Pengajaran Dan Pembelajaran Dengan Bantuan Komputer    

Disediakan  oleh : Normunyati  binti  Hashim

Pengenalan dan perkembangan teknologi komputer.

    Penggunaan komputer dalam apa jua bidang, sudah menjadi suatu keperluan dewasa ini. Cogankata 'satu komputer, satu rumah' sering kali kita lihat di mana-mana jua, terutamanya akhbar-akhbar tempatan hari ini. Bagi menyempurnakan hasrat ini, kerajaan telah memudahkan kita dengan memberikan kelonggaran untuk mengeluarkan wang simpanan masing-masing melalui akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sebanyak RM3500.00 bagi pembelian komputer untuk ahli-ahli KWSP. Dari sini kita sedar, maklumat-maklumat yang bakal dapat dan guna dari penggunaan komputer itu sangat berguna. Penggunaan komputer dalam pendidikan juga bukanlah sesuatu yang baru. Ia telah lama diperkenalkan di Amerika Syarikat dan United Kingdom, iaitu sejak awal 60an lagi. Teknologi komputer telah terbukti sebagai mesin elektronik yang anjal dan berkeupayaan tinggi. Kepantasan dan kecekapan komputer dalam melaksanakan tugas-tugas yang melibatkan pengiraan yang tepat serta menganalisis dan meramal keadaan cuaca, meletakkan kedudukan komputer sebagai media yang semakin diperlukan dalam kehidupan kita.
    Selaras dengan perkembangan teknologi, imej komputer sebagai alat terulung, canggih dan mahal, hanya membataskan lagi penggunaannya. Kini selepas 40 tahun teknologi ini digunakan, harga perkakasannya semakin menurun, namun teknologinya terus berkembang pesat. Sejak kebelakangan ini, rakyat Malaysia juga turut dikejutkan dengan pelbagai perkembangan dalam teknologi maklumat. Secara kasarnya boleh dikatakan semua institusi pendidikan di negara ini menyediakan kemudahan komputer bagi kegunaan kakitangan-kakitangannya dan juga para pelajar. Cuma apa yang telah diperkatakan oleh ahli teknologi dalam bidang pendidikan ialah komputer lebih sesuai digunakan sebagai alat bantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Pengayaan Persekitaran Pengajaran Dan Pembelajaran

    Di negara maju, banyak usaha telah dijalankan untuk membawa komputer ke bilik darjah. Apa yang diperlukan ialah tenaga pengajar yang kreatif, berdaya maju dan sanggup mempelajari sesuatu yang baru, khususnya teknologi komputer supaya penggunaannya dalam pendidikan dapat diperluaskan. Para pendidiklah yang bertanggungjawab menjadi agen perubahan, dengan menggunakan keupayaan komputer sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran. Ini kerana ia bukan sahaja mampu membantu dalam tugas pengurusan pejabat malah berpotensi sebagai alat untuk mengayakan lagi persekitaran pengajaran dan pembelajaran. Secara umumnya, kita boleh lihat penggunaanya daripada 3 perspektif :
    1)   Komputer sebagai subjek
            Pelajar boleh didedahkan untuk mempelajari teknologi komputer sebagai langkah pertama yang
            harus dipelajari untuk memahami dan menggunakan komputer secara berkesan. Pelajar boleh
            diterangkan mengenai sejarah penciptaan komputer, bagaimana ia berfungsi, komponen sistem
            komputer, kerjaya dan kesan penggunaan teknologi komputer terhadap masyarakat.

    2)    Komputer sebagai alat
           Antara cara yang paling berkesan untuk memanfaatkan keupayaan komputer adalah dengan
            menggunakan komputer sebagai alat untuk membantu kerja-kerja kita supaya menjadi lebih
            mudah dan berkesan.

    3)    Komputer sebagai tenaga pengajar
            Pengajaran boleh terjadi dalam bentuk persembahan bahan kuliah, soal-jawab dengan pelajar
            dalam bentuk dialog, menyemak jawapan pelajar dalam sesuatu ujian dan mengulangkaji bahan
            pengajaran yang diperlukan. Proses pengajaran dan pembelajaran juga boleh berlaku secara
            individu. Dengan ini pelajar boleh mengambil seberapa banyak masa untuk menelaah mengikut
            kemampuannya.

Fungsi komputer dalam pengajaran

    Sebelum kita berbicara dengan lebih mendalam tentang unsur-unsur yang terdapat dalam pendidikan berkomputer, lebih baik kita imbas kembali pendidikan tradisional yang hanya menggunakan buku, kapur dan papan hitam. Contohnya, dalam sistem pendidikan sekolah pondok yang awal di Malaysia, alat bantu mengajarnya amat terhad. Sistem pendidikannya pula melibatkan guru dan murid sahaja. Guru mengajar murid secara lisan dan murid sedaya-upaya menghafal sebanyak mungkin fakta yang diberikan. Ini berbeza sekali dengan teknologi komputer yang digunakan sekarang. Komputer berfungsi sebagai tenaga pengajar;
        a)    sebagai pakar rujuk
                Komputer mempunyai banyak kelebihan kerana berupaya menyimpan banyak fakta dan boleh
                mencapai fakta tersebut dalam masa yang sangat pantas berbanding otak manusia. Ia juga
                boleh berperanan seperti seorang manusia yang berupaya mengawal banyak  perkakasan
                melalui perintah yang telah diprogramkan. Dengan cara ini, pertukaran mesej berbentuk audio
                dapat dilakukan di antara pelajar dan komputer melalui set mikrofon dan alat pendengaran
                yang lain. Kaedah ini membolehkan pelajar dan komputer berdialog mengenai sesuatu topik
                khusus. Dalam hal ini, komputer merupakan pakar rujuk yang mempunyai pelbagai pengetahuan
                mengenai sesuatu subjek.

        b)    sebagai pembimbing atau tutor
                Keadaan yang biasa kita lihat di bilik darjah hari ini ialah seseorang guru bertanggungjawab
                terhadap ramai pelajar. Dengan adanya komputer, ia boleh ditugaskan untuk mengajar hanya
                seorang pelajar sahaja. Dengan  cara ini, proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilakukan secara individu.
                Pelajar mempunyai hubungan terus dengan komputer dan berpeluang untuk bertanya hal yang
                dikehendaki di samping dapat menggalakkan interaksi antara pelajar dan komputer. Ini sangat penting terutamanya
                kepada pelajar yang malu bertanya di dalam kelas kerana takut untuk mendedahkan yang dia tidak tahu mengenai
                perkara yang diajar. Ringkasnya, komputer yang mempunyai program yang baik, dapat memenuhi keperluan
                seseorang pelajar secara individu.

        c)    sebagai penyimpan rekod akademik
                Komputer berupaya menerima  dan menyimpan data serta maklumat yang banyak dalam suatu masa. Data yang
                banyak dan boleh dicapai dengan cepat serta mudah sudah pasti dapat mengurangkan beban guru. Dalam kaedah
                pencapaian gred sebagai ukuran kemajuan akademik yang digunakan sekarang contohnya guru perlu mencari
                pembantu untuk memastikan setiap rekod pelajar diuruskan dengan baik dan tepat. Cara yang paling berkesan
                adalah dengan menggunakan komputer untuk mengendalikan rekod gred tersebut. Komputer tersebut perlu
                mempunyai program stastik yang telah dibina-dalam supaya boleh mengeluarkan maklumat kepada guru status
                semasa seseorang murid dan pencapaiannya berbanding pelajar - pelajar lain dalam tersebut. Dalam hal ini,  kelas
                tersebut dikatakan diurus oleh komputer kerana guru tersebut merujuk kepada komputer untuk mendapat maklumat
                yang dikehendakinya.

        d)     sebagai penyelia dan penyemak peperiksaan
                Peranan komputer dalam mengendalikan ujian serta peperiksaan terbukti berjaya terutamanya bagi ujian yang
                berbentuk objektif. Ini membolehkan guru meluangkan lebih masa untuk berfikir tentang kesesuaian peperiksaan
                tersebut di samping mencari jalan untuk mempertingkatkan kualiti soalan. Soalan yang baik seharusnya berkemam-
                puan mengasingkan pelajar dalam kumpulan mengikut kategori cemerlang, sederhana atau lemah berdasarkan
                kepada pencapaian pelajar - pelajar tersebut. komputer boleh diprogramkan untuk menganalisis setiap soalan
                berdasarkan pencapaian pelajar. Ini membolehkan guru memikirkan kembali objektif serta soalan tersebut dan
                mereka bentuk teknik-teknik pengujiannya.

Kebaikan Pengajaran Dan Pembelajaran Bantuan Komputer

           1) Pembelajaran secara individu
                Seorang penyelidik Roger Sperry menyatakan bahawa pembelajaran adalah suatu proses yang bersifat individu.
                Pelajar mempunyai latar belakang dan keupayaan yang berbeza. Oleh itu tanggapan mereka tentang pembelajaran
                mungkin juga berbeza. Masa yang diperlukan untuk menguasai sesuatu topik pelajaran juga berbeza. Masalah bagi
                semua sistem pendidikan adalah bagaimana untuk menyampaikan maklumat pelajaran kepada setiap individu secara
                berkesan. Dengan perisian khusus yang baik serta berkualiti, komputer telah terbukti berupaya menyediakan
                pembelajaran secara individu yang peka dan sensitif kepada keperluan pelajar. Input daripada pelajar dianalisis
                terlebih dahulu sebelum tindakan diambil. Pelajar akan berasa seolah-olah ia sedang berhadapan dengan guru
                seorang diri. Ini dapat meningkatkan keyakinan diri serta menghapuskan rasa malu dalam diri pelajar tersebut.

            2) Keseronokan menggunakan komputer
                Kemunculan mikro komputer dalam bilik-bilik darjah boleh menaikan semangat pelajar untuk terus belajar dan
                mencuba sesuatu yang baru dalam hidup mereka. Keupayaan komputer sebagai sebuah mesin yang boleh 'berkata-
                kata' amat menarik perhatian mereka. Jika komputer boleh diprogramkan denngan bahan - bahan pengajaran melalui
                penyampaian yang menarik, kemungkinan untuk menarik minat pelajar supaya terus belajar adalah tinggi. Para guru
                harus mengambil peluang ini untuk meningkatkan keberkesanan dan mutu pengajaran mereka melalui teknologi
                canggih ini. Faktor motivasi amat penting supaya pelajar sentiasa berminat untuk belajar.

            3) Penginteraksian
                Satu lagi faktor yang boleh menentukan keberkesanan proses pembelajaran ialah penginteraksian di antara pelajar
                dan guru. Seorang tokoh psikologi Jeremy Anglin menyatakan bahawa;

                                       "Perolehan sesuatu pengetahuan sama ada untuk mengecam sesuatu corak,
                                        memahami sesuatu konsep, menyelesai sesuatu masalah atau membina
                                        sesuatu teori saintifik, adalah suatu proses yang aktif. Setiap
                                        individu.....harus menganggap dirinya sebagai peserta yang aktif
                                        dalam perolehan pengetahuan tersebut......."

                Satu kesimpulan yang boleh kita ambil daripada kenyataan Anglin ini ialah pembelajaran yang berkesan hanya akan
                berlaku melalui penyertaan peserta atau pelajar dalam perbincangan yang secara aktif.

            4) Pembelajaran yang cepat
                Satu lagi keistimewaan penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran ialah masa yang
                diperlukan untuk mempelajari sesuatu pelajaran adalah kurang. Kajian yang dijalankan oleh Jabatan Pertahanan
                Amerika Syarikat mendapati bahawa sehingga 30% daripada masa pengajaran dan pembelajaran boleh dijimat, jika
                komputer digunakan.

            5) Tampak
                Dengan menggunakan komputer, pelbagai bentuk maklumat boleh disampaikan secara lebih berkesan dan menarik.
                Penggunaan grafik contohnya, boleh memenuhi objektif ini. Illustrasi berbentuk grafik dan apa jua bentuk gam-
                barajah merupakan cara utama untuk meningkatkan keberkesanan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kini
                ia boleh dilakukan dengan mudah dengan bantuan komputer. Kajian juga telah menunjukkan maklumat yang
                dipelajari dalam bentuk grafik dan gambarajah boleh dikekalkan lebih lama dalam minda pelajar. Di samping itu, ia
                mudah diingat dan lebih senang untuk diterima oleh neuron minda kita.

            6) Komunikasi
                Komunikasi diperlukan bagi memastikan suasana pengajaran dan pembelajaran yang aktif. Guru seharusnya
                memainkan peranan yang utama bagi menggalakkan aktiviti komunikasi dalam bilik darjah. Walau bagaimanapun,
                semasa ketiadaan guru, komputer boleh berfungsi sebagai penggalak komunikasi. Guru masih boleh berkomunikasi
                dengan pelajarnya sama ada secara perseorangan atau berkumpulan walau di mana jua dia berada, asalkan dia
                boleh log pada rangkaian tersebut. Mesej yang dihantar juga boleh disimpan semasa ketiadaannya.

Kelemahan Pengajaran Dan Pembelajaran Bantuan Komputer

            1) Mutu
                Faktor masa dan kekurangan tenaga mahir adalah penghalang utama mengapa  perisian kursus yang bermutu tinggi
                sukar dihasilkan. Sungguhpun semakin ramai tenaga pengajar telah terdedah kepada penggunaan komputer, tidak
                ramai yang mempunyai kemahiran untuk mengguna komputer dalam pengajaran dan pembelajaran. Sebaliknya,
                komputer kerap disalahgunakan atau tidak digunakan langsung.

            2) Kos
                Kos pembiayaan projek yang tinggi juga mempengaruhi pembinaan perisian kursus yang berkualiti. Seperti yang
                telah diterangkan, kos untuk mengupah tenaga mahir adalah tinggi.

            3) Masalah sosial
                Pendidikan melalui komputer peribadi semakin mendapat perhatian umum. Ini adalah kerana harga peralatan
                komputer yang semakin murah dan terdapat banyak perisian dalam pasaran. Walau bagaimanapun, anak-anak
                daripada keluarga yang mampu memiliki komputer juga terdedah kepada bahan pendidikan yang mungkin bagus
                atau sebaliknya. Oleh itu, pemilihan perisian-perisian oleh ibu bapa, sangat penting agar anak tidak terpengaruh
                dengan bahan pendidikan yang kurang sihat.

            4) Bantahan tenaga pengajar
                Ramai yang berasa takut untuk mempelajari teknologi baru dalam bidang komputer. Oleh itu, mereka enggan
                memberi kerjasama dalam pembangunan teknologi ini terutamanya mereka yang terlibat dalam bidang pendidikan.

Masa Depan Komputer Dalam Pendidikan

Sistem pendidikan sekolah di Malaysia hari ini dikatakan dapat menyediakan pelajar-pelajar yang serba boleh bagi menghadapi masa depan yang lebih mencabar. Dari masa ke semasa, kerajaan akan sentiasa mencari jalan supaya pendidikan di Malaysia dapat dipertingkatkan. Dalam keghairahan mengguna komputer dalam pendidikan, kita harus berwaspada terhadap bahaya dan kesan negatif akibat penggunaan yang tidak terkawal. Walau apapun pandangan kita, penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran sedikit sebanyak sudah pasti akan mengubah corak pendidikan masa depan dan tingkah laku kanak-kanak. Oleh itu, pengawalan dan pengawasan yang rapi harus diberikan apabila menggunakan teknologi canggih ini.

Rujukan

Arganbright D.E. Mathematical Applications of an Electronic Spreadsheet In Computers In Mathematics Educations, 1984. Yearbook of The National Council of Teachers of Mathematics.

Heinich, R.Molenda, M & Russell J, Instructional Media and The New Technologies of Education.

Norhashim Abu Samah, Mazenah Youp, Rose alinda Alias, Pengajaran Bantuan Komputer, 1996. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa & Pustaka.

Peter Kelman, Art Bardige, Jonathan Choate, George Hanify, Computers In Teaching Mathematics, 1983. Massachussetts : Addison-Wesley Publishing Company.
 

ISI KANDUNGAN

Hosted by www.Geocities.ws

1