WAWANCARA

23.02.2006 | PENULIS: AUKS
 

MORGGORM : Segala-Galanya Morggorm...

 

Sebuah Promo CD berjudul "New World Prosecution" telah mendapat ulasan yang sangat positif dari pihak EKSTRIM dan juga diterima dengan baik oleh para peminat muzik ekstrim tempatan. Promo tersebut adalah hasil karya dari MORGGORM, sebuah band yang ditubuhkan untuk membawa kembali kegemilangan muzik Thrash Metal. Ditunjangi oleh Ariyus (gitar) dan King (dram) serta dibantu oleh Kamal (bass/vokal), MORGGORM khabarnya mahu terus mara memanjat tangga-tangga kejayaan. Mereka kini dalam proses penghasilan sebuah EP bertajuk "Cruelty Devastation" yang bakal rilis sekitar Mac 2006 nanti. Rakaman berlangsung di studio milik mereka sendiri MORGGORM MUSIC STUDIO dan rilisan EP tersebut bakal diterbitkan oleh label mereka juga MORGGORM MUSIC. Ehmm... segalanya MORGGORM. Atas dasar itu, maka kami di EKSTRIM dengan bangganya membawa kepada anda sebuah wawancara eksklusif bersama King (dram) bagi pihak segala-galanya MORGGORM...

 

Assalamualaikum dan apa khabar MORGGORM? Sedikit mukaddimah daripada anda sebelum kita meneruskan perbualan kita?

Waalaikummussalam. Kami bertiga semua sihat-sihat belaka. Almaklumlah, dah terlebih dos makan. Hihi.. MORGGORM mengucapkan terima kasih yang tak terhingga buat warga EKSTRIM, terutamanya Sufian dan Auks kerana sudi menemuramah kami yang mana kami rasa memang memerlukan sokongan dari pihak EKSTRIM.

MORGGORM merupakan nama baru di dalam arena metal tempatan (walaupun terdiri daripada orang-orang lama), ceritakan sedikit mengenai latar belakang band anda dan kenapa MORGGORM?

Memang betul MORGGORM adalah nama yang masih hijau lagi. Asalnya aku dan Ariyus menggunakan nama yang lain. Bila aku rasa nama sebelum ni kurang sesuai, jadi aku cuba menyusun cantuman-cantuman abjad sehinggalah aku rasa hasil dari abjad "MMOORRGG" sesuai untuk aku dan Ariyus, maka terhasillah perkataan MORGGORM. Untuk pengetahuan semua, MORGGORM tidak mempunyai apa-apa maksud melainkan perkataan yang tak bermakna sahaja.

Kalau tak salah aku, MORGGORM dah 3 tahun ditubuhkan. Dari dulu lagi, line-up MORGGORM adalah aku, King (dram) dan Ariyus (gitar) sahaja. MORGGORM sejak dari tahun 2003 lagi dah banyak buat sessi audition vokal dan bass. Tapi banyak yang tak sesuai. Aku bukan pilih yang terer tapi yang bersungguh-sungguh untuk bermuzik. Sehingga sekarang dan aku rasa buat masa ini dan selama-lamanya, biarlah MORGGORM kekal dengan aku dan Ariyus sahaja. Dan buat masa ini juga, tugas vocalist/bassist disandang oleh Kamal. Setakat ini kami berpuas hati dengan komitmen dan prestasi yang ditunjukkan oleh Kamal.

Bagaimana dengan definasi konsep muzik MORGGORM? Band-band yang banyak mempengaruhi muzikal MORGGORM?

Aku dan Ariyus masih mencari dan tercari-cari apakah sebenarnya yang kami inginkan dan aku rasa AGRESIF dan PADU yang kami mahukan. Mungkin aku sendiri tak tahu apakah konsep yang kami mainkan dan itu semua memerlukan pengadilan dari para METAL MANIACS sekalian untuk memberi pandangan seikhlas mungkin, apakah muzik yang kami karyakan. SLAYER, DESTRUCTION, KREATOR dan SEPULTURA lah yang banyak kami jadikan sumber inspirasi dan rasa terpengaruh yang mempengaruhi kami amat kuat dari band-band ini sehinggakan banyak yang boleh dikesan dengan senang apabila anda mendengar muzik MORGGORM. Memang ada cuma kami tak akan tahu sehinggalah diberitahu oleh anda semua, apa dan yang mana satu muzik MORGGORM.

MORGGORM telah melahirkan sebuah Promo CD "New World Prosecution" sekitar 2005 sebagai pengenalan. Bagaimana respon yang diterima daripada peminat muzik metal tempatan sendiri? Adakah anda semua berpuas hati dengan promo ini?

Kami minta maaf kerana tahap penghasilan promo cd "NEW WORLD PROSECUTION" ditahap yang tak seberapa dan kami berharap agar anda semua dapat memberikan teguran pada kami agar kami senantiasa memperbaiki setiap inci kesilapan, kejahilan dan kebodohan kami di masa akan datang. Terima kasih dan kami bersyukur apabila menerima respon yang baik-baik sokmo dari anda semua yang banyak menyokong MORGGORM. Insyaallah, MORGGORM akan memberi kelainan dalam EP yg akan diriliskan dalam bulan MAC nanti.

Mutu rakaman Promo CD "New World Prosecution" yang dikeluarkan adalah baik. Apa ramuan dan rahsia MORGGORM untuk menghasilkan mutu rakaman ini berkualiti dan boleh dibanggakan?

OK ke mutu rakaman? Emmm...aku rasa banyak yang perlu diperbaiki dan aku nak kasi tau kat anda semua, hasil dari tak cukup tidur dan rehat Ariyus lah yang membuahkan sound "NEW WORLD PROSECUTION" yang "baik" seperti yang saudara katakan tadi. Aku rasa pujian mutu rakaman tu boleh dianugerahkan kepada Ariyus.. hehehe... Kesian Ariyus, pasal "NEW WORLD PROSECUTION", makan pun dia tak lalu. Satu hari satu sudu.... satu sudu.... 3 pinggan jugak habis (dialog M.Zain dalam LABU LABI).. hehehe... Tiada apapun rahsianya, cuma setiap kerja perlu tekun dan teliti supaya mendapat hasil yang baik.

Ketika ini, difahamkan MORGGORM kian sibuk dengan penghasilan EP terbaru yang bertajuk "Cruelty Devastation" pada bulan Mac ini. Ceritakan sedikit mengenai material yang bakal diterbitkan ini. Adakah konsep asal MORGGORM dikekalkan atau bagaimana?

Pehhhhh... memang sibuk sangat-sangat. aku rasa CRUELTY DEVASTATION EP ni lebih laju dan agresif dari promo cd NEW WORLD PROSECUTION yang lepas. Ada 4 lagu MORGGORM dan aku hanya boleh beritahu hanya satu tajuk lagu sahaja yakni lagu pertama dari EP CRUELTY DEVASTATION iaitu MUTATION FROM DEVASTATION. mintak maaf pasal tajuk lagu yang lain aku belum dapat lagi. Aku tengah dok pikirkan tajuk ketiga-tiga lagu tu...hehe... Kamal akan menyanyikan keempat-empat lagu tersebut. Ada satu lagu cover dari SLAYER - POSTMORTEM. Untuk part vocal POSTMORTEM ni kami telah mengundang seorang vocalist jemputan. Buat masa ni kami tak dapat lagi nak umumkan siapakah vocalist undangan tersebut. Track muzik dah siap dah... cuma vocal sahaja yang masih di peringkat awal rakaman. Setakat ni, kami dah record 2 track vocal. Kamal telah menampilkan gaya nyanyian terbaru untuk EP ini... memang lain dari gaya vocal dia sebelum ni dalam lagu NEW WORLD PROSECUTION... aku ngan Ariyus pun terkejut dengan vocal Kamal untuk EP ni... hhehehe....pada aku... vocal dia kali ni lebih kuat pengaruh ala-ala DESTRUCTION... lebih high-pitch.. dan mengerikan...heheh...

Apakah mesej-mesej yang terkandung di dalam penulisan lirik di dalam lagu-lagu MORGGORM terutamanya untuk EP yang sedang rancak dalam rakaman?

Aku dari dulu sampai sekarang memang sukakan lirik yang memprotes sikap para manusia yang berkuasa tapi lupakan tanggungjawab. Tak kiralah tanggungjawab pada agama, bangsa ataupun negara. Yang diaorang tau, MAKAN SUAP, ENJOY, cari masalah dengan negara lain. Yang teruk nanti rakyat. Itu naik, ini naik. Segalanya tunggang terbalik.

Selain dari band, anda juga terlibat dengan label sendiri iaitu MORGGORM MUSIC. Apa dan mengapa tujuan anda menubuhkan label sendiri? Adakah ianya kerana tiada label yang ingin mengambil MORGGORM?

MORGGORM MUSIC adalah sebuah label yang sama gak macam label yang lain cuma aku berpendapat, adalah lebih bagus jika band-band yang bernaung di bawah atap nipah MORGGORM MUSIC, merakamkan material mereka di MORGGORM MUSIC STUDIO. Tujuannya adalah supaya ianya kelihatan seragam dari segi sound recording kerana yang menjaga di bahagian rakaman adalah aku dan Ariyus sendiri. Mungkin dengan cara ini, para METAL MANIACS dapat membezakan yang mana satu produk MORGGORM MUSIC dan yang mana satu produk label lain. MORGGORM MUSIC juga bukanlah label yang banyak modal. Kami akan cuba meriliskan apa sahaja mengikut kemampuan MORGGORM MUSIC. Misalnya, kalau kami tak cukup modal, mungkin kami takkan hantar ke kilang CD untuk pressed CD. Mungkin kami akan burn CDR sahaja. Itu pun kalau dipersetujui oleh band yang terlibat. Kalau tak, kami tak boleh nak buat apa-apa pun. Recording pun kami buat takat yang termampu sahaja. Sebab itulah kami adakan MORGGORM MUSIC dan MORGGORM MUSIC STUDIO. Lagipun sejak di awal penubuhan MORGGORM, aku dan Ariyus dah berbincang dan bersetuju takkan bernaung di bawah label manapun melainkan setelah rilis album. Promo CD dah rilis, sekarang dok tunggu EP. Lepas ni, Album lah pulak. Insyaallah....

Beberapa perancangan MORGGORM MUSIC dapat dihidu oleh pihak EKSTRIM iaitu label anda akan mengeluarkan material daripada ENTHRONE FALLS (melodic death dari Ipoh) dan ANOREXIA (death metal Banting). Ceritakan sedikit?

Memang benar ENTHRONED FALLS dan ANOREXIA akan diriliskan oleh MORGGORM MUSIC.. cuma tarikhnya sahaja yang kami tak dapat nak tetapkan. Hanya Tuhan sahaja yg tahu...

Mungkin di luar sana ada band-band yang berminat untuk menyertai MORGGORM MUSIC. Bagaimanakah caranya dan apakah kriteria-kriteria yang diperlukan untuk menyertai label ini?

Ada ke?? Kalau ada memang aku alu-alukan. Senang je... cuma yang paling penting sepenting-pentingnya adalah.. RECORDING di MORGGORM MUSIC STUDIO. Itu sahaja. Pastikan dari genre METAL. Tak kisahlah Nu Metal ke, Death, Thrash, Black, Grind, Green, atau Yellow Metal sekalipun. Janji METAL. Murah je. Harga boleh dibincang. Takde masalah....

Label anda juga ada menawarkan perkhidmatan lain seperti rakaman, mastering, design dan lain-lain.

MORGGORM MUSIC juga menawarkan khidmat mixing dan mastering untuk lagu-lagu anda TETAPI... anda semua kena pastikan sendiri samada MORGGORM MUSIC STUDIO mampu atau tidak mendapatkan sound yang anda inginkan. Dengar dulu hasil dari MORGGORM. Kalau OK hasilnya dan anda rasakan kami mampu, boleh la hantar lagu anda untuk mixing/mastering. Kalau rasa tak OK, LEBIH BAIK JANGAN... kang tak pasal-pasal, rosak pulak lagu anda. Hehe... DENGAR, LIHAT dan PASTIKAN yang MORGGORM MUSIC punyai kualiti SOUND/DESIGN (CD inlay) yang OK atau pun tidak. Kalau OK, Baru buat keputusan. Kami juga sedang mencari jika ada sesiapa yang ingin berkerjasama dengan MORGGORM tentang penghasilan material seperti baju, sticker dan lain-lain. Jika berminat, boleh la sekiranya meng'email'kan kami di [email protected].

Berbalik kepada MORGGORM, bagaimana anda melihat muzik thrash metal di Malaysia? Lambakan band-band black dan death metal telah sedikit sebanyak menenggelamkan irama thrash metal itu sendiri.

Thrash Metal di Malaysia yang aku nampak sedang menuju ke arah perkembangan, bukan penenggelaman. Banyak yang aku dapat lihat yang berminat di dalam irama Thrash. Bagi aku Thrash cukup sifat. Laju ada, slow pun ada. Senang cerita, kira balance aaa...

Antara band-band thrash metal tempatan yang menarik.....

Cromok, Athotorgh, Punisher, Nemesis, Devastator, Violator dan banyak lagi di luar sana yang masih belum mendapat pendedahan. Aku rasa dalam 2-3 tahun nanti pasti banyak yang timbul.

Sedikit komen mengenai kemelut yang melanda arena metal dan underground baru-baru ini?

Komen? Aku rasa baik kita biarkan anjing menyalak bukit. Nanti dia letih, dia tidurlah. Benda tak betul takkan jadi betul biarpun diletakkan sejuta bukti palsu. Apa nak dihairankan. Esok si pemfitnah akan ke alam akhirat jugak. Kita semua pun akan mati. Kalau betul apa yang dia kata, betullah. Kalau tak, menjawablah "nanti". Mungkin dia untung berjuta kerana menabur fitnah. Tapi untung di dunia laaa. Akhirat belum tau lagi. Kita doakan ramai-ramai masa sembahyang agar dia diampunkan ALLAH SWT. Amin....

Secara konklusif, adakah MORGGORM cukup gembira dan berpuas hati dengan apa yang dicapai ketika ini? Apa perancangan dan harapan MORGGORM untuk masa akan datang?

Masih banyak benda yang belum tercapai oleh MORGGORM. Sebagai contoh, GIG. MORGGORM perlu beraksi di GIG. Baru best. Mungkin di luar negara kot. Entahlah... terasa bagai mengemis di negara sendiri di dalam mengharungi kancah penindasan dan pemperkosaan muzik METAL... SEDIH, PILU, SEBAK. Terasa macam duduk kat negara orang. Tak bebas. Kalau dulu punya pepatah, "HUJAN EMAS DI NEGERI ORANG, HUJAN BATU DI NEGERI SENDIRI, LEBIH BAIK NEGERI SENDIRI". Aku dok rasa baik dok negeri orang. Dah tentu leh kutip emas bila hujan. Hmmm... sabar je laa. MORGGORM mungkin akan lebihkan perhatian ke luar negara. Samada GIG, pasaran atau apa sahaja. Aku rasa band-band lain pun sependapat dengan aku.

Sebelum mengakhiri temubual kita ini, Apakah material-material lain yang boleh didapati daripada MORGGORM dan dengan siapa perlu dihubungi?

Seperti yang aku katakan tadi, MORGGORM sedang menanti dan tercari sesiapa yang berminat untuk berkerjasama dengan MORGGORM dalam penghasilan material/merchandise. Harapan kami agar ada yang sudi dan mungkin kita boleh berbincang apabila bertemu kelak. Sesiapa yang berminat bolehlah email ke [email protected]. Promo CD kami masih ada lagi. Sesiapa yang berminat untuk memiliki, trade atau distribute ke luar negara, boleh hubungi kami di alamat email yang sama. EP CRUELTY DEVASTATION akan rilis bulan MAC ni... Insyaallah... kalau ada pertanyaan tentang EP CRUELTY DEVASTATION ni pun boleh email kami.

Ada apa-apa lagi tambahan dari MORGGORM?

Kepada band-band yang berminat untuk bernaung di bawah label MORGGORM MUSIC, pastikan email anda menyapa email kami. Segala-galanya akan dipersetujui apabila anda dan MORGGORM MUSIC berbincang... TAPI INGAT... MORGGORM MUSIC cuma akan menyempurnakan segala-galanya mengikut kemampuan pihak MORGGORM MUSIC sahaja. Kepada METAL MANIACS semua, jangan lupa dapatkan EP sulung kami berjudul CRUELTY DEVASTATION yang akan menjengah pasaran pada bulan MAC ini. Kami juga berharap para METAL MANIACS bersabar dengan apa sahaja yang berlaku. ALLAH MAHA ADIL.

Terima kasih kerana sudi melayan temubual dari kami. Kata-kata penutup...

MORGGORM juga mengucapkan jutaan terima kasih buat Pihak EKSTRIM dan sokongan anda amatlah kami perlukan. Insyaallah, jika ada info lain akan kami halakan ke EKSTRIM. Kepada para METAL MANIAC, thrash, death, black, grind, melodic death dan sebagainya... SABAR ITU SEPARUH DARIPADA IMAN. Kalau kita bersabar, kita adalah orang yang beriman. Teruskan berkarya di persada METAL. METAL YANG EKSTRIM!!!.... Assalamualaikum..

info: [email protected] | www.myspace.com/morggorm

 

Kami di EKSTRIM ingin juga mengucapkan terima kasih yang tak terhingga buat keseluruhan kem MORGGORM terutamanya saudara King yang memberikan respon yang teramat baik terhadap temubual kami ini dan juga buat saudara Ariyus yang bertungkus-lumus menaip jawaban-jawaban yang disediakan oleh King. Sesungguhnya "Cruelty Devastation" adalah sebuah lagi karyaan Thrash Metal yang amat kami nanti-nantikan. MORGGORM... Selamat Maju Jaya !!!

 

KEMBALI

 
Hosted by www.Geocities.ws

1