Catcha Malaysia
Main Special Saltwater Estuary Freshwater Prawning Species Workshop First Aid Hot Spot
 
Antara Toman Sebarau Dan Gajah
Oleh : Asri Ariffin : PANCING

Setelah lebih sebulan merancang, akhirnya aku tersenyum panjang setelah 'big boss' menurunkan tanda tangan hikmahnya di atas borang cuti, terus saja aku menelefon teman sepemancingan, Afzan atau panggilan mesranya abang. "Jom 'brother' kita ke Temenggur. Bagi yang tidak mengetahui, tasik ini terletak di Perak dan bersempadankan Thailand, dihubungi melalui Lebuhraya Timur Barat.

Objektif utama kali ini, toman. Setelah sekian lama mendengar kempen dari abang yang dah kerap mengalahkan toman. Akhirnya aku kalah dan akur untuk ke Temenggur bagi mencari toman dan kali ini kami bertekad untuk mengasah kebolehan menggunakan gewang. Gewang-gewang yang aku ada semuanya dah mengena bapak-bapak 'bass" semasa di USA tapi tidak pernah mengena haruan di kampung. Koleksi gewang abang pula cukup untuk buka satu kedai dekat kampung dan semuanya belum digunakan.

Terdapat tiga 'resort memancing' di Temenggur, Banding Island Resort, Aman Fishing Resort dan Shah Fishing Resort. Banding Island Resort sesuai untuk mereka yang mementingkan keselesaan manakala Aman dan Shah lebih sederhana dan kedua-duanya di atas air. Peringatan, tidak banyak aktiviti untuk mereka yang membawa keluarga (tiada kolam renang, hiburan dan sebagainya) tetapi tempat ini sememangnya syurga untuk pemancing.

Setelah lebih 6 jam memandu kami tiba di Temenggur dan dikejutkan dengan keindahan tasik yang menyambut kedatangan kami. Tangan aku dah gatal untuk memegang joran tetapi hari sudah lewat petang memaksa aku menukar rancangan dengan meronda-ronda dan mengambil gambar pemandangan sahaja. Di dalam perjalanan pulang kami terserempak dengan sekumpulan 6 ekor gajah liar sedang makan-makan di tepi jalan. Walaupun jarak di antara kami dan gajah terlalu dekat, kami hanya berdiam diri dan mengambil gambar. Agaknya 'boss' gajah tahu yang kamera kami tidak merbahaya lalu membiarkan kami memerhatikan anak-anak buahnya makan. Banyak filem dihabiskan untuk adegan yang bukan selalu dijumpai. Filem habis lalu kami pulang untuk makan malam ikan tenggalan kukus dan sambal belacan. Esok hari pertama memancing.

Pagi pertama, perancangan untuk memancing sebarau pada waktu subuh terpaksa ditunda kerana terpaksa berulang alik ke pengkalan kerana kerosakan enjin. Aksi hanya bermula pada jam 8 pagi apabila kaini cuba bermain dengan ibu toman yang sedang mengawal sekumpulan anak. Si ibu lebih cerdik dan tidak mengindahkan gewang-gewang yang kami hadiahkan kepadanya.

Pemandu pancing membawa kami ke sebuah teluk dan di situ aku menyaksikan kehebatan toman buat pertama kalinya. Abang dan Mail, pemandu pancing menjerit, "toman besar..... dua ekor." Gewang abang terus disambar toman dan jorannya menjadi pusingan U ke bawah. Tegangan geledung di tingkatkan tetapi toman lebih gagah dan menarik lebih banyak tali. Belum sempat abang bernafas, tali tersangkut pada kayu-kayu di dasar tasik dan tiba-tiba gewang timbul tanpa toman bersamanya.

Belum sempat aku suara, gewang Mail pula disambar, jorannya melengkung ke bawah. Walaupun gelendung diketatkan sehingga tahap maksima, toman dengan bersahaja menarik tali keluar dan terus tersangkut pada kayu-kayu di dasar tasik. Selang seminit gewang muncul semula tanpa toman.

Mail menurunkan ilmu tomannya kepada kami. Pertamanya, toman di Temenggur akan menarik tali terus ke dasar tasik dan membelitkan tali pada kayu di dasar sambil menyentap-nyentap untuk melepaskan diri. Keduanya, peralatan kami terdiri dari jenis ringan bukan tandingan untuk bapak-bapak toman di sini.

Pada sessi pagi itu hanya Mail seorang Yang berjaya menaikkan seekor sebarau yang sederhana besarnya. Sessi petang pula membuatkan kami semua tersenyum lebar. Kami terserempak dengan sekumpulan anak-anak toman yang sudah agak dewasa, panjangnya 6-7 inci. Menurut Mail, anak-anak toman sebesar ini akan menarik perhatian bapak-bapak sebarau kerana saiz sebesar ini amat di sukai mereka.

Kami mula mengikuti kumpulan anak toman tersebut, walaupun sepanjang 6-7 inci, anak-anak toman sudah berani menyambar gewang yang nyata lebih besar dari perut mereka. Aku membaling gewang Baby-A Fat Bomber di celah-celah balak yang tumbang dan tiba-tiba gewang itu di sambar rakus. Joran Zebco melentur dan tali Spiderwire terus ditarik menghala ke bawah bot. Setelah beberapa minit bertarung, muncul kilauan putih di permukaan air. Mail dan abang terus menjerit, "bapak sebarau." Aku tersenyum lebar dengan sebarau pertama yang beratnya lebih kurang 1 kg.

Rezeki kami semakin bertambah pada petang itu dan abang berjaya menewaskan sebarau pertamanya seberat 1.5 kg. Oleh kerana karni telah mempunyai lauk yang cukup untuk makan malam, bapak sebarau itu kami lepaskan semula setelah di ambil gambar dan dikucup abang. Sekarang ini semakin ramai yang mula memahami konsep tangkap dan lepas semula, tetapi masih ramai yang membawa pulang semua hasil tangkapan mereka hanya untuk dibanggakan setelah tiba di pengkalan atau di rumah. Saya harapkan agar pemancing sedar bahawa sumber semulajadi kita akan pupus jika tidak diberikan perhatian yang rapi.

Rezeki kami pada hari kedua juga arnat menggalakkan, banyak sebarau yang dapat kami tewaskan. Kami hanya membawa balik untuk lauk makan tengahari dan malam sahaja. Yang selebihnya sentiasa kami lepaskan setelah dikucup dan bergambar kenangan agar kekuatan tarikan sebarau dapat terus dinikmati oleh pemancing lain. Tangan kami sakit dan lenguh setelah dua hari bermain gewang di Tasik Temenggur. Banyak sebarau mengena dan hanya seekor toman yang sederhana yang berjaya saya tewaskan. Mungkin toman juga bercuti semacam saya.

Dari pengalaman kami, boleh dikatakan apa saja jenis gewang yang digunakan dapat memberikan hasil. Jika paras air meninggi, gewang yang boleh menyelam dalam (deep diving) perlu di gunakan untuk menarik perhatian ikan. Oleh kerana air di sini agak kehitaman, lebih sesuai gunakan gewang yang yang berwarna cerah seperti merah, kuning, putih dan sebagainya. Satu petua penting buat pemancing yang baru pertama kali menggunakan gewang, otot-otot tangan mestilah kuat kerana apabila menggunakan gewang pemancing hendaklah rajin membaling dan menarik gewang sepanjang masa.

Kami pulang dengan perasaan amat puas. Kami datang mencari toman tetapi telah dipukau oleh keindahan tasik, dikejutkan dikala bertemu gajah dan pulang dengan ingatan bapak sebarau yang rakus menyambar gewang.

Penulis boleh dihubungi melalui e-mail: [email protected]

.
 
Hosted by www.Geocities.ws

1