Catcha Malaysia
Main Special Saltwater Estuary Freshwater Prawning Species Workshop First Aid Hot Spot
 
PANCING KELUARGA
Pancing Ikan Di Pulau Pemanggil

Oleh : Maraini Idi : PANCING

Mengapa sesetengah isteri tidak suka suaminya memancing?

  1. Cemburu
  2. Selalu ditinggalkan
  3. Bimbang keselamatan suami

Ketiga-tiga faktor ini ada benarnya dan adakala anda akan membawa keluarga apabila keluar memancing di laut dalam. Ramai yang mengatakan perkara ini melecehkan, nanti anak isteri mabuk laut habis masa memancing kerana terpaksa melayan mereka.

Apabila Richard Tan dari Orado Team, Melaka menjemput saya untuk memancing belitung bersama keluarga di Pulau Pemanggil, Johor, saya masih belum mendapat gambaran sebenarnya bagaimana membawa keluarga sambil memancing. Saya memberi persetujuan untuk menyertai trip ini yang memakan masa selama 3 hari 2 malam.

Saya berjumpa Richard di Melaka dan terus ke Mersing. Pukul 4 pagi orang ramai sudah memenuhi jeti untuk menghabiskan hari cuti di pulau-pulau sekitar perairan Mersing. Kami menuju ke Pulau Pemanggil untuk merasai pengalaman memancing bersama keluarga. Menurut Richard, sekarang, lima pulau yang menjadi tumpuan di Mersing di datangi belitung (dorado atau mahi-mahi), spesies ikan yang tidak dipandang oleh nelayan tempatan. Satu berita yang baik!

Perjalanan selama 4 jam dari Mersing ke Pulau Pemanggil dipebuhi dengan aktiviti tidur. Sekali-sekala kedengaran kanak-kanak merengek di bahagian belakang. Selain dari 8 pemburu ikan, bot memuatkan 5 kanak-kanak dan 2 surirumah yang akan menghabiskan cuti mengemas rumah di Pulau Pemanggil. Kami sampai ke Kampung Pontianak pada waktu tengahari. Kampung ini merupakan salah satu dari 3 kampung yang terdapat di Pemanggil. Selepas 10 langkah berjalan di jeti,karang yang kelihatan berwarna-warni bertukar menjadi kelabu. Semua telah rosak dan mati.

Selepas makan tengahari kami bergerak menuju ke unjang sambil membiarkan orang rumah dan anak-anak bermain di pantai. Selepas 20 minit kami pun sampai ke padang pancing. Umpan yang terbaik untuk belitung ialah ikan selar atau kembong hidup yang boleh diperolehi dari kaedah pancing apollo. Walau bagaimanapun hari ini nasib kami kurang baik kerana tidak banyak ikan yang menyambar apollo. 7-8 kali melakukan lontaran barulah ada seekor yang menyambar umpan. Belitung juga tidak kelihatan.

Belitung ialah ikan yang tidak takut kepada bot atau enjin tetapi mereka akan menghilangkan diri apabila terdengar suara manusia bersorak kegembiraan. Mereka suka berenang sambil mengibarkan sirip di atas air sekeliling unjang. Hari ini saya dapat melihat cara belitung mengerah tenaga seorang pemancing di bot yang berada di bahagian hadapan. Ikan ini masih tidak keletihan selepas melakukan lompatan berulang kali. Hari itu semua pulang kehampaan kerana tidak berjaya mendapat ikan seekor pun. Inilah yang dikatakan rezeki pemancing. Bot yang berada lebih kurang 20 meter di hadapan dikerumuni ikan tetapi bot kami terpaksa berputih mata.

Kami bergerak pulang ke pantai dalam keadaan yang tertekan. Setibanya di pantai saya terus merendamkan tubuh kedalam air laut yang jernih. Terasa kesegaran menyelinap masuk dari hujung kaki dan menjalar terus ke kepala. Pada waktu malam saya meneruskan aktiviti dengan berjalan ke Kampung Lantau, lebig kurang 1 kilometer dari penginapan. Pulau ini dihuni oleh pemancing dan penyelam pada hari cuti. Dari rumah pertama sehinggalah rumah yang terakhir, kelihatan pemancing samada turun atau naik. Cerita-cerita yang kedengaran semuanya pasal ikan, samada dalam kedai makan, lorong pejalan kaki atau kumpulan yang bersembang di tepi pantai.

Keesokannya setelah bersarapan kami keluar menuju unjang semalam. Hari ini kami lebih bernasib baik jika dibandingkan dengan semalam, setiap apollo yang dinaikkan menaikkan selar dan saya dapat melihat belitung bermain di celah-celah buluh unjang. Ada juga yang lebih berani dan bermain di bawah bot.

Tanpa membuang masa saya terus melekatkan ikan pada mata kail dan menghanyutkannya. Sambil menantikan sambaran dari ikaan yang menjadi buruan saya meneruskan aktiviti dengan apollo. Tiba-tiba ikan melompat di sisi bot sebelah kanan. Saya tidak menghiraukannya sehinggalah joran saya bergegar dan orang di belakang saya menjerit, "ikan sudah makan". Saya terus meletakkan pancing apollo dan menyambar joran untuk merasa tarikan ikan. Saya memberi peluang kepadanya melarikan tali sebelum melakukan sentapan.Setelah 2 minit bermain tibalah peluang saya untuk menaikkan ikan. Bila sudah sampai ketepi bot, ikan tiba-tiba tercabut dari mata kail betul-betul di tepi geladak.. Terduduk saya seketika mengenangkan ikan pertama untuk perjalanan kali ini terlepas.

Peralatan terbaik untuk memburu belitung ialah joran aksi ringan dengan tali 8-15lb. Dua mata kail digunakan untuk mencangkuk umpan hidup. Apabila belitung menyambar umpan, biarkan ia melarikan umpan tersebut selama 3-6 saat sebelum melakukan sentapan. Sentapan terlalu awal boleh menyebabkan ikan terlepas kerana belitung belum betul-betul memakan umpan. Perambut keluli sepanjang sekaki biasanya digunakan kerana tempat permainan belitung juga dihuni oleh tenggiri dan ikan layaran. Satu pantang larang apabila memancing belitung ialah jangan membiarkan ikan rabut dari mata kail. Jika ada 3 ekor yang terlepas, yang lain akan menghilangkan diri.

Di belakang bot semuanya tidak bersuara, hanya tangan dan kaki begerak melawan ikan. Richard berjaya mendaratkan belitung yang pertama dan ikan tersebut diikat di belakang perahu. Menurut beliau belitung akan berkumpul berhampiran ikan yang terikat tersebut. Hari ini kami berjaya mendaratkan 3 ekor belitung dan selepas ikan yang ketiga, keadaan menjadi sunyi sepi. Menurut Richard yang sudah berpengalaman bertahun-tahun memancing belitung di sini, bulan Mei merupakan bulan belitung dan berat ikan yang berjaya didaratkan berkisar antara 3 hingga 7kg. Beliau mendakwa pernah mendaratkan 20 ekor belitung dalam sehari.

Setelah tiada lagi sentapan bot dibawa ke belakang pulau, ke suatu kawasan beralun untuk memancing cermin dan ebek. Walau bagaimanapun sebaik sahaja sauh dilabuhkan hujan telah turun dengan lebatnya memaksa acara pancingan dihentikan seketika.

Tidak ada cermin atau ebek yang menyambar umpan dan yang menggunakan appolo bernasib baik menaikkan cermin kecil. Di sini sekali lagi Richard bernasib baik, seekor ikan besat menyambar appolonya. Bersusah payah beliau melayan ikan takut tali appolonya terputus. Akhirnya Richard berjaya mendaratkan seekor ikan landok seberat 3kg. Sebentar kemudian suasana bertukar menjadi sepi dan laut kuat bergelombang. Kami kembali ke unjang tetapi tidak ada perlawanan. Tanpa disedari hari sudah beransur petang.

Oleh kerana perairan Pulau Pemanggil tidak berapa dalam, 20-50 meter sahaja. Kami menukar gaya pancingan kepada pancingan hanyut. Enjin bot dimatikan dan dibiarkan hanyut mengikut arus untuk mencari lubuk ikan. Hanyutan pertama membuahkan hasil kerana setiap orang berjaya mendaratkan kerapu. Setiap 5 minit ada ikan yang berjaya dinaikkan. Walaupun tidak berapa besar, sekurang-kurangnya ia dapat mengubat kehampaan tidak mendapat belitung. Tekong menghidupkan enjin lalu bergerak pulang ke jeti apabila matahari tenggelam lalu memberi peluang kepada bulan dan bintang untuk mengambil giliran menyinari bumi dengan cahayanya yang lembut.

Malam itu satu keramaian diadakan. Bagi Richard acara ini ialah acara penutup kerana keesokkannya semua akan balik ke destinasi masing-masing.

Kami bertolak pulang pada awal pagi, dalam perjalanan kami sempat melakukan tundaan dan seekor ikan tenggiri seberat 6kg berjaya ditewaskan sebaik sahaja kami sampai ke pulau berbatu. Menurut Richard kebarangkalian untuk mendapat tenggiri dalam perjalanan pulang adalah lebih besar dari sebaliknya dan teknik menunda di persekitaran pulau berbatu ini sentiasa membuahkan hasil. Yang peliknya kenapa dalam perjalanan pergi ke Pulau Pemanggil ikan tidak menyambar umpan.

Ini merupakan trip memancing pertama yang saya ikuti yang mengumpulkan keluarga bersama. Pada saya trip sebegini tidak memeningkan kepala dan tidak terasa terlalu tertekan untukmendapatkan ikan. Kita boleh memancing ikan sambil memancing keluarga.


 
Hosted by www.Geocities.ws

1