BERITA & INFORMASI
TAK AKAN LUPA DARATAN
oleh Rudy Imran Shamsudin
Harian Metro , 2 Mac 2007
Ning janji apapun terjadi dia tetap pelihara kesopanan wanita Asia, tidak dedah tubuh di negara orang
TIDAK wujud istilah terlewat dalam kamus hidup penyanyi dan pelakon terkenal, Ning Baizura untuk terbang lebih tinggi ke benua Eropah bagi melebarkan bakatnya ke negara luar walaupun usianya kini sudah mencecah 32.
Baginya, selagi ada usaha jalan pasti terbuka untuk dia melebarkan lagi karier ke peringkat antarabangsa. Segala aktiviti yang dirancang sepanjang tahun ini oleh syarikat pengurusannya, Ning & Associates juga nampak positif.
Filem terbaru lakonannya, Diva, terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd dan arahan pengarah Indonesia kelahiran India, Sharad Sharan, bakal ditayangkan di beberapa negara Asia termasuk India dan Indonesia pada Jun atau Julai.
Dalam waktu sama album demo dihasilkan untuk pasaran Eropah kini sedang dalam penilaian beberapa syarikat rakaman terkemuka di Barat.
Katanya, dia sudah bersedia mengembangkan bakatnya ke negara luar selepas menimba pengalaman mengadakan persembahan di Monte Carlo, Itali, Perancis, London, Pakistan, Hong Kong dan Jakarta, Indonesia.
“Pengalaman itu membantu saya berdepan dengan kerenah orang luar yang biasa memandang rendah masyarakat Asia.
“Saya tahu untuk melaksanakan perkara ini banyak halangan dan dugaan, namun tidak salah sekiranya kita mencuba. Cuma saya dan syarikat pengurusan perlu bekerja keras,” katanya.
Album demo membuatkan tiga lagu Inggeris, Again dan East West Express karya pencipta lagu kelahiran London serta Drama ciptaan Audi Mok yang dialih bahasa dijadikan taruhan.
“Sekiranya ada rezeki album untuk pasaran Eropah itu nanti, ia berkonsep elektro pop dan pengurus saya di sana, Luigi Bajona, berusaha keras mengadakan perbincangan dan pertemuan dengan syarikat rakaman gergasi di sana.
“Secara asasnya, cara syarikat rakaman di Asia bekerja berbeza dengan di sana. Contohnya, syarikat rakaman Warner Music boleh menjalinkan usaha sama dengan semua cawangannya.
“Sementara di Eropah kalau ada 10 negara bermakna artis terbabit punya 10 pasaran yang perlu ditawan. Kalau orang Perancis boleh terima album dihasilkan belum tentu di Jerman akan bersetuju untuk memasarkannya.
“Memikirkan cabaran yang menunggu memang susah tetapi kita harus yakin dan komited sekiranya peluang itu datang. Untungnya, peminat di Eropah tidak memandang usia sebaliknya lebih melihat bakat. Mereka lebih pandai menghargai muzik.
“Sebab itu kita lihat Madonna menghasilkan muzik elektro pop untuk pasaran sana dan penyanyi Indonesia, Anggun Cipta Sasmi boleh berjaya kerana mereka bijak dan berbakat besar,” katanya
Sekiranya perancangan ini menjadi kenyataan, Ning membayangkan dia harus berpindah dan duduk di Eropah, paling tidak empat bulan.
“Proses mempromosikan album ini sama saja dengan di Malaysia. Namun, itu tidak bermakna saya akan terus menetap di sana, sebaliknya saya akan berulang-alik. Tidak mengapalah penat sedikit asalkan apa yang saya citakan menjadi kenyataan,” katanya.
Pastinya kemunculan album dihasilkan itu turut menjanjikan kemewahan, namun apabila perkara ini diajukan kepadanya, penyanyi yang berasal dari Kajang, Selangor ini secepat kilat menepis.
“Saya tidak mahu harapkan apa-apa kerana apa yang saya lakukan ini risikonya besar. Kalau benar seperti apa yang dikatakan, saya bersyukur dan percaya Tuhan itu adil.
“Apa yang diusahakan ini sebenarnya mengambil masa dan perlu dilakukan satu persatu. Cuma, apa pun terjadi saya tidak akan lupa daratan.
“Bagi saya, sekiranya album Eropah menjadi, imej sekarang akan dikekalkan. Saya mahu menunjukkan keistimewaan wanita Asia, walaupun tidak mendedah tubuh tetapi kita tetap nampak cantik dan eksotik,” katanya.
Sebaik saja kata putus diperoleh Ning akan terbang ke London April ini bagi memulakan kerja-kerja rakaman untuk album itu. Selain menampilkan tiga lagu asal dalam demo, tujuh lagu baru akan disiapkan penerbit di sana.
|
NING: NIKKI DAN YANIE LEGASI SAYA
oleh Radin Sri Ghazali
mSTAR online, 10 November 2006
Selama 14 tahun berkecimpung dalam dunia hiburan tempatan, Ning Baizura Hamzah kini sudah matang mengharungi pelbagai kontroversi.
Kini Ning bukan sahaja sibuk menguruskan kerjayanya malah menguruskan kerjaya dua orang protegee iaitu Nikki dan Yani.
"Merekalah legasi saya untuk menyambung perjuangan dalam industri ini," kata Ning ketika ditemui baru-baru ini.
Kesungguhan Ning mendidik anak-anak didiknya jelas kelihatan apabila kedua-dua mereka kini bernaung di bawah syarikat rakaman kepunyaan Ning iaitu Artiste United Records.
"Saya sudahpun berjanji kepada Yani serta keluarganya untuk merealisasikan impiannya untuk menjadi seorang penyanyi," ujar penyanyi bersuara soprano yang turut menyatakan bahawa kesungguhan serta disiplin remaja itu turut mendorongnya menunaikan janji yang dilakukan secara langsung menerusi rancangan Mentor pada tahun lepas.
"Saya mahu membuktikan bahawa bakat daripada siri realiti dapat pergi jauh jika diberi peluang dan saya sanggup mengambil risiko untuk membuktikannya," kata Ning lagi.
Walaupun sebumbung dan sementor, Ning mengakui bahawa kedua-dua protegeenya itu mempunya identiti serta watak yang berbeza.
"Yani mempunyai suara yang lembut, suara yang sudah jarang kedengaran di dalam industri kita. Kekuatannya lebih daripada irama tradisional.
"Albumnya bakal diedarkan pada penghujung tahun. Dan uniknya dia akan berduet bersama salah seorang finalis Akademi Fantasia 4, Diddy," jelas Ning yang turut menggunakan khidmat komposer Audi Mok.
Mengenai Nikki yang berasal dari Sabah, Ning berkata, dia mempunyai suara yang boleh mencecah 5 octave seperti Mariah Carey.
Bekas finalis Malaysian Idol 1 itu sudahpun mengeluarkan album berjudul Maharani serta mengecapi sukses yang memberangsangkan menerusi duet bersams Zahid AF2 iaitu Caramu.
Diva ke India
Bercakap mengenai filem Diva, di mana dia memegang watak utama, Ning berkata, penggambarannya kini sudah siap dan akan ke panggung tidak lama lagi. Produksi filem tersebut pernah dihentikan pada bulan Mei tahun ini namun disambung semula setelah dua bulan penangguhan.
"Setiap filem sudah semestinya akan mengalami masalah. Apatah lagi sebuah filem yang membabitkan kerjasama tiga buah negara iaitu Malaysia , Indonesia dan India, katanya.
Ning memegang watak utama iaitu Kartika. Dia merupakan seorang gadis kampung yang berhijrah ke luar negara untuk menjadi seorang penyanyi terkenal.
Setelah kematian bapanya, dia kembali ke tanahair untuk menyambung warisan bapanya yang yang mempunyai sebuah sekolah seni.
"Bukan sahaja berlakon, tetapi kami turut menyanyi serta menari bersama-sama 40 orang penari untuk babak nyanyian," ujarnya
Filem tersebut turut melihat watak yang dipegang Ning mendidik empat orang penyanyi harapan dan ini seakan-akan sinonim denga apa yang dilakukannya bersama-sama Nikki dan Yani.
Selain daripada itu, cabaran yang turut dihadapi Ning adalah konsep filem tersebut merupakan drama muzikal.
Ning mengaku teruja dengan filem yang menggunakan tiga bahasa -- Bahasa Melayu, Indonesia dan Inggeris bagi membolehkannya menembusi pasaran antarabangsa seperti India dan Indonesia.
Mahu bawa batik ke Eropah
Setelah kejayaan Ning European Summer tour pada tahun lepas, penyanyi yang berasal dari Kajang itu sekali lagi akan berangkat ke benua Eropah tidak lama lagi.
Dia bercadang ke Perancis dan Jerman tahun depan bagi memulakan perniagaan batik secara jkecil-kecilan di sana.
"Ketika persembahan saya, saya pastikan saya menggunakan pakaian tradisional negara seperti Batik. Saya terkejut dengan sambutan serta permintaan orang Eropah terhadap batik," ujarnya lagi.
|
NING BAIZURA TIDAK MEMILIH
oleh Nor Fadzilah Baharudin Utusan Malaysia, 2 November 2006
Apabila usia semakin meningkat pastinya tiada soalan lain yang akan diajukan. Bila nak kahwin, siapa calonnya? Itu antara soalan-soalan ‘cepumas’ yang akan terpacul dan didengar. Bagi sesetengah orang, mungkin merasa rimas dan malas mendengar serta melayan. Biasalah! Tetapi bagi selebriti, hendak atau tidak, soalan itu terpaksa juga dihadapi. Ketawa besar Ning saat soalan itu diajukan kepadanya. Namun jawapannya tetap standard, “Belum ada jodoh. Kalau ada dah lama ke arah itu.”
Namun ini tidak bererti Ning menyisihkan diri di saat rakan-rakannya menjadi ‘raja sehari’. Baru-baru ini Ning Baizura ke Jakarta menghadiri perkahwinan rakan baiknya. Wow! Jauh berjalan menghadiri majlis persandingan. Kata Ning, “Ambil berkat. Orang tua-tua ada berkata kalau kita selalu menghadiri majlis perkahwinan kawan-kawan kita, nanti kita pun akan cepat dapat jodoh.” Terpulang sama ada anda mempercayainya atau tidak. Tapi kalau terlalu memilih, mudahkah dapat jodoh? “Saya tak memilih. Cuma jodoh belum sampai walaupun saya dah berusia 31 tahun. Memang ada terfikir tentang kahwin tapi belum ada rezeki dan rasanya baik tumpu pada karier dahulu,” ujarnya tersenyum.
Berkepit dengan protege
Satu perkara yang dikenal pasti kini, ke mana sahaja Ning pergi pastinya dua orang protegenya, Nikki dan Yanie ada bersama. Hinggakan ada yang berkata, Ning tidak boleh berpisah langsung dengan mereka. Mungkin ada pihak yang selesa dan mungkin ada yang tidak.
Komen Ning: “Tujuan saya membawa mereka bersama agar mereka mendapat pendedahan dengan dunia seni. Lagipun mereka artis saya tentunya saya bertanggungjawab untuk mendidik mereka. “Saya mahu mereka membiasakan diri dengan keadaan supaya tidak kekok.”
Tidak dapat dinafikan lagu Drama, antara lagu yang menarik dan diminati ramai masa kini. Gabungan mantap Ning dan protegenya mendapat pujian ramai. Single tersebut sebenarnya dicipta khusus untuk anugerah Era 2006. Pengurus Ning Baizura, Vernon Kedit merupakan pencetus kepada idea tersebut. Manakala Audi Mok bertindak selaku pencipta lagu dan liriknya dicipta oleh Ad Samad. Ning sendiri kagum dan berterima kasih kepada penciptanya kerana berjaya menyiapkan lagu tersebut dalam tempoh yang singkat.
Atas sambutan yang memberansangkan pada lagu itu, ia bakal dimuatkan dalam album Nikki Repackage yang akan berada di pasaran pada hujung bulan Oktober ini. Kata Ning: “Lagu tersebut mengisahkan tiga wanita yang berebutkan seorang lelaki. Apabila mereka berebut maka berlakulah drama. Kami bertiga membawa karakter masing-masing. Contohnya saya membawa watak wanita liar, Nikki membawa watak perempuan yang suka mempermainkan perasaan lelaki dan Yanie sebagai perempuan baik.” Menceritakan pengalaman merakamkan lagu itu, kata Ning Baizura: “Lagu itu dirakamkan dalam tempuh sehari. Dari pukul 9 malam hingga 4 pagi di studio Fuse, Petaling Jaya. Seronok sebab kami merakamkan lagu tersebut bersama-sama,” katanya.
Sementara itu, bagi Nikki merakamkan lagu tersebut merupakan satu pengalaman baru buat dirinya. “Sebelum ini Nikki tidak berpeluang membawa lagu dalam nada suara opera. Tapi dalam lagu Drama, Nikki membawanya dalam nada opera (lantang dan jelas). Jadi seronok sangat sebab memang saya mahu mencuba sesuatu yang baru. “Saya dapat mengetengahkan suara yang memang saya nanti-nantikan. Kemudian masa korus kami bertiga bergabung, best sangat,” kata Nikki atau nama sebenarnya Nicolette Louisa Palikat.
Bagi Yanie pula kesempatan bergabung dalam satu lagu merupakan saat yang tidak akan dilupakannya. Begitu teruja dan seronok Yanie bercerita: “Sepanjang proses rakaman tak ada masalah yang berlaku. Tambah lagi Kak Ning banyak mengajar kami cara-cara terbaik semasa rakaman.”
|
NING LIGAT PERKENAL YANIE MELALUI 'DRAMA'
oleh Nurulhisham Abdul Latiff
Berita Harian, 2 November 2006
MENERUSI lagu Drama yang kini saban hari diputarkan di radio, Ning memperkenalkan seorang lagi anak didiknya, Yanie. Gadis berusia 21 tahun itu menjadi artis kedua syarikat rakaman Artist United Records (AUR), selepas Nikki yang sebelum ini sudah pun muncul dengan album pertama, Maharani.
Yanie, peserta rancangan Mentor musim pertama dari Sabah ini juga akan mengikut jejak langkah ‘kakak sulungnya’, Nikki, tidak lama lagi.
Album penyanyi bersuara lantang itu dijadualkan siap sepenuhnya dalam tempoh terdekat ini. Ketika ditemui pada penghujung Ramadan, Yanie sudah merakam tujuh lagu, daripada 10 lagu yang menjadi pilihan.
Menerusi album pertama, penyanyi berkulit cerah ini mempertaruhkan lagu hasil nukilan komposer berpengalaman seperti Aidit Alfian, Audy Mok, Hazami, Sharon Paul dan Helen Yap.
Pada majlis berbuka puasa anjuran Ning, Nikki dan dirinya sendiri di Bukit Bintang, Yanie turut memperdengarkan sebuah lagu dendangannya bersama Diddy, bekas pelajar Akademi Fantasia musim keempat berjudul Saling Terpesona. Lagu berentak rancak terbabit dicipta Audy, manakala liriknya pula ilham rasa penyanyi yang juga penyampai berita 8TV, Nurfatimah.
“Duet kami berdua terhasil setelah ideanya datang daripada pihak syarikat rakaman. Jika dulu Nikki dan Zahid disatukan, kini saya dan Diddy pula bergandingan. Namun, rentak lagi kami jauh berbeza.
“Andainya Caramu nyanyian Nikki dan Zahid lebih ke arah pop R&B, Saling Terpesona pula mungkin boleh dimasukkan dalam kategori seperti Hanya Memuji. Ia mempunyai elemen muzik Jamiroquai, dan saya amat menyukainya walaupun saya sendiri bukanlah peminat Jay Kay (penyanyi utamanya),” katanya.
Menurut wanita muda ini, selain Saling Terpesona, lagu ciptaan Helen Yap dan liriknya oleh Loloq yang berjudul Warna Cinta turut dirasakan memberi kelainan kepada album sulung berkenaan. Ciptaan Helen itu dikatakan lebih berentak jazz, irama yang sememangnya digemari penyanyi remaja ini sendiri.
“Setakat ini saya amat berpuas hati dengan proses penghasilan album ini dan saya juga berasa bertuah apabila idea saya turut diguna pakai ketika rakaman dijalankan. Maknanya, saya bukan hanya menyanyi, tetapi turut menyumbang pandangan terhadap pembikinannya. Komposer yang bekerjasama dengan saya pula baik-baik belaka dan sentiasa sedia untuk membantu.
“Saya juga tidak kisah sekiranya ada pihak yang menganggap album ini agak lambat diterbitkan iaitu setahun selepas saya meninggalkan rancangan Mentor. Paling penting, saya diberikan peluang untuk muncul dengan album sendiri dan hakikat ini amat bererti bagi saya sebagai artis yang masih baru di persada seni,” ujar Yanie.
Diminta pandangannya terhadap kemunculan ramai artis baru ketika ini, Yanie menegaskan, kehadiran mereka tentunya membawa kepada persaingan yang cukup sihat apabila masing-masing perlu menonjolkan kualiti terbaik untuk dikenali dan kekal dalam industri hiburan tempatan.
“Begitupun, setiap persaingan, biarlah berlangsung dalam keadaan yang sihat. Manakala tindakan saya berduet dengan Diddy pula mungkin boleh dianggap sebagai satu daripada strategi kami untuk meraih perhatian daripada peminat dengan lebih cepat,” kata gadis manis ini.
|
AIDILFITRI PENUH MAKNA
oleh Zul Husni Abdul Hamid
Berita Harian, 26 Oktober 2006
SUASANA Syawal ini terlalu berbeza buat tiga nama yang mengukuhkan Artistes United Records (AUR) iaitu Nikki, Yanie serta penyanyi popular, Ning Baizura. Fajar hari suci itu terbit bersama semangat yang jitu dan kental di hati tiga wanita ini.
Mereka melayari impian yang sama - mahu memperkasakan nama sebagai insan seni yang dikagumi. Di bawah bimbingan Ning yang jauh lebih berpengalaman, malah memahami selok belok liku dunia seni, Nikki dan Yanie berkongsi misi untuk sama mencipta nama semasyhur mentor mereka.
Ibarat ibu yang sabar meladeni anaknya, begitulah telatah Ning ketika menjayakan sesi fotografi bersama Hip yang diadakan di Butik Cosry, Jalan Telawi, Bangsar, baru-baru ini. Apa yang tidak kena di depan mata, pantas Ning akan menegur.
Tidak lokek berkongsi ilmu, Ning menurunkan petua kepada Nikki dan Yanie bagaimana untuk berdepan dengan lensa kamera. Sememangnya dua gadis kelahiran Sabah itu bertuah kerana tidak sendirian ketika meniti permulaan dunia seni.
“Ning cukup mengambil berat, bukan saja soal penampilan malah gaya pemakanan turut dipantau. Saya yang dulu tidak boleh hidup tanpa nasi semakin betah meratah sayur dan kekacang.
“Memang dulu saya tidak tahan, asyik merungut kenapa saya perlu semua ini. Selepas dua bulan dan merasai perbezaannya, saya faham mengapa Ning tegas soal pemakanan. Dunia artis semua mahu nampak cantik dan sedap dipandang,” kata Yanie.
Hasil mengawal cara pemakanannya, Yanie yang dulu mencecah berat 58 kilogram semakin langsing apabila hilang enam kilogram. Dia juga menitikberatkan senaman - jogging dan pilates jarang sekali ditinggalkan.
Seperti Yanie, Nikki juga sentiasa memastikan dirinya langsing dan bertenaga kerana ini memudahkan pergerakan apabila di pentas. Kedatangan Ramadan juga mengundang keistimewaan kepadanya.
Biarpun tidak beragama Islam, Nikki tetap berpuasa kerana menghormati Yanie yang juga teman serumahnya. Mungkin pada mulanya dia agak sukar menyesuaikan diri, namun selepas beberapa hari dia sudah biasa.
“Sebelum ini saya pernah diserang gastrik kerana terlalu mengawal kuantiti makanan yang diambil,” kata Nikki.
Mungkin dari segi publisiti Ning agak menyepi kebelakangan ini, namun di balik tabir dia sibuk menyusun strategi untuk memperkenalkan dua permata yang menaungi syarikat miliknya itu.
Akui Ning, dia puas dan lega kerana dua anak didiknya itu mempunyai kelebihan dari segi pendedahan, meskipun masih banyak yang perlu diperbaiki. Tumpuan terhadap Yanie dan Nikki meskipun mencuri sedikit masa berharganya, namun kata Ning, pengorbanan itu sudah mula menampakkan hasilnya.
Sejak muncul bertiga membawakan Drama yang akan dimuatkan dalam album pakej semula Nikki dan terbaru Ning, gandingan itu berjaya memperkenalkan nama Yanie. Ini memudahkannya merangka perjalanan karier gadis itu.
“Tidak mudah untuk melentur kerana mereka masih muda. Tahun pertama agak mencabar kerana mungkin mereka sukar untuk memahami apa yang saya ingin kongsi bersama. Tetapi selepas melalui sendiri, mereka semakin mengerti apa yang saya katakan,” katanya.
Debaran Syawal
ANDAI sepanjang Ramadan tumpuan lebih diberikan kepada sesi fotografi dan interbiu radio, Syawal ini mereka bertiga menyusun semula aktiviti dengan penumpuan diberikan kepada pengedaran album.
Nikki akan tampil dengan album pakej semula, Maharani memuatkan bonus Drama serta klip video, Caramu. Kelahiran pakej semula itu juga membantu Nikki memperkenalkan single ketiganya, Imaginasi ciptaan Audi Mok.
Bagi Nikki, pengedaran semula dapat membantu mempromosikan album itu yang kurang diperkenalkan terutama kepada peminat di Sabah dan Sarawak. Disebabkan masalah pengedaran, album itu tidak dapat dipasarkan secara meluas di dua negeri itu. “Malah Vernon juga menyusun promosi bergerak kami bertiga selepas Drama mendapat sambutan hebat di radio,” katanya.
Ning pula baru menyempurnakan rakaman dua lagu untuk album terbarunya ciptaan Audi Mok dan Sharon Paul, malah penyanyi itu juga bercadang merakamkan semula Drama dalam versi Inggeris.
Penyanyi itu juga bakal muncul dengan album penuh Inggeris memandangkan ada permintaan daripada peminat. Kata Ning, sebahagian besar lagu diperoleh daripada komposer Eropah hasil penjelajahannya ke sana tidak lama dulu.
Namun, paling berdebar menanti ketibaan Syawal tentunya Yanie kerana November ini album sulungnya akan menemui peminat. Sebagai pengenalan, bekas peserta musim pertama Mentor yang memilih konsep pop Melayu akan memperkenalkan single Saling Terpesona duet bersama Diddy.
“Sangkakan pelayaran ini mudah namun pengalaman berbeza yang saya lalui ketika proses rakaman album banyak mengajar saya supaya tidak cepat berpuas hati. Banyak yang perlu saya perbaiki dan akan terus berusaha kerana tidak mahu muncul hanya dengan sebuah album.
“Malah proses rakaman ini juga mengajar saya teknik pengawalan vokal dan lebih menitikberatkan penjagaannya,” kata Yanie atau nama penuhnya, Siti Suriane Julkarim.
|
Bazz © 2006 . Hakcipta terpelihara
|