Sekolah Rendah Mahmud

Mengikut maklumat dari buku, Sejarah Sekolah-sekolah Negeri Pahang (1888-1972), (Kuala Lumpur, Pejabat Pelajaran Pahang, 1976); Sekolah Rendah Mahmud telah berkembang dengan menggunakan beberapa nama, antaranya Sekolah Inggeris Persendirian, Sekolah Anglo-Chinese Raub, Sekolah Inggeris Kerajaan dan Sekolah Inggeris Raub. Sekolah ini akhirnya diberi nama Sekolah Mahmud sempena nama Sultan Pahang kedua, Almarhum Sultan Mahmud Ibni Sultan Ahmad yang memerintah Pahang dari tahun 1914-1917 (hlm. 154).

Sekolah ini pada mulanya telah ditubuhkan oleh En. M.S. Nathan pada Mac 1908 sebagai sebuah sekolah persendirian dengan 25 orang murid. Pada tahun 1909, sekolah ini dikelolakan oleh Methodist Mission dan terpaksa ditutup seketika atas masalah kewangan. Sekolah ini dibuka semula dengan bantuan kewangan orang China dan namanya ditukar kepada Sekolah Anglo-Chinese (Anglo-Chinese School) pada tahun 1910. Sekolah ini diletakkan dibawah sebuah lembaga Jawatankuasa Pengelola yang terdiri daripada 8 orang pemimpin masyarakat China dan Pegawai Daerah (hlm. 144-145). Dari tahun 1916-1922 sekolah ini dibiayai dengan bantuan wang orang ramai.

Pada tahun 1923, Lembaga Pengelola dimansuhkan dan pengelolaan sekolah diambil oleh kerajaan dan diberi nama Sekolah Inggeris Kerajaan Raub (Government English School Raub). Sekolah ini telah berpindah ke bangunan barunya di Jalan Lipis pada tahun 1928 (sekarang menjadi Sekolah Kebangsaan Bandar Raub). Pada tahun 1938, sekolah ini diberi nama Sekolah Inggeris Raub (English School Raub) dan pada tahun 1939 namanya ditukar kepada Sekolah Mahmud Raub (Mahmud School Raub) sempena Duli Yang Maha Mulia Sultan Mahmud (hlm. 156).

Pertambahan pelajar telah mendesak kepada keperluan bilik darjah yang lebih banyak. Pada tahun 1939, kerajaan telah mendapatkan kawasan baru di kawasan Rotan Tunggal di jalan Tras. Peperangan Dunia Kedua menyebabkan sekolah ini ditutup pada bulan Disember 1941 dan dibuka semula pada 5 November 1945. Pada tahun 1954 sebuah bangunan baru termasuk 16 bilik darjah dan pejabat telah dibina di jalan Tras dan bangunan lama telah diserahkan kepada Sekolah Melayu Raub (Sekarang Sekolah Kebangsaan Raub di Jalan Lipis). Pada 5 Jun 1954, bangunan baru ini dibuka dengan rasminya oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang.

Pada tahun 1957, sekolah ini telah berpecah dan menjadi dua, iaitu sekolah Menengah dan Rendah. Namun begitu sekolah ini tetap menggunakan bangunan yang sama di jalan Tras. Pada tahun 1961, sebuah bangunan baru untuk sekolah rendah dibina di Jalan Cheroh. Ia mempunyai 7 bilik darjah dan sebuah tandas. Pada tahun 1962 sebuah bangunan kedua dibina dan ia dibuka dengan rasmi oleh DYMM Sultan Pahang pada 13 Julai 1963.

Kronologi Ringkas Perkembangan Awal
Sekolah Rendah Mahmud (1908-1939)

Pertukaran Nama Sekolah Mahmud Raub

Tahun Nama Sekolah Tanggungjawab
1908 Sekolah Inggeris Persendirian Nathan
1910 Sekolah Anglo-Chinese Majlis Bandaran
1923 Sekolah Inggeris Kerajaan Kerajaan
1938 Sekolah Inggeris Raub Kerajaan
1939 Sekolah Inggeris Mahmud Kerajaan

Bilangan Murid, Guru dan Kelas Sekolah Mahmud Raub, 1908-1930

Perkara 1908 1913 1916 1928 1930
Bil,. Murid 25 30 44 120 7
Bil. Guru 1 1 2 6 -
Bil. Kelas 1 5 6 8 9

Sumber: Sekolah-Sekolah Negeri Pahang (1888-1972), Kuala Lumpur, Pejabat Pelajaran Pahang, 1976, hlm.145.

BACK

Hosted by www.Geocities.ws

1