|
|
Kitab Rahsia Zakat (Bahagian 1) Allah
s.w.t. telah menjadikan zakat itu salah satu sendi bagi bangunan Islam, dan
diikutkan sertakan sebutan zakat pula dengan sebutan sembahyang yang menjadi
setinggi-tinggi panji-panji agama Islam. Allah
berfirman: “Dirikanlah
sembahyang dan keluarkanlah zakat”
(al-Baqarah: 110) Rasulullah
s.a.w. telah bersabda: “Islam
itu didirikan atas lima perkara (1) Penyaksian bahawasanya tiada tuhan melainkan
Allah dan bahawasnya Muhammad itu hambaNya dan RasulNya, (2) mendirikan
sembahyang, (3) Mengeluarkan zakat, (4) Berpuasa Ramadhan, dan (5) Berhaji ke
Baitullah (Ka’bah) bagi sesiapa yang berkuasa menuju kepadanya.” Allah
Ta’ala telah mengancam dengan sekeras-kerasnya terhadap orang-orang yang
melalaikan perintah-perintahNya dengan berfirman: “Orang-orang
yang menyimpan emas dan perak dan tiada membelanjakan pada jalan Allah, maka
beritahukanlah mereka itu akan ditimpa azab yang amat pedih.”
(at-Taubah: 34) Maksud
dari membelanja pada jalan Allah ialah mengeluarkan zakat. Al-Ahnaf
bin Qais berkata: Pada suatu masa saya sedang duduk-duduk bersama-sama beberapa
orang Quraish, lalu Abu Zar melintas seraya berkata: Beritahukanlah kepada
orang-orang yang mendamkan hartanya (tiada mengeluarkan zakat) bahawa mereka
akan diselar dengan api dari tengkuknya menembusi dahinya pula. Dengan
adanya ancaman yang begitu keras itu, maka adalah menjadi satu tugas- yang
penting bagi Agama Islam untuk mendedahkan rahsia-rahsia zakat dan
maksud-maksudnya yang lahir dan batin. Dalam hal ini ada beberapa fasal. Menunaikan
zakat dan syarat-syaratnya. Ketahuilah
bahawa atas orang-orang yang mengeluarkan zakat itu beberapa perkara yang harus
diperhatikan: Pertama:
Menyegerakan
pengeluaran zakat sesudah cukup haulnya (iaitu kiraan setahun) dan di dalam
zakat fitrah, tiada boleh ditangguhkan hingga hari terbuka, iaitu Hari Raya.
Waktu kewajipan zakat fitrah bermula dari tenggelamnya matahari hari terakhir
dari Ramadhan dan boleh disegerakan pengeluarannya pada sepanjang bulan Ramadhan. Orang
yang sengaja melambatkan pengeluaran zakatnya padahal ia berkuasa adalah berdosa
besar, dan kewajipan itu tidaklah gugur daripadanya sekiranya hartanya binasa
sesudah itu. Kiranya ia lambat mengeluarkannya kerana mencari orang-orang yang
berhak menerimanya, tidaklah terkira dalam pengertian sengaja melambatkan dan
kerana itu tidak ia berdosa. Menyegerakan
pengeluaran zakat umumnya adalah harus. Kedua:
Tiada
boleh memindahkan sedekah atau zakat itu ke negeri yang lain, sebab kaum fakir
miskin di setiap negeri sentiasa mengharap-harapkan kepada harta benda dari
zakat. Apabila harta benda zakat itu dipindahkan ke tempat lain akan kecewalah
harapan mereka itu. Andaikata dipindahkan juga harta benda zakat itu, maka
hukumnya sah juga dengan khilaf setengah ulama. Tetapi meninggalkan perkara yang
ada khilaf ulama itu adalah lebih utama; iaitu sebaik-baiknya ia mengeluarkan
zakat hartanya itu dinegerinya sendiri. Dan tiada mengapalah kalau ia memberikan
sebahagian dari zakatnya itu kepada orang-orang gharib (orang-orang asing yang
datang ke situ) yang berada di negerinya itu juga. Ketiga:
Hendaklah
ia mengeluarkan kepada sebilangan orang dari asnaf-asnaf delapan yang ada di
negerinya itu. Yang biasanya pada tiap-tiap negeri hanya yang ada empat asnaf
saja iaitu: (1) Fakir, (2) Miskin, (3) Ghaarim atau orang yang dibebani oleh
hutang, dan (4) Orang yang terlantar, yakni Ibnu Sabil yang terkandas di negeri
orang. Tiada
wajib atasnya untuk membahagikan zakatnya itu sama rata menurut bilangan asnaf. Rahsia
zakat sebagai sendi Agama Islam Dalam
membincangkan rahsia-rahsia zakat itu ada tiga pengertian: Pengertian
1: Penyebutan
dua kalimah syahadat itu mengartikan suatu pengakuan terhadap wajibnya sifat
keesaan bagi Allah s.w.t. dan sebagai penyaksian akan satunya Tuhan yang
disembah. Syarat bagi penyempurnaan pengakuan ini, hendaklah jangan sampai ada
bagi orang mengEsakan Allah tadi suatu zat lain yang amat dikasihinya atau
dicintainya lagi selain dari Zat yang Maha Esa dan Maha Satu itu. Sebab
kecintaan yang sempurna itu tidak mengakui adanya persekutuan dengan yang lain.
Mengakui keesaan dengan lidah semata-mata kurang kesannya pada diri, kan tetapi
seseorang yang mengakui kecintaan itu akan diduga tingkatan kecintaanya dengan
terpisahnya orang yang dicintai itu. Harta
kekayaan pula adalah barang yang amat dicintai oleh manusia, sebab ia merupakan
mata benda yang boleh menyenangkan mereka dalam kehidupan di dunia dan dengan
adanya harta kekayaan itu manusia akan merasa kelapangan hidup di dalam alam
yang fana ini, da mereka akan melarikan diri dari maut, padahal hanya dengan
maut sajalah akan bertemu pengasih dengan kekasihnya; iaitu Allah s.w.t. lalu
mereka itu di duga tentang kebenaran pengakuan mereka terhadap Zat yang
dicintainya itu sama ada benar atau palsu; iaitu melalui harta kekayaan yang
dikejar dan disanjungnya dalam kehidupan yang fana’ ini. Allah
Ta’ala berfirman: “Sesungguhnya
Allah Ta’ala telah membeli dari kaum Mu’minin itu diri mereka dan harta
kekayaan mereka dengan janji akan memberikan mereka syurga”.
(at-Taubah:
111) Yang
demikian itu akan terhasilnya dengan berjihad; iaitu menukar gantikan dengan
nyawa, kerana sangat cinta untuk bertemu dengan Allah yang dicintaiNya itu,
tetapi ini hanya menukar ganti dengan harta benda saja, dan ia adalah lebih
ringan dari pertama tadi. Apabila
pengertian serupa ini diumumkan pada membelanjakan harta kekayaan, maka orang
ramai pun terbagi kepada tiga bahagian: Bahagian
1: Suatu
puak mengutamakan tauhid atau keesaan Allah, lalu membelanjakan semua harta
kekayaan mereka, tiada sedinar ataupun sedirham pun yang tinggal lagi. Termasuk
dalam puak ini ialah Saiyidina Abu Bakar as-Sidiq yang telah membawa semua
hartanya kepada Rasulullah s.a.w. untuk dibahagi-bahagikan. Bahagian
2: Sepuak
lagi yang rendah sedikit tingkatannya dari puak yang pertama tadi; iaitu
orang-orang yang menahan hartanya untuk dibelanjakan pada waktu-waktu keperluan
dan masa-masa mengeluarkan khairat atau sedekah. Jadi maksudnya menyimpan wang
itu adalah untuk membelanjakan ke atas kadar keperluannya saja tanpa
bersenang-senang dengannya dan selebih dari kadar keperluannya itu dibelanjakan
kesemuanya kepada perkara-perkara kebajikan tidak kira apa saja rupanya. Orang-orang
dari puak ini tiada memandang cukup dengan mengeluarkan zakat semata-mata, malah
sedekah-sedekah yang lain pun turrut dikeluarkan sama. Sebahagian terbesar dari
para tabi’in menentukan, bahawa dalam harta benda itu ada hak-hak yang lain
selain dari har zakat. Mereka itu termasuklah Imam-imam as Nakha’I as-Sya’bi,
Atha’ dan Mujahid. Lihatlah
apa kata as-Sya’bi apabila ditanya: Apakah dalam harta benda itu ada lagi hak
selain zakat, beliau menjawab: Memang ada lagi hak selain zakat, belian menjawab:
Memang ada lagi hak yang lain. Tidak pernahkan engkau mendengar firman Allah
Ta’ala. “Dan
dia memberikan pula hartanya yang dikasihinya kepada kaum kerabat.”
(al-Baqarah:177) Dan
mereka itu mengambil dalilnya dari: firman Allah Ta’ala “Dan
mereka membelanjakan dari apa yang Kami (Allah) rezekinya kepada mereka.”
(al-Baqarah: 3) Begitu
pula dengan firman yang berikut: “Dan
belanjakanlah dari apa yang Kami (Allah) memberi rezeki kepada kamu.”
(al-Munafiqun:10) Ayat
ini pula umum termasuk dalam hak seorang Muslim kepada Muslim yang lain. Yakni
wajib atas orang yang berkelebihan membantu saudaranya yang berhajat dan menutup
keperluannya dari wang yang selain zakat. Bahagian
3: Puak
atau golongan yang berpegang dengan yang wajib semata-mata, tiada lebh dan tiada
kurang. Mereka inilah yang berada di tingkat yang paling rendah sekali.
Kebanyakan orag berada di tingkat yang paling rendah sekali. Kebanyakan orang
terkira dalam golongan ini disebabkan mereka itu terlalu lokek dengan harat
kekayaan yang mereka amat mencintainya itu, dan oleh kerana lemahnya kecintaan
mereka terhadap akhirat. Pengertian
2: Membersihkan
jiwa dari sifat lokek dan bakhil kerana ia adalah salah satu dari sifat-sifat
yang membinasakan. Allah
telah berfirman: “Barangsiapa
terselamat
dari kekikiran dirinya, maka mereka itulah orang-orang yang berbahagia.”
(al-Hashr: 9) Ketahuilah
sifat kikir atau lokek itu tidak akan lenyap dari diri seseorang, melainkan
dengan membiasakan diri membelanjakan harta kepada jalan kebajikan, kerana kasih
kita kepada sesuatu benda itu tidak akan terputus, melainkan dengan memaksa diri
untuk berpisah dengannya, sehingga lama-lama menjadi kebiasaan. Menurut
pengertian ini, zakat itu menjadi pensuci diri; iaitu ia akan membersihkan diri
seseorang itu dari buruknya sifat lokek atau kikir yang membinasakan itu. Dan
kadar pensucian itu adalah diukur banyak sedikitnya dengan kadar perbelanjaannya
dari harta itu, dan dengan kadar rasa gembiranya kerana mengeluarkan wang itu,
atau merasa puas hati, sebab dia telah membelanjakannya semata-mata kerana
mencari keredhaan Allah s.w.t. Pengertian
3: Mensyukuri
nikmat, kerana setiap manusia adalah terhutang nikmat kepada Allah s.w.t. pada
dirinya dan pada hartanya Oleh itu ibadat yang dilakukan oleh anggota badan ini
merupakan suatu kesyukuran terhadap kenikmatan tubuh. Begitu juga membelanjakan
wang dalam jalan Allah itu merupakan suatu kesyukuran terhadap kenikmatan harta
pula. Alangkah jeleknya seseorang yang melihat si fakir yang sedang dalam
kesempitan rezeki dan amat perlu kepada bantuan wang, sedangkan ia tiada
mengendahkannya dan tiada memberatkan untuk menunaikan kesyukuran terhadap Allah
s.w.t. iaitu dengan menyelamatkannya dari meminta-minta untuk mencukupi
keperluannya dan keperluan orang-orang yang ditanggungnya, dengan membelanjakan
suku persepuluh (2.5%) ataupun sepersepuluh (10%) dari hartanya. Tugas-tugas
mengeluarkan zakat Pertama:
Menyegerakan pengeluarannya sebelum waktu kewajibannya, kerana melahirkan tanda
kesenangan diri, untuk menjujung perintah Allah, dan kerana keinginan untuk
menimbulkan rasa kegembiraann di dalam hati para fakir-miskin. Tindakan
mempercepatkan pengeluaran zakat ini boleh menolak halangan-halangan atau
gangguan-gangguan masa; mana tahu nanti kelebihan-kelebihan yang ada itu akan
lenyap kerana sesuatu sebab yang tak terduga. Kemudian kita juga tentu maklum
bahawa dalam menangguhkan pengeluaran zakat itu ada beberapa bencana, selain
kita akan berdosa kerana menlanggar perintah Tuhan, sebab melewatkan pengeluaran
zakat itu dari waktu kewajibannya. Jadi
sayugia diingatkan, apabila tergerak di dalam hati niat yang baik untuk
menyegerakan zakat, maka janga sampai menangguh-nangguhkan lagi, bahkan
hendaklah menggunakan kesempatan itu sepenuhnya kerana yang demikian itu adalah
bisikan Malaikat kepada kita. Kalau tidak, dikhuatiri hati itu akan bertukar
tujuan, dan manakala syaitan sentiasa menunggu di pintu hati menjanjikan kita
kefakiran, yakni menakut-nakutkan kita menjadi papa-kedana, sebagaimana firman
Allah: “Syaitan
itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu akan kefakiran dan menggalakkan kamu
melakukan kekejian dan kemungkaran.”
(al-Baqarah: 268) Sebagaimana
Malaikat sentiasa membisikkan kepada kita dengan perkara-perkara yang baik-baik,
syaitan pula membisikkan sebaliknya. Dan bisikan syaitan itu tidak pernah
terputus, sesudah satu tidak berjaya datang pula yang lainnya secara
terus-menerus maka hendaklah kita berjaga-jaga daripadanya. Jadi bila ada
keinginan yang baik timbul di dalam hati, maka janganlah ditinggalkan peluang
itu berlalu begitu saja. Kedua:
Mengeluarkan zakat secara rahsia, tidak dihebahkan ke sana ke mari, kerana yang
demikian itu akan menjauhkan amalan itu daripada ria’ dan minta dipuji ramai. Allah
berfirman: “Jika
sekiranya kamu rahsiakan (sedekah) dan kamu memberikannya kepada para fakir,
maka itu adalah lebih utama bagimu.”
(al-Baqarah: 271) Sebahagian
pengeluar zakat yang ingin mendapatkan keutamaan merahsiakan pengeluarannya,
sehingga mereka mencuba agar orang yang menerima zakat itu tidak mengetahui
siapakah pemberinya. Ada juga yang memberi zakat dengan perantaraan orang lain,
supaya si fakir yang menerima itu tiada mengetahui si kaya yang mengeluarkannya.
Paling kurang ia akan memesan orang yang akan menyampaikan zakat itu, supaya
merahsiakan pemberian itu, dan jangan dibocorkan rahsianya; semuanya itu
dilakukan tiada lain, kerana mencari keredhaan Allah Ta’ala dan memelihara
diri dari perasaan ria’, atau bermegah diri. Tetapi apabila amalannya itu
diisytiharkan untuk menuntut kemasyuran, maka hancur-leburlah amalan itu, tanpa
apa pahala lagi padanya. Ketiga:
Patut juga anda mengisytiharkan pengeluaran zakat itu, kiranya anda yakin dalam
pengisytiharan itu ada tanda-tanda akan menggalakkan orang lain untuk mengikuti
jejak langkahmu, tetapi harus pula memelihara jangan sampai di dlam hati
terbungkus perasaa ria’ atau rasa bermegah diri. Allah
telah berfirman: “Kiranya
kamu menampakkan sedekah-sedekah itu, itu pun baik juga.” (al-Baqarah: 271) Maksudnya
ialah apabila keadaan memaksa untuk menampakkan sedekah-sedekah itu, sama ada
supaya menjadi contoh tauladan bagi orang lain untuk mengikutinya ataupun kerana
si peminta sedekah itu telah meminta anda di hadapan khalayak ramai, maka tidak
sewajarnya anda meninggalkan pemberian sedekah tersebut dengan alasan memberi
sedekah secara terang-terangan itu akan menimbulkan ria’ di dalam hati. Tidak
begitu tetapi hendaklah anda memelihara hati daripada ria’ sekadar yang
termampu. Sebab di dalam keadaan yang serupa itu ada larangan yang ketiga,
selain dari menampakkan budi dan ria’ iaitu mengecilkan hati si peminta itu,
kerana mungkin sekali ia akan merasa terhina atau pedih, sebab kelihatan sebagai
serang yang perlu dan berhajat di hadapan khalayak ramai. Barangsiapa yang
meminta-minta di hadapan ramai maka sebenarnya dia telah mendedahkan rahsia
dirinya, maka janganlah sampai si pemberi pula melanggar kehormatannya lagi.
Yakni kerana alasan takutkan ria’ dalam memberi secara terang-terangan itu,
dia lalu menolak dan tiada memberinya pula. Allah
telah berfirman: “dan
belanjakanlah dari harta yang Kami (Allah) rezekikan kepadamu secara rahsia atau
terang-terangan.” (ar-Ra’ad:
22) Ayat
ini menunjukkan keharusan untuk memberi secara terang-terangan disebabkan adanya
faedah untuk mendorong orang lain menurut jejak-langkahnya. Oleh kerana itu
hendaklah kita pandai-pandai meneliti dan menimbang-menimbang faedah yang
tersebut itu dan memperbandingkannya dengan bahaya yang kita bimbangkan itu.
Barangsiapa yang sudah kenal mana satu yang dikatakan berfaedah dan mana pula
yang mengandungi bahaya, tentulah cara yang pertama yang akan dipilih, kerana ia
adalah yang utama dan yang patut dipilihnya dalam hal ini. Keempat:
Janganlah anda merosakkan sedekahmu itu dengan menyebutkannya ke sana ke mari
atau dengan menyakiti hati orang yang menerima sedekah itu. Allah
berfirman: “Janganlah
kamu merosakkan sedekah-sedekah kamu itu dengan memuji diri dan cercaan.”
(al-Baqarah: 264) Perkataan
al-Manni di dalam ayat di atas tadi,
ialah menyebutkan ke sana ke mari dan memberitahu orang lain, bahawa dia telah
memberikan si Fulan itu sekian-sekian dari sedekahnya. Ataupun dia memberikan
sedekahnya kepada si Fulan, kemudian menyuruh Fulan itu membuat sesuatu kerja.
Ataupun dia memberikannya secara menyombong diri. Dan perkataan al-Adza pula
diertikan dengan maksud menampakkan sedekahnya kepada orang ramai, ataupun
mencerca Fulan yang menerima sedekah itu kerana kefakirannya atau memakinya atau
memburukkan-burukkan keadaannya. Kerana selalu saja meminta-minta. Asal
makna perkataan al-Manni ialah menganggap dirinya berbudi kepada si fakir dan
memberinya kenikmatan. Tetapi makna yang sebenarnya ialah sebaliknya; iaitu
hendaklah ia memandang si fakir itu berbudi kepadanya dengan menerima hak Allah
Azzawajalla daripadanya, yang mana dengan itu akan tersucilah dirinya dan
terselamatlah ia dari api neraka. Renungkanlah andaikata tidak ada orang yang
mahu menerima sedekah itu, tentulah kewajipan itu masih tergantung di atas
pundaknya. Maka seharusnya dia menganggap dari tanggungjawab yang berat itu. Walau
bagaimanapun barangsiapa telah mengenal dan mengetahui tiga macam pengertian
yang telah berlalu sebutannya itu, akan merasa dirinya tidak berbudi apa-apa
kepada siapa pun, melainkan kepada dirinya sendiri. Sebab dengan menunaikan
zakat itu dia telah mengeluarkan hartanya, sama ada kerana menyatakan
kecintaannya kepada Allah s.w.t ataupun kerana membersihkan dirinya dari celaan
sifat kikir dan lokek, ataupun kerana kesyukuran terhadap kenikmatan harta yang
dimilikinya, mudah-mudahan Allah Ta’ala akan menambah lagi. Adapun
asal makna perkataan Al-Adza, ialah mengganggap dirinya lebih utama dari diri si
fakir, dan ini ternyata sekali suatu kebodohan. Sebab kiranya ia mengetahui
keutamaan si fakir dalam perkara zakat itu, dan berapa beratnya bahaya orang
kaya dalam perkara yang sama, tentu sekali ia tidak akan menghina atau
merendahkan diri si fakir itu, malah sebaliknya ia akan mengharap-harapkan untuk
memperoleh darjat si fakir itu. Apa sebabnya? Kerana Allah s.w.t. telah
menjadikan kaum fakir-miskin itu tempat orang kaya memperdagangkan nasibnya agar
ia terselamat dari tanggungjawabnya; iaitu dengan penerimaan kaum fakir-miskin
zakat atau sedekah yang wajib dikelurkan itu. Kelima:
Hendaklah anda memandang pemberian itu amat kecil sekali, sebab jika anda
merasakan pemberian itu besar; atau banyak kelak mungkin anda merasa ujub (bermegah
diri). Dan sifat ujub itu adalan di antara sifat-sifat yang membinasakan dan
tentu sekali anda akan mensia-siakan amalan, bererti menghilangkan pahalanya. Akan
pendapat yang mengatakan bahawa tidak akan sempurna sesuatu kebajikan melainkan
tiga perkara: (1)
merasakan amalam itu kecil (2)
menyegerakan amalan itu. (3)
merahsiakan amalan itu, atau melakukannya secara sembunyi-sembunyi. Keenam:
hendaklah anda memilih dari harta bendamu yang paling bagus sekali dan yang
paling dicintainya; yakni yang berharga dan terindah kerana Allah Ta’ala tu
ZatNya Maha Bagus dan Dia tidak akan menerima malainkan yang bagus pula.
Sekiranya anda mengeluarkan bukan dari harta yang bagus, makka samalah seperti
anda kurang ajar terhadap Allah s.w.t. sebab anda telah memilih yang bagus bagi
dirimu atau bagi keluargamu dan memberikan yang tak bagus kepada Allah s.w.t
Perbuatan ini samalah seperti anda melebihkan dirimu daripada Allah Azzawajalla,
padahal segala hartamu itu, Allah yang memberikan kepadamu. Cuba anda buat
serupa ini kepada tetamumu; yakni menghidangkan makanan yang busuk, atau tidak
enak, tentulah kelakuan itu akan menimbulkan rasa marah di dalam hati si tetamu
itu. Allah
telah berfirman: “Wahai
orang-orang yang beriman belanjakanlah dari sebaik-baik harta yang kamu perolehi
dan dari segala benda yang Kami (Allah) keluarkan dari bumi untuk kamu, dan
janganlah kamu memilih yang buruk untuk kamu membelanjakannya, sedangkan kamu
sendiri tiada ingin mengambilnya lagi, melainkan dengan memejamkan mata kamu.”
(al-Baqarah: 267) Maksudnya:
Kamu tidak ingin mengambilnya melainkan secara terpaksa atau malu, Itulah yang
diartikan dengan makna memejam mata. Ketujuh:
Dalam mengeluarkan sedekah itu, hendaklah anda memilih orang yang benar-benar
boleh membersihkan hartamu dengan sedekah itu. Janganlah hendaknya memadai
dengan memilih delapan asnaf yang ada secara umum saja, sebab dalam umum
asnaf-asnaf yang delapan itu, ada yang mempunyai sifat-sifat yang khusus. Maka
hendaklah anda mendahului orang-orang yang mempunyai sifat-sifat yang khusus itu,
iaitu kepada enam macam: (1)
Hendaklah anda memilih dari para Salihin orang-orang penuh taqwa kerana
sedekah yang didapati mereka itu dapat digunakan untuk jalan taqwa kepada Allah
s.w.t. Dengan itu anda akan mengongsi pahala-pahala mereka dalam ketaatan
disebabkan pertolonganmu kepada mereka. (2)
Hendaklah orang yang menerima sedekah itu dari golongan orang-orang ahli
ilmu pengetahuan agama, ataupun dari para alim-ulama khasnya, kerana memberikan
sedekah itu kepadanya samalah seperti menolong mereka memperkembangkan ilmu
pengetahuan agaam. Manakala ilmu pengetahuan agama itu adalah semulia-mulia
ibadat di sisi Tuhan, kiranya disertakan dengan niat yang suci. Ibnui-Mubarak
sentiasa mengkhususkan bantuannya kepada ahli-ahli ilmu pengetahuan agama. Maka
ada orang yang berkata: Mengapa tidak engkau umumkan bantuanmu itu kepada selain
mereka. Beliau menjawab: Saya tiada mengetahui ada suatu maqam (kedudukan) yang
lebih utama sesudah maqam para Nabi, selain dari maqam alim-ulama. Sebab mereka
itu jika dipaksakan untuk mencari keperluan hidup, tentulah mereka tidak dapat
menumpukan sepenuh perhatian kepada ilmu pengetahuan, dan tiada mampu untuk
meneruskan pelajarannya maka penumpuan mereka kepada ilmu pengetahuan itu adalah
lebih utama oleh itu sayugialah hendaknya kita tolong mereka. (3)
Hendaklah si penerima itu benar-benar dalam taqwanya kepada Allah
Ta’ala dan mendalam ilmu pengetahuannya mengenai tauhid. Maksud di sini,
hendaklah bila ia menerima pemberian serta-mertalah ia memuji Allah dan
bersyukur kepadaNya. Dan hendaklah ia menganggap bahawa nikmat pemberian itu
datangnya dari Allah, dan bahawasanya si pemberi itu adalah wasitah atau
pengantara yang ditunjuk oleh Allah dengan kekuasaannya sebab hanya Allah s.w.t
sajalah memberangsangkannya untuk melakukan perbuatan baik itu, Barangsiapa
kebatinannya tiada dapat mensifatkan pandangannya terhadap pengantara itu
sebagai hanya pengantara semata-mata, maka tentulah ia belum lagi terlepa dari
maksud keisyikian yang tersembunyi. Oleh itu hendaklah ia memperbanyak taqwa
kepada Allah s.w.t. dalam jalan membersihkan ketauhidannya dari daki-daki syirik
dan kekotorannya. (4)
Hendaklah si penerima sedekah itu merahsiakan keperluannya, jangan
terlalu banyak mengadu atau merayu. Hendaklah mereka itu dari orang-orang yang
menjaga maruahnya seperti halnya orang yang pernah hidup mewah, lalu oleh kerana
sesuatu sebab atau yang lain, tiba-tiba dia jatuh miskin, tetapi keadaannya
tetap seperti biasa juga, tiada pernah meratapi nasibnya, bahkan sentiasa hidup
menahan diri. Allah telah berfirman “Orang
jahil (yang tiada mengetahui halnya) menyangkakan mereka itu kaya raya, sebeb
mereka tiada pernah meminta-minta Engkau dapat mengenal mereka itu dengan
tanda-tandanya. Mereka tiada suka meminta kepada orang lain secara
berulang-ulang.” (al-Baqarah:
273) Yakni
mereka tiada mahu berulang-ulang meminta sebab mereka sebenarnya kaya raya
dengan keyakinan kepada Allah dan termulia dengan kesabaran yang ada pada diri
mereka. Sayugialah
seseorang yang hendak memberikan sedekahnya itu hendaklah terlebih dulu
mencari-cari akan ahli-ahli agama di merata-rata tempat, di samping menyingkap
rahsia kebatinan orang-orang yang selalu cenderung pada kebaikan dan kesabaran.
Sebab pahala memberikan sedekah kepada orang-orang yang selalu meminta-minta di
khalayak ramai. (5)
Hendaklah si pemberi sedekah iti memilih pula orang-orang yang banyak
tanggungannya ataupun orang-orang yang terlantar kerana sakit ataupun kerana
sebab-sebab yang lain, menurut pengertian firma Allah Ta’ala berikut: “Untuk
orang-orang fakir yang terkepung di jalan Allah, yang tiada berkuasa lagi untuk
mengusahakan rezekinya di muka bumi.”
(al-Baqarah : 273) Maksud
dari perkataan uh shiruu fi sabillah di sini ialah mereka yang terkurung
pada jalan akhirat tidak dapat mengusahakan lagi rezeki anak-isterinya ataupun
dikeranakan kesempitan hidup atau kebaikan hati, sehingga seolah-olahnya sayap
mereka telah terpotong dan tangan mereka telah terbelenggu. Dan
atas sebab inilah, Saiyidina Umar Ibnul-Khattab r.a. memberi kepada ahlul-bait,
yakni keluarga Rasullullah s.a.w. sekelompok kambing 10 ekor ke atas. Dalam masa
hayatnya Rasulullah s.a.w. sendiri telah menguruskan kerja-kerja membahagikan
pemberian ini menurut kadar keluarga. Saiyidina
Umar Ibnul-Khattab apabila ditanya tentang maksud jahdul-bala’ (bencana yang
berat) telah menjawab: Maksudnya ialah terlampau banyak tanggungan (keluarga)
dan terlalu sedikit wang pula. Hendaklah
diutamakan pemberian itu kepada kaum kerabat dan keluarga, sehingga pemberian
itu merupakan sebagai sedekah dan menyambung silatur-rahim antara keluarga,
sedang pahala silatur-rahim ini adalah amat besar sekali. Saiyidina
Ali r.a telah berkata: Jika aku mempereratkan hubungan salah seorang dari
saudara maraku dengan memberinya satu dirham saja, adalah lebih aku utamakan
daripada aku menderma 20 dirham kepada selain mereka. Sahabat-sahabat
dan rakan-rakan seperjuangan dalam melakukan kebaikan kepada orang ramai
hendaklah diutamakan dari kenalan-kenalan biasa yang lain. Sebagaimana
diutamakan kaum kerabat dari orang-orang yang asing. Semua ini harus
diperhatikan dengan sebaik-baiknya. Itulah sifat-sifat yang dituntut oleh agama
dan pada setiap sifat itu ada darjat-darjat keutamaannya. Oleh itu janganlah
dituntut melainkan darjat yang paling tinggi sekali. Kalau ada pula orang yang
dapat mengumpulkan semua sifat-sifat keutamaan ini sekaligus maka itulah yang
dikatakan simpanan yang paling terbesar dan keuntungan yang amat teragung.
.
. . / Bersambung di Bahagian
2 |
|