C-130 Hercules 'Charlie'

oleh
Prof. Madya Ahmad Faisal Alias
e-mail me: [email protected]


c130_tudm

Pengenalan

Pesawat Charlie C-130 Hercules keluaran Lockheed Aeronautical Systems Company (Lockheed-Martin) telah lebih empat dekad berkhidmat di seluruh dunia namun ianya masih lagi dalam pengeluaran dan yang lebih mengagumkan lagi, tidak banyak perubahan fizikal yang dialaminya. Spesifikasi asal untuk pesawat misi angkutan udara taktikal 'intratheater' ini dikeluarkan oleh Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) di awal 1950an untuk sebuah pesawat yang boleh dioperasikan dari landasan terbang yang pendek dan ringkas (short and rough dirt strips) dan adalah pesawat pengangkut pengguguran payung terjun (paradropping) anggota dan peralatan tentera ke kawasan-kawasan pertempuran.

Sejarah gemilang Hercules bermula apabila prototaip pertama Lockheed YC-130 terbang buat pertama kali pada 23 August 1953 dari Burbank, California. Model pengeluaran pertamanya, C-130A (219 unit telah dipesan dan diterima bermula Disember 1956) menggunakan empat enjin turboprop Allison T56-A-9 atau T56-A-11. Dua buah dari pesawat-pesawat ini telah dibina sebagai DC-130A pelancar/ pengemudi 'drones' (pesawat tanpa juruterbang). Setiap pesawat DC-130A mampu membawa sehingga empat buah drone pada pylon-pylon di bawah sayapnya. Drone-drone ini selalunya digunakan sebagai pesawat peninjau untuk mengintip perkumpulan, pergerakan atau aktiviti ketumbukan musuh di kawasan-kawasan yang dianggap terlalu bahaya atau sensitif untuk pesawat peninjau biasa. Satu perkara yang amat menarik mengenai kesemua pesawat-pesawat C-130 adalah peralatan khas yang dipasangkan padanya boleh dibuka/ubahsuai dengan pelbagai kombinasi dan membolehkannya digunakan samada semula sebagai pesawat pengangkut barangan (freighters), pengangkut penyerang (assault transports) atau pesawat ambulans.

Pada April 1959 pesawat pertama dari 134 buah C-130B yang menggunakan turboprop Allison T56-A-7 mula dibekalkan kepada USAF. Ianya banyak digunakan oleh unit-unit Air National Guard dan Air Force Reserve untuk misi-misi melawan kebakaran dari udara. Walau bagaimanapun, enam unit C-130B telah diubahsuai pada 1961 untuk kegunaan mencari dan menyelamat secara rengutan (snatch search and recovery) satelit-satelit rahsia USAF yang telah mendarat dari Lautan Pasifik. Pengeluaran C-130 diteruskan dengan model E dan H tanpa sebarang perubahan fizikal yang ketara kecuali enjinnya di mana keupayaan C-130H telah dipertingkatkan dengan menggunakan enjin turboprop Allison T56-A-15.

c130_lapes

Peranan dan Keupayaan

Dalam peranan sebagai pengangkut anggota, C-130A/B/E/H boleh memuatkan sehingga 92 penumpang atau 78 anggota tempur atau 64 anggota payung terjun (paratroops) yang bersenjata lengkap yang duduk di atas dua baris kerusi yang menghadap ke bahagian dinding pesawat (anggota-anggota payung terjun akan keluar melalui pintu di kedua-dua belah bahagian pesawat di belakang bahagian 'landing-gear fairing' atau melalui pintu 'airdrop ramp' besar di belakang pesawat). Sebagai pesawat hospital, ia boleh memuatkan 74 anggota yang cedera dengan 2 orang anggota perubatan. Pada pertengahan 1990an, Lockheed telah memperkenalkan model C-130H-30 iaitu pada asasnya adalah C-130H yang dipanjangkan dengan menambah 4.572 meter pada bahagian fuselagenya. Dengan ini, ia mempunyai kapasiti kargo yang lebih tinggi (atau 128 penumpang, 114 anggota tempur, 92 anggota payung terjun, 97 anggota cedera dengan 4 anggota perubatan) di samping mengekalkan prestasi asasnya.

Pada penghujung 1990an, Lockheed-Martin sekali lagi memperkenalkan model terbarunya C-130J di mana buat pertama kalinya Hercules telah mengalami transformasi yang agak drastik walaupun masih mengekalkan bentuk asalnya yang unik. C-130J telah dilengkapkan dengan enjin turboprop Allison AE2100D3 yang lebih efisien dan berkuasa, membolehkannya terbang dengan lebih jauh dengan muatan kargo yang lebih tinggi. Satu ciri yang paling unik pada C-130J adalah kipas turbopropnya mempunyai enam bilah berbanding dengan empat bilah pada model-model sebelumnya (manakala unit-unit awal model C-130A mempunyai kipas 3 bilah). C-130J juga diberitakan mempunyai dek penerbangan yang lebih canggih berbanding dengan model-model terawal kerana dilengkapkan dengan panel-panel dan skrin-skrin paparan CRT (cathode ray tubes) dan HUD (head-up display).

'Versatility' C-130

c130_tudmC-130 juga adalah di antara pesawat yang paling 'versatile' dan boleh digunakan dalam pelbagai konfigurasi lain. Contohnya, EC-130E Volant Solo adalah Hercules yang lengkapi pelbagai peralatan elektronik canggih untuk misi peninjauan dan perisikan elektronik dan telah banyak digunakan semasa konflik di Vietnam, dalam serangan tentera Amerika ke atas Grenada dan Panama serta di pinggir ruang udara Jerman Timur/Pakatan Warsaw ketika Perang Dingin sedang di kemuncaknya. Peranan utama Volant Solo I dan II adalah untuk memintas dan mencuri dengar komunikasi pihak musuh. EC-130H Compass Call pula adalah versi yang digunakan untuk mengganggu/menyerak sistem perhubungan musuh (communications jamming) manakala EC-130Q pula adalah variant yang digunakan oleh U.S. Navy bagi membantu komunikasi kapalselam. Satu lagi variant EC-130 adalah sebagai pesawat pemerintah (airborne command post) untuk mengawal operasi-operasi tempur di bumi.

EC-130

Satu lagi versi yang unik Hercules adalah AC-130 Spectre 'gunship' yang amat digeruni oleh gerila-gerila Vietcong (VC) dan tentera Vietnam Utara (NVA) semasa konflik di Vietnam 1968-1975. AC-130 Spectre dilengkapi pelbagai peralatan pengesan (sensors) namun apa yang menghantui pihak musuhnya adalah sistem persenjataan yang dibawa oleh Spectre. Di antaranya adalah empat laras 'Gatling minigun' 7.62mm yang setiap satu boleh memuntahkan sehingga 6,000 butir peluru seminit (kadangkala digantikan dengan meriam ringan Gatling 20mm) di samping dua laras meriam Bofors 40mm dan akhir sekali selaras meriam 'howitzer' 105mm yang dipasangkan pada 'ramp' di bahagian belakangnya. Spectre sangat berkesan digunakan pada waktu malam terhadap sasaran-sasaran terdedah seperti ketumbukan gerila-gerila Vietcong yang sedang bergerak atau menyerang kedudukan-kedudukan tentera Amerika atau Vietnam Selatan (kadangkala digabungkan bersama pesawat AC-47 Spooky atau lebih dikenali dengan gelaran Puff the Magic Dragon). Pesawat ini juga telah digunakan dengan berkesan dalam operasi-operasi ketika menakluki Grenada, dalam serangan ke atas Panama dan ketika Operation Desert Storm. Spectre juga amat berkesan apabila digunakan dalam serangan Amerika ke atas puak Taliban dan pejuang-pejuang Al-Qaeda di Afghanistan.

Semasa konflik Vietnam juga C-130 pernah digunakan peranan-peranan lain seperti untuk menggugurkan sejenis bom seberat 20,000 paun (dinamakan Daisy Cutter) di tengah-tengah hutan belantara Vietnam yang dikenalpasti sebagai markas atau tempat pergerakan/ perkumpulan gerila VietCong (VC) dan unit tentera Vietnam Utara (NVA). Bom ini boleh memusnahkan kem-kem VC/NVA yang terlindung di bawah kanopi hutan di samping boleh mengwujudkan tempat pendaratan helikopter penyerang pasukan kavalri udara dengan serta-merta untuk operasi mencari dan memusnah (search and destroy) atau pembersihan (mop up). Daisy Cutter digugurkan melalui pintu kargo di belakang pesawat dengan menggunakan rengutan parachute dan akan meletup beberapa puluh kaki di ruang udara (air-burst). Kawasan lapang yang terhasil dari 'air-burst' Daisy Cutter akan meranapkan suatu kawasan yang agak luas dan membolehkan sehingga empat buah helikopter UH-1 'Huey' dari pasukan kavalri udara U.S. Army mendarat secara serentak dan terus melancarkan operasi sambil diawasi oleh helikopter AH-1 Cobra atau Huey 'gunship'. 'Daisy Cutter' sekali lagi menarik perhatian dunia apabila dikeluarkan dari simpanan setelah sekian lama untuk digunakan dalam serangan Amerika di Afghanistan. (Taktik yang sama menggunakan Hercules sebagai pengebom juga pernah digunakan oleh angkatan udara Argentina semasa peperangan Falklands di Atlantik Selatan namun tidak mencapai sebarang kejayaan kerana bom-bom tersebut digugurkan dari paras yang sangat tinggi dan tiada sistem membidik dan kawalan yang efektif).

'Charlie' juga boleh dilengkapkan dengan sistem radar (dibawa di dalam 'rotodome' yang berbentuk piring di bahagian atas fuselage) dan bertindak sebagai pesawat amaran awal (Airborne Early Warning and Control System - AEW&CS) atau AWACS. Pesawat sebegini sedang/dalam cadangan untuk digunakan oleh perkhidmatan kastam Amerika Syarikat (US Customs Service) dan Agency Penguatkuasaan Dadah (Drug Enforcement Agency-DEA) untuk membenteras kegiatan penyeludupan di sempadan dan perairannya. Pesawat-pesawat ini juga dilengkapi dengan Forward Looking Infra Red (FLIR) untuk menjalankan fungsi peninjauan/intipan pada waktu malam atau ketika cuaca buruk/berawan/kabus.

c130_tudm Pengawal Pantai Amerika Syarikat (US Coast Guard) adalah satu lagi agensi yang menggunakan Hercules jenis ini dengan versi HC-130H untuk tugas-tugas mencari dan menyelamat (SAR), meninjau ketulan-ketulan ais yang hanyut dan rondaan maritim (Terdapat juga versi C-130H-MP yang khusus untuk rondaan maritim seperti yang pernah dioperasikan oleh Malaysia dan Indonesia). Dalam operasi SAR pesawat pengawal pantai membawa bersama rakit penyelamat getah berserta peralatan 'survival' lain yang akan digugurkan kepada mangsa-mangsa yang ditemui sementara menunggu mereka diselamatkan oleh pasukan penyelamat di permukaan.

c130_tudm Satu lagi variant HC-130 juga digunakan dalam tugas-tugas bantuan sokongan serta arahan dan kawalan (command and control) dalam misi-misi mencari dan menyelamat kombat (combat search and rescue) untuk menyelamatkan juruterbang pejuang yang ditembak jatuh di wilayah musuh (seperti yang pernah dilakukan di Vietnam, Bosnia dan Yugoslavia) bagi mengiringi helikopter-helikopter penyelamat CH-53 Super Stallion.

MC-130E pula adalah variant yang digunakan khusus untuk membantu pasukan-pasukan khas/elite (Special Operations Forces-SOF) menghantar, menyokong dan memungut agen-agen rahsia atau anggota komando dari wilayah musuh. Lazimnya variant ini mempunyai bahagian 'nose radome' yang lebih besar untuk memuatkan 'terrain-following radar' untuk membolehkannya diterbangkan pada paras yang amat rendah bagi mengelakkan dari dikesan oleh radar pertahanan udara musuh. WC-130 pula adalah variant untuk peninjauan kaji cuaca manakala KC-130 pula adalah pesawat penangki (aerial-tanker) yang banyak dioperasikan oleh ketumbukan U.S. Marines.

Lain-Lain Peranan C-130

C-130 Hercules juga telah turut serta dalam banyak penerbangan ehsan di seluruh dunia dengan membawa makanan, pakaian, tempat perlindungan, doktor, jururawat dan bekalan ubat-ubatan di samping membawa mangsa-mangsa ke tempat-tempat yang lebih selamat (Hercules juga dihasilkan dalam versi awam dan dinamakan L-100/L-100-30). Tidak kurang juga C-130 adalah pesawat pilihan digunakan untuk membawa pasukan-pasukan elite ke lokasi-lokasi yang strategik untuk melancarkan operasi mereka. Contohnya, membawa pasukan elite Israel ke lapangan terbang Entebbe dan GSG-9 Jerman ke lapangan terbang Mogadishu untuk operasi menyelamatkan tebusan-tebusan rampasan kapalterbang, pasukan Delta Force Amerika Syarikat ke pangkalan Desert One dalam suatu operasi 'Eagle Claw' untuk menyelamatkan tebusan Amerika yang ditawan di kedutaan mereka di Teheran (Desert One telah dibatalkan pada saat-saat akhir dan dianggap gagal apabila sebuah helikopter Sea Stallion telah berlanggar dengan sebuah C-130 sokongan lalu meletup dan terbakar) dan sebagainya.

C-130 juga telah berkhidmat di beberapa negara lain dengan mengangkut peralatan berat ke kawasan-kawasan terpencil untuk membina lapangan terbang dan jalanraya, mencari gali minyak dan lain-lain serta mengangkut barangan tempatan. C-130 yang diubahsuai dan dilengkapi gear pendaratan 'ski-sled' (LC-130 dan LC-130R) telah digunakan untuk mengangkut dan mendaratkan peralatan, bekalan dan anggota serta saintis di kawasan kutub-kutub Utara dan Selatan. Walaupun di dalam suasana sejuk di bawah paras beku, C-130 masih dapat berfungsi dengan baik dan selamat. Begitu juga apabila berhadapan dengan cuaca panas di kawasan padang pasir di mana C-130 telah buktikan semasa Operation Desert Storm mahupun dalam iklim lembap tropika seperti di Vietnam.

C-130 Hercules TUDM

Tentera Udara DiRaja Malaysia kini menggunakan 14 buah pesawat Hercules C-130H yang diterimanya di antara 1976 dan 1980an sebagai memenuhi keperluan misi pengangkut strategik dan taktikal yang tidak dapat dilaksanakan oleh pesawat DHC-4 'Caribou' yang telah agak uzur. TUDM juga telah menerima lima buah C-130H-30 yang diterima mulai 1995. Kebanyakan pesawat-pesawat 'Charlie' TUDM dioperasikan dari Pengkalan Udara Subang oleh Squadron No. 14 dan No. 20 untuk misi-misi penerbangan biasa dalam negeri. Pesawat-pesawat ini merupakan tulang belakang bagi pengangkutan Pasukan Atur Cepat-Angkatan Tentera Malaysia (PAC-ATM) dan telah digunakan dengan jayanya di dalam beberapa latihan yang telah dijalankan.

Squadron No. 4 pula pernah menggunakan 3 buah C-130H-MP (dikenali sebagai Maritime Herks) bagi tugasan-tugasan rondaan maritim dan operasi-operasi mencari dan menyelamat (SAR). Ianya dapat dibezakan dari lain-lain pesawat C-130H TUDM melalui warnanya yang keseluruhannya adalah kelabu muda. Baru-baru ini 2 buah dari 'Maritime Herks' ini telah diubahsuai kepada kapalterbang penangki (KC-130H) untuk menyokong operasi pesawat-pesawat tempur moden MiG-29N Fulcrum dan F/A-18D Hornet TUDM dan dipindahkan ke Squadron No. 20.

pc130_tudm

Di sepanjang khidmatnya, pesawat-pesawat Hercules TUDM banyak digunakan untuk misi pengangkutan anggota dan bekalan dalam negeri termasuk Sabah dan Sarawak. Namun, pesawat Hercules TUDM juga sering diperlukan untuk menjalankan penerbangan-penerbangan ehsan untuk menerbangkan orang-orang awam yang memerlukan rawatan lanjut dengan segera dari seluruh negara. Pesawat Hercules TUDM juga pernah digunakan untuk menghantar bekalan dan peralatan kepada anggota-anggota tentera Malaysia yang sedang berkhidmat di dalam I-FOR dan S-FOR di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Bosnia, malah juga terlibat dengan misi PBB di Somalia, Kemboja dan Namibia. Mereka juga pernah terlibat di dalam operasi membawa pulang rakyat Malaysia yang terperangkap di Phnom Pehn semasa berlaku kekacauan di ibukota Kemboja itu.

Berdasarkan rekod perkhidmatannya yang gemilang, Hercules dijangka akan terus beroperasi sehingga dunia melangkah jauh ke alaf yang baru. Walaupun beberapa pengeluar pesawat pernah dan sedang mencuba untuk menghasilkan beberapa reka bentuk baru untuk menggantikan Hercules (seperti C-17 Globemaster III), namun Hercules masih mampu bertahan dan serasi dengan nama jolokannya yang diambil sempena seorang manusia perkasa dalam mitos Greek yang popular itu.

Spesifikasi Hercules C-130H

Fungsi Utama : Pengangkut udara taktikal 'intratheater'

Kontraktor : Lockheed Aeronautical Systems Company

Krew : 5 (2 juruterbang, 1 jurumalim, 1 jurutera penerbangan dan 1 ketua muatan)

Enjin : 4 x Allison T-56-A-15 turboprops @ 4,330 hp setiap satu

Panjang : 29.3m (97 ka. 9 in.)

Tinggi : 11.4m (38 ka. 3 in.)

Lebar sayap : 39.7m (132 ka. 7 in.)

Kelajuan : 598.4km/j (374 bsj; Mach 0.57) pada 6,060m (20,000 ka)

Ketinggian : 10,000m (33,000 ka) dengan muatan 45,000kg (100,000 lbs.)

Berat berlepas maksima : 69,750kg (155,000 lbs.)

Jarak :

Created: 12 September 1999
Updated: 23 Mac 2002

Prof. Madya Ahmad Faisal Alias
Universiti Teknologi MARA Cawangan Perak
Kampus Seri Iskandar
32600 Bandar Seri Iskandar
Perak
Kembali Ke Laman Utama
Hosted by www.Geocities.ws

1