Catcha Malaysia
Main Special Saltwater Estuary Freshwater Prawning Species Workshop First Aid Hot Spot
 
Selat Bukit Kemuning
Oleh : Ammar : PANCING

Bangun pukul 4 pagi pada hari minggu amat membosankan. Kalau hari bekerja pun susah bangun, inikan pula hari minggu. Tetapi mengingatkan kata-kata emak yang mengatakan bangun pagi, murah rezeki, saya memaksa mata celik dan selepas membasahkan badan dengan air dingin dari paip (sedingin manalah air paip jika dibandingkan dengan air sungai) pagi hari terasa sedikit segar. Pekena teh panas terasa kehangatan menjalar ke seluruh urat saraf memberi sedikit tenaga untuk mencelikkan mata.

Hari ini saya telah berjanji dengan seseorang di Bandar Kelang pada pukul 5 pagi, mana boleh lambat, nanti orang kata janji Melayu, kata pukul 5 tetapi sampai pukul 6.

Sampai di Kelang masih di bawah masa yang dijanjikan. Bandar Kelang sudahpun sibuk pada masa ini walaupun hari cuti. Orang hubungan masih belum nampak, tak apa la kita yang menunggu bukan dia yang menunggu. Kita dijangka akan sampai ke padang pancing pada pukul 6:30 pagi, sebabnya, kita takut tempat strategik sudah disambar orang, maklumlah pada hari orang tidak berkerja, semua akan berkejar untuk mendapat tempat yang paling strategik.

Bila semuanya sudah bersedia, kereta dipandu menghala ke Bukit Kemuning. Setengah jam dari Bandar Kelang kami membelok ke sebuah kawasan pembinaan jalanraya. Di hujung jalan tersebut terdapat ladang pokok kelapa sawit dan kami berjalan di bawah pokok kelapa sawit selama 15 minit. Padang pancing ini betul-betul terletak di tepi jalan tetapi ladang kelapa sawit yang menutupinya dari pandangan orang yang lalu lalang, jadilah ia sebuah padang pancing yang eksklusif.

Ketika kami sampai sudah ada 3 orang yang telah mendapat ikan. Kelihatan mereka menyimpan haruan tersebut di dalam beg plastik jernih, kita boleh nampak ikan yang berwajah murung dan garang kerana terpaksa berpisah dengan anak isteri. Melihat ke dalam air kelihatan olakan yang menunjukkan ikan sedang bersuka ria.

Kami berempat menggunakan gewang janggut, menurut Wong (orang yang menunjukkan tempat ini), haruan di sini tidak menyambar katak, mungkin haruan di sini sudah mendapat pengajaran akibatnya jika menyambar katak. Namun begitu, setelah setengah jam masih tidak terdapat sebarang sambutan kepada gewang yang dibaling.

Saya menukar kepada umpan katak, namun masih tidak ada sambutan. Hati yang geram membuatkan saya mengharung air separas paha meredah paya. Setelah 100 meter berjalan saya sampai ke daratan di tengah-tengah paya. Saya terpandang kawan-kawan yang berada di tebing paya, kelihatan sayup-sayup. Teraba pinggang tidak ada senjata yang saya bawa. Filem 'Anaconda' yang saya tonton sebelum ini melayang difikiran. Paya yang mempunyai ular besar kelihatan sama seperti tempat saya berdiri. Walaupun saya tahu yang ular jenis itu tidak terdapat di Malaysia tetapi seram juga dibuatnya. Kalaulah ia menunjukkan diri, takkanlah saya nak gunakan mata kail dan joran saja sebagai senjata.

Tiba-tiba terdengar kocakan ikan bermain air, ingatan terhadap filem tersebut segera lenyap, sebaliknya haruan 2-3kg menjelma diingatan. Setelah berjalan agak-agak 20m di bahagian kanan terdapat terdapat bukaan di antara pokok kiambang dan semak samun dimana terjadinya olakan air yang besar. Saya segera membaling katak tetapi tidak ada rembatan. Saya membaling lagi dan menarik perlahan-lahan. Tersangat perlahan sehingga katak menyentuh dasar paya. Saya berhenti seketika apabila tali bergetar. Ikan telah merembat umpan. Ouch! tarikannya begitu kuat tetapi hanya seketika. Ikan telah melarikan diri. Apabila umpan katak dinaikkan ia telah hancur remuk. Setelah berhempas pulas selama setengah hari dan ikan pula terlepas lari, hati pun turut remuk.

Saya balik ke tebing untuk makan tengahari. Sambil menikmati nasi yang dibeli dari kedai mamak, mata saya meliar memerhatikan pemancing-pemancing lain. Di hadapan saya kelihatan dua orang pemancing yang menggunakan cacing dan pelampung. Ini menghairankan saya kerana semua pemancing yang datang ke sini menggunakan katak.

Mungkin mereka memburu ikan lain? Betul sangkaan saya, mereka datang memancing ikan belida. Di tempat asal saya ikan ini dikenali sebagai ikan selat, disesetengah kawasan di Pahang ikan ini dikenali sebagai 'potok'. Perbezaannya dengan belida ialah bahagian belakangnya yang lebih cembung jika dibandingkan dengan belida dan muncung ikan ini lebih pendek.

Selepas menghabiskan makan tengahari, saya menukar sasaran kepada selat. Mencari cacing di kawasan kelapa sawit tidaklah susah. Belek sahaja pelepah kelapa sawit yang jatuh ke tanah sudah ada cacing. Kami semua bertukar kepada joran ringan dan mata kail Gamakatsu, tali berkekuatan 4lb digunakan sebagai perambut. Ikan selat di sini amat ganas memakan umpan. Ikan bersaiz telapak tangan orang dewasa memberikan sentapan yang tak terduga kekuatannya. Mereka berupaya bergerak ke kiri dan ke kanan sebaik tersangkut di mata kail.

Setelah setengah hari tanpa ikan, kami berebut mencari umpan untuk merasa tarikan selat. Ikan tidak berhenti memakan umpan dan kadangkala ada yang rabut dari mata kail dan perambut 4lb adakalanya terputus. Ikan lain seperti tilapia juga adakalanya bertindak merampas umpan cacing yang disediakan untuk selat.

Tanpa disedari masa telah bergerak menghampiri senja. Biasalah kalau terdapat perlawanan yang menarik selalunya kita tidak teringat pada masa yang bergerak.

Hari yang beransur gelap memaksa kami untuk mengemaskan peralatan dan mengucapkan selamat tinggal kepada padang pancing yang terletak di tengah penempatan manusia. Kebiasaannya manusia tidak membenarkan binatang lain terutama ikan hidup dalam suasana aman tanpa pencemaran.


 
Hosted by www.Geocities.ws

1