Penutup
By: Naufal Alkaff
Bismillah Al-Rahman Al-Rahiim.
Semua manusia yang cintakan perdamaian tentu inginkan Persaudaraan dan Perpaduan dikalangan ummah manusia khasnya Ummah Islam, menjadi kenyataan. Contoh yang paling baik adalah sewaktu Rasullullah (saw).
Telah menjadi kenyataan bahawa persaudaraan dan perpaduan yang ada sekarang ini adalah bak umpama sekumpulan burung. Apabila ianya dikacau sedikit sahaja, habis berterbangan semuanya lintang-pukang.
Yang jelas ketika ini, memang sukar untuk memupuk persaudaraan dan perpaduan sesama ummah. Jelas sekali apabila dilihat dengan cara kehidupannya contohnya di bandar dan mungkin yang sudah hidup dengan senang. Ramai yang pentingkan diri sendiri, dan hanya baik dengan seseorang itu jika hanya perlu sesuatu.
Dengan sikap egois dan angkuh pada seseorang itu, ianya bukanlah kehidupan sebenarnya. Sedangkan senyuman itu sahaja dikatakan sedekah di dalam Islam. Namun masih sukar bagi ummah kini untuk bersenyum apatah lagi untuk mengucapkan salam. Ada yang sudah mendiami rumah bertahun lamanya, namun tidak pernah bertegur-sapa dengan jirannya. Itu sebabnya kita mundur dan sering berada dibawah kuasa-kuasa besar. ‘KERANA KITA TIDAK BERSATU’.
Sudah menjadi lumrah kehidupan, yang kuat akan menang, yang lemah akan sentiasa tewas. Oleh yang demikian, buang masa sahaja kita melihat keburukan orang lain dan asyik menuding jari. Jikalau tiada tindakan yang sewajarnya diambil, sampai bila-bila ianya akan tetap kekal begitu. Ingatlah, bahawa Allah (swt) ada menyatakan bahawa setiap yang baik itu datangnya dari Allah (swt), manakala yang buruk adalah kerana perbuatan kita sendiri. ‘Yang utama perlulah diutamakan dahulu’
Persaudaraan dan Perpaduan yang diinginkan Islam adalah sebagaimana yang telah diajarkan oleh Allah (swt) dan Rasullullah (saw). Oleh yang demikian marilah kita bersama-sama berusaha menciptakan ‘Persaudaraan’ dan ‘Perpaduan’ sebagaimana diinginkan oleh Islam. Dan ianya adalah tanggungjawab bagi semua apatah lagi mereka yang berpegang kepada agama Islam!
Akhirnya, marilah kita berdo’a bersama-sama semoga Persaudaraan dan Perpaduan yang diinginkan itu dapat diwujudkan dalam masyarakat ummah manusia, khususnya Ummah Islam dan marilah kita bersama-sama berusaha untuk mengurangkan kalau dapat membendung segala hal yang boleh menimbulkan perpecahan dikalangan ummah manusia khasnya Ummah Islam. Semoga Allah (swt) memperkenankan do’a kita dan semoga Ummah Islam mendapat kebahagian dunia akhirat. Amin…