F/A-18 Hornet

oleh
Prof. Madya Ahmad Faisal Alias
e-mail me: [email protected]



f18roll

Pada asasnya F/A-18 Hornet adalah pesawat taktikal pelbagai-guna (multi-purpose) satu tempat duduk berenjin kembar yang berpangkalan di atas kapal pengangkut (carrier-borne) yang boleh memainkan dua peranan: sebagai pesawat pejuang (designasi F untuk fighter) dan sebagai pesawat penyerang (designasi A untuk attack). Konsep gabungan ini adalah selaras dengan keperluan semasa yang lebih cenderung kepada pesawat pelbagai-guna (multi-purpose) (bagi mengurangkan kos dan logistik operasi) dan telah memulakan perkhidmatan pada 1983.

Rentetan sejarah konsep untuk Hornet bermula sejak tahun 1960an lagi apabila firma Northrop (bukan McDonnell Douglas!) memperkembangkan projek 'Light Weight Fighter' terutama sekali prototaip P-530 Cobra pada tahun 1966. Reka bentuk model Cobra pada lewat 1960an telah memperkenalkan dan menggabungkan beberapa inovasi baru seperti HOTAS (Hands On Throttle And Stick) dan 'fly-by-wire' telah membuka laluan kepada terhasilnya prototaip YF-17 dengan menggunakan enjin General Electric J101 yang telah melakukan penerbangan sulungnya pada 9 Jun 1974.

F/A-18 Hornet adalah hasil perkembangan reka bentuk Northrop YF-17 (yang lebih kecil) yang telah disesuaikan untuk kegunaan di atas kapal pengangkut (navalized) . YF-17 telah dibina berdasarkan kepada keperluan dan permintaan serta kontrak US Air Force kepada Northrop bagi sebuah prototaip Air Combat Fighter (ACF) untuk USAF. Kontrak yang sama telah diberikan kepada firma General Dynamics yang telah menghasilkan prototaip YF-16. Namun YF-17 telah tewas kepada YF-16 General Dynamics (yang kemudian diberi designasi baru F-16 Fighting Falcon) dalam pertandingan untuk membekalkan pesawat pejuang untuk Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF). Punca utama kekalahan itu adalah disebabkan enjinnya yang masih belum teruji serta sering menghadapi masalah.

Walau bagaimanapun, Kongres Amerika Syarikat telah menyambung hayat Northrop YF-17 apabila YF-17 dan YF-16 telah sekali terpilih untuk diuji kesesuaian bagi program pengembangan Naval Air Combat Fighter (NACF) untuk menggantikan pesawat-pesawat pejuang McDonnell Douglas F-4 Phantom II dan penyerang Vought A-7 Corsair II Tentera Laut Amerika (U.S. Navy) selain dari bertindak sebagai penyokong kepada pesawat pejuang Grumman F-14 Tomcat (F/A-18 juga akan menggantikan pesawat penyerang A-6 Intruder dan F-14 Tomcat buatan Grumman apabila khidmat Intruder dan Tomcat ditamatkan nanti). Pada peringkat awalnya, Northrop menghadapi kesulitan kerana YF-17 tidak direka untuk operasi-operasi di kapal induk dan firma itu juga tidak mempunyai kepakaran yang diperlukan di dalam bidang ini. Sehubungan dengan itu, Northrop telah menerima pelawaan kerjasama dari McDonnell Douglas yang memang berpengalaman untuk bertanding dengan pesawat gabungan General Dynamics-Ling Temco Vought (LTV). Dengan beberapa modifikasi, pesawat Northrop/McDonnell Douglas YF-17 yang terbaharu telah dihasilkan dan diberikan designasi model 267. Dalam siri-siri ujian yang dilakukan, model 267 telah mendapat perhatian juruterbang-juruterbang terutama sekali konfigurasi enjin berkembarnya yang didapati lebih selamat untuk operasi di kapal induk berbanding dengan YF-16 yang hanya mempunyai satu enjin.

Pada Mei 1975 YF-17 model 267 telah diisytiharkan terpilih dan McDonnell Douglas (berdasarkan perkongsian 60-40 dengan Northrop di mana Northrop bertindak sebagai sub-kontaktor utama) telah dianugerahkan kontrak untuk membina F-18 bagi U.S. Navy dan U.S. Marine Corps. Spesifikasi yang diberikan adalah untuk sebuah pesawat pejuang dan sebuah pesawat penyerang satu tempat duduk berenjin kembar yang boleh dioperasikan dari kapal induk atau pangkalan-pangkalan darat di perbatasan. Versi pertama, F-18 akan berperanan mengiringi pesawat-pesawat pejuang dan mempertahankan armada sementara versi kedua, A-18 akan digunakan untuk menyerang angkatan-angkatan laut atau darat musuh. Di samping itu pula, Northrop juga bertegas untuk meneruskan perkembangan pesawat Hornet versi yang berpangkalan di darat yang dinamakan F-18L (lihat bahagian Versi-Versi F/A-18) namun usaha ini telah menimbulkan masalah. Isu ini berlarutan beberapa tahun sehingga terpaksa dibawa ke mahkamah di mana kejayaan mutlak berpihak kepada McDonnell Douglas.

Sejak dari mula lagi, kedua-dua F-18 dan A-18 direka bentuk dengan 99 peratus persamaan. Selepas penerbangan pertamanya pada 1978, pesawat-pesawat ini telah dihantar untuk ujian-ujian penerbangan, senjata-senjata udara dan darat serta percubaan-percubaan di kapal induk. Ujian-ujian selama tiga tahun telah membuktikan kebolehan dan nilai pesawat ini yang boleh berperanan dalam kedua-dua mod tanpa banyak perubahan atau modifikasi. Hanya dengan menekan satu butang akan membolehkan Hornet yang dalam sedang misi mengebom/menyerang berperanan sebagai pesawat pejuang tempur udara-ke-udara serta berhadapan pesawat musuh dan seterusnya menyerang kedudukan musuh di bumi tanpa perlu menggugurkan muatan bomnya. Selaras dengan sifat dwi-fungsinya itu, pada 1982 pesawat unik ini telah diberikan designasi baru: F/A-18. Hornet merupakan pesawat yang unik dan yang pertama sejak Perang Dunia Kedua yang direka bentuk sebagai pesawat pejuang udara-ke-udara dan penyerang udara-ke-bumi.

Versatility Hornet ini telah terbukti apabila dalam misi tempurnya yang pertama ketika Operasi Desert Storm, di mana dua buah Hornet yang dalam misi menyerang dengan masing-masing membawa empat butir bom 2,000 paun telah menembak jatuh dua buah pesawat MiG-21 Iraq setiap sebuah tanpa menghalang misi penyerangnya. Keutuhannya juga turut terbukti apabila beberapa buah Hornet diberitakan telah terkena bedilan meriam-meriam dan peluru-peluru berpandu penangkis namun masih mampu kembali ke pangkalan untuk diperbaiki dan seterusnya menyambung semula operasi di hari berikutnya. Sistem-sistem radar dan avionics yang termaju Hornet membolehkan juruterbangnya menukar mod operasinya dari pesawat pejuang ke pesawat penyerang dan kembali kepada pesawat pejuang hanya dengan menekan satu butang sahaja.

Versi-versi F/A-18 Hornet

F/A-18A dan C adalah model pesawat kombat satu tempat duduk manakala model F/A-18B dan D dengan dua tempat duduk. Model B adalah pesawat latihan manakala model D adalah disesuaikan untuk kegunaan serangan, kawalan udara taktikal, 'forward air control' dan peninjauan oleh U.S. Navy. F/A-18C dan D terhasil apabila peningkatan keupayaan telah dilakukan ke atas blok-blok pengeluaran pada 1987 dengan mengintegrasikan beberapa sistem persenjataan dan elektronik terbaru di samping peralatan 'jamming' terhadap musuh. Model C dan D juga dilengkapi dengan kebolehan beroperasi pada waktu malam (night attack) yang lebih baik.

c130_lapes

Pada asasnya, F/A-18A adalah pesawat pejuang pengiring (escort fighter) satu tempat duduk yang juga boleh digunakan untuk 'sortie-sortie' menyerang manakala TF-18A atau F/A-18B adalah versi dua tempat duduk untuk kegunaan latihan. Walaubagaimanapun kebolehan tempur TF-18A (F/A-18B) masih dikekalkan sepenuhnya untuk digunakan apabila perlu. F/A-18 yang pertama telah memulakan penerbangan pada 18 November 1978 dan memasuki perkhidmatan U.S. Navy dan Marine Corps pada tahun 1983.

Kedua-dua F/A-18 Hornet model C (satu tempat duduk) dan D (dua tempat duduk) yang pertama kali diterbangkan pada 1987 membawa sistem 'electronic countermeasures' (ECM) yang dipertingkatkan dan boleh membawa dua dari jenis-jenis peluru berpandu AS yang tercanggih: peluru berpandu udara-ke-bumi 'infrared imaging' Maverick dan peluru berpandu udara-ke-udara AMRAAM (advanced, medium range, air-to-air missile). Hornet boleh membawa lebih dari 13,700 paun (6,199 kg) muatan luaran pada sembilan stesennya (pylon). Model E/F 'Super Hornet' pula diberitakan mampu membawa sehingga 17,750 paun (8,032 kg) pada sebelas stesen.

Senjata standard yang dibawa oleh kesemua Hornet adalah sepucuk meriam enam-laras jenis 'Gatling' 20mm M61A1 Vulcan buatan General Electric di bahagian muncungnya (dengan 570 butir peluru) yang mampu memuntahkan sehingga 4,000/6,000 butir peluru seminit.

F/A-18L adalah variant yang berpangkalan di darat (designasi L untuk Land; darat) yang cuba dipasarkan oleh firma Northrop. Variant 'L' adalah 2,250 lb (1000 kg) lebih ringan kerana tidak dilengkapi dengan beberapa peralatan 'naval', gear pendaratan dan cangkuk pendaratan yang lebih kecil dan ringan lebih serta kurang kompleks. Versi ini juga tidak mempunyai stesen senjata di bahagian bawah fuselagenya. Berbanding dengan versi laut, sayap versi darat ini tidak boleh dilipat dan dengan ini membolehkan satu stesen pylon tambahan dipasangkan pada setiap sayap. Model TF/A-18L pula adalah versi yang sama dengan dua tempat duduk untuk kegunaan latihan di samping mengekalkan keupayaan tempur yang penuh apabila diperlukan.

c130_lapes

F/A-18R (R untuk reconnaissance; peninjau) adalah variant peninjau yang berasaskan model pengeluaran F/A-18A. pada variant ini, meriam 20mm di bahagian muncungnya digantikan dengan pakej penderia berkembar dengan bebepara tingkap dan bahagian bawah yang mengembung. Di antara peralatan yang boleh dibawa oleh variant 'R' adalah sebuah KA-99 'Low- or Medium-altitude panoramic camera' dan/atau sebuah AAD-5 'Infra-red linescan'. Variant ini dijangkakan akan menggantikan F-14A Tactical Airborne Reconnaissance Pod System (TARPS) Tomcat dan RF-4B Phantom.

Secara rasminya, pesawat pejuang penyerang F/A-18 Hornet memasuki perkhidmatan AS dengan Squadron VMFA-314 Marine Corps pada 7 January 1983 berpangkalan di MCAS (Marine Corps Air Station) El Toro, California sementara squadron pertama U.S. Navy mengoperasikan F/A-18 pada Oktober 1983. Pada 1989, Hornet telah dilengkapkan dengan kebolehan menyerang pada waktu malam dan beberapa perubahan pada reka bentuknya untuk mempertingkatkan keupayaan enjinnya. Pada 1992, sebuah pakej peninjauan telah ditambahkan kepada Marine Corps manakala peningkatan radarnya telah dilakukan kepada Hornet kepunyaan U.S. Navy. Di antara negara-negara lain yang menggunakan atau menempah F/A-18 Hornet adalah Canada (CF/A-188), Australia (dengan 71 buah model A yang sedang dipertingkatkan kepada spesifikasi model C), Sepanyol, Kuwait, Finland dan Switzerland.

f18f

F/A-18F

Pada 1995, model F/A-18E satu tempat duduk dan F (dua tempat duduk) Super Hornet yang lebih besar telah memulakan perkembangannya. Super Hornet dilaporkan adalah di antara 25 hingga 30 peratus lebih besar dari model-model terdahulu. Ini bermakna ia menawarkan jarak operasi yang lebih jauh dan jangka operasi yang lebih lama, lebih banyak muatan ordnan dan enjin yang lebih berkuasa. Super Hornet kini adalah dalam siri ujian dan percubaan dijangkakan mula menyertai armada laut AS pada 2001 dan pengeluaran dijangkakan akan berterusan sehingga 2015.

f18f2

F/A-18D TUDM

Malaysia adalah negara pertama di Asia Tenggara membeli dan menggunakan pesawat F/A-18, diikuti oleh Thailand. Walau bagaimanapun, Thailand terpaksa membatalkan hasratnya untuk memiliki Hornet berikutan kegawatan ekonomi yang dialaminya sehingga menyebabkan wang pendahuluan yang telah dibayar dianggap lebur. Beberapa usaha telah dilakukan untuk mencari negara pembeli ketiga untuk pesawat-pesawat tersebut termasuk Malaysia dan Kuwait namun usaha-usaha itu telah gagal. Akhirnya pesawat-pesawat tersebut telah diserapkan ke dalam perkhidmatan U.S. Marines. Berlaku juga sedikit kontroversi apabila Thailand menuntut supaya dibekalkan juga dengan peluru berpandu tercanggih AMRAAM sebagai salah satu syarat pembelian pesawat tersebut yang telah tidak diluluskan oleh Kongres AS.

Penyerahan pesawat pertama dari lapan buah F/A-18D Hornet Tentera Udara DiRaja Malaysia telah disempurnakan pada 19 Mac 1997 di St. Louis, Missouri, Amerika Syarikat. Hornet model D buatan McDonnell Douglas Aerospace dengan dua tempat duduk ini akan berperanan dalam misi-misi serangan dan interdiksi/pemintasan sebagai sebahagian dari program pemodenisasi TUDM. F/A-18D TUDM telah membuat penerbangan pertamanya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Lambert, St. Louis pada 1 Februari 1997.

Pesawat pertama (nombor serial TUDM M45-01) telah diserahkan kepada wakil kerajaan Malaysia pada 19 Mac 1997 bertempat di St. Louis. Pesawat ini membuat penerbangan pertamanya pada 1 Februari sebelum diterbangkan ke Naval Air Weapons Station (NAWS) China Lake untuk ujian EWC (Electronic Warfare Trials). Kumpulan pertama empat buah Hornet TUDM tiba di Pangkalan Udara Butterworth pada 27 May 1997 manakala kumpulan empat buah kedua pula tiba 28 Ogos 1997. Pesawat-pesawat ini diserahkan kepada 18 Skuadron yang telah mencapai status beroperasinya pada 1 Mac 1998.


c130_lapes

Hornet TUDM dilengkapi dengan radar Hughes AGP-73 dan enjin jet General Electric F404-GE-402 EPE (enhance performance engine) berkembar. Pembelian 8 buah F/A-18D yang ditandatangani perjanjiannya pada bulan Oktober 1993 (dianggarkan bernilai US$250 juta) akan melibatkan kontrak untuk membekalkan TUDM dengan peluru-peluru berpandu udara-ke-udara AIM-9 Sidewinder dan AIM-7 Sparrow serta peluru berpandu udara-ke-permukaan AGM-65 Maverick dan peluru berpandu anti-kapal AGM-86 Harpoon. Terdapat juga sumber-sumber yang melaporkan bahawa pakej Hornet TUDM juga termasuk pembekalan peluru berpandu udara-ke-udara jarak sederhana termoden AIM-120 AMRAAM (advance medium range air-to-air missile).

Spesifikasi Hornet

A dan C B dan D E dan F

1 2 Krew E = 1; F= 2
Tinggi:
Panjang:
Lebar Sayap:
Enjin:
Tujahan:
Kelajuan:
Jarak (misi):
Jarak (angkut):
Paras:
Persenjataan:


Created: 12 September 1999
Updated: 23 Mac 2002

Prof. Madya Ahmad Faisal Alias
Universiti Teknologi MARA Cawangan Perak
Kampus Seri Iskandar
32600 Bandar Seri Iskandar
Perak Kembali Ke Laman Utama

Hosted by www.Geocities.ws

1