ISTERI DILARANG BAWA MASUK TAMU TANPA KEBENARAN SUAMI

Dunia hari ini kian tenat, ibarat si ibu yang sedang
sakit melahirkan anak. Maksiat dan kemungkaran
menjadi-jadi di mana-mana, kadang-kadang di depan mata
kepala kita sendiri. Manusia telah hilang sifat
malunya. Punca terbesarnya adalah tindakan seks yang
telah Allah jadikan sejak manusia dicipta.

Setiap kali terbitnya akhbar harian maka pasti ada
saja cerita perogolan disiarkan. Manusia hari ini
sudah banyak hilang pegangan imannya, hidup
bertuhankan nafsu. Tidak kira siapa asalnya nafsu
dapat dilepaskan. Apa yang menyedihkan anak sendiri
jadi mangsa si ayah, si adik menjadi mangsa si abang,
kanak-kanak menjadi mangsa si tua.

Sebenarnya semua ini mengingatkan kita bahawa sekarang
ini zaman fitnah. Bila terdedah sahaja aurat, wanita
berpakaian menjolok mata, maka berbagai kemungkinan
maksiat boleh berlaku. Tapi dalam hal ini kita tidak
boleh menyalahkan pihak lelaki saja. Oleh itu kaum
wanita kenalah berwaspada, pakaian biarlah bersopan
sebab tidak siapa tahu malang tidak berbau dan tidak
mengenal bulu.

Di dalam Islam memang ada batas-batas aurat untuk
lelaki dan wanita di luar dan di dalam rumah di antara
sesama keluarga (muhram). Islam juga meminta setiap
lelaki dan wanita supaya menundukkan mata dan
pandangannya apabila berhadapan dengan yang bukan
muhramnya.

Mata punca segala-galanya, ia berperanan untuk menemu
dan memperkenalkan lelaki dan perempuan. Menurut ilmu
tauhid, maklumat yang diperolehi dari mata adalah 50%.
Telinga hanya memperolehi 30% saja maklumat serta 20%
dari anggota lain. Di sini jelas membuktikan
rangsangan deria lihat lebih kuat dari yang lain.
Sebab itulah diharamkan lelaki bertemu perempuan.

Tempat yang paling merbahaya ialah memandang aurat,
ianya wajib ditutup dan merupakan bahagian yang aib
pada diri seseorang kerana boleh menimbulkan nafsu dan
syahwat. Akibat dari itulah menimbulkan berbagai
kerosakan yang berlaku di tengah masyarakat. Lantaran
itu aurat wajib ditutup sebagaimana yang diperintahkan
oleh Allah swt.

Rumah adalah sebuah kediaman untuk kita berlindung
dari panas dan hujan serta musuh. Tempat menggabung
dan mengeratkan kemesraan serta kasih sayang satu sama
lain. Telah menjadi tradisi masyarakat hari ini kalau
petang-petang hari maka ramailah keluar makan angin di
sekitar kawasan rumah. tetangga. Maka kita dapati si
bujang begitu rancak berbual dengan si dara manis,
tidak ketinggalan isteri-isteri orang pun turut sama.

Suami pula tidak ambil kisah dengan tingkah laku si
isteri yang bebas bergaul dengan sesiapa jua. Suami
begitu sebenarnya adalah seorang suami yang dayus.
Orang dayus tidak akan masuk syurga. Tempat si isteri
adalah di sisi suami bukannya dengan orang lain.

Seperkara lagi yang telah menjadi lumrah di dalam
masyarakat kita ialah si isteri mengizinkan seseorang
samada lelaki atau wanita masuk ke dalam rumah, ketika
suami tiada di rumah. Hukumnya adalah haram. Sekiranya
yang dibenarkan masuk ialah lelaki, hukumnya haram
kerana Islam melarang wanita dan lelaki yang bukan
muhram tinggal berdua-duaan di bawah satu bumbung.
Sekiranya yang dibenarkan masuk itu adalah muhramnya
ataupun seorang wanita, haramnya adalah kerana tidak
mendapat kebenaran suami terlebih dahulu. Si isteri
mengajak muhramnya atau tetamu wanita masuk ke rumah
setelah mendapat izin suami terlebih dahulu adalah
dibolehkan.

Begitu juga halnya jika sebuah rumah didiami oleh dua
buah keluarga ajnabi. Katalah si A tiada di rumah,
yang tinggal di rumah itu hanyalah si B, sedangkan
suami si B tiada di rumah, maka haram hukumnya jika
suami si A berada di rumah. Salah seorang darinya
mestilah segera mengambil tindakan untuk keluar bagi
mengelakkan berlakunya maksiat.

Sebab itulah di dalam Islam diharamkan lelaki dan
perempuan yang belum bernikah berdua-duaan ke sana ke
mari sebab teman ketiga mereka ialah syaitan yang akan
mencuit hati teruna dan dara agar hanyut ke lembah
kemaksiatan.

Ketika di dalam peperangan ahzab, semasa orang kafir
menyerang kubu orang Islam, orang munafik berkata
kepada Rasulullah saw. “Ya Rasulullah, kami hendak
balik kerana rumah kami itu ialah aurat.” Memang benar
rumah itu ialah aurat yang patut dijaga kerana itu
janganlah kita masuk ke rumah tanpa izin.

Mengenai masalah aurat rumah ini ada disebut di dalam
surah An Nur, ayat 27, 28 dan 29. yang maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu
memasuki rumah-rumah yang bukan rumah kamu sebelum
meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya.”

di dalam ayat ini mengandungi dua perintah, iaitu
meminta izin sebelum masuk dahulu dan memberi salam.
Selanjutnya ayat 28 dan 29 bermaksud:

“Jika kamu tidak menemui seorang pun di dalamnya, maka
janganlah kamu masuk sebelum mendapat izin. Maka jika
dikatakan kepada kamu, “Kembali sajalah” maka
hendaklah kamu kembali.
Tidak ada dosa atau kamu memasuki rumah yang tidak
disediakan untuk didiami yang di dalamnya ada
keperluan kamu.”

Demikianlah beberapa ayat perintah Allah mengenai
memasuki rumah yang bukan rumah kita. Mengenai adab
memasuki ke rumah pernah digambarkan di dalam riwayat
Rasulullah saw ketika baginda mengunjungi rumah
anaknya Siti Fatimah, yang bersuamikan Sayidina Ali
r.a. Sebalik sampai sahaja di rumahnya, Rasulullah
memberi salam dan meminta izin masuk. Siti Fatimah
menjawab, tetapi tidak mengizinkan ayahnya masuk.

Masakan seorang anak tidak mengizinkan ayahnya masuk.
Lebih-lebih lagi Rasulullah saw, tetapi sebelum itu
baginda bertanya, “Mengapa tidak boleh masuk wahai
anakanda?”

Dijawab oleh Siti Fatimah dengan mengatakan bahawa
bukanlah bersama Rasulullah itu ada seorang sahabat
sedangkan Siti Fatimah ketika itu tidak mempunyai
cukup kain untuk menutupi tubuhnya kerana terlalu
miskin. Bila ditarik ke atas ternampak kaki, kalau
diturunkan ke bawah terdedah kepalanya. Untuk
berselindung di dalam bilik. rumah Sayidina Ali tidak
ada bilik, di situlah tempat tidur, makan dan tempat
tetamu.

Apabila mendengarkannya, Rasulullah terus memberikan
kain selendangnya untuk Siti Fatimah menyelimuti diri.
Setelah itu barulah Rasulullah diizinkan masuk.
Demikianlah adab kesopanan memasuki rumah yang
dihadiskan oleh Rasulullah saw dan patut dicontohi.
Jangan anggap tidak releven untuk diamalkan di zaman
ini.
 


 
 

SAMBUT SUAMI DI MUKA PINTU

Istimewanya wanita ialah segala perbuatan dan setiap
apa yang disentuh oleh jari halusnya di dalam ruang
lingkup rumahtangganya akan mendatangkan pahala. Namun
terdapat suatu perkara yang jarang sekali diambil
perhatian oleh kebanyakan wanita hari ini, iaitu
perihal menyambut kepulangan suami.

Setiap kali suami pulang ke rumah suami memerlukan
bantuan isterinya untuk menghilangkan rasa letih,
penat, lapar, dahaga dan lain-lain beban yang sedang
ditanggungnya. Oleh itu, isteri yang menyambut suami
hendaklah pandai memahami mood dan kehendak suami.

Sambutlah kepulangan suami dengan air muka gembira,
dan dengan senyuman. Tunjukkanlah wajah yang semanis
mungkin dan senyuman yang kita berikan ketika itu akan
menghilangkan sebahagian daripada keletihan suami.
Elakkan daripada bersikap acuh tak acuh, bermasam muka
ataupun melepaskan ‘peluru berpandu’ bila suami
terjongol di muka pintu. Sabda Rasulullah saw:

     “Siapa sahaja seorang isteri bermuka muram di
hadapan suaminya, maka ia dalam kemurkaan Allah swt
hingga ia dapat membuat suasana yang riang gembira
kepada suaminya dan memohon kerelaannya.”

Begitulah besarnya harga senyuman seorang isteri
kepada suaminya. Senyuman akan mencetuskan suasana
kegembiraan dan itulah sebenarnya yang dikehendaki
oleh semua suami ketika pulang, terutamanya jika ia
sedang dalam keletihan. Muka yang masam bukan sahaja
akan menimbulkan kemarahan suami, malahan menyebabkan
Allah swt turut murka. Kemurkaan Allah itu akan
berkekalan hingga isteri itu berjaya mengembalikan
semula suasana gembira dan memohon keampunan daripada
suami. Kerana sesungguhnya keredhaan Allah itu
terletak pada keredhaan suami.

Bila suami pulang segeralah bukakan pintu. Persilakan
masuk dengan penuh hormat dan dengan kata-kata yang
lemah lembut. Sambutlah tangan suami dan ciumi ia
sebagai tanda hormat serta meminta maaf, walaupun
isteri merasakan tidak berbuat sebarang kesalahan pada
hari itu. Bukannya isteri yang hulurkan tangan untuk
dikucup oleh suami sepertimana yang dilakukan oleh
kebanyakan orang Barat hari ini.

Sebuah hadis ada menyebut bahawa apabila seorang suami
bersalaman dengan isterinya, maka gugurlah segala dosa
dari sela-sela jari mereka berdua. Begitulah Maha
Pengampunnya Allah; dosa isteri gugur hanya dengan
bersalaman dengan suami. Oleh itu rebutlah peluang
dalam sebarang kesempatan untuk bersalaman dengan
suami dan meminta maaf daripada suami. Tentunya tidak
terhad hanya ketika suami pulang daripada kerja
sahaja; lazimkan perbuatan ini ketika selepas solat
jemaah, ketika hendak keluar dari rumah atau pun
setelah membuat sebarang kesilapan samada kecil atau
besar; supaya sentiasa mendapat keampunan Allah.
Andaikata mempunyai anak-anak, ajarlah mereka itu
untuk selalu bersalaman dengan ayahnya. Kelaziman ini
akan memupuk rasa kasih dan hormat anak-anak kepada
orang tua.

Jika suami pulang membawa buah tangan, sambutlah
dengan ucapan terima kasih. Jangan biarkan sampai
barang itu lama di tangannya atau suami meletakkannya
sendiri di dapur. Ini tanda isteri tidak menghargai
buah tangan yang dibawa oleh suami.

Jangan pula bertanya soalan-soalan seperti ‘kenapa
tidak beli barang yang dipesan?’ dan seumpamanya.
Soalan yang di tanya bertubi-tubi ketika suami sedang
penat hanya akan membosankan suami, malahan mungkin
akan menimbulkan kemarahannya.

Pernah disebut dalam riwayat, pada zaman Rasulullah,
ada seorang wanita yang bakal masuk syurga lebih
dahulu daripada Siti Fatimah. Wanita itu begitu taat
serta sangat memuliakan suaminya. Dia menunggu
kepulangan suaminya dengan pakaian yang bersih serta
mengghairahkan; disediakan tuala, air sejuk dan
sebatang rotan. Segala perbuatannya itu menjadi tanda
tanya kepada Siti Fatimah yang mengunjunginya. Lalu
beliau bertanya untuk mengetahui di sebalik perlakuan
wanita itu.

Wanita itu pun berkata: “Aku bersiap-siap dan
menyinsing kainku ialah supaya mudah jika suamiku
ingin menyampaikan hajatnya. Adapun tuala ini ialah
untuk mengesat peluhnya, air ini ialah untuk
menghilangkan dahaganya dan rotan ini ialah untuk dia
menghukum aku jika aku membuat sebarang kesalahan.”

Kebahagiaan rumahtangga terletak pada akhlak dan budi
pekerti isteri. Biarpun seorang isteri itu tidak
cantik tapi jika cukup sempurna layanannya terhadap
suami dan berakhlak pula, tentu ia akan menjadi
penghibur dalam rumahtangga.

Oleh itu wahai wanita-wanita atau para isteri-isteri
hendaklah berlumba-lumba untuk menjadi seorang isteri
yang solehah, yang bertaqwa berakhlak mulia dan taat
kepada suami. InsyaAllah seorang isteri itu akan
disayangi oleh Allah, suami malah seluruh makhluk di
dunia. Sabda Nabi:

“Sungguh-sungguh memintakan ampun untuk seorang
isteri yang berbakti kepada suaminya, iaitu
burung-burung di udara, ikan-ikan di air dan malaikat
di langit selama dia sentiasa dalam kerelaan
suaminya.”

Jika seorang isteri mengharap cintanya berbalas maka
berbanyak-banyaklah isteri itu mencari keredhaan Allah
melalui suami
 


 
 

ADAB BAGAIMANA BERHADAPAN DENGAN SUAMI

Kehadiran suami di rumah merupakan satu rahmat kepada
setiap isteri. Hanya isteri-isteri yang menderhakai
suami sahaja menganggap kepulangannya suatu yang
dibenci kerana dibebani dengan berbagai kerja dan
tanggungjawab. Amat malang sekali jika ramai lagi
isteri-isteri yang masih bersikap sedemikian.
Hilanglah matlamat perkahwinan di mana isteri sebagai
penenang dan penyeri rumahtangga.

Di bawah ini dinyatakan cara-cara berhadapan dengan
suami.

1. Semasa suami bercakap hendaklah isteri diam
mendengarnya dan jangan suka menyampuk atau memotong
cakapnya.

2. Bila suami marah hendaklah isteri mendiamkan diri,
jangan suka menjawab. Sikap suka menjawab, bertekak
dan menegakkan kebenaran sendiri akan menambahkan lagi
kemarahan suami. Jangan terkejut jika suami angkat
kaki meninggalkan rumah berhari-hari atau tidak mahu
bertegur sapa dengan anda sebagai denda di atas
kedegilan anda sebagai isteri. Sebaliknya, kalau suami
kembali ke rumah jangan disambung atau diulang-ulangi
cerita lama. Sambutlah suami dengan senyuman kasih
sayang dan bersegeralah meminta maaf. Jangan kita
tunggu suami meminta maaf dengan isteri, jatuhlah
martabat keegoannya selaku seorang lelaki.

3. Kadang-kadang si suami sengaja suka mengusik
isterinya. Bila dia menyakiti hati isteri hendaklah
banyak bersabar, jangan cepat merajuk. Merajuk adalah
sifat orang yang tidak matang dan seperti perangai
keanak-anakan. Cuba kita perhatikan perangai
kanak-kanak, mereka akan cepat menjerit bila ada
sesuatu yang tidak kena tambahan pula kalau yang
menegurnya itu ibunya sendiri. Sengaja
dihentak-hentakkan kaki meraung sekuat hati meminta
simpati dari ibunya.

4. Bila kuku, misai dan janggutnya panjang hendaklah
segera dipotongkan (jika panjang janggutnya lebih dari
segenggam). Pilihlah hari-hari yang terbaik iaitu hari
isnin, Khamis dan Jumaat.

5. Jika dia berhajat sesuatu hendaklah isteri cepat
bertindak. Bangun segera bila disuruh. Jangan
melengah-lengahkan kemahuannya supaya tidak
mencetuskan kemarahan atau rasa tersinggung di
hatinya. Jangan isteri buat acuh tak acuh, hatinya
akan kecewa dan menandakan isteri sudah tidak taat
padanya.

6. Hendaklah memasak mengikut kesukaan suami bukannya
ikut selera isteri. Kalau suami suka makan gulai kari
atau masak lemak cili api, janganlah kita masak  lauk
asam pedas atau ikan goreng. Suami akan gembira bila
seleranya ditepati. Janganlah pula ikan yang menjadi
mangsa, diketuk lengkang-lengkung hingga hancur kerana
meradangkan sikap suami yang mahu lauk tersebut
dimasak mengikut seleranya sedangkan isteri tidak
menggemarinya.

7. Apabila pakaian suami koyak atau tercabut butangnya
hendaklah segera dijahit. Jahitlah dengan secantik
yang boleh supaya pakaian itu kelihatan kemas dan
cantik. Jangan dibuat sambil lewa kerana jahitan
tersebut akan melambangkan peribadi isteri samada
ikhlas atau terpaksa. Semua suami akan berasa bangga
jika pakaiannya dijahit sendiri oleh jari-jemari halus
isterinya, sekurang-kurangnya dapat menampung ekonomi
rumahtangga.

8. Sentiasa sediakan barang-barang keperluan di dalam
poket baju dan seluar suami iaitu sikat, celak, cermin
kecil, minyak wangi dan kayu sugi. Tidak menjadi
kesalahan seandainya si suami menolak segala
persediaan tersebut tetapi sekurang-kurangnya
sediakanlah minyak wangi dan kayu sugi.

9. Bila bertembung kehendak suami dan anak-anak,
dahulukanlah kehendak suami, begitu juga dengan
kehendak ibu ayah. Sekiranya suami ingin dilayan
hendaklah ditaati meskipun isteri berada di dalam
keadaan letih. Melayani suami merupakan satu pahala
besar keatas setiap isteri kecualilah jika suami kita
meredhainya.

10. Apabila menggunakan harta suami ataupun duit yang
hendak kita hadiahkan kepada ibu bapa maka mintalah
izin darinya terlebih dahulu. Jangan beri dahulu
kemudian baharu diberitahu kepadanya. Siapa tahu
mungkin wang itu amat diperlukan sedangkan isteri
sewenang-wenangnya telah menghadiahkan kepada orang
lain, suami dapat pahala sedangkan isteri tidak dapat
apa-apa. Sebenarnya meminta izin itu ialah sebelum
melakukan sesuatu tindakan bukannya setelah perkara
itu berlaku diberitahu. Ini silap sebenarnya tapi
kes-kes seperti inilah yang sering berlaku di kalangan
para isteri.

11. Sentiasa berada di dalam keadaan bersih dan kemas
ketika suami berada di rumah. Isteri hendaklah berada
di dalam keadaan berwangi-wangian supaya hatinya
senang untuk bersenda gurau dengan isterinya.
Ketahuilah bahawa bersenda gurau antara suami isteri
juga merupakan salah satu ibadah yang diredhai oleh
Allah swt.

12. Air minum suami hendaklah sentiasa disiapkan
jangan sampai dia minta biarpun sekadar air masak
sejuk. Sebaik-baiknya sediakanlah minuman panas
seperti kopi, teh atau susu. Air panas elok disimpan
di dalam termos supaya memudah dan menjimatkan masa
kita. Kalau boleh sediakan kuih-kuih ringan seperti
karipap, cucur, bubur, apam ataupun biskut kering. Hal
ini juga dapat mengelak anak-anak dari membeli makanan
ringan di kedai yang tidak mengandungi zat di samping
tidak terjamin kebersihannya.

Akhir kata hendaklah isteri sentiasa menghormati dan
memuliakan keluarga suami. Bersikap ramah-tamahlah
dengan keluarganya dan bersabarlah di atas segala
tindakan mereka jika ada yang bertentangan dengan
syariat. Di sinilah peranan isteri untuk berdakwah
kepada mereka tetapi biarlah berhikmah dan kena
caranya agar setiap tindak-tanduk kita dikasihi dan
dihargai oleh mereka seterusnya menjadi menantu atau
ipar yang dicontohi akhlak, peribadi dan ibadahnya.
 
 


 

Hosted by www.Geocities.ws

1