programming | html tutorial | articles

up ]


Cetak Rompak Perisian Komputer Di Malaysia

Apa itu Cetak Rompak Perisian Komputer

Cetak rompak perisian komputer bermaksud penyalinan secara HARAM perisian tersebut dengan menggunakan apa-apa cara. Apabila perisian itu dibeli oleh pengguna, hanya satu salinan perisian itu boleh disimpan di dalam cakera keras atau cakera liut pengguna. Pengguna tidak dibenarkan menyalin salinan asal kedalam cakera keras komputer lain tanpa kebenaran pengaturcara perisian tersebut.

Jika pengguna membeli satu perisian dari kedai. Apa yang dibeli oleh pengguna terbabit ialah bukannya dalam bentuk material, sebagai contoh, cd-rom / cakera liut, buku panduan, dan lain-lain, tetapi dalam bentuk lesen penggunaan. Ini bermakna, hanya seorang pengguna dibenarkan menggunakan perisian itu pada satu masa. Cuba kita anggap perlesenan perisian ini sebagai buku. Jika Pengguna A membeli sebuah buku novel, pada satu masa cuma seorang pembaca sahaja boleh membaca buku itu. Tidak ada cara bagi orang lain di tempat yang lain membaca buku yang sama. Sama seperti perisian komputer, Jika pengguna itu mahu menggunakan perisian itu di komputer yang lain untuk tempoh yang tetap, dia terpaksa memadamkan perisian tersebut pada komputer yang asal dan membuat instalasi perisian pada komputer baru yang mahu digunakan olehnya.

Jika pengguna itu mempunyai salinan perisian di pejabat dan dia mahu menggunakan perisian itu di rumah, ketika dia tidak berada di pejabat, maka dia boleh meletakkan perisian tersebut pada komputernya di rumah dengan syarat pengguna itu seorang sahaja yang menggunakan salinannya di rumah atau di pejabat.

Contoh-contoh penyalinan haram yang biasa dilakukan oleh pengguna

  • Contoh 1

    Pengguna A membeli perisian tersebut di kedai, dan dia memberitahu tentang perisian tersebut kepada Pengguna B. Pengguna B berminat untuk menggunakan perisian tersebut dikomputernya dan meminta supaya Pengguna A membuatkannya satu salinan perisian tersebut untuk pengguna B gunakan. Ini adalah cetak rompak perisian yang selalu berlaku di Malaysia.

  • Contoh 2

    Kolej A baru membeli 50 buah komputer baru. Penjaga makmal komputer itu telah membeli 1 salinan perisian yang hendak digunakan oleh pelajar-pelajar kolej tersebut di kedai berhampiran. Untuk menjimatkan kos, penjaga makmal komputer tersebut telah meletakkan perisian tersebut pada cakera keras di 50 buah komputer makmal itu dengan hanya menggunakan hanya 1 salinan asal. Cetak rompak seperti ini berlaku kebanyakan institusi-institusi pengajian di Malaysia.

  • Contoh 3

    Pengguna A telah pun memesan sebuah komputer dari sebuah syarikat yang membekalkan komputer. Oleh kerana tuan punya syarikat itu mahu menjalin hubungan baik dengan pelanggannya. Dia telah meletakkan bebagai-bagai perisian kedalam cakera keras komputer tersebut. Ini adalah merangkumi perisian Windows 95, AutoCad, CorelDraw dan bermacam-macam lagi. Tetapi pengguna hanya membayar untuk kos perkakasan dan bukan untuk kos perisian. Tuan punya syarikat komputer itu telah melakukan kesalahan yang besar dengan membuat salinan haram perisian ke cakera keras pengguna. Pengguna juga dianggap bersubahat jika pengguna terus menggunakan perisian-perisian yang telah didapati dalam cakera keras beliau.

Jenis perisian

Sebagai permulaan, pengguna harus tahu jenis-jenis perisian yang ada di pasaran, ia boleh dikategorikan sebagai berikut

  • Public Domain

    Public Domain ialah dimana perisian yang boleh digunakan secara percuma oleh mana-mana pihak. Ia boleh disalin oleh mana-mana pihak dan diedarkan kepada sesiapa sahaja, tetapi pihak yang menyalin tidak boleh mengaut keatas perisian tersebut, hanya kos penyalinan sahaja dibenarkan, sebagai contoh, kos cakera liut. Perisian ini ditulis oleh pengaturcara dan pengaturcara tersebut mengambil keputusan untuk mengedarkannya secara percuma kepada orang-ramai. Langkah ini diambil oleh pengaturcara tersebut kerana dia merasakan bahawa dia tidak mahu lagi mengeluarkan versi terbaru perisian tersebut dan tidak mahu memberi bantuan kepada masalah-masalah yang dihadapi oleh pengguna. Terdapat banyak perisian Public Domain yang boleh didapati di Internet yang boleh digunakan.

  • Freeware

    Freeware sama fungsinya dengan Public Domain dimana perisian ini boleh digunakan oleh sesiapa sahaja. Istilah ini digunakan pada zaman sekarang manakala istilah Public Domain digunakan pada tahun 80an.

  • Shareware

    Perisian Shareware ialah perisian percubaan. Perisian ini boleh disalin dan digunakan oleh mana-mana pihak dan pengguna diberi tempoh untuk mencuba perisian tersebut pada komputer masing-masing dalam tempoh yang telah ditetapkan. Biasanya tempoh percubaan yang diberi ialah dalam tempoh 30 hari atau 3 bulan. Pengaturcara bebas untuk menetapkan tempoh percubaan. Jika pengguna tidak mahu menggunakan perisian tersebut maka pengguna dikehendaki memadamkan perisian tersebut didalam cakera keras komputer masing-masing. Jika pengguna mahu menggunakan perisian ini melebihi tempoh yang telah ditetapkan maka pengguna hendaklah mendaftar kepada Pengaturcara tersebut dan membayar untuk harga perisian. Tujuan Shareware yang asal ialah untuk mengenalkan perisian kepada pengguna dan kajian telah didapati perisian yang diedarkan dalam bentuk Shareware lebih cepat mendapat tempat kepada pengguna berbanding dengan Perisian Commercial. Ia juga bertujuan supaya pengguna boleh mengetahui sama ada perisian ini berjalan lancar apabila dicuba pada komputer masing-masing.

    Pada kebiasaan pengaturcara akan mengeluarkan dua versi, pertama versi shareware dan kedua versi Komersial. Terdapat banyak fungsi tambahan pada versi Komersial berbanding dengan versi shareware. Ini adalah untuk menarik minat pengguna untuk mendaftar dan seterusnya mendapat versi komersial.

    Jika pengguna telah melebihi tempoh yang telah ditetapkan sesetengah perisian shareware akan mula mengeluarkan 'nag screen'. Ini adalah bertujuan untuk mengingatkan pengguna supaya mendaftar jika mahu menggunakan terus perisian tersebut. Pada sesetengah perisian shareware pula, perisian itu tidak boleh digunakan jika tempoh percubaan itu telah tamat.

  • Versi Komersial

    Versi Komersial ialah versi penuh perisian. Versi komerial ialah versi yang selalu dicetak rompak di negara ini. Versi komersial biasanya dibeli di kedai-kedai. Pengguna haruslah mendaftar kepada pengaturcara tersebut untuk mendapatkan khidmat sokongan. Khidmat sokongan ini amat penting, kerana jika berlaku masalah, pengguna boleh mendapatkan khidmat dengan cara menelefon kepada pengaturcara dan mendapatkan bantuan. Pengguna juga boleh mendapat artikel tentang tips-tips dan perubahan minor kepada perisian yang telah dibeli. Selain dari itu pengguna akan mendapat buku panduan tentang penggunaan perisian tersebut. Buku panduan ini tidak akan diperolehi jika pengguna membeli perisian cetak rompak. Pengguna juga akan mendapat diskaun untuk perisian-perisian lain yang dibuat oleh pengaturcara.

  • Cardware

    Cardware, pelik bukan. Istilah ini digunakan oleh pengaturcara yang mahukan respon dari pengguna. Fungsi perisian Cardware adalah sama dengan fungsi perisian freeware dan Public Domain. Pengaturcara cuma mahukan pengguna menghantarkan Poskad menyatakan komen tentang perisian yang ditulis kepada beliau. Perisian seperti ini cuma berfungsi untuk mengenalkan pengaturcara kepada orang ramai.

Kenapa ia berlaku

Cetak rompak ini berlaku disebabkan sifat ketamakan, sifat tidak bertimbangrasa, tidak menghormati hak orang lain. Perisian komputer bukan dalam bentuk material, tetapi dalam bentuk intelek. Sebagai contoh, Microsoft Windows 95 yang ada pada hari ini adalah hasil dari usaha gigih pengaturcara-pengaturcara di Microsoft 25 tahun dahulu. Terdapat beribu-ribu lagi perisian-perisian yang terdapat di dunia yang memerlukan kerja keras pengaturcara. Bayangkan berapa ribu pengaturcara yang tidak tidur malam, kerja berjam-jam hanya untuk menyiapkan perisiannya dan beliau mencari sesuap nasi hanya dengan perisian yang akan disiapkan nanti. Saya pernah berjumpa dengan seorang pengaturcara dimana beliau menyara 8 orang anaknya dengan penjualan perisian yang ditulis. Cuba bayangkan pula betapa senangnya pencetak rompak haram yang dengan beberapa minit sahaja membuat penyalinan perisian pengaturcara tersebut. Jika pengguna menyokong cetak-rompak dengan membeli perisian-perisian cetak rompak maka dengan secara tidak langsung pengguna telah menutup mata pencarian pengaturcara-pengaturcara dan sekaligus memakan hak orang lain. Ini semua tidak akan berlaku jika pengguna tahu yang mana benar dan yang mana salah. Salah satu kesan yang amat ketara di Malaysia ialah kekurangan syarikat tempatan yang mampu mengeluarkan perisian dalam Bahasa Malaysia. Ini kerana pengaturcara di Malaysia tahu bahawa, jika mereka mengeluarkan sesuatu perisian, maka dengan sekelip mata sahaja perisian versi haram akan keluar di pasaran. Ini sekaligus akan membantutkan industri perisian di Malaysia.

Kebanyakan syarikat perisian di Malaysia hanya membuat perisian yang telah ditempah oleh pelanggan. Ini kerana mereka tahu bahawa perisian seperti ini tidak akan di cetak rompak dan perlaburan mereka terjamin. Cuma ada beberapa syarikat sahaja di Malaysia yang mengeluarkan perisian untuk diedarkan untuk orang-ramai. Sebagai contoh, Dewan Eja, Mari Belajar Al-Quran, Jawi, dan beberapa perisian untuk pendidikan sekolah rendah dan menengah. Tetapi mereka pun masih lagi mendapat saingan daripada perisian-perisian haram yang diimport dari luar negeri yang jauh lebih murah.

Mengaut Keuntungan

Pencetak Rompak merupakan dalang kepada cetak rompak di Malaysia. Mereka menggunakan teknologi tercanggih untuk menyalin cd-rom asal dan mengedarkannya kepada orang ramai dalam bentuk yang lagi murah. Cuba bayangkan bahawa harga yang dijual kepada orang-ramai adalah 10% dari harga asal perisian, manakala harga kos penyalinan haram ini hanyalah 1% dari harga sebenar. Tetapi disebalik perisian-perisian haram seperi ini, terdapat banyak keburukannya. Kebanyakan perisian-perisian ini tidak boleh dipakai. Ada sesetengah perisian haram di dalam cd-rom ini mengandungi virus. Dengan menggunakan perisian haram pengguna telah terdedah kepada virus yang amat merbahaya, dan amat malang sekali virus ini tidak boleh dibersihkan kerana ia terkandung dalam CD-ROM yang tidak boleh ditulis oleh pemacu cd-rom. Kesannya pengguna tidak boleh menggunakan cakera tersebut dan ia merupakan pembaziran. Lebih buruk lagi, jika virus itu telahpun memadamkan keseluruhan cakera keras pengguna.

Terdapat juga keadaan dimana cd-rom yang diedarkan oleh lanun-lanun ini akan merosakkan pemain cd-rom pengguna. Ini kerana cd-rom yang digunakan oleh lanun-lanun ini merupakan cd-rom yang mempunyai kualiti yang rendah dan kos untuk memproses cd-rom ini ialah sebanyak 80 sen sekeping. Berbanding dengan kos yang digunakan oleh pengedar asal iaitu RM 5 sekeping. Cd-rom yang berkualiti rendah ini akan merosakkan pemacu cd-rom pengguna dan hasilnya dalam beberapa bulan sahaja, pemacu cd-rom itu tidak boleh digunakan lagi. Jika anda mahukan pemain cd-rom anda tahan lama, gunakan cd-rom yang tulen. Walaupun harganya lebih mahal tetapi ia menjamin pemacu cd-rom anda daripada rosak dalam jangkasama yang singkat.

Mengelakkan perisian haram

Pengguna boleh mengelakkan perisian haram dengan membeli pada kedai-kedai yang terpilih sahaja. Perisian-perisian yang tulen di bungkus di dalam kotak yang berwarna-warni, menarik dan didalamnya terdapat sijil pengesahan bahawa perisian yang dibeli adalah perisian tulen. Perisian haram tidak mempunyai kotak langsung, dan ianya diedarkan didalam bekas CD-ROM ataupun di dalam sampul plastik. Jika pengguna membeli sebuah komputer baru, pastikan pengguna mendapat sijil pengesahan perisian. Ini untuk membuktikan bahawa perisian yang terkandung didalam cakera keras komputer baru itu ialah perisian yang tulen. Jangan terima sebarang hadiah dalam bentuk perisian haram yang ditawarkan oleh tuan punya kedai. Selain sumber yang diperolehi di kedai, perisian haram juga boleh didapati melalui internet, Internet Relay Chat (IRC) atau e-mail.

Bussiness Software Alliance (BSA)

BSA ditubuhkan oleh kumpulan-kumpulan perisian komputer di dunia untuk menangani masalah perisian haram ini. BSA bertanggungjawab untuk mengelakkan perisian haram ini dari berleluasa. BSA akan mendakwa mana-mana pihak yang menggunakan perisian haram. Denda yang dikenakan oleh mahkamah ialah RM10,000 untuk setiap salinan perisian haram yang dimiliki. Mahkamah tidak akan bertolak ansur dalam hal ini. Ahli ahli yang mengangotai BSA ialah Adobe, Autodesk, Lotus, Novell, Symantec, Microsoft, atCom, Extol, UBS dan CIE. Anggota-anggota ini memberi kebenaran supaya BSA boleh mendakwa mana-mana pihak yang memiliki perisian haram. Selain daripada itu BSA juga berfungsi untuk menyedarkan orang ramai bahawa cetak-rompak perisian ini adalah sesuatu yang tidak bermoral. Orang ramai yang memberikan infomasi sehingga tertangkapnya pencetak rompak ini akan diberi ganjaran sebanyak lebih kurang RM 8000, manakala RM 5000 akan diberi lagi apabila orang yang tertangkap itu berjaya didakwa di mahkamah. Setakat ini beberapa syarikat di Malaysia telah didakwa atas tuduhan memiliki perisian haram. Dan syarikat ini telah didakwa di mahkamah dan didenda. BSA sedang memperluaskan lagi aktiviti mereka untuk membanteras cetak rompak ini.

Untuk penerbit-penerbit perisian yang lain yang tidak menganggotai BSA, BSA tidak boleh mengambil sebarang langkah atau tindakan kerana penerbit itu tidak memberikan kebenaran kepada BSA untuk mengambil tindakan mahkamah, maka perisian-perisian mereka masih lagi berada dalam ancaman cetak rompak ini. Walaubagaimanapun pengguna tidak seharusnya bergantung kepada BSA untuk tidak menggunakan perisian haram. Tepuk dada tanya selera.

Kesimpulan

Pendidikan tentang perisian haram ini haruslah dimulai sejak kecil, justeru itu pendidikan tentang perisian ini sepatutnya dimulakan sejak di bangku sekolah lagi. Kesedaran pengguna paling penting demi untuk menangani masalah ini.

Maklumat Lanjut

  • BSA hotline 1-800-88-3875
  • Honesty line 1-800-88-5411
  • Microsoft hotline 1-800-88-3249

Keratan Akhbar

 

© Ahmad Hafiz Wahy
email: [email protected]
alamat web: http://www.geocities.com/SiliconValley/Vista/2459
3rd May 1998 1:03 am

 

c programming | html tutorial | articles | home
about me | links | search | guestbook | photo album
Hosted by www.Geocities.ws

1