Catcha Malaysia
Main Special Saltwater Estuary Freshwater Prawning Species Workshop First Aid Hot Spot
 
Eksperimen Sebarau Sungai Kiang
Oleh : Halimi Abu Hanip & Dr. Sakri Ibrahim : PANCING

Kaki-kaki pancing yang biasa ke Tasik Kenyir pastinya ada yang tidak pernah mendengar nama Sg. Kiang. Biasanya sungai-sungai yang jauh dan mencabar seperti Sg. Cacing, Sg. Petuang dan Sg. Petang sahaja yang sering diselongkar lubuknya tetapi jangan disangka sungai yang dekat-dekat tidak menarik dan sudah kehabisan sumber perikanannya. Jika hendak tahu sebenarnya Sg. Kiang adalah sungai yang paling hampir dengan Pengkalan Gawi dan anda boleh sampai dalam masa 15 minit sahaja dengan bot kecil berenjin 10 kuasa kuda. Walaupun sungai ini kelihatan agak terpinggir daripada kunjungan tetapi terdapat juga tempat perkhemahan yang menarik di atas tanjung tinggi dan air terjun di bahagian hulunya. Namun apa yang paling menarik adalah ikan-ikan sebaraunya yang ganas dan agresif menyambar gewang.

Pada bulan Julai hingga Oktober 1997 yang lalu, saya telah berpeluang menjelajah kawasan Sg. Kiang ini untuk menjalankan projek tahun akhir bagi mengenal pasti gewang dan masa yang terbaik untuk memancing ikan sebarau (Hampala macrolepidota). Sebarau merupakan salah satu spesies ikan air tawar negara kita yang sangat gemar menyambar gewang kerana ia bersifat karnivor iaitu gemar memburu ikan-ikan kecil atau benda-benda hidup yang lain. Sg. Kiang dipilih sebagai stesen kajian kerana menjimatkan kos dan masa. Pada masa mula-mula menerokai Sg. Kiang, saya terfikir dalam hati, "Banyak ke ikan kat tempat dekat-dekat ni?". "Ah ... di mana ada air, kat situ pasti ada ikan", bisik hati kecilku. Apabila memancing, kita perlu bersikap yakin dan sentiasa mempelajari semua keadaan untuk beroleh kejayaan. Kita perlu mengenali dan memahami tabiat serta naluri ikan yang hendak dipancing begitu juga dengan persekitaran, kebijaksanaan kita untuk memperdayakannya dan selebihnya terletak kepada nasib ataupun rezeki yang ditentukan olehNya.

Gewang dan masa yang tepat pula adalah perkara pokok yang perlu kita sediakan dan ketahui, jika tidak kita hanya membazirkan masa sahaja kerana setiap jenis ikan mempunyai makanan kegemarannya dan masa-masa tertentu baginya untuk aktif mencari dan memburu mangsa sebagai dietnya. Sepanjang tempoh kajian tersebut, saya serta rakan-rakan dan kaki tangan UPM berkhemah selama tiga hari dua malam di sini setiap dua minggu sekali untuk memancing serta menjalankan kajian ekologi.

Sambaran Pertama Dan Seterusnya

Pada hari pertama dalam pukul 4.00 petang, selepas memacak khemah, saya berjalan bersendirian sepanjang tebing sambil membaling gewang ikan-ikanan jenama Yo-Zuri ke arah lubuk berair hitam coklat yang terdapat sepanjang hulu sungai tersebut. Dari pemerhatian, saya dapati kawasan ini dipenuhi dengan pelbagai spesies ikan kecil seperti ikan kawan, rong, kepar, masai, lampam sungai dan anak-anak kalui. Sedang leka menikmati keindahan sungai ini, tiba-tiba di sebelah kanan, saya lihat anak-anak ikan lampam sungai melompat kerana diserang sesuatu.

Dengan segera gewang dilontar ke arah itu, lalu sepantas kilat joranku melentur disambar sebarau dalam lingkungan 700 gram. Rupa-rupanya sangkaan saya meleset, sungai ini memang banyak sebarau apatah lagi saya mendapat lima ekor lagi dan terlepas serta putus entah berapa kali dibaham dek sebarau besar. Yang syoknya, saya dapat menyaksikan sendiri kerakusan sekumpulan sebarau mengejar mangsanya bak ikan piranha dan jika lontaran gewang tepat ke sasaran, pasti ada sebarau yang menyambar. Apabila menjelang pagi iaitu pada pukul 7.00, tabiat sebarau di sini lebih ganas daripada waktu petang sampaikan saya terkejar-kejar ke sana ke mari untuk melontar gewang ke arah sekumpulan sebarau yang sedang mengamuk!

Kaedah Memancing

Sejak saat itu, saya mula mengatur beberapa langkah, mempelajari tabiat sebarau di sini dan bagaimana untuk mendapatkannya dengan lebih berkesan. Saya dapati kaedah memancing menggunakan bot tidak begitu sesuai di sini kerana airnya agak cetek, ikan pasti takut dan cabut lari. Akhirnya saya memilih kaedah memancing dari tebing kerana ianya lebih sesuai cuma masalahnya banyak tunggul kayu. Bagi mengelakkan sebarau menyedari kehadiran si pemburunya, saya selalu berpakaian gelap kehijauan untuk menyamar dengan keadaan sekitaran, macam hendak memancing kelah pulak!.

Tiga jenis gewang yang mempunyai aksi yang berbeza-beza berukuran antara 5 hingga 7 cm dipilih iaitu ikan-ikanan Rapala Shad Rap, sesudu Abu Toby berwarna emas dan popper Yo-Zuri untuk memperdayakan sebarau. Waktu pagi iaitu antara pukul 7.00 hingga 10.00 pagi dan petang iaitu antara pukul 4.00 hingga 7.00 petang dipenuhi dengan aktiviti memancing sebarau sahaja. Selang 20 minit dalam setiap jam, saya menukar gewang bergilir-gilir. Setiap sambaran dan ikan yang berjaya dipancing dicatat berdasarkan masa dan gewang yang digunakan kemudian diukur panjang serta beratnya.

Kenangan Pahit Dan Manis

Sesungguhnya saya amat kagum dengan keganasan sebarau di sini. Banyak kali tali saya putus direntap sebarau yang melebihi 2 kg. Apa tidaknya, sedang asyik menarik gewang hingga sampai di bahagian yang banyak kayu tumbang, pasti ada sebarau besar yang menerkam bagai harimau lapar. 'Srekkk!!!' ditariknya dan belum sempat hendak mengetatkan sistem drag, dibawanya lari ke celah kayu lalu, 'tuss'. Entah berapa banyak gewang saya yang jadi tukun dan anting-anting pada mulut sang sebarau yang bernasib baik. Pernah sekali sekitar pukul 6.00 petang, seekor sebarau lebih kurang 2 kg menyambar gewang sesudu dan saya berjaya meletihkannya hingga hampir ke tepi selepas 2 hingga 3 minit bertarung tetapi ia berjaya membelit ke celah tunggul yang tegak berdiri. Saya tiada pilihan lain, jika ditarik pasti tali putus digeser kayu itu lantas saya terpaksa turun perlahan-lahan ke dalam air untuk menangkapnya. Rupa-rupanya bapak sebarau itu masih bertenaga, belum sempat dicapai dengan serta merta ia lari macam torpedo dan 'tusss!!' lagi di depan mata. Tergamam saya 10 minit mengenangkan nasib malang. Gewang berharga RM10 terbang, ikan pulak terlepas. Tiada rezeki sebenarnya.

Akhirnya, selepas tekun berusaha tanpa jemu, saya berjaya juga mendaratkan seekor bapak sebarau seberat 1.5 kg pada pukul 7. 15 pagi menggunakan sesudu Abu Toby yang mana pertarungannya sudah cukup menggigilkan kepala lutut kerana takut pisang berbuah dua kali. Inilah sebarau paling besar berjaya saya perolehi sepanjang berkecimpung dalam dunia gila memancing. Syukur Alhamdulillah. Saya juga mendapati, sebarau melebihi berat 800 gram sahaja berupaya memberi tentangan yang hebat sampaikan berbunyi-bunyi sistem drag kekili. Sebarau kecil seberat 200 gram juga rakus merembat gewang tetapi lebih baik dilepaskan semula kategori budak ini.

Gewang Dan Masa Terbaik

Jadual dibawah menunjukkan data sambaran sebarau terhadap gewang berdasarkan masa memancing.

  Sesi Pagi Petang  
Tarikh Masa 7-8 8-9 9-10 4-5 5-6 6-7 Bil
11 Jul 97 Ikan-ikanan
Popper
Sesudu
1
1
3
1
0
1
6
0
0
0
0
0
1
1
1
4
1
1
13
3
6
7 Ogos 97 Ikan-ikanan
Popper
Sesudu
1
0
5
0
0
3
1
0
0
0
0
0
0
0
1
1
0
1
3
0
10
18 Sept 97 Ikan-ikanan
Popper
Sesudu
1
1
3
0
0
3
0
0
3
0
0
1
1
0
1
1
0
2
3
1
13
17 Okt 97 Ikan-ikanan
Popper
Sesudu
2
0
2
0
0
2
0
0
0
0
0
0
0
0
0
2
0
3
4
0
7
  Jumlah 19 10 10 1 6 16  

Sepanjang tempoh empat bulan tersebut, saya mendapati gewang sesudu Abu Toby ialah yang paling digemari sebarau diikuti oleh ikan-ikanan dan popper. Namun setelah dibuat analisa statistik, kecenderungan sebarau menyambar gewang ikan-ikanan sebenarnya menyamai keberkesanan gewang sesudu. Gewang sesudu Abu Toby sememangnya paling dipercayai biarpun lebih murah kerana lontaran jauh dan tepat ke sasaran lebih mudah dilakukan berbanding ikan-ikanan yang agak ringan. Waktu awal pagi iaitu antara pukul 7.00 hingga 8.00 pagi dan lewat petang iaitu antara pukul 6.00 hingga 7.00 petang merupakan masa yang paling kerap gewang disambar sebarau Sg. Kiang. Pada waktu tersebut juga, keheningan Sg. Kiang menjadi riuh seketika dengan bunyi kocakan sambaran di sana sini oleh sekumpulan sebarau yang memburu ikan-ikan kecil di tebing-tebing sungai ini.

Dari kajian ini, saya dapat mempelajari bahawa sebarau lebih cenderung memburu mangsanya menggunakan deria penglibatan berbanding deria pendengaran atau getaran gelombang air permukaan yang dilakukan oleh bunyi 'pop-pop' daripada gewang popper. Oleh sebab itu, gewang sesudu dan ikan-ikanan yang berkilauan lebih kerap disambar. Saya lebih gemar menggunakan tali 10 paun Trilene Berkley Gold kerana lontaran jauh dapat dilakukan apatah lagi dengan kombinasi ideal joran Fenwick Night Hawk 6'6" aksi sederhana ringan dan kekili Abu Cardinal Maxxar. Tali perambut berketahanan 20 paun sepanjang 12 inci digunakan bagi mengelakkan tali mudah putus apabila dirembat ikan ataupun tersangkut.

Tidak Tahan Panas

Kita perlu bingkas bangun pada awal pagi begitu juga pada lewat petang sekiranya ingin mendapat sebarau dengan lebih banyak. Keaktifannya akan menyusut apabila cuaca menjadi semakin panas terutama waktu tengab hari. Pada waktu ini, sebarau lebih gemar berlindung di dasar kerana matanya dikatakan amat sensitif kepada cahaya terik matahari dan kepanasan suhu air permukaan. Melalui pengalaman, saya mendapati sebarau mulai aktif menyambar gewang selepas pukul 4.00 petang. Jika ingin juga memancing sebarau sewaktu cuaca panas, kita perlu melontar gewang ke arah kawasan yang redup seperti di bawah pohon yang rendang ataupun di celah balak yang tumbang kerana biasanya sebarau gemar berteduh di tempat-tempat sebegini.

Kawasan Pembiakkan

Memancing sebarau dengan gewang cuma sesuai sekiranya keadaan air agak jernih. Di Sg. Kiang, biasanya setelah dua atau tiga hari berlakunya hujan yang sangat lebat, kita dapat menyaksikan beratus-ratus ikan lampam sungai mudik ke hulu sungai ini untuk mengempas telur. Suatu pengalaman yang sukar ditemui kini. Waktu ini merupakan tempoh yang paling sesuai untuk memancing sebarau yang sentiasa menunggu mangsanya di kuala sungai tersebut. lanya ibarat pesta bagi masyarakat sebarau. Namun apa yang menyedihkan, belum sempat ikan-ikan tersebut mengawan, ada sahaja manusia yang tamak haloba datang menjaring dan menjala sehingga berguni-guni banyaknya. Sebaik-baiknya, berilah mereka peluang bertelur dahulu kemudian barulah boleh menangkapnya. Inilah sikap segelintir masyarakat kita yang tidak pernah bersyukur dengan sumber alam tanpa memikirkan kesannya kepada ekosistem akuatik di kemudian hari.

Pedoman Musim Tengkujuh

Apabila musim tengkujuh tiba iaitu mulai bulan Disember hingga Februari, kawasan Sg. Kiang ini akan dinaiki air setinggi lebih kurang 20 kaki dan menjadi keruh sedikit. Pada masa ini, memancing dari tebing tidak lagi sesuai dan dengan itu bot diperlukan. Aktiviti sebarau juga sukar dilihat tetapi panduan terbaik ialah dengan mencari sekumpulan anak-anak toman yang sudah besar (panjang 5 hingga 8 inci) dan tidak dijagai sepenuhnya oleh induknya. Kebiasaannya sekumpulan sebarau besar sentiasa mengekori pergerakan anak-anak toman ini bagi mencuri peluang terbaik untuk menyerang. Gewang boleh dilontar di mana-mana bahagian sekitar kumpulan anak-anak toman tersebut dan sebaik-baiknya di kawasan yang banyak kayu atau tepi tebing yang menjadi tempat persembunyian sebarau. Namun, masalahnya anak-anak toman pula yang terlebih dahulu membaham gewang.

Khazanah Warisan

Memancing sebarau dengan gewang sememangnya suatu pengalaman yang menyeronokkan dan Sg. Kiang merupakan padang pancing sebarau yang tidak mudah kulupakan. Tetapi kita harus ingat, keseronokan memancing perlu ada batasnya. Oleh itu, tanamkanlah sikap positif dengan mengamalkan prinsip 'tangkap dan lepas' selari dengan konsep sebenar rekreasi memancing agar khazanah ikan warisan kita ini terus dihargai dan berkekalan di habitat liamya.

Halimi Abu Hanip & Dr. Sakri Ibrahim
Fakulti Sains Gunaan & Teknologi
Universiti Putra Malaysia
Mengabang Telipot, Terengganu.


 
Hosted by www.Geocities.ws

1