Catcha Malaysia
Main Special Saltwater Estuary Freshwater Prawning Species Workshop First Aid Hot Spot
 
Siakap Merah Tiang Batu
Oleh : Ani Othman : PANCING

Pancing bilangan 1 yang memaparkan rencana jambatan yang menghubungkan Pulau Indah dan tanah besar telah menyemarakkan semangat saya untuk ke sana. Saya melihat sendiri bagaimana pemancing-pemancing menggunakan tangga tali turun ke batu asas jambatan untuk memancing. Timbul satu masalah kerana saya tidak berani memanjat turun walaupun menurut mereka yang biasa tidak ada apa yang perlu dibimbangkan. Jarak dari atas hingga batu asas agak-agak saya 30 meter. "Biarlah saya tidak turun walau pun senangin dan jenahak memanggil-manggil."

Untuk mengelakkan dari berputih mata saya telah menjelajah setiap inci Pelabuhan Kelang mencari lubuk-lubuk yang sesuai menggunakan jalan darat atau air. Sasaran utama ialah mencari lubuk yang membolehkan aktiviti memancing dijalankan dari darat.

Pada permulaannya pencarian saya menemui jalan buntu. Banyak tempat yang pada fikiran saya berpotensi dihalang oleh jaring dan rawai. Setiap kali saya turun padang kelihatan pukat 'zig-zag' di dalam air. Kawasan yang di bangunkan untuk pelabuhan mempunyai papan tanda, 'Di Larang Memancing, Denda RM 500'. Ada juga papan tanda yang menunjukkan gambar pengawal mengacu senapang kepada penceroboh. Benda-benda sebeginilah yang menyebabkan saya terpaksa membeli bot dan menyusur sungai dan laut mencari lubuk.

Setiap hari minggu ditemani beberapa kawan, kami mencuba tetapi gagal. Yang dinaikkan hanya gelama dan ketuka. Ikan bersisik yang bersaiz ok tidak menjamah umpan. Dalam jangkamasa 8 minggu kebelakangan ini, kiraan minggu digunakan kerana kami hanya turun setiap hari minggu, hasilnya menghampakan.

Minggu lepas, saya terpaksa menggunakan jalan darat kerana ketiadaan enjin sangkut, yang ada terpaksa dibaiki dan seorang kawan yang berjanji membawa enjin memungkiri janjinya, saya dan dua lagi kawan terpaksa menggunakan jalan darat. Perubahan akibat pembangunan sangat kuat. Setelah 2 bulan tidak menggunakan jalan darat, saya tidak dapat memasuki kawasan yang selalu saya kunjungi sebelum ini. Masuk lorong sini, ada pagar, masuk jalan sana, ada pengawal yang menghalau kami keluar.

4 jam kami mencari jalan untuk sampai ke pantai tetapi tidak ditemui hinggalah sampai ke penghujung jalan, di kirinya terdapat jalan tanah merah. Kami meredah jalan yang berlubang-lubang dan berdebu tersebut sehinggalah sampai ke sebuah 'padang pasir'. Kereta terpaksa ditinggalkan di penghujung jalan tanah merah dan kami bejalan kaki sejauh satu kilometer. Nasib baik sudah malam kalau siang sudah tentu peluh meleleh.

Lokasi boleh dikatakan baik kerana menghadap laut yang menjadi laluan perjalanan kapal kargo. Jarak laluan dengan pantai saya tidak pasti tetapi apabila ada kapal yang belayar, ombak yang tinggi dan kuat akan menghempas pantai. Saya pernah 'parking' bot di tempat ini dan pada malamnya bot hampir tenggelam di pukul ombak dari kapal yang berlalu.

10 malam barulah kami membuat balingan pertama ke laut lapang. Di sebelah kanan saya terdapat jambatan yang digunakan oleh lori-lori untuk mengangkut kontena ke kapal yang berlabuh dan sebaliknya.

I pagi, umpan kami tidak terusik padahal kami menggunakan udang, sepatutnya tidak banyak jenis ikan yang akan menolak umpan ini. Kebiasaan saya, dari pukul I hingga 3 pagi saya akan tidur kerana pada masa ini ikan juga tidur (teori yang saya wujudkan sendiri). Setelah fajar hampir menyinsing saya bertanyakan kawan yang masih memancing, macam mana? Mereka mengatakan tidak ada ikan mengusik umpan.

Timbul perasaan tidak puas hati dan saya berjalan ke bawah jambatan dan membaling umpan di celah-celah tiang. Dalam 3, 4 tahun mengunjungi Pelabuhan Kelang, inilah kali pertama saya membaling umpan ke bawah jambatan. Pada masa ini air surut dan saya letakkan punggung di atas batu-batu yang dihamparkan dan batu-batu ini terus ke tebing. Terus saya menyiapkan pancing kedua, sambil berharap ikan memakan umpan, mendongak saja kepala, terlihat joran sudah melentur. Tanpa membuang masa, bangun dan memusingkan kekili. Ikan bergerak ke kiri dan kanan cuba melilitkan tali ke tiang yang diselaputi cengkerang tajam.

Rontaan ikan berkurangan dan saya berjaya menaikkan ikan tersebut, seekor siakap merah. Belum sempat memangil rakan-rakan melihat hasil, joran kedua merunduk dengan lajunya, bila di sentap ikan telah melepaskan diri.

Paginya kami pulang dengan perasaan hampa kerana tidak ada perlawanan yang mengasyikkan. Saya pula terfikir mungkin bawah jambatan adalah sarang siakap merah atau hanya kebetulan saya mendapatnya. Sebelah petang saya akan mencuba lagi.

Petangnya, berbekalkan kembung dan udang yang baru dijala saya dan seorang kawan bertolak dengan dua buah motosikal. Sebenarnya dengan motosikal tidak perlu bersusah payah berjalan kaki merentasi 'padang pasir' kerana kenderaan 2 roda ini boleh sampai sehingga ke kawasan pancingan.

Lambat juga, sampai dekat kawasan lubuk pukul 8 malam. Air sedang surut sekarang. Tanpa berlengah saya memasang umpan udang dan batu ladung saiz 2 ke tepi tiang dari tebing. sebenarnya kami membawa 2 batang joran, satu pendek dan satu panjang untuk dua kegunaan. Joran panjang untuk balingan luar jambatan dan joran pendek untuk balingan bawah jambatan. Kawan tersebut menggunakan kepingan kembung tanpa batu ladung untuk 'casting'.

Balingan kali kedua kembung membuahkan hasil kerana ikan merentap ganas dan bila didaratkan seekor siakap merah yang beratnya 800 gram. Betullah! Tempat ini lubuk siakap merah tetapi saya tidak berani mengesahkannya. Pada masa ikan didaratkan saya tinggalkan joran untuk meraikan kejayaan tersebut. Balik ke tempat joran, didapati joran Tornado 9 kaki dan kekili Penn hilang.

Saya segera melompat masuk ke air dan meraba-raba menggunakan kaki mencari joran. Sebelum ini saya telah kehilangan 2 joran berserta kekili di kawasan ini.

15 minit mencari sambil berdoa agar dapat joran tersebut kembali. Hati saya rnenyumpah seranah," mengapa tidak aku mengikat joran", tiba-tiba kaki tersentuh kekili dan dengan hati yang gembira menyelam dan menariknya ke tepi. Ikan masih lagi terlekat pada mata kail tetapi tidak boleh dinaikkan, mungkin ia telah membelitkan tali kepada tiang-tiang yang berceracak. Hairannya bila tegangan dilonggarkan tali akan di tarik keluar tetapi tali tidak boleh disimpan. Joran diletakkan di celah-celah batu supaya berdiri dan isyarat ikan masib ada.

Tak lama kemudian hujan turun dan datang sebuah bot berlabuh di bawah jambatan. Kami memanggil mereka supaya melepaskan tali yang tersangkut tetapi mereka hanya mengangkat bahu dan berpaling ke arah lain. Sombongnya.

Isyarat ikan masih kelihatan dan pada masa yang sama kawan di bawah jambatan mendapat seekor lagi, sama besar dengan yang tadi. Lama-kelamaan saya hilang sabar dan menarik tali supaya putus. Dalam masa yang sama datang seorang pekerja Indonesia dari kawasan pembinaan berdekatan.

"Pasal apa bang", tanyanya. Jawab saya, "lekat kat batu tapi ikan masih ada."

Pekerja tersebut memperkenalkan dirinya, Samsuri."Bang, bagi saya selam bang", balas saya "jangan, merbahaya". Dia duduk mencangkung di tepi joran sambil melihat joran yang bergoyang-goyang. Pada masa ini joran pendek yang saya letakkan bawah jambatan mendapat berita ikan lagi dan kawan saya yang mengangkatnya, juga seekor siakap merah.

Saya masih berdukacita, ikan masih ada tetapi tidak boleh didaratkan dan saya masih mengharapkan ikan tersebut akan keluar dari persembunyian dan memberi peluang kepada saya untuk melawannya. Sedang termenung, Samsuri membuka baju dan kain, hanya tinggal seluar dalam mengharung air, saya berteriak, "woi! air dalam woi!" jawabnya, "tak apa bang, saya mau lihat ikan apa bang." Samsuri berenang ke tiang dan berhenti sekejap, mengambil nafas sebelum menyelam. 10 saat kemudian dia timbul dan menjerit, "ikan besar bang, pari bang, takut aku mau memegangnya."

Perbuatan Samsuri menarik perhatian pekerja Indonesia lain. Sekejap saja tempat itu diserbu oleh 7-8 orang Indonesia. Dua dari mereka menyertai Samsuri walaupun saya cuba melarang, takut jadi perkara yang tidak sepatutnya. Nanti saya yang susah terpaksa ke balai polis melapurkan perkara tersebut. Sekarang 3 orang berjalan ke gigi air dan berenang menuju ke tiang jambatan. 5 minit mereka bertukar-tukar selaman, akhirnya kedengaran jeritan supaya menggulung tali.

Salah seorang dari mereka memegang perambut dan menariknya ke darat, Pari seberat 3 kg dinaikkan. Pari ini kami hadiahkan kepada Samsuri kerana kesungguhannya. Tak percaya saya pari sebesar ini boleh menarik joran ke dalam laut. Semasa kecoh-kecoh begini sempat saya mengintai joran pendek yang disandarkan ke tiang. Seekor sembilang bersaiz kecil meragut umpan. Hairan saya, sepanjang yang saya tahu, sembilang adalah penghuni kawasan dasar yang berlumpur, di sini dasarnya berpasir. Sembilang pun sembilanglah.

Sekarang air surut telah berhenti dan tidak ada isyarat ikan. Kami berehat seketika (sebenarnya menunggu ikan memakan umpan tetapi tidak ada sentapan). Pukul 10 malam, air mulai pasang. Melihat ke arah bulan yang sudah hampir penuh air akan pasang besar malam ini. Ada orang berkata ikan kurang menggigit umpan apabila air pasang besar.

Makin lama air semakin naik dan kami terpaksa keluar dari bawah jambatan dan membaling dari pantai yang berbatu ke bawah jambatan. Kedengaran ikan menyambar dan olakan air di bawah jambatan. Amat susah untuk membaling hingga ke tempat ikan bermain kerana halangan dari tiang-tiang jambatan.

Sehingga dua belas tengah malam air telah pasang penuh. Umpan yang dibaling tidak sampai ke tempat sasaran. Bunyi batu ladung terkena tiang memekak, memberi hiburan di kala sunyi sepi. Lampu pelabuhan telah ditutup dan keriuhan pekerja juga hilang. Yang tinggal kami berdua dan deburan air menghempas pantai.

Balingan pertama pada masa air pasang penuh tidak sampai ke sasaran, terkena tiang dan jatuh lima kaki dari tempat kami berdiri."Biarlah malas aku nak baling sekali lagi." Pusing saja untuk mengambil joran satu lagi, kawan menjerit,"tu, ikan dah lekat! Hairan saya ingatkan dia bergurau. Dalam tidak percaya, betul, joran melengkung kuat. Saya berjaya mendapat siakap merah di kawasan yang tidak disangka. Sah, tempat ini betul-betul lubuk siakap merah, jika tidak takkan lemparan 5 kaki dari tebing memberikan hasil. Kebiasaannya saya akan tidur pada waktu begini kerana ikan tidur. Aksi tadi menyegarkan saya, umpan ditukar dan sekali lagi di tempat yang sama, sekarang dak tersilap baling lagi.

Saya bersedia menunggu ikan meragut umpan dan satu sentapan terjadi yang terus mengheret joran dan kekili ke dalam air. Nasib baik saya sudah bersedia, ikan cuba membawa tali dan rontaannya sungguh kuat. Walaupun kekiii Daiwa BG 15 di tingkatkan tegangan, ikan masih berupaya membawa tali keluar. la berjaya mencuri tali dan berlindung di sebalik tiang. Apabila saya menggarau tali, ia masih mencuri lagi tali dan semakin jauh. Ini bukan rontaan siakap merah yang diperolehi sebelum ini. Ikan tidak merasa letih walaupun tangan saya sudah lenguh menahannya. 2,3 minit kemudian ikan keluar dari tiang menuju ke laut lepas. Sekarang peluang saya menariknya dan seekor siakap batu di naikkan. Wah! siakap batu lebih kuat dari siakap merah.

Ikan ini tidak pernah saya dapat dan ia juga adalah penamat untuk pancingan kali ini. Ini adalah lubuk yang terbaik pernah saya jumpai menggunakan jalan darat dan perlawannya amat menarik. Kami akan datang lagi memburu siakap, kami percaya bunyi kocakan air datangnya dari spesis ini. Kami akan balik dan belajar tentang siakap sebelum kembali.


 
Hosted by www.Geocities.ws

1