Catcha Malaysia
Main Special Saltwater Estuary Freshwater Prawning Species Workshop First Aid Hot Spot
 
Pemburuan Siakap Merah
Oleh : Pak Mud : PANCING

Dalam keluaran Pancing bil. 5 saya telah menulis tentang memancing siakap merah di sekitar Pelabuhan Kelang terutama di kawasan perairan Pulau Ketam. Siakap merah di negara kita sendiri mempunyai banyak nama seperti kakap merah, merah bakau, sendarat, jenahak temerah, ungar, kaci-kaci, merah sepang, merah tengah dan merah. Perkataan Inggeris biasanya dipanggil mangrove jack (MJ) atau red snapper dan nama saintifiknya ialah Lutjanus argentimaculatus.

Ramai yang menyatakan siakap merah di kawasan Pulau Ketam kebanyakkannya berasal dari Taiwan. Siakap merah dikatakan mula membanjiri kawasan Pulau Ketam apabila ikan tersebut terlepas daripada sangkar ternakan yang sememangnya berselerak di Pulau Ketam, sehinggakan ada juga pemancing memanggil spesies ini sebagai merah Taiwan. Baru-baru ini dilaporkan banyak sangkar pecah akibat reput dan terkoyak terkena kayu hanyut dan dianggarkan puluhan ribu ikan tersebut telah terlepas yang menyebabkan kerugian lebih RM I juta. Tetapi lebih separuh telah tersangkut pada jaring yang dipasang oleh nelayan selepas kejadian tersebut. Namun banyak lagi yang masih menunggu untuk habuan pemancing. Teori ikan terlepas memang betul tetapi pendapat yang mengatakan ikan ini berasal dari Taiwan sukar untuk saya terima. Kenapa di sebelah Pantai Timur pun terdapat banyak spesies ini, kebanyakan pulau di Semenanjung juga dipenuhi oleh ikan jenis pemburu ganas ini (predator).

Pemangsa

Taburan ikan ini amat ketara di Asia Tenggara, Barat Australia, Mediterranean hingga Terusan Suez. Siakap merah atau biasanya disebut ringkas SM, menghuni di kebanyakan tempat di Semenanjung sama ada di sungai, muara, pantai, pulau malah di tengah laut pun anda tentu pernah melihatnya menjadi mangsa kepada pemancing.

SM boleh membesar sehingga 20 kg dan panjangnya 4 kaki. Saiz sebegini biasanya berada di kawasan batu karang di lautan luas yang amat berbeza habitatnya dengan kawasan berbakau dan berbatu di muara sungai. Warnanya lebih merah dan cantik dibandingkan dengan SM di muara. Kajian juga menyebut, ikan yang berada dalam keluarga siakap ini (Snapper Family @ Lutjanid) mampu mencapai berat I kg dalam masa 9 bulan dan tumbesaran menjadi semakin perlahan selepas saiz ini. Sekarang ini, ianya banyak terdapat di kolam-kolam berbayar di tengah bandar selain sangkar. Sekiranya pemancing tidak mengetahui teknik yang betul, adalah sukar untuk mendapatkan spesies ini walaupun ianya adalah spesies yang tidak begitu memihh bulu dan boleh hidup dalam air yang agak keruh dan tawar. Saya amat gemar bertarung dengan spesies ini yang sememangnya merupakan ikan yang sangat kuat menyentap umpan serta memberi tentangan yang menarik terutama apabila kita menggunakan joran aksi ringan. Barisan gigi yang tajam di hadapannya membuktikan bahawa spesies ini menyambar umpan atau menyerang mangsa tidak kira hidup mahupun mati.

Boleh dikatakan setiap kali turun memancing di sekitar kawasan yang diceritakan pada keluaran lalu, saya tidak pernah gagal menaikan SM, mungkin saiznya tidak begitu besar jika dibandingkan dengan SM laut lepas, tetapi ianya sudah cukup memberikan pertarungan sengit sehingga banyak kali saya gagal untuk menewaskannya di kawasan 'kubu' spesies ini. Sekurang-kurangnya ia memberi kepuasan hobi memancing di muara. Sangkut dan rabut membuatkan anda sukar untuk menewaskan SM walaupun dilengkapi peralatan canggih. Joran aksi sederhana berkekuatan tali dari 10 hingga 20 paun adalah disyorkan kerana tentangan pada permulaan SM meragut umpan dan melarikannya kadang-kala membuatkan pemancing akan kehilangan hasil. Tabiatnya ialah gemar melarikan umpan secara tiba-tiba, berlawanan dan menuju ke arah reba atau tunggul kayu berhampiran yang sememangnya menjadi habitat utama spesies berwarna merah dan ganas ini.

Selepas keluaran dulu, saya banyak menerima pertanyaan dari rakan terdekat tentang kaedah dan petua untuk memancing SM ini. Tiada kaedah dan petua yang perlu diamalkan kecuali kita bijak menggunakan pengetahuan pasang surut air, masa, sedikit kemahiran serta lima deria yang dianugerahkan kepada kita. Tentang umpan, seperti yang saya sebutkan SM tidak memilih bulu, yang penting kita perlu tahu masa dan bila spesies ini 'menjamu selera', dengan itu bersiaplah untuk bertarung dengannya.

Praktikal

Baru-baru ini saya bersama Ishak, orang kuat Persatuan Pengail Selangor dan banyak mengetahui selok-belok perairan Pelabuhan Klang dan sahabat lama, Pak Din seorang pensyarah di GMI turun sewaktu air besar dan arus laju. Program diatur pada hari Sabtu, kebetulan semuanya cuti pada hari tersebut. Kami bertolak dari jeti Persatuan Pengail, tempat Ishak menyimpan bot 19 kakinya. Awal pagi Ishak sudah menunggu kedatangan kami berdua yang lewat setengah jam dari jadual asal. Berbekalkan umpan anak ikan kembong yang diperolehi dari ahli persatuan yang menjaring umpan di kawasan pelabuhan. Rancangan tergendala sebentar apabila enjin 25 kuasa kuda milik Ishak telah kehilangan anod (alat untuk mengurangkan hakisan karat pada badan enjin), akibatnya kami terpaksa menunggu sehingga jam sembilan setengah untuk mendapatkan alat ganti tersebut setelah kedai dibuka. Air pasang pada awal pagi dan air besar ketika senja di Pelabuhan Klang tetapi surut pada tengahari dan tengah malam. Kami terpaksa bergegas ke lubuk pertama kerana SM amat galak waktu air menyorong surut. Lubuk pertama adalah di sebelah kiri Terusan Bagan di kawasan bertanda X bertentangan dengan Pulau Ketam (Lihat Pancing Bil. 5). Jika terlepas peluang ini maka harapan untuk menaikkan SM di kawasan tersebut adalah amat tipis kerana SM sudah beralih ke tengah setelah pokok-pokok kayu tumbang menjelma di permukaan air.

Jadual pasang surut sudah saya perhatikan sebelum turun dan pukul 10.00 pagi tetap memberi kami peluang kerana air masih memenuhi kawasan kegemaran SM. Sampan dilabuhkan di kuala anak sungai dan buntut sampan menghala ke arah Pulau Ketam. Aliran arus keluar dari anak sungai membawa bersama SM yang keluar setelah mencari mangsa di anak sungai tersebut sewaktu air pasang. Ishak mematikan enjin kiri-kira dua meter dari tempat berlabuh agar tidak mengganggu SM yang berada di air cetek. Menurutnya, kalau bising sangat ikan takut dan berkemungkinan ianya akan beredar ke tempat lain.

Pak Din yang baru pertama kali memancing SM mula seronok apabila seekor demi seekor SM berjaya dinaikkan. Pada mulanya, hanya saya dan Ishak saja berjaya menjinakkan SM, tetapi setelah diberi tunjuk ajar barulah Pak Din mula kelihatan sibuk dari kami berdua. Rupanya beliau menggunakan dua mata kail pada satu perambut iaitu satu mati di hujung dan satu lagi dibiarkan bergerak 'hidup' di sepanj ang tali perainbut tersebut. Apabila ikan mula galak, kami hanya menggunakan satu atau dua set joran. Terlalu banyak, .susah untuk mengawal apabila semua joran disentap, takut ikan banyak rabut dari mata kail. Ishak dan Pak Din gemar menggunakan anak kembong yang dipotong kecil manakala saya lebih gemar menggunakan seekor anak kembong. Ini kerana balingan mudah dibuat tanpa menggunakan pemberat. Umpan perlu selalu diperiksa selang lima minit kerana kawasan ini amat banyak ikan buntal dan sering kali pengacau ini mencuri umpan dan memutuskan tali pancing. Boleh dikatakan selang lima minit joran disentap dan peratus peluang hari itu adalah 90% jumlah yang diperolehi berbanding dengan sentapan.

Menjelang tengahari ikan kurang galak dan hanya sekali-sekala saja sentapan terjadi, kalau kena pun saiznya semakin kecil lantas kami berehat sebentar sambil menikmati juadah tengahari yang dibawa. Apabila air semakin surut, masa ini adalah paling sesuai untuk mencari umpan segar iaitu dengan menjala udang di anak sungai berdekatan. Tanda-tanda udang banyak boleh dilihat apabila bot melalui kawasan cetek dimana pada masa yang sama udang akan melompat di permukaan air.

Dalam masa setengah jam sahaja, 4 petak udang hidup diperolehi oleh Ishak dengan jala 12 kaki yang dibawanya. Selepas menukar air bersih supaya udang tahan lama di tengah selat antara Pulau Klang dan Pulau Ketam, kami menuju pula ke 'waktu kedua' SM menyerang mangsa iaitu di kawasan berhampiran Shell Pulau Ketam. Pada waktu ini air mula bergerak pasang dan air agak keruh sedikit. Sampan dilabuhkan kira-kira tiga meter dari pantai pada air yang cetek (kedalaman hanya 4 hingga 6 kaki), tetapi kedalaman akan bertambah dalam masa dua jam pertama dengan cepat.

Pengacau

Setengah jam setelah air bergerak pasang, SM tiba dan kami mula bertarung dengan aksi masing-masing. Kawanan SM yang berenang mencari mangsa ketika air bergerak pasang amat gemar memilih udang hidup yang baru dijala. Umpan ikan mati pun memadai, tetapi kami kehabisannya pada lubuk yang pertama lagi. Umpan udang juga menarik perhatian sembilang dan tetanda. Bagaimanapun ketika ini SM terlebih dahulu merembat umpan sebelum ianya dijumpai oleh spesies lain. Apabila air hampir menutupi tebing sungai, bot-bot nelayan mula menampakkan diri di kuala dan masing-masing kelihatan berlumba-lumba memasuki perairan Pulau Ketam yang sememangnya sentiasa sibuk terutama pada waktu air pasang. Air yang pada mulanya beralun sekali-sekala bertambah kuat dan membuatkan kami memancing dengan langkah yang berjaga-jaga. Sekali-sekala air memercik masuk ke dalam sampan. Walaupun demikian SM masih tetap menyambar umpan kami tanpa menghiraukan bunyi bot yang lalu berhampiran. Kami masih lagi sayang untuk meninggalkan tempat itu dengan mengambil risiko yang tinggi, kerana kebanyakan bot nelayan di Pulau Ketam tidak menghiraukan bot kecil.

Kelekaan memancing terencat jua akhirnya apabila sebuah bot nelayan yang baru balik lalu hanya kira-kira 6 kaki dari sampan kami menyebabkan bot dimasuki air dan membuatkan kami terhoyong-hayang seketika. Tekong bot hanya memandang sinis sahaja seolah-olah kami menghalang laluannya tanpa menghiraukan akibat dari tindakannya itu. "Jom kita beredar ke tempat lain!", ujar Sahak apabila melihat kejadian yang dirasakan semakin membahayakan keselamatan. Dua rakannya juga pernah terkena kejadian seumpama ini sehinggakan sampan yang mereka naiki tenggelam akibat ombak bot yang lalu terlalu hampir. "Tak bagi peluang langsung kita mancing, bukannya kacau depa tu!", Pak Din seolah-olah tidak berpuas hati dengan sesetengah tekong di Pulau Ketam. Maklum saja ikan tengah galak menyerang umpan.

Kami beredar dari lubuk kedua kira-kira jam 5 petang, dan lubuk ketiga waktu air besar ialah di sebelah tepi muara Terusan Bagan. Jika anda keluar dari Terusan Bagan dan menuju ke Pulau Ketam, kawasan ini ialah pada sebelah kiri terusan dan lebih kurang 30 meter dari kuala. Arus yang laju menjadi perlahan sedikit apabila sudah pasang penuh. Air jernih bercampur dengan tompok-tompok air keruh pada waktu air besar ini. Sahak melabuhkan sampan hanya kira-kira 6 meter dari tebing. Pergerakan arus pasang adalah dari arah utara ke selatan. Balingan umpan dibuat hala ke tepi tebing yang sememangnya tempat yang biasa SM berada. Memang benar jangkaan kami, tidak sampai 10 minit, seekor SM yang beratnya kira-kira 600 gram menyentap udang hidup yang ditontarkan oleh Sahak. Sekiranya umpan dicampak ke tengah sedikit, anak-anak gelama dan kadang-kala tetanda terlebih dahulu mengena pancing.

Sedar-sedar jam hampir pukul 7 malam, kami terpaksa berkemas untuk balik ke pengkalan kerana Pak Din ada urusan yang perlu diselesaikan. Lagipun pada waktu begini sang agas dan nyamuk terlalu banyak menyerang kami. Jumlah keseluruhan SM kami pada hari itu melebihi 20 ekor tidak termasuk beberapa spesies lain yang bukan menjadi buruan utama kali ini. Kepuasan terbayang apabila kami selamat tiba di Pengkalan Pengail.

Tamat


 
Hosted by www.Geocities.ws

1