Catcha Malaysia
Main Special Saltwater Estuary Freshwater Prawning Species Workshop First Aid Hot Spot
 
Rahsia TEMOLEH
Oleh : Halimi Hanip : PANCING

Temoleh yang turut dikenali sebagai temelian, adalah satu-satunya spesies kap tempatan terbesar (Cyprinidae) yang boleh mencapai saiz gergasi iaitu sehingga 60kg. Mungkin kerana saiznya yang 'bagak' menyebabkan ia hanya ditemui di sungai yang lebar, panjang dan dalam seperti Sg. Perak dan Sg. Pahang.

Gergasi Pemalu

Temoleh dikatakan pejuang yang tak mengenal erti kalah sekiranya terpedaya dengan helah pancingan anda. Mungkin pertarungannya sehebat mahseer di Sg. Cauvery, India tetapi yang nyata lariannya bisa memberi tentangan sengit, jangan harap dan terlalu yakin temoleh gergasi yang sedang 'mengamuk' di hujung tali anda mampu ditumbangkan dengan mudah.

Berbekalkan tenaga dan saiznya yang besar, ia sudah cukup menggerunkan pemancing bertuah untuk bertarung, tentunya beratus meter tali dibawa lari apatah lagi di dalam sungai yang mengalir agak laju seperti di Sg. Tembeling dan bahagian Sg. Perak di daerah Kuala Kangsar, kawasan yang dilaporkan banyak terdapat spesies ini. Oleh itu, anda perlu bersiap-sedia dengan peralatan pancing aksi berat ataupun sederhana berat dengan tali berketahanan sekurang-kurangnya 25 paun.

Profil mulutnya yang menjulur keluar (seperti lee koh dan kelah) menunjukkan sifatnya yang 'pemalu' dan suka menyelongkar makanan di dasar, jadi ia amat berhati-hati meneIan umpan anda. Ini mungkin salah satu sebab mengapa ikan ini amat sukar dipancing di samping populasinya yang semakin berkurangan. Apabila tiba musim mengawan (biasanya pada masa musim tengkujuh), ikan ini akan mudik ke hulu sungai yang cetek untuk mengempas telur. Bahagian belakang badan temoleh kadang-kala boleh dilihat timbul di permukaan air sewaktu perarakan ikan ini ke hulu malah ia turut dikatakan 'bertempur' sesama sendiri sehingga boleh didengari penduduk kampung di tepi sungai.

Santapan

Antara umpan yang diketahui mampu membuka seleranya ialah siput gendong (siput bulat yang besar yang biasa terdapat di tepi sungai), cacing, udang gantung, udang galah kecil, buah pisang dan betik tetapi ia perlu disangkutkan dengan jumlah yang banyak contohnya menggumpalkan sejumlah besar cacing ataupun mencucuk beberapa hirisan pisang tua seperti satay sehingga menutupi mata kail.

Saya pernah mendengar satu teknik yang sangat unik untuk menjerat temoleh di daerah Kuala Kangsar. Pemancing tempatan di sana menggunakan lampu suluh yang berkuasa dinamo (supaya tenaga cahaya dapat bertahan lama) untuk menyuluh di satu bahagian sungai lalu melemparkan umpan pisang tua ke arah tempat yang disuluh. Agaknya, cahaya yang kuat tersebut menarik perhatian temoleh untuk 'menjenguk' dan umpan yang jatuh terus ditelannya seolah-olah 'disuap' tanpa usul periksa.

Sesungguhnya menduga temoleh bukanlah suatu perkara yang mudah, tahap kesabaran yang tinggi adalah kunci terbaik menunggu sang gergasi ini meragut umpan anda. Kemudian bersedialah menghadapi larian marathonnya, sekiranya dapat dijinakkan setelah berjam lamanya bertahan, anda pastinya akan berbangga seumur hidup. Seterusnya beraksilah di depan kamera untuk bergambar kenangan serta pelepasan semula dan jangan lupa kirimkan kepada kami.


 
Hosted by www.Geocities.ws

1