Catcha Malaysia
Main Special Saltwater Estuary Freshwater Prawning Species Workshop First Aid Hot Spot
 
 
Rahsia Belida
Oleh : Aznir Malek : PANCING April 1998

Saya katakan belida ikan yang unik kerana bentuk tubuhnya yang berbeza dari ikan lain. Tidak ada ikan tempatan lain yang seiras dengannya, kalau adapun yang paling dekat mungkin tapah. Dengan rahang yang luas, misainya dan perut yang menggeleber, perbezaannya amat ketara.

Belida ialah ikan yang nipis jika dilihat dari pandangan atas, lebih nipis dari lampam. Mungkin pada pandangan pertama kita mengatakan ia tidak besar. Sebenarnya belida ialah ikan yang pembesarannya tidak terhad.

Dua ciri utama belida ialah sirip dorsal yang bersambung dengan sirip ekor dan membentuk ekor. Bolehlah kita katakan bahawa sirip anal juga ekor belida. Jika kita memerhatikan belida, cara pergerakannya ialah 45 darjah. Kepalanya akan condong 45 darjah kebawah. Ini adalah kesan dari kayuhan sirip anal yang menolaknya ke depan.

Pergerakan sirip anal di dalam air sama seperti kibaran bendera ditiup angin dan membalas setiap pantulan cahaya yang menimpanya. Nama saintifik dan nama dalam bahasa inggeris diambil sempena kecantikan yang ada pada sirip belida. Perkataan 'notos' berasal dari Greek bermakna belakang dan 'pterygion' ialah bulu.

Belida ialah ikan dari golongan clupeiformes, badan seperti ikan 'herring'. Ikan lain yang termasuk dalam golongan ini ialah ikan parang (Chirocentrus dorab) dan ikan bilis (Stelophorus commersonii). Kelisa yang dikenali antara ikan tempatan yang garang adalah dari golongan ini.

Kepelbagaian

Terdapat dua spesies belida yang lazim dijumpai di Semenanjung Malaysia. Yang paling kecil ialah Notopterus notopterus. Kebiasaannya dijumpai di sungai-sungai kecil, paya atau lombong. Mulutnya lebih pendek dari Notopterus chitala. Jarak sirip dorsal dan kepala lebih dekat, orang Melayu di utara dan Kelantan memanggilnya ikan selat. Saya masih teringat memancing ikan ini di Sungai Korok, Perlis semasa kecil. Saya amat tertarik dengan warna keperakan pada badannya. Setiap hari saya mesti mendapatkan selat, paling tidak pun seekor untuk melihat sinaran pada badannya apabila ia bergerak.

Ikan selat senang dipancing menggunakan umpan cacing atau udang kecil. Mereka biasanya berkumpulan, jika mendapat seekor, kita tahu di bawah sana masih banyak lagi. Seekor demi seekor akan menelan umpan dari tempat yang sama sehinggalah ikan terlucut dari mata kail. Buruan kita yang lain akan terkejut dan takut untuk memakan umpan. Lebih baik beredar mencari kawasan lain.

Di lombong lama di Subang dan Puchong (yang sedihnya sekarang telah ditimbuni bangunan dan kawasan perumahan) saya menggunakan perambut 6lb sepanjang 6 inci, mata udang nombor 10 yang dilekatkan cengkerik atau udang hidup.

Setiap kali pergi memancing saya boleh mendapat lebih dari 20 ekor. Perlawanan tidak begitu memberangsangkan kerana ikan akan mengikut sahaja apabila kekili diputarkan. Hanya ragutan permulaan sahaja yang menyenangkan, joran Ugly Stik membengkok apabila mereka meragut umpan.

Untuk perlawanan yang hebat dan mendebarkan, saya menyarankan anda mencari Notopterus chitala. Untuk memburunya memerlukan kesabaran dan usaha yang tidak boleh dikatakan ringan. Jenis besar ini hanya boleh dijumpai di kawasan pendalaman atau sungai-sungai besar.

Perjalanan saya di negara kita telah menemukan saya dengan tempat yang dihuni oleh gergasi ini, Tasik Cenderoh dan Kenering di Perak, sebahagian Sungai Muar dan Tasik Bera. Terdapat juga di sebahagian sungai di Pahang dan Selangor tetapi amat sukar dijumpai. Saya mencarinya berpandukan kepada pengetahuan penduduk tempatan. Satu alasan untuk memperpanjangkan silaturrahim dengan penduduk pendalaman atau kampung.

Dua spesies belida yang tidak terdapat di negara kita ialah belida yang mempunyai 'bunga' atau tanda di bahagian bawah tubuh menghala ke bahagian ekor. Bagaimanapun sejak kebelakangan ini ia telah banyak ditemui di lombong-lombong. Satu spesies berasal dari Thailand dan satu spesies lagi berasal dari Indo-China. Spesies dari Indo-China lebih cantik dan menarik.

Teknik Menangkap Belida

Belida menyukai kawasan sungai berair dalam tanpa mengira air mengalir perlahan atau laju. Kawasan lubuk juga didiami oleh ikan ini.

Kebiasaannya ia mendiami kawasan dasar mencari siput dan ikan-ikan kecil. Cara belida berenang ialah condong 45 darjah dengan kepalanya menghala ke bawah.

Penglihatan belida amat baik, mungkin kerana rumahnya yang sentiasa gelap. Saya mengatakan demikian berdasarkan belida akuarium. Pada siang hari belida tidak aktif dan pergerakannya lembab. Malamnya apabila lampu akuarium ditutup akan kedengaran ikan bermain air dan keesokannya anak-anak ikan kecil seperti sepat dan 'guppie' hilang atau mati.

Apakah umpan yang terbaik untuk belida? Saya mempunyai 4 umpan kegemaran, udang, sepat, puyu dan haruan kecil. Umpan terbaik ialah udang air tawar. Matanya yang bersinar merah memberikan kesan yang terbaik didalam air yang gelap. Udang ini hendaklah hidup dan udang yang dibeli dari kedai ikan akan memberikan hasil yang tidak memuaskan. Jika belida tidak menyentuh udang yang kita hidangkan, ikan-ikan lain seperti lampam, kerai dan kalui akan menyembatnya. Jadi kita tidak akan bersahaja.

Peralatan yang terbaik untuk memancing belida ialah menggunakan batu ladung di bahagian bawah. Bagaimanapun ia bergantung kepada arus, batu hidup biasanya digunakan di kawasan air mengalir perlahan seperti tasik dan lombong. Untuk kawasan berumput rampai di dasarnya, gunakan batu hidup dan panjangkan perambut sehingga 4 kaki. Ditengah-tengahnya letakkan pelampung supaya umpan berada dibahagian tengah air. Ini menyenangkan ikan melihat umpan.

Belida ialah ikan yang kuat rontaannya, oleh itu menggunakan mata kail yang betul adalah mustahak. Jenama Daichi dan Mustad adalah pilihan paling sesuai.

Saya biasanya menggunakan perambut 20lb dan tali utama 15lb. Ini sudah boleh dikira minimum. Keupayaan peralatan hendaklah ditingkatkan mengikut keadaan air dan ikan. Untuk peluang yang lebih baik, gunakan tangsi yang tahan calar. Perlawanan dengan belida memakan masa dan persekitarannya dipenuhi batu dan kayu. Tali yang saya gunakan ialah 'Maxima Chemeleon, Tortue, Daiwa Crystal Clear dan Samurai Green'. Warna tali tidak mustahak kerana sarang belida di selubungi kegelapan.

Belida Gergasi

Sehingga mana belida boleh membesar? Kita selalu melihat gambar ikan seberat 3-5kg. Saiz yang kecil tetapi ia dapat memberikan perlawanan yang hebat dan menarik.

Pengalaman En. Ismail semasa perjalanan ke Kuala Lipis mungkin dapat memberikan gambaran. Dia terjumpa seorang lelaki tua di sebuah gerai di tepi jalan yang memberitahunya terdapat seekor belida besar di sungai di belakang rumahnya. Maklumat sebegini biasanya banyak kita dengari tetapi kebanyakannya tidak mendatangkan hasil.

Ismail mengambil keputusan untuk mencuba nasib berumpankan udang air tawar. Setelah sejam menunggu, belida akhirnya tercangkuk di mata kailnya. Pertarungan berlangsung lebih sejam. Dia terpaksa melompat ke atas perahu dan mengikut ikan tersebut untuk mengelakkan dari tersangkut pada batu dan kayu yang tenggelam di situ. Masa dia mendaratkan ikan baru dia menyedari yang peluh membasahi bajunya dan tangannya menggeletar, beratnya berkurangan beberapa paun. Berat ikan mencapai 10kg.

Belida paling besar pernah saya ketahui ditangkap ialah dari Tasik Kenering, beratnya 25kg. Fakta ini didapati pada tahun 1985. Seperti selalu tiada bukti yang lengkap. Fakta ini tidak salah mengikut pengalaman saya yang pernah melihat belida sepanjang 2-3 kaki yang bermain air di Empangan Temenggor. Bukan seekor tetapi banyak. Di kawasan toman sepanjang 5 kaki, kalui seberat 10kg dan haruan 7kg, perkara ini tidak mustahil.

Belida, antara ikan tempatan yang terbesar, sekarang menuju kepada kepupusan. Mendapat ikan seberat 7kg adalah nasib yang teramat baik. Sekarang mendapat ikan seberat 3kg sudah dikira besar.

Belida boleh dikatakan permata ikan tempatan dari segi rupa paras dan perlawanannya. Menjejak belida juga adalah sesuatu yang menarik dan tidak membosankan.


 
Hosted by www.Geocities.ws

1