Catcha Malaysia
Main Special Saltwater Estuary Freshwater Prawning Species Workshop First Aid Hot Spot
 
Rahsia Talang
Oleh : Pok Mud's : PANCING Ogos 1999

Bentuk Dan Ciri Fizikal

Ikan permaisuri menurut panggilan nama Inggeris (Queenfish) mungkin kerana raut badannya yang putih bersih serta ramping. Terdapat 4 spesies talang yang diketahui berada di Semenanjung berdasarkan kepada saiz serta corak warna badannya.

Talang Raya (Scromberoides tala atau Deep Queenfish) merupakan spesies yang terbesar dan saya pernah memperolehi spesies ini hampir seberat 12 kg di perairan Pulau Sembilan tidak lama dahulu. Talang raya mempunyai kombinasi warna emas di bahagian bawah perut berhampiran sirip pelvik dan sirip dubur. Jenis yang kecil dipanggil Seliat atau Talang Padi yang purata saiznya sekitar I hingga 4 kg.

Talang mempunyai barisan gigi halus tetapi jarang memutuskan perambut tangsi kerana ia hanya tajam di bahagian hujungnya sahaja. Mulutnya leper membuka luas dan bahagian ekor agak keras. Sisik yang tajam mampu melukakan kulit pemancing yang memegangnya ketika ia menggelupur di lantai bot. Sebab itu ramai yang memilih untuk menghentam kepalanya agar ia cepat lemah dan mudah disimpan.

Badan talang biasanya mempunyai tompok atau bintik hitam, bulat dan setengah bujur berdekatan garis deria. Sirip duburnya pula bersambung hingga ke ekor yang bercabang tirus memanjang sesuai dengan sifatnya yang kuat berenang. Kulit talang agak liat dan mata kail yang kurang tajam tidak mampu melukakan kulit spesies bermulut 'masam' ini. Kerana kegagahan dan semangat juang yang tinggi serta daya lompatan ke permukaan air yang cantik dan menarik, ia tidak melarikan tangsi ke kawasan reba atau batu karang (hanya berlegar di permukaan air). Dengan ini, talang boleh dikelaskan sebagai salah satu, game fish yang memadai dengan peralatan aksi ringan.

Habitat Dan Sifat

Talang mudah dijumpai di persisiran pantai, muara sungai, sekitar pulau dan di dalam lingkungan 5 hingga 50 km dari pantai. Namun kebanyakan talang gemar persisiran pantai yang jernih serta tidak tercemar airnya dari sisa-sisa bahan kimia dan toksik. Talang pada amnya gemar merayau mundar-mandir di pantai berpasir dan berbatu karang terutama yang kaya dengan hidupan marin kecil atau mangsa yang terdiri dari anak-anak ikan pelagik sebagai diet utamanya.

Talang mempunyai kelajuan serta kekuatan berenang sesuai dengan tabiatnya yang suka menghambur ketika mengejar anak-anak ikan. Jadi ia tidak pasif dan gemar mengendap mangsa sebelum menyerang seperti kerapu, siakap dan jenahak. Oleh sebab itu spesies yang berwarna putih dengan tompok hitam kecil di badan ini boleh dikatakan sebagai ikan yang tak reti duduk diam. la boleh dianggap sebagai pemburu makanan yang pantas (Predator). Jika anda pernah menyelam atau pernah melihat spesies ini di dalam air, anda akan melihatnya berenang melintasi satu-satu kawasan dengan laju dan sukar untuk mendekatinya.

Talang adalah spesies yang gemar bermain di bawah permukaan dan pertengahan air (ada juga yang menyebutnya di atas air). Namun ia juga mencari makanan di kawasan dasar pantai yang airnya agak cetek untuk mencari udang serta anak ketam sebagai diet tambahan.

Peralatan

Untuk pemancing yang gemar kepada pertarungan sengit lebih dari harapan untuk memuatkan ia dalam kotak ais, disyorkan guna peralatan aksi ringan dengan kekuatan tali antara 10 hingga 20 paun. Saya lebih gemar kepada tali Berkley Gold Tournament kekuatan 16 paun dipadankan dengan Shimano 3500 Baitrunner atau Abu Ambassador 6000 dengan joran aksi ringan yang diubah suai sendiri untuk menahan asakan talang yang kuat berenang dan mengenjut-ngenjut ketika melawan. Begitupun, apa-apa saja joran dan saiz kekili boleh digunakan asalkan sistem tegangan dan tali sesuai dipadankan agar lebih serasi dan seimbang.

Sistem tegangan (drag) perlu baik agar mudah dilaraskan pada kekuatan yang sesuai bergantung kepada saiz talang yang dijinakkan serta untuk membenarkan tali keluar dengan lancar pada tahap yang telah ditentukan. Ini kerana pada permulaan tarikan, talang cuba melarikan tangsi buat seketika. Sistem tegangan yang telah dilonggarkan sedikit membenarkan tangsi keluar ketika ditarik, sebelum diketatkan sedikit semasa membalas untuk menujah mata kail pada bahagian mulutnya. Umumnya adalah sukar untuk menentukan jenis dan jenama kekili yang sesuai kerana maklumlah setiap pemancing mempunyai kemampuan (kuasa membeli) berbeza mengikut skala pendapatan dan ramai juga lebih yakin dengan jenama pilihan masing-masing.

Mata kail yang digunakan biarlah tajam serta kuat, tidak mudah patah atau lurus ketika diasak oleh talang yang menggeleng ke kiri dan kanan untuk melepaskan diri di saat-saat akhir. Saya gemar menggunakan mata kail Garnakatsu bersaiz sederhana di antara no. I hingga 4 atau yang lebih kecil kerana talang mempunyai mulut besar yang terbuka luas ketika menerkam mangsa. Jenis dan jenama mata kail ikut suka anda kerana lain pemancing lain citarasa dan kepercayaan terhadap mata kail yang digunakan. Begitupun tidak salah mencuba apa saja jenama kekili, mata kail dan, tangsi. Buatlah perbandingan sendiri dan tidak perlu lagi dengan iklan dari orang lain. Bagi saya pilihan terletak di tangan pemancing dan saya cuma mengesyorkan saja.

Golongan berpendapatan rendah tidak perlu jenama yang mahal, cari yang murah dan terbaik buat diri anda. Pemberat atau batu ladung tidak perlu besar atau terlalu berat, hanya sekadar untuk melabuhkan umpan pada pertengahan air sebelum membenarkan arus menolak sedikit ke permukaan air. Lebih kecil lebih mudah 'melayangkan' umpan di bawah air. Anda boleh memancing talang tanpa pemberat sekiranya arus tidak keterlaluan seperti pada waktu air mati.

Teknik Dan Umpan

Apabila kita dah tahu tentang tabiat dan sifat haiwan ini yang gemar berlegar di permukaan air jadi teknik yang terbaik adalah dengan melabuhkan umpan dari permukaan dan pertengahan air. Umpan terbaik untuk talang adalah bilis kasar dan kalau dapat yang hidup, lagi besar peluangnya. Bilis adalah salah satu spesies ikan pelagik yang berkumpulan dan hidup di permukaan air. Bukan saja talang malah pemburu mangsa yang lain juga gemarkan bilis. Wana jernih serta isi yang lembut membuatkan ikan talang tidak begitu cerewet jika dihidangkan dengan bilis.

Bilis mati perlu dicangkukkan dengan betul pada mata kail agar ia kelihatan hidup dibuai arus. Jika bilis kecil digunakan, cangkukkan pada mata hingga memenuhi mata kail yang digunakan. Selain bilis; udang, hirisan kembong, sotong dan ikan petagik boleh digunakan sebagai altenatif atau kawasan tertentu sesuai dengan jenis sumber diet utama yang terdapat di sekitar.

Pancing secara menunda, gewang, popper dan pancing layang juga boleh diamalkan kerana sesuai dengan talang yang meronda di atas air. Untuk teknik ini, anda perlu rajin membuat balingan, bijak mengintai kehadiran talang serta keadaan laut dan sekitar. Perambut untuk memancing talang perlu panjang dan paling kurang dua depa atau lima kaki ke atas. Perambut tangsi disyorkan dengan kekuatan 30 hingga 60 paun. Anda tidak perlu risau menggunakan perambut tangsi kerana seperti yang dikatakan, talang tidak mampu memutuskan perambut tersebut. Perambut tangsi lebih efektif dari perambut dawai. Lebih panjang lebih sesuai untuk 'menghidupkan' umpan mati dan peluang lebih besar.

Sesetengah ikan tidak berminat dengan umpan yang berdekatan dengan pemberat atau cili. Saya belum dapat pastikan lagi rasional di sebalik teori ini, namun begitu sesetengah pemancing menyatakan ikan takut pada logam atau mengetahui umpan tersebut adalah perangkap. Jadi dengan menjarakkan lagi umpan dari sambungan cili dan pemberat boleh menipu ikan supaya berminat dengan umpan yang dilabuhkan.

Turunkan umpan secara perlahan-lahan hingga sampai (agak-agak) di pertengahan air, tunggu dan biarkan ia hanyut sedikit ke atas. Naikkan umpan sedikit demi sedikit selang beberapa minit dan karau kembali tangsi apabila ia menjangkau di perrnukaan air untuk memeriksa umpan. Teknik ini memastikan umpan dilabuhkan pada satu-satu kawasan yang berlainan (posisi di dalam air) sehinggalah kehadiran talang dirasai. Dengan ini, pemancing boleh mengagak talang sedang menyainbar di permukaan atau di pertengahan air sebelum memutuskan kedudukan yang tepat di mana talang berkeliaran.

Kuali

Talang jarang dijual di pasar sebagai ikan basah atau mentah. la kurang permintaan dan kurang popular seperti ikan karang lain kerana isinya agak tawar dan nipis. Tapi ramai juga yang memilih untuk menyajikan talang dengan ala masakan asam pedas, tumis pedas atau sambal cili pedas untuk spesies yang segar (tidak bercampur dengan ais) kerana ketika ini rasa 'ummpnya' belum lagi tercemar. Lagi cepat dimasak lagi sedap dimakan kata orang! Begitupun talang tetap mempunyai pemintaan untuk dijadikan ikan kering atau ikan masin dan banyak dijual di pasar dan kawasan tertentu.

Harga basah sekitar RM 3 hingga RM5 dan naik berlipat ganda apabila siap diproses sebagai ikan kering. Jika digulai nenas campur tulang ikan talang kering tambahan pula adanya ulam tempatan, pasti ramai yang tidak menolak apabila dihidangkan. Bila tanya kaki pancing mana sedap pancing talang ke atau gulai ikan talang masin? Yang pasti, tidak sedapnya ialah siang ikan sambil berjemur menunggu ia kering sepenuhnya dan dari dihinggapi oleh lalat! Ataupun berhujan panas menunggu talang yang malas nak melayan pemancing!


 
Hosted by www.Geocities.ws

1