Catcha Malaysia
Main Special Saltwater Estuary Freshwater Prawning Species Workshop First Aid Hot Spot
 
Mengubah Suai Joran Panjang
Oleh : Pok Mud's : PANCING

Ramai di kalangan pemancing yang baru berjinak-jinak dalam hobi ini menggunakan joran sepanjang 7 kaki ke atas. Ini mungkin kerana belum berani turun ke laut (naik bot/sampan) atas alasan mabuk laut. Lagipun, joran 7 kaki ke atas mudah diperolehi di pasaran dan juga murah. Joran yang panjang ini sesuai digunakan untuk kebanyakkan padang pancing seperti lombong, sungai, kolam semulajadi, pantai, jeti atau jambatan. Biasanya joran jenis bahan asas gentian kaca (fiberglass) bersambung digunakan. Apabila ditanggalkan panjangnya menjadi separuh dan tidak menjadi masalah menyelitkannya pada 'kapcai' atau basikal tua.

Apabila minat sudah mendalam, ramai yang sudah berani mencuba kawasan luar pantai seperti menyewa bot atau memiliki sampan sendiri. Mana boleh tahan ikan kecil saja yang diperolehi di kawasan tepi. Walaupun begitu, ramai lagi yang masih menggunakan joran panjang ketika memancing di atas bot kerana faktor-faktor berikut:

  • Tak tahu jenis dan panjang yang sesuai serta kombinasi peralatan.
  • Itu saja joran yang ada.
  • Sayang (sentimental value) dan sesetengahnya, kata "ada 'luck'."

Ini juga banyak berdasarkan pengalaman saya sendiri, joran yang terlalu panjang sukar untuk dikendalikan ketika memancing di atas bot atau sampan terutama ketika hendak memasang umpan. Banyak kes 'member' di depan disondol dengan hujung joran. Masalah sebegini lebih merumitkan jika bot berkenaan ada atap dan berbumbung rendah. Bila disentap bumbung yang ditalanya.

Ilham timbul dari pengalaman, saya mula mengubah suai joran yang panjang yang biasa digunakan untuk pancingan bot. Ada juga joran yang panjang disimpan untuk memancing pantai atau batu apabila diperlukan.

Joran perlu diteliti sebelum kerja-kerja pemotongan dibuat. Salah satunya ialah menilai supaya kesan keupayaan joran tidak terjejas dari sudut keseimbangan agihan daya lenturan. Jika tidak, ia dah tak ngam lagi untuk digunakan. Selain itu, faktor kos perlu juga diambil kira kerana kos pengubahsuaian mungkin lebih mahal sewaktu dibeli dahulu.

Berikut adalah langkah-langkah untuk proses pengubahsuian joran panjang untuk dijadikan joran pendek (bot dan kolam komersial):

Langkah 1

Contoh joran lama, model DAM Classic 7'6" yang telah ditanggalkan cincin kecuali cincin hujung sebagai penanda.

Langkah 2

Joran dipotong di hujung pangkal pemegang depan. Kedua-dua bahagian boleh digunakan. Di sini saya memilih pangkal yang mempunyai pemegang kekili sedia ada. Kalau pangkal sebelah kiri yang hendak digunakan, pemegang kekili dan pemegang getah baru diperlukan.

Langkah 3

Pemegang getah depan dibuang untuk kerja-kerja pemasangan penyambung besi yang baru. Saiz sama atau besar sedikit dengan hujung yang tidak dipotong.

Langkah 4

Kikir dan kertas pasir digunakan untuk mengecilkan sedikit diameter agar ia padan dengan penyambung besi tadi.

Langkah 5

Penyediaan pemegang getah baru (eva). Eva perlu dipotong sama panjang atau panjang sedikit dari hujung pemegang kekili (real seat) hingga hujung penyambung.

Langkah 6

Penyambung diuji pasang bersama panjang eva yang bersesuaian.

Langkah 7

Gam Araldite cepat kering (5 minit) digunakan untuk melekatkan penyambung besi pada batang joran yang dilicinkan.

Langkah 8

Gam Araldite kering perlahan (90 minit) digunakan untuk melekatkan pemegang getah. Pita pelekat kertas digunakan jika diameter joran lebih kecil dari diameter eva.

Langkah 9

Cincin diikat sementara pada batang joran. Susunan cincin diikat berpandukan jenis kekili pemilik joran. Contoh, kekili disyorkan ialah Shimano Baitrunner 3500 atau sama saiz.

Langkah 10

Lenturan joran diuji sebelum dicat. Kertas pasir halus saiz 400 - 500 disyorkan untuk melicinkan batang joran. Warna pilihan adalah coklat.

Langkah 11

Benang asas metalik diikat terlebih dahulu sebelum memasang cincin untuk hasil yang lebih cantik. Corak dibentuk melalui gabungan benang metalik dan benang biasa.

Langkah 12

Proses salutan gam jernih (varnish) selama 3 jam. Lapisan kedua digam selepas 6 hingga 12 jam salutan pertama.

Joran sudah siap.
Asal : 7'6"
Warna : Cerah
Baru : 5'6"
Warna : Coklat








 
Hosted by www.Geocities.ws

1