Catcha Malaysia
Main Special Saltwater Estuary Freshwater Prawning Species Workshop First Aid Hot Spot
 
Pancingan Batu Tanjung Bidara
Oleh : Yusop Abbas : PANCING

Apakah yang didefinasikan sebagai pancingan batu. Adakah batu yang bersambung dengan tanah besar dan mempunyai tebing tinggi serta airnya dalam, melebihi 50 kaki, atau batu-batu yang terhampar di pantai yang tidak bersambung dengan daratan atau pulau-pulau berbatu yang banyak terdapat di perairan kita? Pada pendapat saya, pancingan yang dilakukan dari tebing berbatu tidak kira dari tanah besar atau pulau atau batu yang timbul di pantai, boleh dipanggil sebagai pancingan batu.

Tanjung Bidara, Melaka mempunyai kawasan pantai yang dipenuhi oleh batu-batu yang menjadi sarang kerapu, jenahak dan lain-lain ikan terumbu karang. Timbunan batu-batannya tidak bersambung antara satu sama lain dan kedudukannya bertompok-tompok.

Kelihatan juga batu menjauh di tengah laut, agak saya 2 hingga 3km jauhnya. Rancangan awal ialah untuk bergerak ke batu yang sayup-sayup kelihatan tetapi tekong menasihatkan supaya memilih batu yang dekat sahaja kerana angin yang kencang dan ombak kuat akan mendatangkan masalah untuk ke sana. Yang paling sukar ialah untuk melompat turun dari perahu ke batu. Angin dan ombak yang kuat akan menyukarkan kita melakukan perkara ini. Jadi terpaksalah kami memilih batu yang berdekatan, lebih kurang 100 meter dari pantai.

Walaupun jaraknya dekat sahaja, bot terpaksa mengambil jalan jauh untuk mengelakkan batu-batu yang berselerak. Percikan ombak kadangkala masuk ke dalam bot. Setibanya di pinggir batu sasaran, jantung berdegup laju. Ombak yang kuat dan kehadiran begitu banyak teritip yang tajam bakal memberikan masalah untuk kami mendarat. Bot tidak boleh dirapatkan kerana ombak yang kuat akan menghempasnya ke batu dan teritip yang tajam akan mencalarkannya. Kami terpaksa bersabar menanti ketika ombak bertukar menjadi agak tenang untuk melakukan pendaratan. Seorang demi seorang didaratkan secara bergilir-gilir setiap kali ombak tenang. Walaupun kami cukup berhati-hati, bot masih dicalari teritip apabila ombak kuat menghempasnya ke batu. Arus bertambah laju kerana air pasang besar, paling tinggi 4.6 meter dan air surutnya 1.6 meter. Perbezaan yang jauh menyebabkan arus menjadi laju.

Aktiviti memancing bermula dengan hirisan ikan pelaling (ikan dari keluarga kembong tetapi corak badannya berjalur, manakala corak badan kembong agak berbintik dan lebih lawa dari pelaling. Daging ikan ini juga tidak berapa liat jika dibandingkan dengan kembong), cabuk dan sotong. Keadaan air tidak berapa jernih. Setengah jam berada di padang pancing, langit mulai gelap dan terasa angin sejuk bertiup laju. Telinga paling cepat terasa sejuk dan diikuti oleh bahagian tubuh yang lain.

Di kejauhan kelihatan air menimpa laut, laut yang biru kehijauan kelihatan putih berbuih. Kami tidak membawa peralatan perkhemahan dan baju hujan tidak dapat menahan badan dari basah. Bagi memudahkan cara, baju dan seluar disimpan di dalam beg kalis air dan dibalut dengan baju hujan.

Petang itu, Pak Mud membuka tirai dengan seekor gelama yang lebih sesuai untuk dijadikan umpan hidup, menggunakan umpan kupang yang banyak melekat pada batu. Sejam kemudian seekor pari reben biru seberat 2kg berjaya dinaikkan oleh Irhami. Ikan kecil seperti gelama amat banyak dan mereka selalu mengacau umpan.

Siang bertukar malam dan ikan agak kurang meragut umpan. Kalau makan pun dibawanya lari ke celah-celah batu, sangkut lagi. Biasanya ikan yang menyorok di celah batu akan keluar semula jika kita sabar menunggu. Cara ini boleh dilakukan dengan mengendurkan sedikit tali dan apabila terasa tegang, hendaklah cepat-cepat mengarau tali. Sehingga ke tengah malam, kami cuma dapat menaikkan 3 ekor kerapu dalam lingkungan 500g sahaja. Semuanya dari spesies yang berlainan.

Tengahmalam semuanya sudah kepenatan melawan cuaca sejuk, tambahan pula ikan tidk lagi galak meragut umpan. Zainal yang hampir terlelap bangun memasang umpan seekor pelaling yang dicangkukkan pada dua mata kail dan loceng diletakkan dihujung jorannya sebagai persediaan kalau-kalau tertidur. Tidak lama selepas itu suasana malam yang sunyi dipecahkan oleh suara lantang loceng. Tuannya terus melompat dan bergegas memusingkan kekili supaya ikan tidak sempat menyorok ke celah batu. Seekor kerapu seberat 700g membaham umpan dan berjaya didaratkan.

Malam semakin sejuk dan masing-masing mula merasa mengantuk. Jarak paras air dan batu tempat kami duduk hanya 4 kaki, jika ribut dan ombak besar terjadi, apa yang akan kami lakukan?

Pagi itu cuaca kelihatan tidak begitu ceria, langit kelihatan berwarna hitam. Umpan telah berkurangan dan Yusoff melakukan pancingan apollo untuk mendapatkan ikan hidup sebagai umpan. Seekor selayur sepanjang 6 inci hasil pancingan apollo dijadikan umpan oleh Pak Mud dan hasilnya seekor kerapu yang panjangnya lebig sedikit dari umpan. Saya yang menggunakan umpan tamban sisik yang masih hidup menghulurkan kail betul-betul di bawah batu berjaya menaikkan seekor kerapu bunga. Tetapi saya tidak berpuas hati kerana kerapu itu tidak melawan dan mengikut sahaja apabila kekili diputarkan.

Pukul lapan pagi, tekong datang dan menasihatkan kami agar beredar kerana langit kelihatan hitam. Kami terpaksa akur walaupun hati ingin memprotes. Ramalan tekong amat tepat. Sampai sahaja kami di tepi pantai, hujan lebat dan angin kencang yang boleh dipanggil ribut melanda Tanjung Bidara. Ombak kelihatan menghempas dan menenggelamkan batu yang kami tinggalkan. Untuk ke kereta sudah tidak sempat lagi, walau bagaimanapun kami bernasib baik kerana Bidara Beach Lodge sedia memberikan kami penginapan dan makan tengahari. Ikan yang kami dapat dimasak 'stim' cabai hijau cara Melaka.


 
Hosted by www.Geocities.ws

1