|
|
Kitab Rahsia Zakat (Bahagian 2)
Disambung
dari Bahagian 1
Pembahagian
zakat dan asnaf-asnaf penerimanya. Ketahuilah,
bahawa tiada berhak untuk menerima zakat itu melainkan seorang Muslim yang ada
padanya salah satu dari sifat-sifat asnaf delapan yang tersebut di dalam al-Quran
al-Karim: (1)
Fakir: iaitu orang yang tiada harta dan tiada mampu pula bekerja.
Barangsiapa yang boleh bekerja akan terkeluarlah ia dari kategori seorang fakir.
Jika ia sedang menuntut ilmu dan yang demikian itu telah menghalangnya dari
bekerja maka dikiralah ia seorang fakir dan kekuasaannya untuk bekerja itu tiada
dikira. Tetapi kalau ia seorang ‘abid (beribadat), sehingga ibadatnya itu
menghalangnya dari bekerja disebabkan terlalu banyak ibadatnya dan semua
waktunya dihabiskan kerana berwirid maka hendaklah ia disuruh supaya bekerja.
Sebab membuat pekerjaan untuk mendapatkan sara hidup itu, adalah lebih penting
daripada menghabiskan kesemua masanya pada ibadat dan wirid semata-mata. (2)
Miskin: iaitu orang yang pendapatannya tidak mencukupi perbelanjaan yang
mesti dikeluarkan. Seseorang itu boleh jadi memiliki seribu dirham, padahal ia
boleh dikira miskin sedangkan orang yang tidak memiliki apa-apa kecuali sebilah
kapak dan sepotong tali, padahal ia boleh dikira kaya. Demikian pula pondok
kecil yang dimilikinya dan sepasang pakaian yang membalut badannya sekadar hal
saja, itu semua tidak dapat merampas darinya nama seorang miskin. Begitu juga
dengan perkakas-perkakas rumahtangga yang diperlukan di rumah menurut keadaan
atau kebiasaan tidak dapat mengeluarkan namanya dari kategori seorang miskin.
Termasuk juga kalau ia mempunyai kitab-kitab fiqh yang banyak, kerana tentulah
dia berhajat kepadanya untuk mengetahui hukum-hukum agama. (3)
Para amil: iaitu orang-orang yang bekerja untuk mengumpulkan zakat
termasuk dalam senarai ini semua orang yang bekerja sebagai kerani, jurukira
penyimpan harta zakat dan orang yang bertugas untuk memindahkan harta zakat. (4)
Orang yang dibujuk hatinya menganut Islam atau yang dipanggil muallaf;
iaitu seorang ketua sesuatu puak yang memeluk Islam, sedangkan ia ditaati oleh
kaumnya. Sebab diberikan kepadanya sebahagian daripada zakat, ialah untuk
mengukuhkan kepercayaannya kepada Agama Islam dan menggalakkan pula
pengikut-pengikutnya dan orang lain sepertinya untuk memeluk Agama Islam. (5)
Hamba abdi: iaitu untuk maksud menebus dirinya daripada perhambaan, sama
ada dibayarkan harganya kepada tuan punyaanya untuk dimerdekakan, ataupun
diberikan bahagian perhambaan (sekiranya ia hamba mukatab – pent.). (6)
Gharim atau orang yang dibebani oleh hutang: iaitu kiranya ia berhutang
kerana tujuan-tujuan ketaatan ataupun kerana sebab yang mubah (harus) seperti
perbelanjaan ke atas anak-isteri misalnya sedangkan ia di dalam keadaan fakir,
tak punya daya untuk membayar hutang itu. Kiranya ia berhutang kerana tujuan
maksiat maka tiadalah ia diberikan dari bahagian zakat itu, melainkan jika ia
telah bertaubat dengan sebenar-benar taubat. Kiranya ia seorang yang kaya (misalnya
mempunyai harta benda – pent.), maka tiadalah boleh ditunaikan hutangnya itu
dari bahagian zakat, kecuali jika ia berhutang itu kerana faedah dan maslahat
orang ramai, ataupun kerana tujuan memadamkan fitnah dan huru-hara. (7)
Orang mujahid atau yang berperang fi-sabilillah: iaitu orang yang tiada
menerima apa-apa bayaran berupa upahan atau gaji dari negara, maka diberikan
kepada mereka itu satu bahagian dari zakat, meskipun mereka itu tergolong
orang-orang yang kaya-raya, kerana pemberian itu adalah untuk menggalakkan
mereka supaya terus berperang. (8)
Ibnu sabil: iaitu orang yang meninggalkan negerinya untuk mengembara ke
negeri orang bukan kerana maksiat, atau kerana terlantar di negeri orang dan tak
punya wang untuk kembali, maka bolehlah diberikan kepadanya bahagian zakat,
kiranya ia seorang fakir ataupun kiranya ia mempunyai harta di negeri lain,
diberikan sekadar belanja untuk sampai ke negeri itu saja. Tugas-tugas
penerima zakat Orang
yang menerima zakat mempunyai empat tugas: (1)
Hendaklah ia mengetahui bahawa Allah Azzawajalla mewajibkan pemberian itu
untuk mencukupi keperluannya supaya menjadi pertolongan kepadanya untuk
mengerjakan ketaatan. Jika dipergunakannya untuk maksiat, seolah-olah ia telah
mengkufuri nikmat-nikmat Allah yang diberikan kepadanya. Dengan itu terjauhlah
ia dari rahmat Allah dan mendapat kutukan pula daripadanya. (2)
Hendaklah ia mensyukuri orang yang memberikan zakat itu sambil mendoakan
baginya dan memujinya tetapai hendaklah jangan sampai terkeluar dari
menganggapnya sebagai pengantara saja, atau sebagai jalan di mana menerusinya
disampaikan nikmat Allah tadi, tidak lebih dari itu, Sebab bagi pengantara atau
jalan atau wasitah itu, ada haknya juga dari segi hanya dijadikan pengantara
atau wasitah. Dan tiadalah menafikan bahawa asal nikmat itu daripada Allah s.w.t.
Telah
bersabda Rasullullah s.a.w. “Barangsiapa
yang tiada menyukuri manusia, maka tiadalah ia mensyukuri Allah.” Allah
s.w.t. juga telah memuji hamba-hambaNya, kerana amalan-amalan baik mereka dalam
beberapa ayat di dalam kitabNya, tetapi Dia telah menentukan bahawa Dialah yang
mentakdirkan semua itu, diantaranya firman Allah: “Sebaik-baik
hamba itu adalah yang banyak taubatnya,”
(Shad: 30) Bersabda
Rasulullah s.a.w.: “Barangsiapa
memberikan kepadamu sesuatu kebaikan (bantuan), maka hendaklah kamu membalasnya
Kiranya kamu tidak mampu maka doakan baginya (dengan baik) sehinga kamu yakin
bahawa kamu telah pun membalasnya.” Di
antara cara menyempurnakan kesyukuran ialah menutupi aib atau cacat-cacat
pemberian itu kalaulah ada cacatnya dan janganlah sampai ia menghina atau
mencacinya. Jika ia tiada mahu menerimanya kerana kaaiban itu maka janganlah ia
mengata nista orang yang memberinya, bahkan handaklah ia menunjukkan besar hati
terhadap pemberian itu dan menganggapnya sangat besar ertinya di hadapan orang
ramai, Jelasnya tugas pemberi hendaklah memandang kecil segala pemberiannya,
manakala tugas si penerima hendaklah menghargakan kenikmatan itu dan
membesar-besarkannya. Dan sewajarnya atas setiap satu dari keduanya menunaikan
tugas masing-masing. Semua itu tiadalah berlawanan dengan menganggap bahawa
nikmat itu datangnya dari Allah Azzawajalla, sebab barangsiapa yang tiada
memandang kepada pengantara atau wasitah, maka oarang itu sebenarnya bodoh.
Begitu juga orang yang menganggap pemberian itu berasal dari pengantara, maka
orang itu telah ingkar. (3)
Hendaklah ia meneliti zakat yang diterimanya itu, apakah dari harta yang
halal atau tidak. Jika ia bukan dari harta yang halal, maka hendaklah ia
bersikap wara’. Janganlah menerima zakat dari orang yang kebanyakan
perusahaannya dari hasil yang haram, melainkan bila amat terdesak, maka bolehlah
diambil sekadar keperluan saja. Ataupun jika zakat yang diberinya itu dari harta
yang serupa itu memang wajib dikeluarkan zakatnya. Pendekata dalam keadaan–keadaan
seperti di atas boleh diterima zakatnya sekiranya memang sukar untuk mendapat
dari yang halal seratus persen. (4)
Hendaklah ia memelihara dari jangan sampai tergelincir ke dalam keraguan
dan kesyubhatan dalam kadar zakat yang diambilnya itu, yakni jangan ia menerima,
melainkan dalam kadar yang harus diterimanya. Jangan ia menerima juga, melainkan
sesudah ia yakin, bahawa ia mempunyai salah satu sifat dari sifat-sifat asnaf
yang kedelapan yang telah di tentukan itu. Apabila ia telah meyakini ini, maka
hendaklah jangan mengambil atau menerima kadar yang banyak melainkan mengambil
sekadar keperluannya saja. Paling banyak boleh diambil untuk menckupi sara
hidupnya dalam masa setahun saja. Itulah kadar yang paling tinggi yang
dibenarkan oleh syara’ baginya untuk menerima sebab Rasulullah s.a.w. sendiri
hanya menyimpan perbelanjaan untuk tanggungjawabnya hanya untuk masa setahun
saja. Ada
pendapat setengah ulama pula yang mengharuskan si fakir untuk mengambil dari
harta zakat sekadar membolehkan ia membeli sebidang tanah yang sederhana,
sehingga dengan tanah itu, ia boleh mendapat hasil untuk menampung sara hidup
sepanjang umurnya dan tidak perlu lagi meminta-minta atau mengambil zakat dari
orang lain. Ada yang berpendapat boleh juga mengambil sekadar untuk dijadikan
modal perniagaan agar ia tiadalah akan menerima zakat lagi sesudah itu, sebab
ketika itu ia telah terkira sebagai orang yang tidak memerlukannya lagi. Saiyidina
Umar Ibnul-Khattab r.a telah berkata: Apabila kamu memberi, maka hendaklah kamu
memberi sekadar mencukupi hajat orang itu, sehingga ia tiada memerlukan lagi.
Dengan pengertian ini, ada pendapat yang mengatakan boleh mengambil sekadar yang
boleh memulihkan semula keadaan asal orang yang memerlukannya itu, sekalipun ia
mengambil sampai sepuluh ribu dirham. Sekali
peristiwa Abu Talhah melahirkan keinginannya kepad Rasulullah s.a.w. untuk
menderma-baktikan kebun kurmanya, maka Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Jadikanlah
pemberian itu kepada kaum kerabatmu, maka itu adalah lebih utama.” Maka
Abu Talhah pun memberikannya kepada Hassan dan Abu Qatadah. Sebenarnya sebidang
kebun kurma yang didermakan untuk dua orang saja itu adalah suatu pemberian yang
besar dan lebih dari mencukupi. Sedekah
tathawwu’ dan keutamaannya
Di
antara Hadis yang menyebutkan tentang keutamaan sedekah ialah: “Bersedekah
walau dengan sebutir kurma.” Dalam
riwayat lain: “Takutilah
api neraka itu (yakni selamatkanlah dirimu dari api neraka), walaupun dengan
bersedekah setengah butir kurma. Jika kamu tiada dapat berbuat demikian, maka
dengan perkataan yang baik.” Sabdanya
lagi: “Setiap
manusia di dalam naungan sedekahnya, sehinggalah saat diputuskan Allah antara
sekalian manusia (yakni pada Hari Kiamat).” Sabdanya
yang lain: “Sedekah
secara bersembunyi-sembunyi itu memadamkan kemarahan Allah azzawajalla. Apabila
Rasulullah s.a.w. ditanya: Mana satu sedekah yang lebih utama? Baginda menjawab:
Bilamana engkau bersedekah sedangkan engkau masih sihat, serta kikir, engkau
mengharap jadi kaya dan takut jadi miskin. Dan janganlah engkau menangguhkan
sedekah itu, sehingga nyawa telah sampai di kerongkong, maka ketika itu engkau
katakan untuk si Fulan sekian banyak, dan untuk si Fulan sekian pula, padahal
sememangnya semua itu untuk mereka. Yakni:
Kalau dia tidak bilang sekian si A. Atau sekian untuk si B. Memang akan menjadi
hak mereka bila sudah tercabut nyawanya. Sabdanya
lagi: “Bukanlah
seorang miskin itu yang ditolak ketika meminta sebutir atau dua butir kurma,
ataupun yang ditolak ketika sesuap atau dua suap makanan. Tetapi yang dikatakan
seorang miskin itu ialah orang yang terlalu susah, malah tidak suka
meminta-minta. Jika perlu bacalah: (ayat) mereka tiada meminta-minta orang
berulang kali.” Sabdanya
lagi: “Tiada
seseorang Muslim yang memberi pakaian kepada Muslim yang lain, melainkan Allah
memelihara orang itu, selagi pakaian itu masih digunakan, sekalipun sampai
menjadi secarik kain buruk.” Dari
atsar-atsar cerita lama ialah apa yang dikatakan oleh ‘Urwah; bahawasanya
Saiyidatina Aisyah r.a telah bersedekah sebanyak lima puluh ribu dirham, padahal
bajunya masih koyak-koyak. Saiyidina
Umar Ibnul-Khattab r.a pula berdoa: Ya Allah! Ya Tuhanku! Limpahkanlah kurnia
kelebihan itu pada orang-orang yang terbaik di antara kami, moga-moga mereka
akan mengembalikan kurni-kurnia itu kepada orang-orang yang mempunyai hajat di
antara kami. Berkata
Ibnu Abil-Ja’ad: Sesungguhnya sedekah itu akan menolak tujuh puluh pintu dari
kecelakaan dan keutamaan mengeluarkannya secara sembunyi-sembunyi adalah tujuh
puluh kali lebih utama daripada mengeluarkannya secara terang-terangan. Keutamaan
sedekah yang disembunyikan Allah
telah berfirman: “Jika
kamu menampakkan sedekah itu, maka itu pun baik juga. Tetapi jika kamu
menyembunyikan sedekah itu dan kamu memberikannya kepada orang-orang
fakir, itu adalah lebih utama.”
(al-Baqarah: 271) Dalam
mengeluarkan sedekah secara bersembunyi-sembunyi itu ada lima maksud:
Pertama:
Memberikannya secara bersembunyi itu
akan menutupi rahsia orang yang menerimanya. Jika ia mengambilnya secara
terang-terangan akan jatuhlah marwahnya di muka rama, dan terdedahlah
keperluannya di mata merka. Dengan itu terkeluarlah ia dari golongan orang-orang
yang hidupnya ‘afif, iaitu tidak suka meminta-minta dan memelihara dri dari
menunjukkan kesusahan di hadapan orang ramai sebagaimana yang dianjurkan oleh
agama, hingga ke darjat orag yang tak tahu bila melihatnya, disangkanya ia tidak
memerlukan apa-apa. Kedua:
Memberikanya secara sembunyi-sembunyi itu akan menyelamatkannya dari sangkaan
tak baik di dalam hati orang ramai, atau dari bencana lidah mereka. Sebab
mungkin mereka akan menaruh hasad terhadapnya atau mengumpatnya, atau menyangka
orang itu berani mengambil meskipun ia tidak perlu. Padahal hasad, sangkaan yang
buruk dan mengumpat itu adalah di antara dosa-dosa besar, sedangkan memelihara
orang ramai dari dosa-dosa ini adalah lebih utama. Berkata
Ayub as-Sakhtiani: Aku tidak suka memakai pakaian yang baru, kerana bimbang
kalau-kalau akan berlaku hasad pada diri jiranku. Dan pada riwayat yang lain:
kerana takut kalau-kalau saudara-maraku akan berkata: Dari mana dia dapat
pakaian baru itu? Ketiga:
Menggalakkan si pemberi untuk merahsiakan pemberian itu, sebab keutamaan memberi
secara rahsia atau bersembunyi-sembunyi adalah lebih banyak pahalanya dari
memberi secara terang-terangan dan menggalakkan untuk meyempurnakan sesuatu yang
baik adalah baik. Adalah
diceritakan bahawa ada seorang telah membawa sesuatu pemberian kepada seorang
alim dan berikannya secara terang-terangan maka orang alim itu menolak pemberian
itu. Kemudian di masa yang lain, datang pula seorang lain memberinya sesuatu
pemberian secara rahsia, dia pun menerimanya. Bila ditanya tentang sebabnya
orang alim itu berkata: Orang ini telah menyempurnakan pemberiannya dengan penuh
adab, sebab diberinya aku dengan rahsia, maka aku terimalah pemberian itu
daripadanya. Tetapi orang yang pertama itu tidak tahu menjaga kesopanan bila dia
memberikan pemberiannya di muka ramai maka aku tidak mahu menerimanya. Setengah
orang pula, bila diberikan kepadanya sesuatu pemberian secara terang-terangan di
muka orang ramai, dia akan mengembalikannya seraya berkata: Engkau telah
mengsyariatkan pemberian ini dengan selain dari Allah Azzawajalla dan engkau
tidak memadai dengan Allah semata-mata kerana itu aku akan kembalikan kepadamu
kesyirikanmu itu. Keempat:
Sesungguhnya mengambil zakat atau sedekah di muka khalayak ramai adalah suatu
penghinaan dan kerendahan moral dan tidak seharusnya seorang Mu’min menghina
saudaranya dengan pemberian zakat serupa itu. Kelima:
Untuk memelihara diri dari syubhat pengongsian, kerana ada sebuah Hadis yang
berbunyi: “Barangsiapa
yang menerima sesuatu hadiah di hadapan khalayak ramai, maka orang-orang itu
berkongsi dalam hadiah itu.”
Maksudnya:
Memberikannya bukan semata-mata kerana Allah, tetapi meminta kepujian orang
ramai. Setiap
amalan itu adalah bergantung dengan niat maka sewajarnyalah seseorang yang
benar-benar ikhlas di dalam amalanya itu berhati-hati terhadap kelakuan dirinya
supaya tidak terkecoh oleh rasa kemegahan yang membendung diri atau terganggu
oelh tipu daya syaitan. Kita
memohon Allah yang Maha Mulia supaya memberikan kita pertolongan dari taufiqNya
yang sempurna, Amin. |
|