Catcha Malaysia
Main Special Saltwater Estuary Freshwater Prawning Species Workshop First Aid Hot Spot
 
Matinya Seekor Layaran
Oleh : Pak Wong : PANCING

Saya rasa gembira adanya pemancing-pemancing muda yang menaruh minat terhadap ikan layaran, sejenis ikan sasaran terunggul yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan seterusnya mengamalkan semangat 'tangkap dan lepas'.

Pemancing-pemancing muda yang dilengkapi kemudahan yang sempurna telah menaiki bot fiber pemandu pemancing profesional di Kuala Rompin, Khoo Chon Song (Janggut) dan Chong Man Sin dengan harapan memancing ikan sasaran ini yang sememangnya menjadi buruan para pemancing.

Chong memberitahu saya, kebanyakan pemancing muda suka melepaskan layaran secara hidup-hidup kecuali yang mati, terpaksa dibawa pulang. Inilah keadaan yang sangat menggembirakan kita kerana sekurang-kurangnya golongan pemancing muda telah mula faham betapa pentingnya menjaga sumber ikan. Sikap inilah yang harus diamalkan supaya hanya ikan yang perlu saja diambil dan selebihnya dilepaskan semula.

Sekumpulan kaki pancing dari Petaling Jaya dan Kelang yang belum pernah memancing layaran turut meminta saya membawa mereka ke Kuala Rompin. Dengan menyewa dua buah bot dari janggut, rombongan kami seramai tujuh orang bergerak menuju ke destinasi dengan penuh harapan dan semangat.

Bulan Oktober adalah waktu yang paling aktif bagi layaran untuk muncul di tengah lautan, Hampir seluruh kawasan Laut Cina Selatan boleh dikatakan terdapat layaran yang melompat ke atas permukaan air dengan jelas.

Layaran boleh membesar hingga sepanjang 4 meter dan berat mencapai 100Kg, gemar menziarahi kawasan perairan yang cetek dan berhawa sederhana. Ia juga gemar berada berhampiran terumbu, lata batu dan dasar berbukit pasir dan berehat di perairan sedalam antara 20 hingga 80 meter dengan suhu di antara 24 hingga 30 darjah Celsius. Kadangkala ia juga muncul di kawasan di mana bertemunya air sungai yang berlumpur dengan air laut.

Ikan yang cantik dan tidak mempunyai kawasan penetapan yang tetap ini biasanya akan memilih untuk berada di kawasan dasar berpasir, dasar tanah liat atau berhampiran terumbu karang untuk mencari makanan. Kawasan-kawasan seperti unjang yang berada di kawasan perairan cetek di Laut Cina Selatan, bot karam, tayar dan terumbu karang terus menjadi kawasan terbaik untuk pemancing memburu layaran.

Walaupun pancing tunda yang menggunakan gewang tidak akan mengancam nyawa layaran dan merupakan amalan ramai untuk memancing layaran, namun ramai pemancing tempatan tidak mengamalkan cara ini. Sekiranya menggunakan gewang sotong pancing tunda untuk mengumpan layaran, apabila layaran menyambar gewang, mulutnya yang panjang lagi keras biasanya tidak mudah untuk ditembusi mata kail.

Biasanya, layaran ketika menyambar umpan hidup, mula-mula akan menggunakan mulutnya yang tajam untuk menyerang umpan ataupun terus menikam mangsanya hingga mati. Ia kemudian menggigit dan mengheret mangsanya. Tabiat ini menyebabkan agak susah untuk mata kail mengena layaran dengan kemas.

Kami tetap menggunakan umpan hidup dengan pancing terapung. Untuk mendapatkan gambar-gambar yang menarik, dua buah bot cuba memancing di kawasan sasaran yang sama. Chong memilih sebuah kawasan terumbu karang di perairan cetek yang sejak kebelakangan ini sering kelihatan kemunculan layaran di situ. Selain layaran, batu karang juga didiami oleh bayan. Sementara menunggu kemunculan layaran, kami semua boleh melaungkan masa memancing bayan.

Pertengahan Oktober, Laut Cina Selatan tiba-tiba terasa begitu tenang sekali. Ini cukup menghairankan kerana tidak ada tanda-tanda angin monsun timur laut akan datang melanda. Tiba-tiba saya nampak seekor burung kecil seperti telah patah sayapnya terjatuh di tepi bot. Apabila melihat dengan teliti, didapati ia bukanlah burung camar atau lain-lain jenis burung laut yang biasa dilihat di tengah lautan, sebaliknya adalah burung yang hidup di darat. Pada pendapat saya, burung ini mungkin telah sesat dan kehilangan arah sehingga terbang ke kawasan laut. Disebabkan kerana terbang terlalu jauh tanpa rehat. akhirnya ia pun rebah di tengah lautan.

Untuk mengelakkannya dari ketakutan dan terbang lari, saya masukkan ia ke dalam kotak plastik kamera kalis air dan menutupnya. Hanya memberikan sedikit ruang untuk ia bernafas sebelum melepaskannya semula apabila balik ke darat kelak.

Pada ketika itu, bot yang dibawa oleh Khoo yang sedang berlabuh di seberang sana tiba-tiba mencetuskan sedikit kekecohan. Rupa-rupanya Goh yang baru cuba-cuba untuk merasai keseronokan memancing telah berjaya menyangkut seekor layaran. Layaran ini yang berada tidak lebih 10 meter dari bot memusingkan badannya. Aksi hebatnya ini sempat diperhatikan dan kami bersorak gembira melihat aksi tersebut.

Kerana ingin mengambil gambar layaran ketika ia membuat pusingan badan, saya pun tergesa-gesa membuka penutup kotak kamera untuk mengeluarkan kamera, tiba-tiba terdengar bunyi 'puh'. Rupa-rupanya burung yang saya selamatkan tadi kembali memperolehi tenaga. Ia terbang keluar dari kotak itu dan terus melebarkan sayapnya menuju ke ruang angkasa. Bagaimana pun, tidak lama selepas itu, ia kembali letih dan jatuh semula ke laut. Kerana ingin menumpukan perhatian mengambil gambar, saya sudah tidak ada masa untuk menyelamatkannya lagi. Saya bercadang untuk menyelamatkannya semula selepas menaikkan layaran ini. Moga-moga burung yang sedang terapung di permukaan laut ini tidak akan begitu cepat menghembuskan nafas terakhirnya.

Untuk memancing layaran ini, Chin Hon Tian, Charlie dan saya membeli kekili 2 kelajuan 'Penn International 16s' jenis menega. Bagaimana pun, layaran di Kuala Rompin seperti tidak begitu berminat terhadap kekili ini, sebaliknya lebih berkenan kepada 'Shimano TLD 30' milik Goh.

Nasib sentiasa menyebelahi Goh. Sebelum ini, saya pernah membawanya ke Sungai Keniam, Taman Negara buat pertama kali. Ketika itu juga dia berjaya menaikkan seekor kelah seberat 4.2kg. Sesetengah orang walaupun seumur hidup melibatkan diri dalam bidang pancingan tidak pernah menaikkan kelah ataupun layaran, sebaliknya ada orang pula hanya sekali saja sudahpun memperolehi hasil. Itulah yang dinamakan nasib!

Malangnya disebabkan Goh terlewat membalas, umpan telahpun ditelan oleh layaran ini. Ia cuba memuntahkan mata kail tetapi gagal, sebaliknya yang dimuntahkannya ialah usus yang berwarna merah. Terasa meloyakan sekali! Walaupun layaran ini telah cedera parah, namun kekuatannya untuk bergelut nampaknya masih bertahan. Dengan menggunakan sepenuh daya tenaganya layaran ini menunjukkan semangat perjuangan yang jitu dengan melompat beberapa kali untuk cuba melepaskan diri. Bagaimana pun, layaran yang agak kecil ini akhirnya menunjukkan tanda-tanda ingin menyerah diri. Selepas bergelut selama 20 minit, ia akhirnya tewas di hujung joran Goh.

Chong cuba menyelamatkannya dengan menariknya ke dalam laut, bagaimana pun, layaran seberat 20kg. ini sudahpun menghembuskan nafasnya yang terakhir. Ketika itu saya tiba-tiba teringatkan burung kecil yang sudah terjatuh ke laut tadi. Saya menaikkan sauh untuk mencarinya. Tetapi burung itu sudah hilang entah ke mana. Mungkin sudah lemas ditelan gelombang ganas. Dalam masa sehari sahaja, saya telah kehilangan dua nyawa binatang yang berharga. Inilah peristiwa yang paling saya kesalkan selama hikayat saya memancing!

Sepanjang Oktober, layaran walaupun banyak, namun nasib kami hanya setakat ini sahaja. Pada keesokkan harinya, kami terus mencuba tetapi sudah tidak lagi dapat melihat bayang-bayang layaran sebaliknya bayana pula yang banyak. Kami semua berjaya menaikkan antara lima hingga enam ekor bayan yang seberat antara 1 hingga 3kg. Memang tidak sia-sialah kedatangan kami kali ini.

Setelah kematian layaran semalam, perasaan saya sudah agak terjejas dan tidak begitu berminat lagi untuk memancing layaran. Kecuali jika ada satu cara pancingan yang tidak mungkin akan menyebabkan kematian layaran, mungkin hasrat saya untuk memancing layaran akan pulih kembali. Diharapkan para pemancing yang tahu cara memancing layaran yang selamat dapat berkongsi pengalaman dengan saya. Biarlah sukan mengail ini terus diperkembangkan dengan sihat!


 
Hosted by www.Geocities.ws

1