sama ada pada penghujung abad ke-19 atau awal kurun ke-20.  

Penerbit yang sama, pada tahun 1893, mengeluarkan akhbar Melayu Seri Perak dan dipercayai bahawa Haji Abdul Kadir bin Setia Raja menjadi pengarangnya. Pada tahun 1896 dikeluarkan pula sebuah akhbar lain iaitu fajahan Melayu mula-mula dengan Mohd. Omar bin Haji Bakar sebagai pengarang, kemudian Ghulam Kadar yang telah diganti pula oleh S.A.H. Burhan sendiri.  

Ada beberapa sebab yang menjadikan Taiping, sehingga lebih kurang akhir kurun ke-19, sebagai bandar utama di negeri-negeri Melayu. Yang pertama, sebagai pusat perlombongan dan pentadbiran, pembangunan lebih awal berlaku di Taiping berbanding, misalnya, dengan Kuala Lumpur. Yang kedua, permulaan perkhidmatan keretapi menjadikan Taiping tumpuan orang asing baru terutarna yang bekerja dengan keretapi, umpamanya orang Selon dan Eropah. Yang ketiga, sebagai pusat pentadbiran yang terpenting, pegawai­pegawai Inggeris yang lebih kanan ditempatkan di Taiping. Oleh yang demikian, di Taiping juga telah dimulakan buat kali pertama beberapa pertubuhan sukarela untuk beberapa golongan etnik, seperti Persatuan India dan Persatuan Selon.


TOCFORWARD

Hosted by www.Geocities.ws

1