Catcha Malaysia
Main Special Saltwater Estuary Freshwater Prawning Species Workshop First Aid Hot Spot
 
Penjagaan Peralatan Tanggungjawab Pemancing
Oleh : Pok Mud's : PANCING

"Mesin baru ke?"
"Ehm, ini mahal ooi, 10 'ball bearing'."
"Mana pergi yang lama punya, tiga bulan lepas you guna mesin lain?"
"Sudah rosak laa... 'jem' ada bunyi krek krok, tak sedap pakai, sudah 'scrap value'."
"Habis yang lama buang ke?"
"Buat tukun dah!"

Kegawatan ekonomi mengajar kita supaya berjimat cermat. Hampir pasti ramai rakyat Malaysia merasai kesan kejatuhan nilai ringgit secara mendadak di pasaran matawang dunia. Barang keperluan harian naik secara tiba-tiba sedangkan gaji... emmm... dok tang tu jugak, yang turun pun ada.

Harga hampir kesemua peralatan memancing yang diimpot naik, bila dah naik susah pulak nak turun walaupun nilai matawang kembali pulih nanti. Ini diakui oleh beberapa peniaga set peralatan memancing yang ditemui. Apabila mereka membeli dengan harga yang mahal kerana nilai ringgit yang merosot teruk, maka terpaksalah mereka menjual semula barangan tersebut dengan harga yang lebih tinggi dari sebelumnya. Tapi ada juga peniaga yang menjual barangan dari stok lama dengan harga baru. Satu bentuk penipuan yang nyata kepada pengguna yang terlalu jujur.

Biasanya mereka yang mempunyai hobi memancing akan tetap meneruskan kegiatan ini, malah kita pernah mendengar, kalau memancing... hujan ribut pun tak kisah. Orang kata gian memancing ni satu macam aje, terutamanya masa menarik ikan, adalah kemuncak pertarungan. Sukan memancing hari ini diceburi oleh semua lapisan masyarakat dari yang berpendapatan tinggi dan sederhana hinggalah kepada golongan berpendapatan rendah. Cuma yang mungkin membezakan mereka ialah padang pancing yang dikunjungi dan peralatan yang digunakan termasuklah jangkamasa 'trip' memancing mereka.

Perlu diketahui bahawa peralatan yang mahal tidak semestinya tahan lama, kalau tidak disertakan dengan penjagaan yang rapi. Yang murah belum tentu cepat rosak kalau kita pandai menjaganya. Ramai di kalangan pemancing baru tidak dapat menggunakan peralatan mereka dengan lebih lama kerana tidak tahu kaedah penjagaan yang paling minimum. Jarang penjual memberi tips atau taklimat ringkas tentang cara-cara penjagaan peralatan kepada pembeli kecuali jika ditanya. Kalau dah pakai lama dan tidak rosak, permintaan akan berkurangan dan 'bisness' mereka juga akan turut merosot. Jadi bagi penjual, lebih baik diam kecuali jika ditanya.

Sekarang ini untuk membeli peralatan baru kita kena fikir dua tiga kali, terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana, itupun kalau ada duit lebih. Perangai biasa para pemancing ialah, terpaksa mencari peralatan setiap kali ingin turun memancing. Peralatan dibiarkan merata-rata dan bersepah di sana-sini. Tidak terusik kecuali apabila hendak dipakai. Pengalaman saya, ramai di kalangan pemancing yang sering kali terpaksa membaiki peralatan mereka sewaktu di padang pancing.

Banyak masa yang akan terbuang. Masa yang sepatutnya digunakan untuk memancing terpaksa dibazirkan begitu saja. Segalanya berpunca dari sikap mereka yang tidak pernah mahu mengusik peralatan pancing mereka sewaktu di rumah bila ada kelapangan. Kadang kala playar yang baru dibeli sudahpun berkarat dan susah untuk digunakan, melekat dan memerlukan tekanan yang kuat untuk membukanya. Kalau terjadi kes sebegini mereka akan merungut, ini rosak, itu tak ada dan seribu keluhan lain lagi. Masalahnya kenapa tidak diperiksa peralatan ini di rumah atau sebelum turun memancing. Jadi masa memancing tidaklah terbuang begitu saja.

Sebagaimana kerajaan yang terpaksa melaksanakan pelbagai langkah penjimatan kos semasa kegawatan, kita sebagai pemancing patut melakukan aktiviti serupa supaya beban ekonomi dapat dikurangkan. Hal ini sepatutnya diteruskan walaupun kita telah keluar dari masalah kegawatan yang melanda. Pada amnya peralatan yang dimaksudkan di sini terdiri dari joran, kekili, mata kail, cili (swivel), pisau pemotong, tali pancing, playar dan sebagainya. Semua ini perlu diberikan perhatian yang sewajarnya oleh tuannya. Itupun kalau tuannya betul-betul kaki pancing. Peralatan ini mudah berkarat dan melekat jika tidak diservis sesudah digunakan. Samada memancing di laut atau di darat, implikasi masalahnya tetap sama. Namun memancing di laut (air masin) lebih tinggi risiko berlakunya kerosakkan jika dibandingkan dengan memancing di darat (air tawar). Kadar oksidasi air masin yang tinggi akan mempercepatkan proses pembentukan karat.

Diantara beberapa langkah yang berkesan untuk menjaga peralatan pancing supaya dapat bertahan lama ialah :

  1. Seelok-eloknya kita hendaklah mencuri sedikit masa sewaktu balik dari aktiviti memancing dengan mencuci ataupun melakukan servis ringkas untuk semua peralatan yang digunakan ketika memancing. Kekili dan joran perlu dibilas dengan air paip selepas memancing.

    Pastikan 'drag' dan gelendung kekili diketatkan sebelum dibilas. Ini bertujuan bagi mengelakkan air dari memasuki bahagian dalam kekili (housing). Jangan buang bahagian lukisan pemasangan atau carta bahagian (Parts drawing assembly) setiap kali membeli kekili baru. Ia mungkin diperlukan suatu masa nanti yang mana kekili perlu diservis (overhaul), purata antara 1-3 tahun sekali bergantung kepada penggunaannya. Lukisan tersebut mungkin diperlukan sebagai bahan rujukan kerana kekili mempunyai banyak peralatan kecil dan mudah kita tertinggal sewaktu pemasangan semula. Jangan rendam kekili ke dalam air samada air masin mahupun air tawar.
  2. Biarkan seketika sehingga kering. Lapkan sekiranya terdapat lebihan air yang terkumpul. Apabila ianya kering, longgarkan kembali drag dan gunakan WD-40 untuk menyembur bahagian yang bergerak terutama pemegang, dalaman geledung dan sebagainya yang dirasakan perlu. Sekiranya tiada WD-40 anda boleh gunakan minyak mesin jahit sebagai alternatif. Longgarkan 'drag' kekili pada tahap mimimum sebelum anda menyimpannya. Selain itu lilin juga boleh digunakan untuk tujuan yang sama terutama untuk cincin joran dan pemusing kekili.
  3. Simpan kekili ditempat yang tidak terdedah kepada habuk atau bungkus saja dalam beg plastik. Pisahkan kekili dari joran sekiranya anda hendak menyimpannya dalam tempoh yang lama. Jangan letakkan di tempat yang mudah dicapai oleh kanak-kanak terutama mata kail yang sudah berkarat. Hujung joran mudah patah sekiranya terpijak atau dimainkan oleh kanak-kanak. Joran tidak perlu diganti baru sekiranya salah satu cincin rosak. Tukarkan saja cincin yang telah rosak itu kerana cincin yang rosak boleh merosakkan tali. Lagipun membeli cincin lebih murah dari sebatang joran yang baru.
  4. Untuk mata kail, paling baik jangan campurkan mata yang sudah digunakan dengan yang baru. Karat akan mudah mereba kepada mata kail yang lain terutamanya pada mata kail jenis tidak tahan karat. Asingkan dalam tempat khas sekiranya ingin digunakan lagi. Bagi mata yang sudah tumpul atau kurang tajam, dapatkan kikir halus (hand file) dan asah. Kertas pasir juga boleh digunakan sebagai alternatif. Simpan barang ini bersama kotak pancing kerana ia mudah dibawa dan masa kita memerlukannya adalah tidak menentu. Untuk penjimatan disyorkan agar pemancing membeli mata pancing jenis tahan karat. Ia tahan lama dan boleh digunakan berulang kali.
  5. Kalau menggunakan playar murah jenis tak kalis karat, ia hendaklah dicuci setiap kali selesai memancing. Semburkan WD-40 pada bahagian tengahnya. Gerakkan berulang kali sehingga karat keluar dari bahagian yang bergerak dan lap karat tersebut. Lakukan sehingga playar tersebut tidak ketat lagi atau telah lancar pergerakkannya. Untuk playar jenis tahan karat memadai kita semburkan WD-40 pada bahagian tengahnya sahaja.
  6. Tali pancing pada geledung perlu diperiksa terutamanya sebelum turun memancing. Geledung perlu dijirus dengan air supaya air masin tidak terkumpul. Tali akan kelihatan bersih dan melancerkan pergerakkannya sewaktu membuat balingan. Sekiranya terdapat bahagian tali yang calar, buang saja untuk mengelakkanya dari terputus sewaktu sedang bertarung di padang pancing. Ramai yang menyesal apabila tali terputus tiba-tiba sewaktu sedang bertarung dengan ikan besar. Bayangkan jika kelah yang menyambar umpan dan tali terputus akibat kelalaian kita sendiri.

    Jangan sama sekali menarik tali yang tersangkut dengan menggunakan joran. Joran akan mudah patah. Luruskan joran dan ketatkan drag sedikit dan kemudian tarik tali tersebut menggunakan tangan. Menarik tali yang tersangkut menggunakan tangan kadang kala boleh mencederakan. Gunakan tali yang lembut, sarung tangan kulit atau kain yang keras boleh menyebabkan tali tercalar. Calar bererti kekuatan tali sudah menurun.
  7. Bagi pemancing tebing atau pantai, elakkan pasir atau lumpur dari memasuki kekili kerana ia boleh menyebabkan kekili mudah rosak. Biasanya bahan-bahan ini boleh bertindak seperti kertas pasir yang akan menghakis gear dan alas bebola kekili tersebut. Biasakanlah menggunakan alat pemegang joran yang mudah diperolehi di kedai-kedai atau buat sendiri. Pemegang joran boleh membantu kita mengurangkan kejadian kekili terlantar di atas pasir akibat tangan yang sudah lenguh untuk terus memegang joran tersebut.
  8. Kotak pancing juga hendaklah selalu dibersihkan terutama selepas memancing. Kehadiran air masin menolong merebakkan karat. Lap sahaja kotak dengan kain agar kesan air masin tiada lagi.
  9. Banyak juga pemancing yang suka menyimpan joran di bonet kereta setiap kali lepas memancing. Biasanya peralatan ini dibiarkan sepanjang masa di kereta dan hanya dikeluarkan sewaktu hendak digunakan. Peralatan ini hendaklah diperiksa sebelum melakukan trip memancing supaya ia boleh berfungsi dengan baik sewaktu digunakan. Semburkan WD-40 setiap kali lepas menggunakannya atau paling tidak cuci selepas 2-5 kali menggunakannya. Pastikan bonet kereta tiada habuk yang keterlaluan maupun pasir yang boleh memendekkan hayat kekili dan joran.
  10. Kekili lama yang rosak jangan dibuang dahulu, ia mungkin ada kegunaan seperti untuk 'spare parts' kerana tidak banyak kedai pancing yang menjual barang gantian. Ramai pemancing merungut kerana sukar untuk mendapatkan alat ganti untuk kekili, jadi kalau ada yang lama dan tidak terpakai, bolehlah diperiksa kalau-kalau masih boleh dipakai.

Petua dan amalan yang ditulis disini adalah berdasarkan kepada pengalaman saya. Ramai pemancing lain turut mempunyai petua menjaga peralatan masing-masing supaya tahan lama. Ianya bergantung kepada pemancing itu sendiri yang menentukan amalan penjagaan peralatan.

Biasanya pemancing yang menjadikan kegiatan memancing sebagai hobi utama dan memiliki set peralatan yang mahal akan memberi lebih tumpuan untuk menjaga peralatan berbanding dengan pemancing yang memiliki set pancing yang tiada jenama atau murah. Tiada undang-undang yang memaksa peralatan mesti dijaga dengan teliti, tapi adalah lebih baik kita menjaganya daripada menanggung masalah dikemudian hari.

Jadi dengan memberi sedikit masa dan ruang untuk memeriksa peralatan dan melakukan servis atau membersihkan mana yang patut boleh mengurangkan risiko kerosakkan peralatan. Makin lama makin banyak pengalaman dan pengetahuan yang boleh ditimba.

Paling tidak kita jangan kedekut ilmu, berkongsi akan menambah lagi ilmu pengetahuan dalam bidang yang kita ceburi dan jangan sama sekali ilmu pengetahuan dikuburkan bersama apabila seseorang itu meninggal dunia, rugi anak cucu kerana tiada peninggalan ilmu dan petua.


 
Hosted by www.Geocities.ws

1