Sekolah Menengah Mahmud
Sejarah Sekolah Menengah Mahmud berkait langsung dengan sejarah Sekolah Rendah Mahmud. Malahan, kedua-dua tahap rendah dan menengah telah diadakan di bangunan yang sama di Jalan Tras pada waktu-waktu tertentu pada tahun-tahun 1950-an. Bangunan baru untuk Sekolah Menengah Mahmud telah diusahakan seawal tahun 1953 dan disiapkan pada Disember 1953. Sekolah ini dibuka dengan rasminya oleh DYMM Sultan Pahang pada 5 Jun 1954. (hlm. 185)
Pada tahun 1959, Sekolah Mahmud telah dibahagikan kepada dua iaitu Sekolah Menengah Mahmud dan Sekolah Rendah Mahmud (hlm. 186).
Pada tahun 1959, Sekolah Menengah Mahmud mempunyai 270 murid dan 14 guru. Pada tahun 1964, kelas aliran Melayu telah diperkenalkan. Pada penghujung tahun 1969, kelas aliran Melayu dipindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Raub (sekarang dikenali sebagai Sekolah Menengah Tengku Kudin). Dalam tahun 1970, sekolah ini telah kembali kepada aliran Inggeris dengan bilangan murid seramai 536. Sebuah bangunan baru Khutub Khanah berharga RM 28,000 dibina pada Januari 1974. En. Raja Gopal menjadi pengetua sekolah ini pada 1971. Pada masa ini sekolah ini telah mempunyai banyak bangunan tambahan dan merupakan sebuah sekolah yang terkenal di daerah Raub.