Catcha Malaysia
Main Special Saltwater Estuary Freshwater Prawning Species Workshop First Aid Hot Spot
 
Memburu Udang Disuluh Kekunang
Oleh : Rosli Che Mat : Joran

Februari ini empangan Kuala Kubu Baru yang menimbulkan kontroversi akan mula dibina. Walaupun mendapat bantahan penduduk setempat serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan pencinta alam sekitar, namun projek mega berkenaan tetap diteruskan atas nama pembangunan.

Sebagai seorang daripada ribuan kaki pancing di Lembah Kelang, penulis juga turut berasa sangsi samada akan terus dapat menikmati keenakkan udang galah Kampung Kuantan selepas ini.

Desas-desus mengatakan apabila projek berkenaan diteruskan, peluang kaki pancing menaikkan udang galah akan terhapus. Begitu juga dengan kawasan pelancongan kelip-kelip atau kekunang di Kampung Kuantan juga dikatakan akan pupus.

Sejauh mana kebenaran kata-kata ini penulis sendiri kurang pasti, penulis yakin udang galah Kampung Kuantan pasti akan berkurangan selepas ini.

Jika itu hakikatnya ia pasti menjadi suatu kehilangan besar buat kaki-kaki pancing terutama di sekitar Lembah Kelang yang sering menjadikan sungai berkenaan sebagai lokasi memburu udang galah.

Bagi penulis, pengalaman memancing di Kampung Kuantan tetap segar dalam ingatan. Penulis bersama Mahadi Jasin (Pak Itam), dan Ibrahim Dali kali pertama menduga dasar Kuala Sungai Selangor berdekatan dengan Kampung Kuantan selepas Ramadhan yang lalu. Kami terpengaruh dengan perbualan rakan pemancing yang sering bercerita mengenai kehebatan udang galah di sana.

Justeru itu, tanpa menghiraukan suasana aidil fitri yang masih meriah, kami bertiga terus ke sana dan menyewa bot dengan harga RM40. Kami memancing disebelah malam walaupun perancangan awal ialah pada waktu siang. Ini berikutan dengan hujan lebat yang turun sepanjang hari.

Mengikut petua, udang galah akan lari apabila hujan turun, tangkapan akan merosot teruk kerana air yang keruh dan udang tidak nampak umpan. Walau bagaimanapun kami tetap mencuba dengan berumpankan cacing, anak udang hidup dan perumpun nipah bagi menjinakkan udang galah di sini

Hasilnya, kami membawa pulang kira-kira tiga kilogram udang galah ke jeti pada jam 6 pagi. Paling menyeronokkan ialah kami memancing sambil dikelilingi kelip-kelip. Cahaya kelip-kelip itu sungguh mengasyikkan sehingga kami tidak langsung berasa letih memancing walaupun ada ketikanya umpan tidak disentuh selama satu jam.

Kini, ketika empangan Sungai Selangor yang semakin hampir menjadi realiti pembinaannya, penulis hanya mampu berharap agar kelip-kelip dan udang galah Kampung Kuantan akan terus menjadi suatu faktor penarik pelancong domestik dan luar negeri ke situ.


 
Hosted by www.Geocities.ws

1