KEPELBAGAIAN PENDEKATAN
PERNIAGAAN ISLAM DI MALAYSIA: 
SATU PERBANDINGAN[1]

Profesor Muhammad Syukri Salleh [2]
 
 

PENGENALAN

Sejak lebih kurang tiga dekad kebelakangan ini, usaha pengIslamisasian pelbagai sistem di Malaysia cukup memberangsangkan. Ia berlaku di dalam sistem pendidikan, sistem pentadbiran dan sistem ekonomi, sama ada atas daya usaha individu, perkumpulan atau pemerintah sendiri. Dalam pendidikan lahir bagai cendawan sekolah-sekolah menengah agama, institusi pengajian tinggi swasta Islam (IPTIS) dan universiti-universiti Islam[3]. Dalam pentadbiran lahir usaha penerapan nilai-nilai Islam dan penekanan terhadap nilai-nilai murni. Manakala dalam ekonomi pula lahir sistem perbankan Islam, pasaran modal Islam dan pelbagai usaha perniagaan yang lain.

Usaha pengIslamisasian ini diwarnai pula oleh pelbagai pendekatan dan kaedah. Khusus di dalam usaha perniagaan, kepelbagaian pendekatan dan kaedah ini boleh dilihat sama ada dari perspektif objektif perniagaan, bentuk perniagaan, kaedah perniagaan dan natijah perniagaan.

Kertas ini berhasrat meneliti kepelbagaian objektif, bentuk dan perkaedahan perniagaan Islam di Malaysia ini. Oleh kerana usaha perniagaan Islam ini terlalu banyak manakala kajian singkat untuk kertas sependek ini pula tidak mampu meneliti kesemuanya, maka tumpuan hanya diberikan kepada perniagaan Islam yang dilakukan oleh ahli-ahli empat gerakan Islam utama di Malaysia sahaja. Perniagaan-perniagaan itu ialah Koperasi Belia Islam Malaysia Berhad (KBI) yang dikendalikan oleh ahli-ahli Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Koperasi Al-Hilal Malaysia Berhad (Kohilal) yang dikendalikan oleh ahli-ahli Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Koperasi  Islah Malaysia Berhad (KIMB) yang dikendalikan oleh ahli-ahli Jamaah Islah Malaysia (JIM), dan Rufaqa’ Corporation (Rufaqa’) yang dikendalikan oleh bekas-bekas ahli Darul Arqam (Al-Arqam). Sebagai usaha perniagaan kumpulan masyarakat Islam yang mempunyai cita-cita Islam dan memperjuang menegakkannya, perniagaan gerakan-gerakan ini dipilih kerana dipercayai terdapat di dalamnya pendekatan-pendekatan yang  boleh dijadikan contoh untuk diteladani oleh pihak-pihak lain.
 

PERNIAGAAN GERAKAN-GERAKAN ISLAM DI MALAYSIA

Perniagaan Islam yang diusahakan oleh gerakan-gerakan Islam di Malaysia boleh dikatakan lahir sekitar lahirnya kebangkitan semula Islam dalam tahun-tahun tujuh-puluhan dan tahun-tahun selepas itu. Antara empat perniagaan gerakan Islam utama di Malaysia yang menjadi kajian kes kertas ini, yang paling awal ditubuhkan ialah KBI (26 Disember 1976), diikuti oleh Kohilal (3 Jun 1986), KIMB (21 Januari 1994) dan Rufaqa’ Corporation (1997). KIMB, walaupun lahir pada tahun 90-han, merupakan kesinambungan dari usaha mendaulatkan Islam gerakan-gerakan Islam yang aktif di zaman kebangkitan semula Islam itu, seperti Islamic Representative Council (IRC) di United Kingdom, Malaysian Islamic Study Group (MISG) di Amerika Syarikat dan pertubuhan pelajar-pelajar Islam Malaysia di Timur Tengah yang bergabung atas wadah JIM. Rufaqa’ pula, walau pun merupakan perniagaan Islam paling muda di antara perniagaan empat gerakan ini, sebenarnya berakar dari perniagaan Al-Arqam yang bermula pada tahun 1977 lagi. Kerana kesinambungan ini, Rufaqa` juga pada hakikatnya lahir di sekitar zaman kebangkitan semula Islam dan boleh dianggap sebagai perniagaan Islam kedua terawal, selepas KBI[4].

Perniagaan gerakan-gerakan Islam ini secara umumnya bertujuan mengumpul dan memobilisasikan dana secara Islam, meningkatkan taraf sosio-ekonomi anggota dan pekerja mereka serta umat Islam keseluruhannya, memperbesar, memperpanjang dan meperluaskan aktiviti syariat dengan tujuan beribadah kepada Allah SWT, mendidik peribadi mulia, dan mencari keredhaan Allah SWT (mardhatillah). Para anggota dan pekerja mereka biasanya terdiri dari ahli-ahli gerakan mereka sendiri, walaupun secara tersurat dicatatkan ianya terbuka untuk semua warganegara Malaysia. Dalam sesetengah kes seperti Kohilal dan KBI, mereka yang memohon menjadi anggota dikehendaki juga mengisi borang dan membayar masing-masing keanggotaan PAS dan ABIM.

Secara terperinci, latarbelakang penubuhan, tujuan dan anggota perniagaan-perniagaan-perniagaan Islam ini  adalah seperti berikut.
 

Koperasi Belia Islam Malaysia Berhad (KBI)

KBI ditubuhkan sebagai sebuah koperasi nasional pada 26 Disember 1976 hasil inisiatif Biro Ekonomi ABIM. Nama asalnya ialah Koperasi Kebangsaan Belia Islam Malaysia Berhad. Sesuai dengan kemajuan, perkembangan dan aspirasi masa depannya, nama ini kemudiannya ditukar kepada KBI. Ia didaftarkan sebagai syarikat kerjasama di bawah Ordinan Koperasi 1948 dan merupakan institusi pertama memperkenalkan produk pembiayaan dan pinjaman secara Islam, sebelum lahirnya Bank Islam Malaysia Berhad lagi. Matlamatnya ialah untuk meningkatkan kepentingan ekonomi anggota-anggotanya mengikut prinsip-prinsip koperasi, dengan menjalankan fungsi pengguna, perumahan, perkhidmatan dan pinjaman (KBI t.t.a:3). Secara khusus KBI mempunyai tiga hasrat berikut (KBI t.t.b:1):

1- Menjalankan aktiviti-aktiviti ekonomi selaras dengan prinsip mualamat Islam;
2- Menggalakkan sifat berjimat cermat, menyimpan dan berdikari di kalangan anggota dan masyarakat; dan
3- Mengumpul dan memobilisasikan dana untuk tujuan produktif.
 

Keseluruhan KBI ini dikelolakan oleh sebuah Lembaga yang mengandungi 15 orang yang terdiri dari perwakilan-perwakilan yang dipilih oleh mesyuarat agong perwakilan. 9 dari ahli Lembaga ini dinamakan oleh perwakilan manakala 6 orang lagi dinamakan oleh ABIM dan dipersetujui oleh Lembaga (KBI t.t.a:13).

Sehingga sekarang KBI mempunyai lebih dari 8,000 anggota dari seluruh lapisan masyarakat (KBI t.t.b:1). Keanggotaan KBI terbuka kepada warganegara Malaysia beragama Islam, berumur 18 tahun ke atas, tidak bercacatcela di sisi undang-undang, tidak dipecat keanggotaan dari mana-mana koperasi dalam tempoh setahun, dan bekerja atau bermaustatin dalam kawasan operasi KBI (KBI t.t.a:4-5). Seseorang yang telah sah diterima menjadi anggota dikehendaki membuat caruman setiap bulan, paling kurang RM15.00 (meliputi saham minima RM10.00 dan sumbangan kepada Tabung Kebajikan KBI sebanyak RM5.00). Caruman ini boleh dibuat sama ada melalui Biro Perkhidmatan Angkasa (bagi mereka yang berkhidmat dengan badan berkanun/jabatan kerajaan), atau melalui arahan bank, tunai atau wang pos. Secara tersurat ahli KBI tidak wajib menjadi ahli   ABIM. Tetapi biasanya, ketika mendaftar menjadi ahli KBI, seseorang perlu membayar yuran ABIM sebanyak RM7 sekiranya belum mendaftar sebagai anggota ABIM.

Dalam sejarah kewujudannya, KBI pernah dua kali mendapat anugerah. Pertama, KBI dianugerahkan sebagai Koperatif Model pada tahun 1985, dan kedua, ia mendapat Anugerah Kualiti Koperatif (Wilayah Tengah) pada tahun 1993 (KBI t.t.a:2). Pada ketika itu KBI menumpukan kepada pengumpulan dana dan pengeluaran pembiayaan sahaja dan oleh itu tidak banyak kesilapan berlaku. Tetapi apabila telah berkembang dan berkecimpung di dalam banyak aktiviti seperti perdagangan (trading), hartanah, pendidikan[5] dan sebagainya, KBI mula mengalami masalah, terutamanya masalah modal dan penggabungan idea antara pemimpin-pemimpin KBI yang berlatarbelakang akademik dengan yang berlatarbelakang korporat. Walaubagaimana pun, kerana kuatnya semangat perjuangan anggota-anggotanya, KBI dapat terus hidup, walau pun atas dasar semangat perjuangan sahaja. Sejak enam tujuh tahun kebelakangan ini, KBI tidak mampu membayar dividen kepada anggotanya, tetapi anggota-anggota ini tetap tidak menimbulkan masalah kerana dikatakan ada semangat perjuangan[6].
 

Koperasi Al-Hilal Malaysia Berhad (Kohilal)

Kohilal ditubuhkan sebagai sebuah koperasi nasional pada 3 Jun 1986. Nama asalnya ialah Koperasi Al-Hilal Berhad dan kemudiannya pada 17 November 1989 ditukar kepada Koperasi Al-Hilal Malaysia Berhad atau  lebih dikenali sebagai Kohilal. Tujuannya ialah untuk menjadi alat (mekanisme) mengumpul modal dan tenaga dari anggota-anggota dan melaksanakan perniagaan Islam terutamanya dengan mengeluarkan barangan halal sebagai memenuhi tuntutan fardhu kifayah[7]. Secara tersurat, Kohilal berhasrat meningkatkan kepentingan ekonomi anggota-anggotanya mengikut prinsip-prinsip koperasi, dengan menjalankan kegiatan pinjaman dan pengguna (Kohilal 1999b:5). Dalam setiap Laporan Tahunannya, Kohilal mencatatkan visinya sebagai “wadah sosio-ekonomi ummah berdikari yang berteraskan Islam” dan misinya “untuk melahir, menggerak dan membina sosio-ekonomi ummah yang maju, berdikari, beriman dan bertakwa”[8].

Tujuan, visi dan misi ini diperluaskan di dalam kajian semula rancangan 10 tahunnya (1995-2004). Dalam kajian semula ini, Kohilal merumuskan untuk berperanan sebagai “sebuah institusi tabungan ummah dan wadah kebajikan anggota” dan sebagai “penggerak dan pemangkin ekonomi ummah serta payung gerakan koperasi ummah”. Sebagai “institusi tabungan ummah”,  Kohilal cuba memperkenalkan anggota bersekutu untuk membolehkan mereka menyimpan dengan Kohilal tanpa gangguan Akta, mengembeling dana anggota melalui pelbagai kumpulan wang anggota, memperkenal dan memajukan pelbagai instrumen kewangan Islam seperti wadiah, mudharabah  dan musyarakah, dan meningkatkan kualiti produk tabung-tabung Kohilal. Sebagai “wadah kebajikan anggota” pula, Kohilal berhasrat memperkemas dan memperhebatkan skim murabahah, mewujudkan Kumpulan Wang Tabung Al-Qardhul Hassan (melalui sumbangan wajib anggota sebanyak RM10.00 seorang sekali seumur hidup, peruntukan dari keuntungan bersih koperasi setiap tahun dan melalui sumbangan khas peserta skim Al-Qardhul Hassan), dan mewujudkan Tabung Khairat Kematian untuk membantu anggota jika berlaku kematian anggota  atau kaum keluarganya. Sebagai “penggerak dan pemangkin ummah serta payung gerakan koperasi ummah” pula, Kohilal berhasrat memperkemaskan anak syarikatnya dengan menjadikan Kohilal Industries Sdn Bhd sebagai syarikat induk pelaburan Kohilal dan menukarkan namanya kepada Kohilal Group Sdn Bhd, menaja, menggalakkan penubuhan dan bekerjasama dengan koperasi setiap negeri, menjalankan program latihan teknikal dan pengurusan koperasi, dan bekerjasama dengan koperasi terpilih di Selatan Thailand, Indonesia, Singapura  dan Brunei (Kohilal 1999a:58-59).

Keanggotaan Kohilal secara tersuratnya terbuka kepada warganegara Malaysia berumur lebih 18 tahun dan beragama Islam, berakhlak baik, dan menerima Islam sebagai Addin atau cara hidup (Kohilal 1995b:7). Secara tersirat pula, hampir kesemua anggotanya terdiri dari ahli-ahli PAS. Seperti juga yang diamalkan KBI, seseorang yang memohon menganggotai Kohilal biasanya dikehendaki mendaftar dan membayar yuran keanggotaan PAS. Anggota Lembaga Pengarah Kohilal juga terdiri dari pemimpin-pemimpin PAS. Pengerusinya Senator Ustaz Haji Hassan Shukri ialah Naib Presiden PAS, manakala Setiausahanya Mohd Ismath Habib Mohamad ialah Yang DiPertua PAS Kelang, dan Bendaharinya Ali Maidin ialah Timbalan Suruhanjaya PAS Negeri Sembilan. Namun begitu, walaupun Kohilal boleh dianggap sebagai penggerak ekonomi ahli-ahli PAS dan Anggota Lembaganya juga terdiri dari pemimpin-pemimpin PAS, Kohilal tetap bergerak secara tersendiri dan dikatakan tidak kena mengena dengan PAS. Segala keputusan berkenaan Kohilal dibuat oleh 12 orang Anggota Lembaganya sendiri tanpa campurtangan PAS. Di samping itu, Kohilal juga mempunyai Majlis Syariahnya sendiri yang memantau dan memastikan keIslaman aktiviti Kohilal ini[9].

Sehingga 28 Februari 2001, Kohilal mempunyai anggota sejumlah 20,618 orang (berbanding dengan lebih kurang 800,000 ahli PAS)[10]. Menurut Pengerusi Lembaga Kohilal Senator Ustaz Haji Hassan Shukri, sasaran Kohilal dalam jangkamasa empat belas tahun penubuhannya ialah untuk mendapatkan anggota seramai 20,000 orang sahaja agar tidak sulit menguruskannya. Jadi untuk sementara waktu sekarang, Kohilal tidak membuat kempen untuk mendapatkan ahli[11]. Kempen secara besar-besaran akan hanya dibuat untuk menarik ramai ahli PAS menyertai Kohilal pada masa akan datang, dengan menekankan kepada kualiti anggota, dan bukan kuantiti anggota (Kohilal 1999a:30). Seseorang yang diterima menjadi anggota Kohilal dikehendaki mencarum saham paling kurang RM500, dan maksima tidak melebihi satu perlima dari aset Kohilal.

Secara keseluruhannya, Kohilal sekarang mempunyai 64 orang kakitangan penuh masa di seluruh Malaysia. 17 orang darinya bekerja di ibu pejabat Kohilal di Jalan Sarikei, Kuala Lumpur[12], 2 orang di Kaunter Kuala Lumpur, 3 orang di Kaunter Kuala Terengganu (Terengganu), 3 orang di Kaunter Kota Bharu (Kelantan), 13 orang di Kohilal Group Sdn. Bhd (syarikat subsidiari Kohilal yang dahulunya dikenali sebagai Kohilal Industries Sdn.Bhd.) di Taman Seri Gombak Kuala Lumpur, dan 26 orang di Pusat Perubatan Kohilal Sdn. Bhd. (syarikat bersekutu Kohilal) di Taman Melawati, Kuala Lumpur (Kohilal 1999a:10-12).
 

Koperasi Islah Malaysia Berhad (KIMB)

KIMB telah didaftarkan sebagai sebuah koperasi nasional pada 21 Januari 1994, di bawah anjuran Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)[13]. Ia lahir empat tahun selepas tertubuhnya JIM dan merupakan sayap ekonomi gerakan Islam tersebut (Wan Mohamad Wan Sulong 2000:139). Secara umum, tujuannya ialah untuk  menjalankan aktiviti pinjaman dan perkhidmatan (KIMB 1997a:4). Secara khusus, ia bertujuan meningkatkan  taraf sosio-ekonomi anggota-anggota KIMB khususnya dan umat Islam di Malaysia amnya bertepatan dengan konsep `al-birri wa taqwa (kebajikan dan taqwa). Ia juga bertujuan meningkatkan roh silaturrahim dan  memupuk semangat tolong menolong antara umat Islam. Objektif utamanya ialah untuk menggalakkan amalan berjimat cermat, menabung, menolong diri sendiri, membantu di antara satu sama lain, dan memajukan pendidikan di kalangan anggota dan anak-anak anggota, dan untuk menjalankan aktiviti dalam pelbagai bidang ekonomi yang berdaya maju dan dihalalkan syariat. KIMB bercita-cita menjadi koperasi Islam contoh paling berjaya dengan keanggotaan yang aktif dan modal saham yang besar. Anggota-anggota KIMB diharap dapat menikmati kemudahan-kemudahan berikut (Wan Mohamad Wan Sulong 2000:137):

1- Keuntungan tahunan berbentuk dividen/bonus;
2- Menabung dalam akaun simpanan Al-Wadiah KIMB dengan pulangan yang menarik;
3- Pembiayaan/pinjaman jangka pendek/panjang secara Islam;
4- Melibatkan diri dengan program keusahawanan KIMB;
5- Khairat kematian/kemalangan;
6- Hadiah tahunan menarik di atas sumbangan idea dan penglibatan langsung oleh anggota ke arah memajukan KIMB; dan
7- Faedah daripada tabung-tabung kebajikan (Tabung Khairat, Tabung Fi-Sabilillah dan Tabung Pendidikan[14]).
 

Sebagai sebuah koperasi berdaftar, KIMB lebih terikat dengan Akta Koperasi daripada dengan JIM sendiri, walau pun pada prinsipnya ia adalah kepunyaan JIM, lahir atas usaha JIM dan merupakan sayap ekonomi kepada gerakan Islam tersebut. JIM walaubagaimana pun mengawal perjalanan KIMB melalui sembilan orang Anggota Lembaganya yang dipilih oleh mesyuarat agung perwakilan KIMB (KIMB 1997a:16)[15]. Biasanya Anggota Lembaga KIMB ini adalah terdiri dari pemimpin-pemimpin JIM sendiri. Pada peringkat awal penubuhannya (khususnya pada sessi 1995/96), Pengerusi Lembaga KIMB ialah Presiden JIM Tuan Haji Saari bin Sungib sendiri (KIMB 1995:2).

Namun begitu, keanggotaan KIMB sebenarnya terbuka kepada semua warganegara Malaysia, berumur 18 tahun ke atas, berfikiran waras, dan tidak pernah terbabit dengan kesalahan yang didaftarkan di bawah Registration of Criminals and Undesirable Persons Act, 1969[16]. Cuma pada realitinya, hampir kesemua anggota KIMB adalah terdiri dari ahli-ahli JIM, walau pun tidak ada syarat tersurat bahawa seseorang yang memohon menjadi anggota KIMB itu mesti mendaftar dan membayar yuran keahlian JIM seperti yang dilakukan KBI dan Kohilal. Setiap permohonan keanggotaan KIMB hanya dikenakan bayaran masuk RM5 di samping jumlah permohonan saham minima RM100 yang perlu diselesaikan dalam jangka masa 6 bulan pertama keanggotaan.

Sehingga 12 Jun 2000, KIMB mempunyai sejumlah 1,314 orang anggota (berbanding dengan 6,700 orang ahli JIM)[17]. Dari 1,314 orang anggota ini, yang aktif hanyalah 384 orang, atau 27.5% sahaja, yang kebanyakannya terdiri dari Ahli Jawatankuasa JIM dari seluruh negara (KIMB 2000:20-21). Maksud anggota aktif di sini ialah anggota yang mempunyai jumlah caruman sebanyak RM100 dan membuat caruman berterusan setiap bulan dengan membayar RM25 (mengandungi RM10 sebagai caruman, RM10 untuk Al-Wadiah, RM1 untuk Tabung Khairat, RM1 untuk Tabung Fi-sabilillah, RM1 untuk Tabung Pendidikan, dan RM2 untuk sumbangan pengurusan). Caruman dalam KIMB boleh dibuat secara sekaligus atau secara ansuran. Bayaran ansuran boleh dibuat melalui potongan gaji bagi kakitangan kerajaan melalui Biro Perkhidmatan Angkasa (BPA), atau secara sendiri melalui cek/kiriman wang/wang pos, atau melalui arahan bank, atau dengan bank-in terus ke akaun KIMB di Maybank, Bank Muamalat dan Bank Islam, atau dengan menggunakan pindahan ATM (bagi pemegang akaun semasa Maybank dan Bank Muamalat).

Setakat ini KIMB mempunyai seorang Pegawai Eksekutif penuh masa dan berkongsi pejabatnya dengan ibu pejabat JIM di Pusat Bandar Melawati, Kuala Lumpur. KIMB kini sedang berusaha melantik seorang Pengurus penuh masa agar aktiviti-aktiviti perniagaannya dapat dirancang dan dilaksanakan dengan lebih berkesan. Hal sedemikian dirasakan sangat perlu terutamanya dalam keadaan perjalanan KIMB yang dianggap perlahan, walaupun telah menjangkau ke usia lapan tahun[18].
 

Rufaqa’ Corporation (Rufaqa’)

Rufaqa’ Corporation telah didaftarkan sebagai syarikat perniagaan pada tahun 1997 oleh bekas pemimpin Al-Arqam Ustaz Haji Ashaari Muhammad bersama dengan ahli keluarganya. Berbeza dengan ABIM, PAS dan JIM yang mengambil koperasi sebagai wadah perniagaan Islam mereka, Ustaz Ashaari Muhammad memilih syarikat perniagaan sebagai wadah melanjutkan usaha perniagaan Islam yang diasaskannya melalui gerakan Al-Arqam dahulu[19]. Perniagaan Al-Arqam yang telah bermula pada tahun 1997 dan telah berkembang ke peringkat antarabangsa telah turut musnah dengan pengharaman Al-Arqam di Malaysia pada tahun 1994[20]. Selepas pengharaman ini, bekas-bekas ahli Al-Arqam di Malaysia berpecah kepada empat kumpulan[21]. Pertama, golongan yang hilang keyakinan terhadap perjuangan Islam cara Al-Arqam; kedua, golongan yang  tinggal di atas pagar dan mengambil sikap tunggu dan lihat di mana ada keuntungan; ketiga, golongan yang terus yakin dengan perjuangan Islam tetapi berdiam diri kerana tidak mampu meneruskannya; dan keempat, golongan yang yakin dengan perjuangan Islam dan terus mengekalkan cara hidup Islam walaupun hanya di peringkat keluarganya, umpamanya dengan mengekalkan pengamalan syariat dan tarbiyyah, membaca dan menghayati Al-Qur`an dan Hadith, mempelajari dan mengamalkan ilmu fardhu `ain dan sebagainya[22].

Rufaqa` Corporation lahir dari golongan yang keempat ini, yakni dari keluarga bekas pemimpin Al-Arqam Ustaz Haji Ashaari Muhammad sendiri. Dengan empat orang isteri, 35 orang anak, 26 orang menantu dan 123 orang cucu, Ustaz Ashaari Muhammad mempunyai cukup tenaga untuk memulakan perniagaan Rufaqa`. Apabila  syarikat Rufaqa’ Corporation didaftarkan, Ustaz Ashaari Muhammad sendiri menjadi Pengerusi Eksekutifnya manakala beberapa orang anak dan menantunya menganggotai Lembaga Pengarahnya.

Seperti Al-Arqam, Rufaqa’ juga berpegang kepada tujuan perniagaan sebagai hendak memperbesar, memperpanjang dan memperluaskan aktiviti syariat atau bertujuan ibadah dan mendapat pahala yang banyak dengan sentiasa mencari keredhaan Allah SWT melalui niat dan kaedah pelaksanaan yang betul. Bagi Rufaqa’, perniagaan mempunyai syariat dan ibadahnya yang sangat luas. Umpamanya disebutkan bahawa melalui perniagaan, mereka akan mendapat kawan, memberi khidmat kepada masyarakat, mendirikan kerjasama, memudahkan masyarakat mengurus keperluan hidup, menyelamatkan barangan keluaran masyarakat Islam, mengumpul pengalaman sama ada dari segi pengurusan, mengenal tempat, barangan dan sebagainya, melatih dan mengamalkan sifat sabar, berlapang dada, bertolak ansur, memberi dan meminta maaf, berlebih kurang, bersimpati, memajukan agama, bangsa dan negara, berpeluang mengeluarkan zakat, dan menyediakan peluang pekerjaan (Rufaqa’ Corporation t.t.a). Secara lebih tersusun, tabloid bulanan Rufaqa`, Ana (Mac 2001:7), menyenaraikan dua belas peluang tujuan berniaga seperti berikut:

1- Dapat berkhidmat dan menyediakan khidmat kepada masyarakat;
2- Dapat menyediakan makan minum serta keperluan asas yang halal;
3- Dapat menjalinkan hubungan persahabatan di antara penjual dan pembeli;
4- Dapat bekerjasama dan bantu membantu di antara satu sama lain;
5- Dapat belajar untuk bertolak ansur dan mengalah dengan orang;
6- Dapat melatih diri untuk sabar serta berharap kepada Allah SWT melalui ujian di dalam perniagaan;
7- Dapat berlatih untuk belapang dada dan memaafkan orang dalam menghadapi karenah pelanggan;
8- Dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada orang ramai;
9- Dapat membantu memasarkan barangan orang Islam;
10- Dapat menegakkan syiar Islam melalui kemajuan yang dibangunkan melalui perniagaan;
11- Dapat membantu fakir miskin serta orang yang memerlukan; dan
12- Dapat menunaikan kewajipan zakat.
 

Di samping itu, Rufaqa` juga menekankan dengan jelas kepada sistem ekonomi Islam yang menjadi teras kepada perniagaannya. Menurut Rufaqa`, sistem ekonomi Islam mengandungi landasan yang dasarnya Islam (tanpa riba, tanpa penipuan, tanpa spekulasi dan sebagainya). Dari segi bathinnya pula, ia mempunyai niat kerana Allah SWT supaya aktiviti ekonomi itu boleh menjadi ibadah. Matlamatnya ialah untuk membangun tamadun Islam yang didorong oleh iman, sama ada dalam bentuk maknawiyah seperti pembangunan insaniah dan akhlak mulia, atau dalam bentuk maddiyah seperti mendapat keuntungan dan sebagainya. Dalam mencapai matlamat ini, perlulah ada alat dan kaedah mengikut keperluan di samping mencapainya secara bertahap-tahap dan mempunyai jangka masa tertentu (Rufaqa’ Corporation t.t.b).

Rufaqa’ juga menekankan bahawa sistem ekonomi Islam mesti membawa hati untuk bersama berekonomi agar mengambilkira tentang niat kerana Allah SWT dan sentiasa tunduk kepada Allah SWT. Perniagaan dijadikan tempat saluran untuk melahirkan akhlak mulia, keuntungan dimanfaatkan untuk masyarakat, hubungan majikan-pekerja berdasarkan kasih sayang seumpama bapa dengan anak, setiap individu terbela, menghindar riba dan tidak menggalakkan hutang, bermodalkan pembangunan insaniah (iman dan taqwa), bermatlamatkan akhirat, meyakini sumber rezeki adalah dari Allah SWT dan boleh dikurniakan Allah SWT tanpa diduga, dan dibina di dalam suasana Islam (Rufaqa` Corporation t.t.c). Rufaqa` juga menganjurkan agar tidak berhutang kerana apabila berhutang, akan hilanglah kewibawaan, kemerdekaan, dan penghormatan orang kepada mereka (Rufaqa` Corporation t.t.d).

Selain itu, aktiviti ekonomi Islam ini dibahagikan kepada tiga bentuk, yakni ekonomi fardhu kifayah, ekonomi strategi dan ekonomi komersil. Ekonomi fardhu kifayah adalah ekonomi bertujuan melaksanakan tuntutan fardhu kifayah agar dengan itu umat Islam mendapat keperluan yang dijamin halal dan suci di sisi Islam serta terselamat dari dosa. Ekonomi strategi adalah ekonomi bertujuan mempamirkan kekuatan umat Islam misalnya dengan mempunyai rangkaian perniagaan seluas mungkin agar ditakuti dan dihormati musuh. Ekonomi komersil pula  adalah ekonomi bertujuan mendapat keuntungan agar dengan itu bukan sahaja taraf sosio-ekonomi pekerja dan umat Islam dapat ditingkatkan dan perniagaan dapat dikembangkan, tetapi juga dapat menampung kerugian yang mungkin dialami oleh ekonomi fardhu kifayah dan ekonomi strategi[23].

Walaupun Rufaqa’ merupakan kesinambungan kepada perniagaan Al-Arqam dan beberapa falsafah ekonomi dan perniagaan Al-Arqam masih diterima pakai kerana ianya berlandaskan kepada syariat Islam, namun dalam beberapa hal Rufaqa’ mempunyai perbezaan dengan Al-Arqam, seperti berikut:

1- Rufaqa’ adalah syarikat perniagaan sepenuhnya yang berdaftar dan bukan badan dakwah seperti Al-Arqam yang tidak berdaftar;
2- Mereka yang terlibat dengan Rufaqa’ mempunyai status sebagai pekerja, bukan sebagai ahli atau pengikut sebagaimana di dalam Al-Arqam. Mereka tidak perlu mencarum atau membayar apa-apa yuran, tetapi sebaliknya mereka menerima ganjaran di dalam bentuk gaji dan penyediaan keperluan-keperluan asas, dan sekali sekala mencari atau memberi sumbangan berbentuk kebendaan dan kewangan untuk merealisasikan sesuatu projek. Sebahagian dari pekerja Rufaqa’ adalah ahli-ahli keluarga Ustaz Ashaari Muhammad sendiri, manakala selebihnya adalah bekas-bekas ahli Al-Arqam dan orang-orang baru yang telah dididik;
3- Pekerjanya hanya 500 orang di seluruh Malaysia berbanding dengan Al-Arqam dahulu yang mempunyai lebih kurang 10,000 orang ahli;
4- Falsafahnya berdasarkan kepada perlunya menjadi rafiqul `ala (orang Allah SWT sepenuh hati dengan penghayatan yang sebenar dan mendalam), berbeza dengan Al-Arqam yang juga berhasrat memperkuatkan hubungan dengan Allah SWT tetapi lebih secara teoritikal daripada secara praktikal, terutamanya di hujung- hujung usianya; dan
5- Kaedah Rufaqa’ adalah berdasarkan kepada ilmu dan roh (hati) berbeza dengan Al-Arqam yang berdasarkan kepada ilmu dan aqal[24]. Sekarang roh, atau hati dan kadangkala disebut juga oleh Rufaqa` sebagai fitrah, diutamakan lebih daripada aqal. Roh, hati atau fitrah dikatakan sudah kenal dan mahu kepada semua yang baik-baik dan menolak semua yang tidak baik. Rufaqa’ percaya roh, hati atau fitrahlah yang membawa manusia rasa berTuhan dan merasakan dirinya dijadikan Tuhan, sentiasa berzikir kepada Tuhan, mematuhi suruhan dan meninggalkan larangan Tuhan, dan menyelamatkan mereka di dunia dan di akhirat[25].
 

Dengan tujuan, falsafah dan perbezaan inilah Rufaqa’ melancarkan perniagaan Islamnya. Sebahagian besar projek-projek perniagaan Rufaqa’ tertumpu di Rawang Country Home, Selangor di samping cawangan-cawangannya di Utara, Timur dan Selatan Semenanjung Malaysia. Selain itu Rufaqa’ juga bergiat di peringkat antarabangsa melalui syarikat Zumalah Sdn. Bhd., sebuah syarikat gabungan antara Rufaqa’ dengan Hawariyun Group of Companies yang berpusat di Indonesia. Di dalam Zumalah Sdn. Bhd. ini, Rufaqa’  mempunyai 51% equiti manakala Hawariyun Group of Companies memegang 49% equiti. Zumalah Sdn. Bhd. ini memiliki dan menjalankan perniagaan di Singapura, Brunei, Thailand, Jordan, Uzbekistan dan sebagainya.
 

BENTUK DAN AKTIVITI PERNIAGAAN

Dari perbincangan setakat ini, ternyata bahawa bentuk perniagaan Islam gerakan-gerakan Islam utama di  Malaysia banyak tertumpu kepada bentuk koperasi. Daripada empat perniagaan gerakan Islam yang menjadi kajian kes kertas ini, tiga, yakni KBI yang dikendalikan anggota-anggota ABIM, Kohilal yang dikendalikan anggota-anggota PAS, dan KIMB yang dikendalikan anggota-anggota JIM, menggunakan koperasi sebagai wadah perniagaan Islam mereka. Hanya Rufaqa’ yang dikendalikan bekas-bekas ahli Al-Arqam sahaja yang menggunakan bentuk syarikat perniagaan.

Sesuai dengan bentuk perniagaan yang mereka lagang, maka aktiviti-aktiviti perniagaan mereka juga adalah mengikut bentuk perniagaan masing-masing. Secara terperincinya, aktiviti-aktiviti perniagaan mereka adalah  seperti berikut.
 

Koperasi Belia Islam Malaysia Berhad (KBI)

Aktiviti utama KBI ialah menyediakan bantuan kewangan dan profesional kepada anggota-anggotanya melalui skim-skim berikut (KBI t.t.b:2):

1- Pinjaman Kebajikan (Al Qardhul Hasan);
2- Pinjaman Peribadi (Bai Al-Inah);
3- Skim Pembiayaan Barangan Pengguna;
4- Skim Pembiayaan Motosikal;
5- Skim Pembiayaan Kenderaan;
6- Skim Pembiayaan Tanah;
7- Skim Pembiayaan Rumah;[26]
8- Tabung Kebajikan Am KBI; dan
9- Kursus-kursus dan seminar yang ditawarkan oleh Maktab Kerjasama Malaysia, Angkasa dan ABIM.

KBI juga menyediakan 5 bentuk caruman untuk anggota-anggotanya, yakni:

1- Saham - Saham ini digunakan sebagai modal untuk menjalankan aktiviti perniagaan KBI. Keuntungan dalam bentuk dividen akan diagihkan kepada anggota. Caruman saham tidak boleh dikeluarkan kecuali anggota  berhenti, meninggal dunia atau sakit (hilang keupayaan untuk mencari nafkah hidup). Saham boleh dituntut setahun dari tarikh pengesahan pemberhentian dan bagi yang layak.

2- Tabung Kebajikan - Tabung ini berfungsi memberi bantuan kepada anggota dan keluarga terdekat yang  ditimpa musibah seperti kematian, kemalangan, bantuan perubatan dan seumpamanya (bergantung kepada penilaian Jawatankuasa Skim).

3- Simpanan – Anggota disediakan dengan kemudahan simpanan wang ke akaun masing-masing. Ia merupakan alternatif kepada akaun simpanan di bank-bank di samping mengamalkan sikap berjimat cermat. Wang ini boleh dimasuk dan dikeluarkan dari masa ke semasa mengikut peraturan yang ditetapkan.

4- Pelaburan Am dan Khas – Pelaburan Am merupakan Tabung Cadangan untuk apa-apa pelaburan jangka pendek yang dipersetujui dari masa ke semasa. Sementara Pelaburan Khas akan digunakan untuk pelaburan dan perniagaan untuk jangka masa panjang dan anggota merupakan pemilik saham mengikut yang ditetapkan.

5- Sumbangan Tabung Kebajikan dan Pendidikan – Ia merupakan sumbangan amal jariah bagi menampung perbelanjaan aktiviti dakwah, pendidikan dan pentadbiran. Sumbangan akan diserahkan kepada Pejabat Kewangan ABIM.
 

Selain itu, KBI menjalankan aktiviti-aktiviti perniagaan teknologi maklumat dan komunikasi, pembangunan hartanah, kejuruteraan dan pembinaan, barangan pengguna, perdagangan dan percetakan, dan pendidikan.  KBI juga terlibat di dalam pembangunan hartanah untuk ahli-ahlinya seperti Projek Kampong dan Dusun Tersusun di Batu 7, Jalan Seremban-Kuala Pilah, Negeri Sembilan meliputi tanah seluas 331 ekar, Projek Hartanah Sg. Tangkas, Bangi, Selangor yang melibatkan tanah seluas 150 ekar, Projek Hartanah Sg. Merab, Kajang yang melibatkan tanah seluas 4 ekar, dan Projek Perumahan di Sungei Buloh, Selangor yang dikendalikan bersama Pelima Properties Sdn. Bhd. bernilai RM25 juta (KBI t.t.b:2-3).

KBI juga mempunyai subsidiari-subsidiari dan syarikat-syarikat bersekutu seperti I.S Techtel Sdn. Bhd. yang terlibat menawarkan teknologi maklumat dan produk serta peralatan telekomunikasi, KBI Engineering Sdn. Bhd. yang mempunyai 15% ekuiti di dalam IKRAM yang terlibat di dalam perkhidmatan kejuruteraan, perundingan,  dan pengendalian kursus-kursus diploma dan ijazah di dalam bidang kejuruteraan dan teknologi maklumat, Kg Baru Medical Centre yang merupakan perkongsian antara KBI (40%) dan Shifaq Sdn. Bhd. yang dianggotai oleh doktor-doktor Islam, dan Bina Ilmu Sdn. Bhd. yang juga dikenali sebagai Institut Pengajian Ilmu-Ilmu Islam (IPI) yang menawarkan program-program Diploma dalam bidang-bidang Perniagaan, Ekonomi dan Sains  dengan penekanan kepada pengetahuan Islam (KBI t.t.b:3-5).

Semua aktiviti ini dikaji dan dikawal oleh Ahli Lujnah Syariah KBI agar ianya menurut prinsip dan syariat Islam. Ahli Lujnah Syariah ini terdiri dari seorang anggota Lembaga KBI dan 6 orang alim ulamak yang dihormati keperibadian dan keilmuannya dalam bidang Syariah serta boleh memahami kaedah-kaedah urusniaga masa kini (KBI t.t.a:20-21).
 

Koperasi Al-Hilal Malaysia Berhad (Kohilal)

Secara kasar, Kohilal sekarang mempunyai lapan bentuk perniagaan utama. Perniagaan-perniagaan itu adalah seperti berikut:

1- Pengeluaran barangan keperluan harian seperti sabun mandi, pencuci kain, pencuci pinggan mangkuk, ubat gigi, minyak rambut, minuman dan sebagainya melalui kilang Kohilal Group Sdn. Bhd., yakni syarikat subsidiari Kohilal yang beroperasi di No. 83C, Jalan SG3/10, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Kuala Lumpur;

2- Pengedaran oleh Kohilal Edar barangan-barangan seperti perencah pengganti aji-no-moto, perencah nasi beriani, rempah ratus dan sebagainya yang dikeluarkan oleh pengilang-pengilang kecil lain dengan menggunakan jenama Kohilal;

3- Pengedaran barangan-barangan dari kedua-dua bentuk pengeluaran di atas melalui cawangan-cawangan Kohilal Edar di Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Perak, Wilayah Persekutuan (meliputi Selangor dan Negeri Sembilan), Melaka, dan Johor[27];

4- Kohilal Letrik – Perniagaan barangan letrik secara perkongsian (mudharabah) antara Kohilal yang memberi modal dengan Kohilal Letrik yang mengusahakan perniagaan, dengan pengagihan keuntungan 50:50[28];

5- Pusat Perubatan Kohilal Sdn. Bhd. – Ia merupakan syarikat bersekutu Kohilal yang berkongsi niaga dengan Kohilal secara mudharabah dengan pengagihan keuntungan 50:50. Ia beroperasi di No.225, Jalan Ngeara 2, Taman Melawati, Kuala Lumpur;

6- Institut Teknologi Ibnu Sina (INTIS) – Ia merupakan perkongsian perniagaan secara mudharabah antara Kohilal yang memberi modal dengan Image Optima yang mengendalikan INTIS;

7- Skim-skim

a- Al-Qardhul Hasan – Bertujuan membantu dan menolong anggota-anggota mengatasi masalah yang mereka hadapi, sama ada di dalam pendidikan anggota atau anak-anak mereka, perbelanjaan sakit dan perubatan, kemalangan, perkahwinan sendiri atau anak-anak, bencana alam, menjelaskan baki hutang, bayaran sewa hasil  dan untuk kegunaan-kegunaan lain mengikut pertimbangan Anggota Lembaga[29];

b- Skim Mudharabah – Bertujuan membolehkan Kohilal menerima pembiayaan khas daripada anggota-anggota dalam sesuatu projek jangka pendek yang dijalankan oleh Kohilal sendiri. Antara lain, skim ini mempunyai pelaburan di Kanada berjumlah RM12 juta. Ketika ekonomi bagus, dividen pernah diberikan kepada ahli setinggi 11% dan dibayar setiap tiga bulan. Tetapi sejak Mei 2000, dividen tidak dapat diberikan kerana ekonomi  meleset. Skim ini sekarang dibekukan buat sementara[30];

c- Skim Murabahah – Bertujuan membiayai pembelian barangan yang berfaedah kepada anggota-anggota,  dengan pembiayaan maksima RM15,000 untuk ahli-ahli membeli kereta, motosikal dan alat-alat rumah. Skim ini juga sekarang dibekukan kerana kemelesetan ekonomi[31];

d- Skim Jualan Mudah (Juadah) – Bertujuan membantu anggota-anggota untuk membeli barangan keperluan seperti alat letrik, perabot, komputer dan lain-lain. Modal bagi melaksanakan aktiviti ini diperolehi dari caruman modal saham dan simpanan anggota mengikut kadar yang ditetapkan oleh Lembaga Kohilal dari masa ke semasa[32]; dan

e- Kaunter Al-Wadiah – Kaunter ini mengendalikan simpanan dan pengeluaran wang maksima RM500 secara on-line untuk ahli-ahli. Sekarang terdapat tiga Kaunter Al-Wadiah Kohilal, yakni di Kuala Lumpur, Kota Bharu dan Kuala Terengganu. Dengan kemudahan sistem on-line, anggota Kohilal seluruh Malaysia boleh membuat urusan simpanan dan pengeluaran wang di mana-mana kaunter ini.

8- Tabung-Tabung[33]

a- Tabung Infak Fisabilillah yang bertujuan mengumpul derma dari anggota Kohilal dan orang ramai, melabur dan memperniagakan sebahagiannya secara syariat, dan membantu dan menderma kepada sesiapa yang menjalankan aktiviti bersifat fisabilillah;

b- Tabung Hartanah yang bertujuan menabung dan menjalankan aktiviti-aktiviti perniagaan hartanah;

c- Tabung Takaful yang bertujuan menyediakan bantuan kewangan segera kepada keluarga peserta yang meninggal dunia dan membolehkan peserta mendapat pulangan atas wang Tabung yang diperniaga atau  dilaburkan;

d- Tabung Pendidikan Ummah yang bertujuan memberi biasiswa/dermasiswa, bantuan kewangan atau pinjaman kepada anggota atau anak anggota yang melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi. Tabung ini walaubagaimana pun telah dimansuhkan selaras dengan pindaan Aturan-Aturan pada tahun 1998 (Kohilal 199a:28)[34];

e- Tabung Umrah yang bertujuan menabung kewangan secara beransur-ansur, mendapat pulangan dari wang Tabung yang diperniaga atau dilaburkan dan mengadakan kursus dan latihan berkaitan dengan ibadah umrah kepada peserta skim;

f- Tabung (Skim) Mudharabah Sedekad (yang matang dalam masa 10 tahun) bertujuan membolehkan peserta mendapat pulangan atas wang Skim yang diperniaga atau dilaburkan.
 

Skim dan tabung-tabung ini secara umumnya meningkat dari tahun ke setahun. Begitu juga dengan nilai modal syer anggota-anggota. Modal syer anggota meningkat sebanyak 43.93% dari RM2,297,757.79 pada tahun 1998 kepada RM3,307,112.53 pada tahun 1999. Simpanan Am (Al-Wadiah) meningkat sebanyak 134.62% dari RM2,011,179.30 pada tahun 1998 kepada RM4,712,621.00 pada tahun 1999. Tabung Takaful bertambah sebanyak 1,623.63% dari RM26,525.00 pada tahun 1998 kepada RM457,192.97 pada tahun 1999. Tabung Pendidikan Ummah meningkat sebanyak 2,198.03% dari RM38,615.00 pada tahun 1998 kepada RM887,382.61 pada tahun 1999. Tabung Hartanah meningkat sebanyak 635.45% dari RM130,330.00 pada tahun 1998 kepada RM958,509.80 pada tahun 1999. Tabung Sedekad meningkat sebanyak 474.93% dari RM802,868.00 pada tahun 1998 kepada RM4,615,913.50 pada tahun 1999. Manakala Tabung Umrah pula meningkat sebanyak 359.71% dari RM172,356.68 pada tahun 1998 kepada RM792,342.08 pada tahun 1999.

Walaubagaimana pun, terdapat juga skim-skim Kohilal yang menurun. Simpanan Khas (Mudharabah) misalnya menurun sebanyak 72.06% dari RM11,624,994.90 pada tahun 1998 kepada RM3,247,981.47 pada tahun 1999 kerana Kohilal tidak melancarkan projek baru. Pembiayaan Skim Murabahah juga menurun dari RM909,855.91 pada tahun 1998 kepada RM416,534.64 pada tahun 1999. Begitu juga dengan pembiayaan Skim Al-Qardhul Hassan yang menurun dari RM187,882.39 pada tahun 1998 kepada RM82,536.79 pada tahun 1999. Bantuan Tabung Infak pula menurun dari RM104,866.18 pada tahun 1998 kepada RM74,992.00 pada tahun 1999 (Kohilal 1999a:51-55).

Selain dari aktiviti-aktiviti di atas, Kohilal juga mempunyai aset-aset seperti bangunan ibu pejabat Kohilal di Jalan Sarikei, Off Jalan Pahang, Kuala Lumpur, bangunan Pusat Perubatan Kohilal di Taman Melawati, Kuala Lumpur, bangunan Kilang di Batu Caves, Kuala Lumpur, bangunan tujuh tingkat di Taman Diamond, Setapak, Kuala Lumpur, bangunan tiga tingkat pejabat Kohilal cawangan Kelantan di Kota Bharu, Kelantan, bangunan empat tingkat di Kuala Terengganu, bangunan dua tingkat di Kulim, Kedah dan sebuah bangunan di Negeri Sembilan. Nilai kesemua aset ini dianggarkan berjumlah RM5 juta. Sebahagian aset ini dibeli melalui pembiayaan Bank Islam Malaysia Berhad manakala sebahagian lagi dibeli secara tunai. Yang dibeli secara pembiayaan bank ialah bangunan di Jalan Sarikei berjumlah RM500,000 yang telah selesai hutangnya, bangunan 7 tingkat di Diamond Square yang hutangnya masih berbaki RM2.5 juta dan bangunan di Taman Melawati yang hutangnya masih berbaki RM500,000. Bangunan-bangunan lain dibeli oleh Kohilal secara tunai (Kohilal 1999a:36). Sebahagian daripada aset ini disewakan kepada subsidiari atau syarikat besekutu Kohilal. Umpamanya, dalam tahun 1999, sebahagian bangunan di Jalan Sarikei disewakan kepada Kohilal Letrik Sdn. Bhd. dengan nilai sewaan RM1,500 sebulan. Bangunan di Kota Bharu disewakan kepada Kohilal Edar Kelantan dengan nilai sewaan RM1,000 sebulan. Bangunan di Kuala Terengganu disewakan kepada Kohilal Edar Terengganu (masih dalam tahap  perintis). Manakala bangunan di Taman Melawati pula disewakan kepada Pusat Perubatan Kohilal dengan nilai sewaan RM6,000 sebulan (Kohilal 1999a:36).
 

Koperasi Islah Malaysia Berhad (KIMB)

KIMB setakat ini mempunyai lima aktiviti yang kesemuanya berkisar kepada kewangan (insuran, pembiayaan dan pelaburan). Aktiviti-aktiviti itu ialah seperti berikut[35]:

1- Takaful kenderaan (menjadi agen Takaful Nasional);
2- Skim Takaful Kelompok (menjadi agen Takaful Nasional);
3- Pembiayaan Perniagaan, terutamanya untuk membeli peralatan perniagaan dengan menggunakan prinsip Bai’ Bithamin Ajil;
4- Pembiayaan motosikal, buku, peralatan elektrik dan komputer dengan nilai maksima RM4,000 menggunakan prinsip Bai’ Bithamin Ajil; dan
5- Pelaburan Saham terpilih.

Selain dari itu KIMB juga mempunyai modal syer dan tabung-tabung seperti deposit al-wadiah, tabung khairat, tabung fisabilillah, dan tabung pendidikan. Dari setahun ke setahun, secara umumnya kesemuanya meningkat, terutamanya kerana meningkatnya bilangan anggota. Misalnya model syer anggota KIMB meningkat dari RM88,336.00 pada tahun 1995 ke RM116,302.22 pada tahun 1996, RM135,896.59 pada tahun 1997, RM147,391.59 pada tahun 1998 dan RM193,080.59 pada tahun 1999. Deposit al-wadiah pula meningkat dari RM87,160.05 pada tahun 1995 ke RM98,663.41 pada tahun 1996, RM119,430.14 pada tahun 1997, RM122,045.79 pada tahun 1998 dan RM141,231.29 pada tahun 1999. Tabung khairat meningkat dari RM5,691.00 pada tahun 1995 ke RM8,487.50 pada tahun 1996, RM10,678.24 pada tahun 1997, RM12,730.24 pada tahun 1998 dan RM16,562.24 pada tahun 1999. Tabung fisabilillah meningkat dari RM7,130.47 pada tahun 1995 ke RM10,423.43 pada tahun 1996, RM12,925.33 pada tahun 1997, RM15,051.60 pada tahun 1998 dan RM16,395.35 pada tahun 1999. Tabung pendidikan pula meningkat dari RM202.00 pada tahun 1995 ke RM1,170.84 pada tahun 1996, RM2,471.35 pada tahun 1997, RM3,489.52 pada tahun 1998 dan RM6,241.97 pada tahun 1999 (KIMB 2000:22-24).

Namun begitu, perbelanjaan keseluruhan KIMB setiap tahun sentiasa melebihi pendapatan. Pada tahun 1995, pendapatan KIMB hanya RM33,581.61 manakala perbelanjaan ialah RM37,966.04. Pada tahun 1996 pendapatan ialah RM45,808.78 manakala perbelanjaan ialah RM59,306.39. Pada tahun 1997 pendapatan  KIMB ialah RM16,750.54 manakala perbelanjaan ialah RM38,968.71. Pada tahun 1998 pendapatan ialah RM24,650.40 manakala perbelanjaan ialah RM32,588.54. Pada tahun 1999 pendapatan ialah RM19,658.03 manakala perbelanjaan ialah RM34,658.64 (KIMB 2000:25). Bagi tahun 1999 ini, peningkatan perbelanjaan dikatakan berlaku dengan tinggi akibat dari pengambilkiraan rosotnilai saham sebagaimana dinasihatkan oleh juruaudit. Peruntukan rosotnilai yang berjumlah RM79,800 telah mengakibatkan perbelanjaan meningkat kepada RM114,458.64. Sekiranya rosotnilai tersebut tidak diambilkira, kos perbelanjaan operasi hanya meningkat sebanyak 6% iaitu RM34,658.64. Ini mengakibatkan kerugian bersih sebanyak RM15,000.61. Selain dari itu, komisyen takaful yang merupakan pendapatan utama KIMB juga merosot kepada RM12,428.89, manakala  pada tahun 1999 juga, tiada dividen diterima dari pelaburan saham (KIMB 2000:25). 
 

Rufaqa` Corporation (Rufaqa’)

Secara keseluruhannya, Rufaqa’ Corporation mempunyai sejumlah 250 rangkaian perniagaan di dalam dan di luar negara. Perniagaan Rufaqa’ di dalam negara tertumpu di Rawang Country Home, manakala perniagaannya di luar negara tertumpu di Indonesia dan dijalankan oleh rakan kongsinya Hawariyun Group of Companies. Di negara-negara lain seperti di Singapura, Brunei, Thailand, Australia, Jerman, Jordan, Uzbekistan, Jepun dan lain-lain negara Rufaqa’ menjalankan perniagaannya atas nama Zumalah Sdn. Bhd., yakni syarikat perkongsian antara Rufaqa` (51%) dengan Hawariyun Group of Companies (49%) (Thamo, 2001:1-2, 22-23). Di Rawang Country Home Rufaqa’ mempunyai 23 bentuk perniagaan. Perniagaan-perniagaan itu ialah seperti berikut:

1- Kedai Borong
2- Kedai Dobi
3- Kedai Makanan Beku (frozen)
4- Cafeteria
5- Butik
6- Pusat Khidmat Masyarakat
7- Catering
8- Cybercafe dan Pusat Sumber
9- Pusat Motivasi
10- Klinik Kesihatan
11-  Rufaqa’ Technology
12- Kedai Kek
13- Kedai Perabut
14- Penerbitan Minda
15- Bengkel (elektrik, pertukangan, dan welding)
16- Pejabat Pentadbiran Pendidikan
17- Yayasan Kebajikan dan Perubatan Malaysia
18- Kedai Bai`ah (kedai pakaian second-hand)
19- Hypermarket
20- Pasaraya
21- Kedai Buku dan Alat Tulis
22- Pejabat Guaman (Murshidah & Kartini & Co), dan
23- Reqal Travel and Tours
 

Usaha perniagaan ini bermula lebih kurang tiga tahun selepas Al-Arqam diharamkan. Ia terpaksa dimulakan dari kosong kerana segala aset perniagaan Al-Arqam dahulu telah hilang dan musnah apabila Al-Arqam diharamkan.  Ia juga diusahakan dalam keadaan Ustaz Ashaari Muhammad masih dalam tahanan daerah dan tidak boleh bercakap kerana mengalami penyakit kancing gigi. Negara juga pada ketika itu sedang mengalami kemelesetan ekonomi. Tetapi hasil dari usaha dan keberkesanan kaedah yang dipakai (yang akan dibincangkan kemudian), Rufaqa’ telah mewarnai sebahagian Bandar Country Home di Rawang itu dengan perniagaan Islam, walaupun penduduknya hanya 40% beragama Islam dan 60% lagi bukan-Islam. Bandar Country Home seolah-olah menjadi Sungei Pencala kedua, tetapi lebih menjejak kepada realiti masyarakat majmuk dan tidak tertutup seperti Sungei Pencala pertama dahulu. Kerana keupayaan Rufaqa’ menjana perniagaan sebegitu rupa, Buletin Utama menganggap ianya sebagai sesuatu yang luarbiasa hingga menggelarkan perniagaan Rufaqa’ sebagai perniagaan role model dan Ustaz Ashaari Muhammad sebagai `jutawan alaf baru paling berwibawa dekad ini’ (Thamo 2001:2).
 

PERKAEDAHAN PERNIAGAAN GERAKAN ISLAM DI MALAYSIA

Pada asasnya perniagaan Islam, seperti juga semua aktiviti kehidupan yang lain, mesti direalisasikan melalui dua kaedah, yakni melalui kaedah taqwa dan kaedah quwwah. Kaedah taqwa bererti kaedah yang menggunakan  iman yang tinggi dan hubungan dengan Allah SWT yang kuat. Dengan itu Allah SWT akan sentiasa memandu dan mengurniakan bantuan kerana Allah SWT berjanji akan membantu orang-orang yang bertaqwa. Perniagaan Islam bukan sahaja mesti didokong oleh mereka yang tinggi taqwanya, tetapi juga mesti dijadikan alat untuk mendapat taqwa. Kaedah quwwah pula ialah kaedah yang menggunakan sistem, teknik, strategi dan peralatan yang kemas dan sistematik. Dengan kemas dan sistematiknya perkara-perkara ini, sesuatu perniagaan boleh berjalan dengan licin dan lancar. Dengan perkataan lain, kaedah taqwa adalah kaedah menggunakan kekuatan rohaniah, manakala kaedah quwwah pula adalah kaedah menggunakan kekuatan lahiriah. Perniagaan Islam mesti menggunakan kedua-dua kaedah ini; kaedah rohaniah melalui kekuatan iman dan taqwa, dan kaedah lahiriah melalui kekuatan quwwah, yakni kekuatan sistem, teknik, strategi dan peralatan.

Di kalangan kebanyakan perniagaan gerakan-gerakan Islam di Malaysia, khususnya KBI, Kohilal dan KIMB, penekanan nampaknya lebih tertumpu kepada kaedah kedua, yakni kaedah lahiriah, atau kaedah quwwah. Ini tergambar bukan sahaja di dalam persepsi mereka terhadap permasalahan perniagaan, tetapi juga di dalam mencari penyelesaian terhadap permasalahan perniagaan tersebut.

KIMB misalnya, sebagaimana dikenalpasti oleh Pengerusi dan Anggota Lembaga Pengarah sessi 1995/96nya, dikatakan menghadapi masalah kekurangan sumber kewangan dan tenaga kerja mahir, pembekuan lesen perniagaan daripada pihak berkuasa, kekurangan tahap kepakaran yang tinggi dan risiko pelaburan yang terlalu tinggi (KIMB 1995:4, 24). Anggota Lembaga KIMB sessi 1997 berikutnya juga mengulangi tentang masalah sumber kewangan yang terhad, sumber tenaga kerja yang terbatas, dan risiko pelaburan yang terlalu tinggi kerana kegawatan ekonomi sebagai masalah utama (KIMB 1997b). Kerana halangan-halangan inilah dikatakan projek-projek seperti hartanah, pelaburan saham siarharga, agensi pengembaraan dan pelancongan, klinik awam dan bersalin, perniagaan jualbeli kenderaan, penerbitan dan percetakan, stesyen minyak dan industri perkilangan terpaksa ditangguhkan (KIMB 1995:24, KIMB 1997b:21). Di samping itu, walaupun sudah berusia lapan tahun, budaya dan perkongsian di kalangan anggota KIMB juga dirasakan masih berada di tahap sederhana sehingga menyebabkan prestasi KIMB menjadi “slow to take-off” (Wan Mohamad Wan Sulong 2000:140-141).  Persepsi KBI dan Kohilal terhadap permasalahan perniagaan mereka juga berkisar kepada faktor-faktor yang lebih kurang sama dengan persepsi KIMB ini[36].

Untuk menjayakan perniagaannya pula, KIMB misalnya yakin bahawa penekanan terhadap perkara-perkara berikut adalah penting (Wan Mohamad Wan Sulong 2000:138-139):

1- Memastikan ada hubungan langsung antara JIM dan KIMB dari segi organisasi dan perjalananan KIMB menurut Undang-Undang Koperasi. Hubungan ini adalah melalui perlantikan dua orang wakil KIMB di setiap negeri, sebaik-baiknya di kalangan AJK JIM Negeri; 
2- Memperkemaskan pengurusan, strategi jangkamasa pendek, pertengahan dan panjang, pengkalan data keahlian, status ahli aktif, status caruman, prestasi dan kekukuhan kewangan, audit, bidang pelaburan dan perniagaan, penglibatan projek, dan sokongan ahli. Setakat Ogos 2000, dikatakan hanya terdapat 1,325 orang ahli KIMB berbanding dengan lebih kurang 6,000 orang ahli JIM. Ahli aktif hanya 30%, yakni 395 orang; dan
3- Meningkatkan komitmen dan keyakinan anggota terhadap KIMB. Apabila keyakinan diperolehi, dipercayai projek-projek datang mencurah-curah hingga ada yang terpaksa ditolak dan anggota baru hanya diterima berdasarkan kualiti, bukan kuantiti lagi. Keyakinan ahli boleh dibuat melalui jaminan masa depan yang cemerlang, sekurang-kurangnya melalui pengagihan dividen. Pentingnya komitmen dan keyakinan anggota terhadap Koperasi juga diyakini Pengerusi Kohilal Senator Ustaz Haji Hassan Shukri dan Pengerusi Koperasi Muslim Tuan Haji Mokhtar ((Wan Mohamad Wan Sulong 2000:138-139).

Nada yang sama juga tergambar di dalam penulisan seorang Ahli Jawatankuasa Pusat JIM yang memikirkan bagaimana mahu menjadikan JIM sebagai `economic powerhouse’. AJK Pusat JIM ini menekankan kepada bukan sahaja modal, tetapi juga visi, kemahiran pengurusan, dan kemampuan perniagaan (business aptitude) yang meliputi kesanggupan berhadapan dengan risiko, waspada terhadap kos, dan kebolehan untuk melihat gambaran yang besar. Selain itu, disebutkan juga tentang ukhwah, tetapi definisinya lebih berunsurkan quwwah, sesuai dengan persoalan ekonomi yang dibincangkannya. Baginya ukhwah bererti jaringan di kalangan anggota, melampaui dari hanya mengenali nama dan nombor talipon. Lebih penting dari itu ialah memahami kekuatan dan kelemahan anggota agar kelemahan dapat diatasi dan kekuatan dapat digunakan sepenuhnya (Ahmad Sodikin Kasimin and KKUJ Central Committees, 2000:156-157).

Selanjutnya, di dalam memulakan aktiviti, dicadangkan tumpuan utama diberikan kepada beberapa perkara yang juga berunsur lahiriah, antaranya seperti berikut (Ahmad Sodikin Kasimin and KKUJ Central Committees, 2000:162):

1- Mengenalpasti aktiviti perniagaan yang sedia ada, sama ada di dalam atau di luar, kepakaran yang sedia ada, dan di mana dan bagaimana duit biasanya digunakan. Dari sini boleh dibeli barangan yang diperlukan anggota secara borong dan menjualnya kepada mereka dengan keuntungan;
2- Mengenalpasti sumber modal yang sedia ada dan membentuk kaedah memungut kewangan dari anggota dengan memberikan pulangan[37]; dan
3- Mengenalpasti komposisi anggota JIM (gender, umur, kawasan, profesion, kuasa beli dan minat) dan memperbaikkan ukhwah melalui jaringan.
 

Penekanan terhadap ketiga-tiga perkara di atas berkisar kepada dua hal utama. Pertama, kekemasan organisasi dan kedua, pulangan kepada anggota. Inilah yang dirasakan faktor utama yang boleh membawa kejayaan  ekonomi JIM, terutamanya melalui KIMB. Di samping itu diyakini juga bahawa apabila JIM atau KIMB mempunyai perniagaan yang menguntungkan dan ada rekod yang baik, anggota-anggota JIM akan dengan mudah tertarik untuk melabur di dalam perniaagan JIM, khususnya melalui KIMB.

Selain itu, Pengerusi Lembaga KIMB percaya bahawa untuk menjayakan lagi KIMB, khususnya bagi sessi 2000/2001, perlu di atur rancangan-rancangan perniagaan seperti berikut (Wan Mohamad Wan Sulong 2000:140-141):

1- Konsep dan Strategi

a- Mengembalikan keyakinan kepada ahli;
b- Memaksimumkan dana daripada pasaran captive;
c- Meningkatkan bisnes semasa iaitu takaful kenderaan dan pembiayaan projek; dan
d- Meningkatkan faedah dan perkhidmatan kepada ahli.

2- Rancangan Bertindak

a- Menambahkan caruman ahli di kalangan AJK JIM, ahli JIM dan rakan JIM;
b- Meningkatkan bisnes takaful kenderaan dan pembiayaan projek-projek;
c- Sasaran keuntungan yang munasabah pada tahun 2000 dan 2001;
d- Menambahkan kakitangan KIMB dengan memperolehi seorang pengurus sepenuh masa sebelum akhir tahun  ini (setakat ini hanya ada seorang kakitangan pentadbiran sepenuh masa sahaja); dan
e- Menguruskan dana bagi pelaburan yang berfaedah seperti memantau projek-projek pembiayaan, skim Bai` Bithamin Ajil, mengkaji kemungkinan penglibatan KIMB dalam tadika dan umrah.
 

Kesemua persepsi terhadap masalah perniagaan dan bagaimana ianya dapat diselesaikan agar perniagaan dapat dimajukan ini banyak menggambarkan penekanan yang kuat terhadap kekuatan quwwah. Di samping itu memang ada juga sebut-sebutan terhadap hal-hal kerohaniah, tetapi penekanannya agak kurang berbanding dengan penekanan terhadap kekuatan quwwah tadi. Umpamanya, KIMB, atau JIM khususnya, ada juga menekankan kepada hubungan dengan Allah SWT, tetapi dengan menghubungkannya juga dengan kekuatan quwwah.  Pertama dikatakan bahawa sesetengah orang menyumbang duit kerana Allah SWT, tetapi kebanyakan orang adalah kerana Allah SWT dan diri sendiri. Oleh itu dalam melaksanakan sesuatu projek, kenalah ada kontrak dan perjanjian tertulis. Kedua, dikatakan juga bahawa manusia boleh merancang tetapi yang menentukannya ialah  Allah SWT. Allah SWT tidak akan mungkir janji sekiranya perancangan diatur secara profesional dan kemas, dan berdoa untuk mendapatkan panduan dari-Nya (Ahmad Sodikin Kasimin and KKUJ Central Committees, 2000:156-157). 

Selain KIMB, KBI juga percaya bahawa bila kena caranya, berlaku campurtangan Allah SWT (divine intervention) di dalam perniagaan mereka. Hal ini berlaku khususnya di dalam usaha KBI membangunkan tanah seluas 150 ekar di Sungei Tangkas. Pada mulanya ada dua syarikat yang berminat tetapi kemudiannya menarik diri. Dalam masalah itu, tiba-tiba muncul satu syarikat kepunyaan Cina bernama Bidari yang menawarkan perkongsian mereka kerana percaya dan senang dengan imej ABIM dan KBI. Perkara yang tidak disangka-sangka ini dikatakan berlaku apabila pimpinan KBI berbaik sangka dengan Allah SWT, bertawakkal dan berharap kepada Allah SWT. Sekarang projek yang dinamakan Sibertel (sebagai asrama pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia dan institusi-institusi di sekelilingnya) ini berjalan lancar dengan segala urusan dikendalikan secara Islam[38].

Seperti juga KIMB dan KBI, Kohilal juga percaya bahawa hubungan dengan Allah SWT dan bantuan-Nya adalah sangat penting. Hal ini dialami sendiri oleh Kohilal. Pada akhir tahun 2000, Kohilal menghadapi masalah kewangan kerana ramai anggota-anggotanya tidak membayar yuran dan hutang. Kakitangan Kohilal membuat sembahyang hajat, membaca Surah Yaasin dan mendirikan sembahyang berjemaah setiap malam Jumaat selama sebulan. Hasilnya, tiba-tiba hutang dan yuran dibayar oleh anggota-anggotanya hingga kutipannya meningkat  dalam jangka masa selepas itu[39].

Sebagai pejuang Islam, keyakinan kepada bantuan Allah SWT dan pengalaman serta kesedaran terhadap pentingnya faktor kerohanian ini pasti sekali ada di kalangan kakitangan dan anggota ketiga-tiga perniagaan gerakan Islam ini. Namun begitu mereka tidak mempunyai program khusus yang sistematik dan istiqamah untuk mencapai kekuatan kerohanian tersebut. Yang ada hanya berbentuk berkala dan bergantung kepada program-program yang dianjurkan oleh organisasi induk masing-masing. Kakitangan KBI misalnya, kerana hampir tidak mempunyai program sendiri, menggunakan beberapa aktiviti pengajian yang dianjurkan ABIM untuk memantapkan pengisian kerohanian mereka. Setiap hari Isnin mereka mengikuti Majlis Iltizam Mingguan ABIM bersama dengan kakitangan Institut Pengajian Ilmu-Ilmu Islam (IPI) dan Dewan Pustaka Islam. Dua minggu sekali pada hari Selasa, pimpinan KBI dan IPI turut serta di dalam Usrah Dwi-Mingguan bersama dengan kepimpinan ABIM[40]. Sekali sekala mereka mengikuti ceramah-ceramah dan majlis-majlis lain seperti qiamulail dan sebagainya yang dianjurkan ABIM. Namun begitu, kakitangan KBI sendiri sedar bahawa program-program ini belum mencukupi untuk mengukuhkan kekuatan kerohanian mereka[41]

Seperti kakitangan KBI, kakitangan dan anggota-anggota Kohilal juga bergantung kepada program-program  yang dianjurkan oleh organisasi induknya, PAS. Kohilal sendiri tidak mempunyai apa-apa program yang khusus dan istiqamah, kecuali sekali sekala yang dianjurkan oleh Badan Kebajikan Kakitangan Kohilal dalam bentuk ceramah, kuliah, aktiviti sembahyang hajat, berbuka puasa dan sebagainya[42]. Keadaan sedemikian juga berlaku di kalangan anggota KIMB. Program-program yang ada hanyalah apa yang dianjurkan JIM sama ada dalam bentuk usrah, tarbiyyah dan sebagainya. Pimpinan KIMB sendiri merasakan program-program sebegini tidak  perlu diadakan di peringkat KIMB kerana KIMB setakat ini harus memberi fokus kepada muamalat dan khidmat kepada anggota, walaupun mereka sendiri juga mengakui bahawa kesan dari program-program JIM adalah masih agak kabur[43].

Perkaedahan dalam ketiga-tiga perniagaan gerakan Islam ini agak berbeza dari perkaedahan Rufaqa’. Dari empat perniagaan gerakan Islam yang dikaji, Rufaqa’ merupakan satu-satunya perniagaan yang menekankan kepada kekuatan rohaniah secara sistematik dan istiqamah, di samping tidak mengabaikan penekanan terhadap hal-ehwal quwwah. Apabila Ustaz Ashaari Muhammad mahu memulakan perniagaan Rufaqa’nya, perkara pertama yang dilakukannya ialah memperbetulkan sembahyang bakal-bakal pekerjanya, terutama ahli-ahli keluarganya sendiri. Baginya sembahyang merupakan tiang seri dan ibadah yang utama dari segala jenis ibadah. Ia merupakan wadah untuk menimbulkan rasa dilihat, rasa didengar, rasa diketahui lubuk hati, rasa takut, rasa gerun, rasa bimbang, rasa cemas, rasa gementar, rasa mengharap dan rasa rindu kepada Allah SWT. Dengan rasa-rasa yang demikian,  maka akan lahir rasa kehambaan yang mendalam kepada Allah SWT dan terbakarlah segala sifat terkeji (mazmumah) seperti sombong, tamak, bakhil, hasad, dendam, riya’, ujub, sumaah, cinta dunia, pemarah dan sebagainya. Dengan adanya rasa kehambaan kepada Allah SWT dan hancurnya mazmumah, maka diyakini akan terbinalah peribadi agung yang akan membangunkan tamadun dan menggemilangkan ummah secara harmoni. Bangsa-bangsa lain diyakini akan bernaung di bawah peribadi-peribadi agung ini kerana peribadi-peribadi agung ini dinaungi Allah SWT. Rufaqa’ merujuk kepada Hadith riwayat Al-Hakim yang bermaksud:

Barangsiapa memperbaiki hubungannya dengan Allah maka Allah akan menyempurnakan hubungannya dengan manusia. Barangsiapa memperbaiki apa yang dirahsiakannya maka Allah akan memperbaiki apa yang dilahirkannya (terang-terangan)[44].
 

Selepas itu Ustaz Ashaari Muhammad mewajibkan semua bakal pekerjanya mendirikan sembahyang tahajjud dan menghayati sifat-sifat terpuji (mahmudah) seperti berkasih sayang, bermaaf-maafan, pemurah, penyabar, menolong orang miskin dan sebagainya. Beliau sendiri banyak bersedekah kerana dengan bersedekah itu diyakini Allah SWT akan menambahkan rezeki yang bercabang-cabang banyaknya yang kemudiannya antara lain boleh dijadikan modal untuk memulakan perniagaannya. Setiap hari selepas subuh Ustaz Ashaari Muhammad bermuzakarah dengan bakal-bakal pekerjanya, agar dari situ makin mendalamlah rasa kehambaan kepada Allah SWT, makin musnahlah sifat-sifat mazmuumah, makin bertambahlah sifat-sifat mahmudah dan makin terbinalah iman dan taqwa.

Bagi Ustaz Ashaari Muhammad, kekuatan kerohanian ini sangat penting kerana ia merupakan 90% dari seluruh kekuatan perniagaan, manakala kekuatan quwwah hanyalah 10%. Secara urutan keutamaan, beliau membahagikan kekuatan sesuatu organisasi itu kepada empat perkara, yakni pertama iman dan taqwa, kedua ukhwah Islamiah[45], ketiga keselarasan dan kefahaman, dan keempat kewangan. Dari empat kekuatan ini, tergambar bahawa yang paling dipentingkan ialah kekuatan kerohanian atau hablumminallah, kekuatan ikatan dengan Allah SWT. Kedua ialah kekuatan hablumminannas, kekuatan ikatan sesama manusia, terutamanya  sesama kakitangan dan pekerja Rufaqa’ sendiri. Ketiga ialah kekuatan teknikal, kekuatan memahami falsafah, kaedah dan halatuju perniagaan secara selaras. Dan keempat barulah kekuatan modal.

Berdasarkan kepada perkaedahan kekuatan ini, Ustaz Ashaari Muhammad berpegang kepada prinsip bahawa sesuatu perniagaan tidak boleh dimulakan walaupun telah terkumpul modal dengan banyaknya, selagi bakal kakitangan dan pekerjanya tidak mempunyai iman dan taqwa, tidak mempunyai rasa ukhwah dan tidak  memahami falsafah, kaedah dan halatuju perniagaan secara selaras. Sebaliknya, jika iman, ukhwah dan keselarasan telah wujud, perniagaan akan dilancarkan walaupun tanpa modal yang terkumpul. Bagi Ustaz Ashaari Muhammad, wujudnya iman, ukhwah dan keselarasan ertinya wujudlah kepatuhan kepada Allah SWT, wujudlah sifat amanah, jujur dan sifat-sifat mahmudah yang lain, yang boleh menjadi sebab Allah SWT mengirimkan bantuan dan mengurniakan apa yang diminta, termasuk modal dan kejayaan perniagaan, kadangkala secara tidak disangka-sangka[46]. Ustaz Ashaari Muhammad berpegang kuat kepada firman Allah SWT yang bermaksud:

"…Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu " (Ath-Thalaaq 65:2-3).
 

Perkara inilah yang menjadi rahsia utama Rufaqa` membangunkan perniagaannya. Di dalam tabloid bulanannya, Dunia `Alim (Mac 2001:9), ia berkata begini:

Apa rahsia membangunkan ekonomi? Rahsianya, Tuhan itu sandaran. Tuhan itulah bank. Jadi tidak perlu pinjam pada bank yang ada. Ertinya tidak perlu berhutang. Perkara pertama, betulkan  sembahyang. Projek ekonomi dibangunkan bila insaniahnya selesai, bukan bila ada duit. Katalah sudah ada orang-orangnya yang mempunyai kebolehan di bidang tersebut, duit pun sudah ada, tapi insaniah orang yang hendak melaksanakan projek itu tidak selesai, maka lebih baik tidak usah mulakan projek dahulu. Sebaliknya kalau insaniahnya selesai, projek sudah boleh dibuat. Walau duit tidak ada, buat juga. InsyaAllah, Tuhan akan buka jalan-jalan untuk dapat duit. Jadi duit bukanlah masalah utama. Namun sedikit sekali orang yang mahu menyambut tawaran Tuhan ini[47].
 

Kerana kekuatan kerohanian menjadi punca kepada bantuan Allah SWT, maka dalam apa jua projek perniagaan, Rufaqa’ tidak meminggirkan Allah SWT. Apabila masuk waktu sembahyang, kakitangan dan pekerja Rufaqa` meninggalkan apa jua kerja agar dapat mendirikan sembahyang secara berjemaah tepat pada waktunya. Bagi Rufaqa`, perbuatan begini bererti mereka meninggalkan kerja kecil untuk membuat kerja yang lebih besar, yakni membesarkan Allah SWT. Dan apabila mereka kembali membuat kerja, mereka percaya bantuan Allah SWT akan sampai kepada mereka. Di samping itu, setiap kali selepas sembahyang, mereka berzikir, bertaubat dan mengerjakan sujud syukur. Setiap malam, mereka bangun bertahajjud. Setiap hari selepas subuh, mereka bermuzakarah dengan pelbagai lapisan kakitangan dan pekerja. Dua kali seminggu, yakni pada malam Jumaat dan malam Isnin, mereka mengadakan tahlil. Setiap kali sesuatu projek mereka tidak laju, mereka bertaubat kerana yakin bahawa dosa merekalah, walaupun umpamanya hanya dengan pergaulan bebas lelaki perempuan, yang menghalang kelajuan projek itu. Bertaubat diyakini dapat mengangkat hijab antara mereka dengan Allah SWT dan oleh itu bantuan Allah SWT pun diyakini akan sampai[48]. Rufaqa` sentiasa merujuk kepada pertolongan Allah SWT terhadap tentera Salehuddin Al-Ayubi yang menggunakan malam untuk beribadah kepada Allah SWT sama ada dengan bertaubat, membaca Al-Qur`an, bersembahyang sunat, berzikir, bermunajat dengan Allah SWT dan sebagainya sehingga mereka dikurniakan kemenangan di medan perang. Rufaqa’ juga menekankan kepada suruhan Allah SWT dan peringatan Rasulullah s.a.w. supaya takutkan Allah SWT, sentiasa memohon ampun dari Allah SWT, bersabar dan tetapkan pendirian.

Rufaqa’ sangat-sangat menekankan kepada amalan-amalan kerohanian yang istiqamah begini kerana percaya bahawa faktor-faktor maknawiyah inilah yang menjadi kekuatan asas kepada perniagaan mereka, bukan faktor-faktor lahiriah semata-mata. Dengan penekanan terhadap kekuatan kerohanian ini, apa sahaja yang berlaku akan menjadi alat untuk meniliki diri sendiri (muhasabah) dan meniliki hubungan diri mereka dengan Allah SWT (hablumminallah). Apabila kedua-dua hal ini selesai, barulah diteliti jalan penyelesaiannya. Umpamanya, kalau mereka mengalami kerugian di dalam perniagaan, perkara pertama yang ditanya ialah apakah dosa mereka dan bagaimanakah hubungan mereka dengan Allah SWT sehingga Allah SWT timpakan kerugian itu. Mereka akan bertaubat dan memperkuatkan kembali hubungan mereka dengan Allah SWT. Kemudian baru difikirkan kaedah-kaedah bagaimana kerugian itu dapat diatasi. Perkiraan terhadap kaedah-kaedah mengatasi kerugian ini dibuat dalam keadaan hati yang telah tenang kerana kekusutan perhubungan dengan Allah SWT telah selesai. Kerana Allah SWT diletakkan di hadapan, penyelesaian terhadap masalah-masalah begini biasanya dapat diselesaikan dengan mudah[49].

Penekanan terhadap kekuatan kerohanian ini adalah berdasarkan kepada keyakinan Ustaz Ashaari Muhammad bahawa terdapat dua bentuk usaha di dalam merealisasikan perniagaan. Pertama ialah usaha lahir dan kedua ialah usaha bathin. Usaha lahir itu ada pada kedua-dua orang Islam dan bukan Islam, seperti usaha untuk mendapatkan kekuatan aset-aset, tenaga, modal, alat-alat yang canggih dan sebagainya. Manakala usaha bathin pula adalah untuk orang Islam sahaja. Ertinya Allah SWT membuka satu lagi jalan bagi orang-orang Islam, yakni melalui jalan iman dan taqwa. Oleh kerana usaha bathin menjamin pertolongan Allah SWT, maka bagi orang Islam, usaha bathin mesti ditumpukan sehingga 90%, manakala usaha lahir patut ditumpukan hanya sekadar 10% sahaja. Kalau tumpuan hanya diberikan kepada usaha lahir sahaja dan melupakan kepada usaha bathin, maknanya mereka  hanya menumpukan kepada hanya 10% kekuatan sahaja, itu pun kalau tidak ada halangan apa-apa. Kalau ada halangan dan kekangan, kekuatan lahiriah ini akan menjadi kurang dari 10%. Dengan kekuatan yang sebegitu sedikit, Ustaz Ashaari Muhammad berpendapat tidak mungkin orang-orang Islam akan berjaya di dalam perniagaan mereka, apatah lagi mahu mengatasi peniaga-peniaga bukan Islam[50].

Malah Ustaz Ashaari Muhammad berkeyakinan bahawa selama ini kebanyakan usahawan-usahawan Muslim di Malaysia gagal kerana bantuan lahiriah yang sedikit ini pun diberikan secara berlebihan dari yang benar-benar diperlukan. Oleh itu usahawan-usahawan ini mengunakannya dengan agak berlebihan untuk benda-benda lain, umpamanya untuk menghias pejabat, membeli kenderaan mewah dan sebagainya hingga seringnya kehabisan modal untuk membuat perniagaan[51]. Sifat membantu secara berlebihan ini agak berbeza dengan apa yang dilakukan Rasulullah s.a.w. Mengikut sebuah hadith, apabila datang seorang miskin Ansar meminta sesuatu dari Rasulullah s.a.w., Baginda s.a.w. membelikan kapak untuk orang Ansar itu hasil dari jualan tikar dan cawan kepunyaan orang Ansar itu sendiri agar dengan kapak itu orang Ansar tersebut boleh mencari rezeki secara berdikari. Secara terperinci, Hadith riwayat Anas r.a. tersebut berbunyi begini:

Telah meriwayatkan bahawa seorang lelaki Ansar telah datang menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta sesuatu darinya. Rasulullah s.a.w. telah bertanya kepadanya: “Betulkah tiada apa-apa di rumah kamu?” Lelaki itu menjawab: “Ya, terdapat sebuah beg dari kain tarpal, sebahagiannya aku pakai dan  sebahagian lagi aku hamparkan sebagai tempat aku tidur dan sebiji cawan yang aku gunakan untuk minum”. Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Bawalah kedua-dua barang itu kepadaku”. Lelaki Ansar itu pun membawa kedua-dua barang itu kepada Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w. pun mengambilnya dan bersabda: “Siapakah yang akan membeli kedua-dua barang ini untukku?” Seorang lelaki menjawab: “Aku akan membeli kedua-duanya dengan satu dirham”. Rasulullah s.a.w. telah bertanya sebanyak dua kali atau tiga kali. Kemudian Baginda s.a.w. pun bersabda: “Siapakah yang membeli dengan harga yang lebih tinggi?” Akhirnya seorang lelaki telah berkata: “Aku akan membeli kedua-duanya dengan harga dua dirham”. Oleh yang demikian, Rasulullah s.a.w. telah memberikan kedua-dua barang itu kepada  lelaki tersebut dan memberikan wang dua dirham itu kepada lelaki Ansar tersebut seraya bersabda kepadanya: “Ambillah wang ini; satu dirham hendaklah kamu gunakan untuk membeli makanan untuk keluargamu dan satu dirham lagi gunakanlah ia untuk membeli sebilah kapak kemudian datanglah kepadaku”. Tidak lama selepas itu, lelaki Ansar itu pun datang menemui Rasulullah s.a.w. dengan membawa sebilah kapak. Rasulullah s.a.w. pun mengambil kapak itu dan dengan tangan Baginda s.a.w. yang berkat itu, beliau memasang hulu bagi kapak itu dan bersabda kepada lelaki Ansar tersebut: “Pergilah, kamu gunakanlah kapak ini untuk memotong kayu dan juallah kayu yang telah kamu potong itu. Janganlah menemuiku untuk selama lima belas hari”. Lelaki Ansar itu telah melakukan sebagaimana yang telah disuruh oleh Rasulullah s.a.w. Selepas lima belas hari beliau pun datang menemui Rasulullah s.a.w. dengan membawa sepuluh dirham. Sebahagian wang itu telah digunakannya untuk membeli pakaian dan sebahagian lagi telah digunakannya untuk membeli makanan. Rasulullah s.a.w. telah bersabda kepada lelaki Ansar itu: “Ini adalah lebih baik bagi kamu dari kamu datang pada hari kiamat dengan tanda di mukamu yang menandakan kamu adalah seorang peminta sedekah”.[52]
 

Dari Hadith di atas ada beberapa kesimpulan yang boleh dibuat. Pertama, Rasulullah s.a.w. menyuruh orang  Ansar ini bekerja kerana kemiskinannya telah membawa beliau meminta-minta agar di hari kiamat nanti terelak beliau dari mempunyai tanda peminta sedekah di mukanya. Kedua, Rasulullah s.a.w. tidak membantunya untuk jangka masa pendek, tetapi sebaliknya memberikan kapak sebagai alat untuk beliau bekerja dan mencari rezeki secara berdikari untuk jangka masa panjang. Ketiga, kapak yang diberikan itu dibeli dari hasil jualan tikar dan cawan milik orang Ansar itu sendiri, walaupun hanya tikar dan cawan itu sahajalah yang dipunyai orang Ansar itu. Kapak itu tidak dibeli dengan menggunakan duit Baitulmal agar dengan itu orang Ansar itu mempunyai rasa kemilikan (sense of belonging), meletakkan nilai yang tinggi kepada kapak berkenaan, menjaganya dan menggunakannya dengan sebaiknya. Keempat, bantuan yang diberikan Rasulullah s.a.w. itu tidak berlebihan,  tetapi sebaliknya hanya secukupnya untuk mengatasi masalah semasa orang Ansar itu di samping untuk membelikan alat secukupnya bagi orang Ansar itu bekerja.

Berdasarkan kepada alasan-alasan begini jugalah maka Rufaqa’ cuba berdikari tanpa meminta-minta dan tanpa bergantung kepada mana-mana pihak. Modal bagi perniagaan Rufaqa’ tidak dipinjam dari mana-mana bank. Ia sebaliknya terkumpul hasil dari penanaman iman dan taqwa, hasil dari rasa takut kepada Allah SWT, rasa kasih sayang dan pengorbanan sesama sendiri. Yang menjadi bank ialah kakitangan dan pekerja-pekerja Rufaqa` sendiri, yang dikatakan memberi modal dengan rasa kasih sayang dan pengorbanan, sedangkan bank biasa, termasuk bank Islam sendiri, memberi modal dengan rasa inginkan keuntungan, bukan dengan rasa kasih sayang dan pengorbanan. Ustaz Ashaari Muhammad berpegang kepada keyakinan bahawa jika meminjam dengan bank biasa, perniagaan akan runtuh apabila bank menghadapi masalah. Tetapi apabila kakitangan dan pekerja-pekerja sendiri menjadi bank, perniagaan tidak terjejas dengan kemelesetan ekonomi dan permasalahan-permasalahan bank. Malah makin tinggi iman dan taqwa, maka makin tinggilah pengorbanan dan makin banyaklah modal. Iman dan taqwa itu merupakan sumber rezeki, sumber bantuan Allah SWT, sumber barakah, sumber lepasnya dari bencana, sumber ilmu, sumber idea, sumber strategi, sumber ilham, sumber lemahkan musuh, sumber kekayaan dan sumber harta. Pendeknya bagi Rufaqa`, iman dan taqwa adalah modal utama perniagaan dan merupakan rezeki dan aset yang paling besar. Bermula dengan iman dan taqwa, Rufaqa’ memulakan perniagaannya dengan modal awal bernilai lebih kurang RM400,000 dan sekarang telah berkembang kepada lebih kurang RM4 juta.  Bila ada iman dan taqwa, Rufaqa’ percaya musuh juga tidak boleh menipu[53].

Penekanan terhadap kekuatan kerohanian ini tidak bererti pengabaian terhadap kekuatan quwwah. Dalam memajukan perniagaannya, Rufaqa` tetap mengambilkira perlunya motivasi dan kaunseling, memberi penghargaan kepada pekerja cemerlang, meraikan kejayaan bersama, membuat lawatan sambil belajar dan lawatan rekreasi, memberikan hadiah untuk perkahwinan, harijadi dan kelahiran anak pekerja, membantu pekerja ketika menghadapi kesusahan, menjalinkan hubungan dua hala majikan-pekerja seumpama bapa dengan anak, menjalin ikatan kukuh majikan-pekerja dengan ziarah terutamanya ketika sakit, perkahwinan dan kelahiran anak, memberikan bonus tahunan, menghindari tabiat buruk seperti diskriminasi, penindasan, zalim, kurang prihatin, cuai dan tidak bertanggungjawab, menghindari dari terlalu mencari kesalahan pekerja, dan memberi upah yang berpatutan (Rufaqa` Corporation t.t.g).

Penggunaan kedua-dua kekuatan kerohanian dan quwwah juga digunakan di dalam mengatasi apa-apa masalah. Sekiranya perniagaan Rufaqa’ mempunyai masalah, ada empat perkara yang mereka teliti. Pertama ialah  mengenal pasti masalah dengan bukan sahaja menggunakan mata dan aqal, tetapi lebih-lebih lagi dengan mata hati agar  dapat mengenalpasti punca masalah, sama ada kerana lemah iman, lemah ilmu atau tiada kepimpinan. Kedua ialah mengenalpasti hikmah yang tersirat sama ada kepada individu agar ia dapat sentiasa mengekalkan rasa  kehambaan kepada Allah SWT dalam berniaga, atau kepada syarikat agar mereka yang terlibat akan bersatu menyelesaikannya. Ketiga, mengenalpasti siapa yang patut menyelesaikan masalah, umpamanya seluruh jentera syarikat atau terutamanya mereka yang mempunyai pengetahuan yang asas, mengamalkan Islam pada diri dan keluarganya, mempunyai ilmu pengetahuan tentang ekonomi Islam baik tentang syariat lahir atau syariat bathin,  ada pengetahuan tentang ilmu kemasyarakatan, boleh mengenalpasti hakikat masalah dan bijaksana dalam memilih pendekatan dan teknik penyelesaian yang berkesan. Dan keempat, mengenalpasti jalan penyelesaian masalah, yakni memahami dan menghayati bahawa masalah itu datang dari Allah SWT dan Allah SWT yang dapat menyelesaikannya, merasa bahawa mereka adalah hamba yang lemah, selesaikan urusan dengan Allah SWT supaya Allah SWT selesaikan urusan sesama manusia, bertanya dan bermusyawarah dengan orang-orang yang bertepatan bidangnya, pastikan punca masalah, masalah-masalah mendatang dan masalah-masalah yang kurang penting, senaraikan masalah-masalah berdasarkan keutamaan yakni masalah insan, sistem dan modal, membuat satu rangkaian sistematik untuk mengatasi masalah-masalah itu, fahamkan kepada pekerja lain tentang langkah-langkah itu agar mereka turut membantu, bertindak dengan hati yang penuh takut dan harap kepada Allah SWT, bertindak secara beregu dan serahkan diri dan permasalahan itu sepenuhnya kepada Allah SWT (Rufaqa` Corporation t.t.h).

Gabungan kekuatan rohaniah dan quwwah juga tergambar di dalam penilaian Rufaqa’ terhadap kejayaan sesuatu perniagaan. Bagi Rufaqa’, ada dua pengukur kejayaan sesuatu perniagaan, iaitu pertama, ketepatan sistem perniagaan itu dengan syariat Islam, dan kedua, kejayaan atau prestasi dalam pelaksanaan perniagaan. Di dalam sistem perniagaan, ianya mestilah mempunyai nilai penghambaan kepada Allah SWT (hablumminallah) dan nilai khidmat kepada sesama manusia (hablum-minannas). Ertinya ia mesti menempuh lima syarat ibadah, yakni niat kerana Allah SWT, perkara yang diusahakan dibenarkan syariat, pelaksanaannya selari dengan syariat, natijahnya tepat dengan kehendak syariat, dan tidak meninggalkan ibadah-ibadah asas. Di dalam prestasi pelaksanaan perniagaan pula, ianya mestilah meliputi prestasi maknawiyah (abstrak) dan prestasi maddiyah (material). Prestasi maknawiyah meliputi prestasi insan di dalam disiplin, kreativiti, kesungguhan, rasa tanggungjawab, rasa bersama dan bekerjasama, dan lain-lain akhlak mulia. Prestasi maddiyah pula meliputi data-data yang bersifat objektif seperti laporan kewangan, laporan kegiatan dan lain-lain bentuk perkembangan dan keuntungan lahiriah seperti wang dan barang (Rufaqa` Corporation t.t.i, dan t.t.j). Selain itu, Rufaqa’ juga berpendapat bahawa untuk mendapat kejayaan di dalam perniagaan, pemimpinnya perlu mampu bukan sahaja memimpin syarikat, tetapi juga memimpin insan-insan yang terlibat dengan syarikat, di samping menjadi model dari sudut prestasi lahiriah dan insaniah. Pekerja pula perlu memberi ketaatan penuh kepada arahan pemimpin, memahami arahan pemimpin sebaik mungkin sehingga boleh mempertahan dan merealisasikannya, menjadikan cita-cita syarikat sebagai cita-cita sendiri, mencari maklumat dengan terperinci dan menyampaikannya dengan tepat kepada pemimpin, bersedia untuk ditegur dan di `post-mortem’ atas apa jua fikiran, keputusan dan tindakan yang telah dilakukan, bersedia menerima teguran dan berusaha untuk membaikinya, tidak membuat tafsiran sesuka hati terhadap sesuatu arahan melainkan dengan merujuk dahulu kepada pemimpin agar ianya tidak bercanggah dengan dasar dan polisi syarikat (Rufaqa` Corporation t.t.j).

Kedua-dua kekuatan kerohanian dan quwwah ini ditekankan kerana bagi Rufaqa’, perniagaan adalah merupakan satu perjuangan. Untuk mencapai perjuangan ini, sesuatu perniagaan diyakini mesti ada lima perkara berikut (Rufaqa` Corporation t.t.f):

1- Pemimpin yang berkebolehan, yang boleh memberi iman, menyuburkan jiwa anak buah, memberikan ilmu, memberikan panduan, menunjukkan contoh, memberikan kasih sayang dan menyediakan pekerjaan di samping mempunyai sifat taqwa, berminda (beridea), berinovasi, berkasih sayang dan bekerja (bertindak);
2- Ada pengikut atau pekerja yang berkebolehan, yakni yang boleh taat, boleh bekerja dan mahir dalam bidang masing-masing, ada rasa tanggungjawab untuk kembangkan syarikat (sense of belonging), tidak bekerja seperti robot (tanpa idea), dan bersifat pendakwah;
3- Mempunyai matlamat yang jelas, yakni mencari keredhaan Allah SWT (mardatillah) dan bukan untuk kekayaan individu. Perniagaan hanya laluan menuju taqwa dan medan dakwah;
4- Mempunyai dasar, yakni syariat sebagai pengukur dan panduan; dan
5- Ada strategi, yakni ada kaedah (uslub) yang tepat. 
 

Berdasarkan kepada perkaedahan ini, Rufaqa’ bukan sahaja telah berkembang, tetapi juga turut menarik  perhatian penduduk bukan Islam di Bandar Country Home Rawang yang berjumlah 60% dari keseluruhan penduduknya. Bekas Presiden Persatuan Penduduk Country Homes, Lim Kwee Eng, berkata:

Perniagaan berkonsepkan Islam (yang diasaskan Asaa`ri) di sini menarik perhatian ramai orang untuk mengetahui bentuk pelaksanaan perniagaan tersebut. Tidak keterlaluan kalau saya katakan Bandar Country Homes jadi terkenal kerana perniaagan Asaa`ri. Diukur dari segi pergaulan pula, pekerja Rufaqa` boleh dijadikan contoh masyarakat setempat kerana mereka mempunyai akhlak yang sangat tinggi serta menghormati orang lain. Mereka juga banyak membantu serta memberi kerjasama menjayakan apa jua rancangan masyarakat di sini. Tidak boleh dinafikan harga barangan yang mereka jual adalah lebih murah jika dibandingkan dengan perniagaan lain yang terdapat di sini. Mereka juga mempunyai klinik dan hospital bersalin tidak meletak harga demi melaksanakan tanggungjawab perkhidmatan sosial. Orang Melayu di Country Homes perlu bangga kerana mereka mempunyai seorang tokoh usahawan berjaya meningkatkan pembangunan ekonomi Islam yang canggih sesuai dengan peredaran zaman. Secara umumnya seluruh penduduk Country Homes suka kepada Asaa`ri mahu pun pekerjanya. Asaa`ri sendiri dikatakan seorang yang sangat pemurah dan suka membantu masyarakat sekeliling” (Thamo 2001:22).
 

KEPELBAGAIAN PENDEKATAN PERNIAGAAN
GERAKAN-GERAKAN ISLAM DI MALAYSIA

Perbincangan tentang objektif, bentuk dan perkaedahan perniagaan gerakan-gerakan Islam di Malaysia di atas telah mempamirkan kepelbagaian yang agak menarik. Semua mereka boleh dikatakan lahir pada zaman sekitar kebangkitan semula Islam, tetapi penekanan objektif mereka mempunyai sedikit perbezaan, terutamanya di antara mereka yang menjalankan perniagaan secara koperasi dengan yang menjalankan perniagaan secara syarikat perniagaan. Perniagaan KBI, Kohilal dan KIMB yang menjalankan operasinya melalui koperasi menekankan kepada pengumpulan dan pemobilisasian dana agar dengan itu anggota mereka khususnya dan seluruh ummah Islam amnya mendapat keuntungan dan dapat meningkatkan taraf sosio-ekonomi mereka, sesuai dengan prinsip kebajikan dan taqwa (al-birri wa taqwa). Manakala Rufaqa’ yang beroperasi sebagai syarikat perniagaan menekankan kepada matlamat ibadah dan mencari keredhaan Allah SWT. Berbeza dari KBI, Kohilal dan KIMB, Rufaqa’ tidak menyenaraikan peningkatan sosio-ekonomi dan keuntungan material sebagai keutamaan.  Sebaliknya ia lebih menekankan kepada perkhidmatan untuk masyarakat, mendidik diri, dan beribadah kepada Allah SWT. Peningkatan sosio-ekonomi dan keuntungan material dipercayai datang dengan sendirinya apabila perkhidmatan kepada masyarakat, pendidikan diri dan ibadah kepada Allah SWT dapat direalisasikan. Rufaqa’ percaya makin sempurna realisasi perkhidmatan masyarakat, pendidikan diri dan ibadah kepada Allah SWT, makin tinggilah peningkatan sosio-ekonomi dan keuntungan material yang Allah SWT akan ganjarkan. Dengan perkataan lain, Rufaqa’ mengambil kesempurnaan hubungan mereka dengan Allah SWT (hablumminallah) dan hubungan mereka sesama manusia (habluminannas) sebagai tunjang utama kejayaan perniagaannya.

Dari segi keanggotaan pula, boleh dikatakan keempat-empat perniagaan Islam yang diteliti ini dianggotai oleh ahli-ahli gerakan Islam masing-masing. KBI dianggotai oleh ahli-ahli ABIM, Kohilal dianggotai oleh ahli-ahli PAS, KIMB dianggotai oleh ahli-ahli JIM, manakala Rufaqa` dianggotai oleh kebanyakannya bekas-bekas ahli Al-Arqam. Namun begitu, sebagai sebuah koperasi, KBI, Kohilal dan KIMB lebih terikat dengan Akta Koperasi daripada terikat secara langsung dengan gerakan masing-masing. Dari tiga koperasi yang beroperasi secara Islam ini, hanya KBI yang mencatat dengan jelas di dalam Undang-Undang Kecilnya tentang penglibatan anggota ABIM di dalam Lembaganya. Dalam Undang-Undang Kecil koperasi-koperasi yang lain tidak ada tercatat sedemikian. Manakala Rufaqa’ pula tidak ada kena mengena dengan Al-Arqam kerana Al-Arqam telah diharamkan dan Rufaqa’ sendiri merupakan badan perniagaan sepenuhnya, bukan badan dakwah seperti Al-Arqam. Kalau ada pun peninggalan Al-Arqam yang masih ada, ianya hanyalah falsafah perniagaan kerana falsafah perniagaan itu berdasarkan ajaran Islam dan oleh itu boleh dipakai sepanjang zaman dan oleh setiap orang Islam. Itu pun ianya diambil dengan pembaikan yang ketara berpandukan kepada pengalaman mereka di dalam Al-Arqam dahulu.

Bentuk perniagaan gerakan-gerakan Islam ini pula tertumpu kepada koperasi, lebih daripada kepada syarikat perniagaan. Dari empat perniagaan yang dikaji, cuma Rufaqa` sahaja yang menjalankan perniagaan secara  syarikat perniagaan, manakala tiga yang lainnya menjalankan perniagaan secara koperasi. Kohilal memilih  koperasi sebagai wadah pelaksanaan perniagaan Islam untuk memberi ruang yang luas kepada seramai mungkin orang untuk terlibat. Di Kohilal, skim mudaharabah dan murabahah misalnya dikatakan telah dimanfaati oleh  4,000 orang anggota. Kohilal juga telah melaksanakan sistem Islam tetapi hanya setakat yang tidak berlawanan atau tidak menganggu Akta Koperasi. Atas sebab itu, Pengerusi Kohilal Senator Ustaz Hassan Shukri masih tidak menganggap koperasinya sebagai koperasi Islam sepenuhnya kerana di dalam cuba melaksanakan hukum-hukum Islam di dalam perniagaan ini, ia masih terikat kuat dengan Akta Koperasi[54]. Walau pun demikian, Kohilal tetap berpegang kepada aqidah, syariat dan akhlak Islam. Dengan tidak menduakan sistem perniagaan yang Allah SWT tetapkan, kata Pengerusi Lembaga Kohilal Senator Ustaz Haji Hassan Shukri, itu sudah bererti ada kaitan dengan aqidah. Sebab itulah Kohilal tidak amalkan riba’. Dari segi akhlak pula, Kohilal amalkan sifat amanah, jujur dan sebagainya di samping meninggalkan amalan penipuan, penindasan dan seumpamanya. Untuk menimbulkan rasa hubungan dengan Allah SWT, ada dibuat secara kecil-kecilan sembahyang hajat, kuliah-kuliah berkala di peringkat pegawai-pegawai Kohilal, walaupun belum dibuat di peringkat anggota-anggota[55].

Tidak seperti Kohilal, KIMB merasakan ianya adalah koperasi Islam sepenuhnya kerana aktiviti-aktivitinya berlandaskan kepada ajaran Islam, walaupun seperti Kohilal ia juga terikat dengan Akta Koperasi dan terpaksa menyatakan secara bertulis matlamatnya untuk “memajukan kepentingan sosio-ekonomi anggota-anggotanya menurut prinsip-prinsip koperasi” (KIMB 1995:5), bukan menurut prinsip-prinsip Islam. Selain itu, aktivitinya juga dirasakan secara tidak langsung membantu institusi-institusi Islam yang diwujudkan negara seperti perbankan  Islam dan menyokong aktiviti-aktiviti berbentuk Islam seperti program-program untuk remaja dan seminar-seminar terutamanya yang dianjurkan oleh JIM. Dari segi aqidah mereka dikatakan patuh kepada larangan Allah SWT agar mengelak dari riba’. Dari segi syariah mereka menekankan kepada muamalat Islam, manakala dari segi akhlak pula mereka laksanakan akhlak Islam di dalam berhutang di samping mempunyai ketelusan dan akauntabiliti[56]. Walaupun menyedari bahawa pergerakan koperasi adalah lebih lambat berbanding dengan sebuah korporat, namun KIMB tetap memilih kaedah koperasi agar dapat melaksanakan konsep bekerjasama, ta`awun, kolektif (berjemaah), rasa kemilikan (sense of belonging) dan akauntibiliti. Ia juga dikatakan serasi dengan JIM sebagai sebuah jemaah Islam dan dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak KIMB dan anggota-anggotanya (win-win situation)[57].

Aktiviti-aktiviti kesemua perniagaan gerakan-gerakan Islam ini pula boleh dikatakan lebih kurang sama, yakni dari memenuhi hal-hal fardhu kifayah seperti menyedia dan mengedarkan makanan halal, hinggalah kepada skim-skim untuk kebajikan ahli, perniagaan saham, hartanah dan sebagainya. Namun begitu, aktiviti-aktiviti perniagaan KBI, Kohilal dan KIMB nampaknya hanya tertumpu kepada ekonomi fardhu kifayah dan komersial, tetapi tidak kepada ekonomi strategi sebagaimana yang dilaksanakan Rufaqa’. Dari empat organisasi perniagaan ini, hanya Rufaqa’ sahaja nampaknya yang cuba menjalankan ketiga-tiga bentuk ekonomi fardhu kifayah, ekonomi komersil dan ekonomi strategi ini.

Perkaedahan perniagaan Rufaqa’ juga nampaknya berbeza dari perkaedahan perniagaan KBI, Kohilal dan KIMB. Perkaedahan perniagaan Rufaqa’ tertumpu kepada kekuatan kerohanian, manakala perkaedahan KBI, Kohilal dan KIMB banyak tertumpu kepada kekuatan quwwah
 

KESIMPULAN

Perniagaan merupakan pekerjaan mulia di sisi Islam[58]. Di Malaysia, secara keseluruhannya, usaha menjalankan perniagaan secara Islam adalah amat menggalakkan, termasuk di kalangan gerakan-gerakan Islam. Keempat-empat gerakan Islam yang dikaji terbukti telah menyumbang dengan banyaknya kepada perkembangan perniagaan Islam di Malaysia. Kesemua mereka muncul sekitar zaman kebangkitan semula Islam. Tiga darinya menggunakan koperasi sebagai wadah perniagaan Islam mereka, manakala satu lagi menggunakan syarikat perniagaan.

Penekanan dan penghayatan terhadap tasawwur (world-view) Islam secara menyeluruh walaubagaimana pun belum memberangsangkan. Dari empat perniagaan yang dijalankan oleh empat gerakan Islam utama di Malaysia ini, hanya satu sahaja, yakni Rufaqa` Corporation, yang menekan dan menggunakan pengeratan hubungan dengan Allah SWT (hablum-minallah) sebagai alat mendapat kejayaan, di samping peralatan-peralatan fizikal, material dan teknikal. Tiga yang lain, yakni KBI, Kohilal dan KIMB lebih banyak menumpukan usaha kepada sistem perniagaan secara Islam, dari segi muamalatnya. Ketiga-tiganya lebih banyak menekankan kepada peralatan-peralatan fizikal, material dan teknikal sebagai alat merealisasikan perniagaan Islam yang dicita-citakan.

Penekanan terhadap hanya peralatan-peralatan fizikal, material dan teknikal ini memberi implikasi yang sangat siginifikan. Pertama, perniagaan-perniagaan Islam ini hanya menggunakan hanya satu alat sahaja, yakni quwwah (kekuatan fizikal, material dan teknikal itu), dan kurang menggunakan satu lagi alat, yakni taqwa, padahal taqwa dijamin Allah SWT sebagai sangat berkesan dalam mendapat bantuan Allah SWT. Tanpa penekanan terhadap taqwa, bukan sahaja bantuan Allah SWT tidak sampai, keredhaan-Nya juga ditakuti tidak tercapai. Kedua, oleh kerana quwwah merupakan kekuatan perniagaan bukan-Islam yang telah kukuh dan bertunjang kuat, adalah mustahil perniagaan-perniagaan Islam yang hanya menggunakan quwwah juga dapat mengatasi dan bersaing dengan mereka. Sebaliknya perniagaan-perniagaan Islam ini sepatutnya mengambil taqwa sebagai alat ulung, yang tidak dimiliki oleh perniagaan bukan-Islam, untuk bersaing dan mengatasi mereka secara sihat dan berkesan.

Kalau taqwa dijadikan alat paksi menjayakan perniagaan Islam, dan quwwah dijadikan alat bantuan, kejayaan perniagaan Islam di Malaysia tentulah menjadi satu perkara yang pasti. Setakat ini sumbangan gerakan-gerakan Islam di Malaysia dalam merealisasikan perniagaan Islam tidaklah sedikit. Sumbangan ini akan menjadi lebih berkesan dan bermakna kiranya penekanan terhadap taqwa dijadikan kekuatan utama, manakala penekanan terhadap quwwah menjadi kekuatan sokongan. Keadaan sekarang di mana quwwah dijadikan kekuatan utama manakala taqwa dijadikan kekuatan sokongan perlu diubah segera.
 
 

LAMPIRAN I
 

I- Keutamaan Berniaga dan Mencari Rezeki Halal

1- Rasulullah s.a.w bersabda: “Ketahuilah, sesungguhnya sembilan bahagian rezeki itu adalah di dalam perniagaan”.[59]

2- Abu Sa`ed Al-Khudry r.a telah meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. bahawa Baginda s.a.w. telah bersabda: “Setiap orang yang memperolehi pendapatan yang halal yang digunakan untuk makanan dirinya sendiri, membeli pakaian dan memberinya kepada sesiapa dari kalangan makhluk Allah akan ditulis sebagai satu amalan kebajikan”.[60]

3- Naseeh An-Ansi r.a. telah meriwayatkan daripada Rakb Al-Misri r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah  bersabda: “Berita gembira bagi orang yang mempunyai pendapatan yang halal”.[61]
 

II- Sifat Peniaga Islam

1- Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya sebaik-baik pekerjaan untuk memperolehi pendapatan adalah pendapatan para peniaga di mana apabila bercakap mereka akan bercakap benar dan tidak berdusta. Apabila mereka diberi amanah, mereka tidak akan mengkhianatinya, apabila berjanji mereka tidak memungkirinya, apabila mereka membeli, mereka tidak mencela apa yang dibeli oleh mereka itu. Apabila mereka menjual, mereka tidak akan memuji-muji berlebih-lebihan barang-barang yang mereka jual tersebut. Jika mereka disuruh untuk membayar (hutang) mereka, mereka tidak akan berdalih-dalih dan apabila orang yang berhutang lambat membayarnya, mereka tidak akan menyempitkan di berhutang”.[62]

2- Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya ahli perniagaan yang jujur dan amanah dalam perkataan dan amalannya akan dibangkitkan di kalangan para Nabi di hari kiamat”.[63]
 

III- Kaedah dan Etika Perniagaan

1- Dari Abu Dzar r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: “Allah sekali-kali tidak akan berkata-kata, memandang dan menghapuskan ketidaksucian dosa-dosa tiga golongan orang. Mereka akan memperolehi azab yang pedih”. Abu Dzar r.a. pun berkata: “Celakalah mereka, siapakah mereka ya Rasulullah?” Rasulullah s.a.w pun menjawab: “Pertama seorang yang menunjuk-nunjukkan kemewahannya dengan melabuhkan pakaiannya hingga melebihi paras buku lali, mereka yang tidak pernah mengambil pusing kesan ke atas orang lain akbiat tindakannya terhadap mereka dan seorang yang menjual barang jualannya dengan bersumpah palsu” (Riwayat Muslim).

2- “Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang, (iaitu) orang-orang yang apabila mereka menerima takaran dari orang lain mereka minta dipenuhi dan apabila mereka menakar atau menimbang untuk orang lain, mereka mengurangi. Tidakkah orang-orang itu menyangka bahawa sesungguhnya mereka akan dibangkitkan,  pada suatu hari yang besar, (iaitu) hari (ketika) manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam?” (Al-Muthaafifin 83:1-6).
 

IV- Etika Kerohanian Dalam Perniagaan

1- Rasulullah s.a.w. bersabda: “Pada hari Kiamat para peniaga akan dibangkitkan sebagai penceroboh dan pendosa melainkan mereka yang takutkan Allah, bercakap benar dan tidak melakukan dosa-dosa semasa melakukan urusan perniagaan”.[64]
 

NOTA
 

[1] Kertas yang disampaikan di Seminar dan Ekspo Pengurusan Perniagaan Islam 2001, anjuran Yayasan Nurul Yaqeen dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna, Majalah Massa, Utusan Melayu (M) Berhad dan Millennium Ark (M) Sdn. Bhd., di Putra World Trade Centre (PWTC), Kuala Lumpur, pada 26-27 Mei 2001. Penulis merakamkan berbanyak terima kasih kepada Yayasan Nurul Yaqeen kerana membiayai penyelidikan untuk kertas ini. Penulis juga terhutang budi dan merakamkan ribuan terima kasih kepada pemimpin-pemimpin Koperasi Belia Islam Malaysia, Koperasi Al-Hilal Malaysia Berhad, Koperasi Islah Malaysia Berhad, Syarikat Rufaqa` Corporation, Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. dan Yayasan Aminul Ummah yang bukan sahaja sudi ditemubual dan melayani penulis dengan baik, tetapi juga bersarapan pagi atau makan tengahari atau makan petang atau makan malam sesuai dengan waktu penulis menemubual mereka.

[2] Profesor Dr Muhammad Syukri Salleh ialah Profesor Pengajian Pembangunan dan Ketua Projek Pengurusan Pembangunan Islam (IDMP) di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang [Email: [email protected]; Laman web: http://www.geocities.com/muhammadsyukri/].

[3] Sekurang-kurangnya terdapat empat bentuk sekolah menengah aliran agama di Malaysia, yakni Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) yang dikendalikan oleh orang-orang perseorangan atau perkumpulan,  Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) yang dikendalikan oleh kerajaan-kerajaan negeri, Sekolah  Menengah Agama Persekutuan (SMAP) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) yang kedua-duanya dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan. IPTIS pula terbahagi kepada tiga bentuk, yakni pertama, yang dikendalikan oleh pihak swasta sepenuhnya (sama ada oleh orang perseorangan atau  perkumpulan); kedua, yang dikendalikan oleh syarikat-syarikat atau yayasan-yayasan di bawah Kerajaan Negeri; dan ketiga, yang dikendalikan oleh Kerajaan Negeri sepenuhnya. Universiti pula setakat ini terbahagi kepada dua bentuk, yakni berbentuk universiti antarabangsa seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Kolej Universiti seperti Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM).

[4] Untuk perbincangan terperinci tentang aktiviti ekonomi Al-Arqam, lihat Muhammad Syukri Salleh 1992:176-185.

[5] Aktiviti pendidikan KBI terulung ialah Institut Pengajian Ilmu-Ilmu Islam (IPI) yang pada asalnya terletak di bawah Lujnah Pendidikan ABIM. IPI juga mempunyai masalah, terutamanya selepas sistem francais program Matrikulasi dimansuhkan oleh Kementerian Pendidikan. Sebelum itu IPI terlibat di dalam mengendalikan francais program Matrikulasi Universiti Putra Malaysia. Tanpa program francais berkenaan, enrolmen pelajar bagi setiap kali kemasukan hanyalah 30 orang sahaja, sedangkan sewa bangunan yang dimiliki oleh KBI sahaja ialah RM30,000 sebulan. Sekarang KBI sedang berusaha keras memperkemaskan IPII agar ianya lebih berdayamaju.

[6] Temubual dengan Encik Hassan Abdul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif KBI, di Pejabat KBI di Pusat Bandar Sri Rampai, Kuala Lumpur pada 14 Mac 2001.

[7] Temubual dengan Pengerusi Kohilal Senator Ustaz Hassan Shukri di Pejabat Kohilal di Jalan Sarikei, Off  Jalan Pahang, Kuala Lumpur pada 11 April 2001.

[8] Lihat umpamanya Kohilal 1993, Kohilal 1997, Kohilal 1998, dan Kohilal 1999a.

[9] Temubual dengan Puan Rogayah bte Zakaria, Pengurus Keanggotaan dan Skim/Susulan Kredit Kohilal, di Pejabat Kohilal, Jalan Sarikei, pada 13 Mac 2001, dan Senator Ustaz Haji Hassan Shukri, Pengerusi Lembaga Kohilal, dan Encik Mohd Ismath Habib Mohamad, Setiausaha Lembaga Kohilal, di Pejabat Kohilal Jalan Sarikei pada 11 April 2001.

[10] Temubual dengan Encik Mohd Ismath Habib Mohamad, Setiausaha Lembaga Kohilal, di Pejabat Kohilal Jalan Sarikei, Kuala Lumpur pada 11 April 2001. Bilangan keanggotaan ini merupakan peningkatan dari 9,063 pada 31 Disember 1993 (pertambahan sebanyak 2,598 orang dari tahun sebelumnya) (Kohilal 1993:18), 19,048 orang pada 31 Disember 1997 (pertambahan sebanyak 1,711 orang dari tahun sebelumnya) (Kohilal 1997:25), 17,876 orang pada 31 Disember 1998 (penurunan sebanyak 1,172 orang dari tahun sebelumnya kerana barangkali kegawatan ekonomi) (Kohilal 1998:35), dan 21,221 orang pada 31 Disember 1999 (pertambahan sebanyak 2,480 orang dari tahun sebelumnya) (Kohilal 1999a:50).

[11] Temubual dengan Pengerusi Lembaga Kohilal Senator Ustaz Hassan Shukri di Pejabat Kohilal pada 11  April 2001. Setiap tahun ada juga anggota yang berhenti dari menganggotai Kohilal, umpamanya seramai 46  orang pada tahun 1993, 331 orang pada tahun 1997, 2,591 orang pada tahun 1998, dan 139-338 orang pada tahun 1999. Antara sebabnya ialah kerana tidak dapat meminjam wang, tidak puas hati, telah berhenti kerja,  hilang punca pendapatan dan sebagainya (Kohilal 1993:18, Kohilal 1997:25, Kohilal 1998:35, Kohilal 1999a:27,50).

[12] Di pejabat induknya ini terdapat jabatan-jabatan pengurusan/pentadbiran, keanggotaan, pinjaman (skim/susulan kredit), akaun, dan kilang.

[13] Undang-Undang Kecil KIMB didaftarkan pada 16 April 1997 (KIMB 1997a).

[14] Tabung Khairat diharap berfungsi untuk membantu anggota sebanyak RM300 manakala Tabung Fi-sabilillah pula untuk membantu individu/kumpulan yang memerlukan dalam unsur-unsur kebajikan dan dakwah, dan Tabung Pendidikan berhasrat memupuk kecemerlangan anak-anak anggota koperasi peringkat sekolah pada tahap PMR dan SPM dalam bentuk yuran peperiksaan dan hadiah kecemerlangan.

[15] Temubual dengan Setiausaha KIMB Tuan Syed Ibrahim Syed Noh di Pejabat KIMB di Pusat Bandar Melawati, Kuala Lumpur pada 12 April 2001.

[16] Untuk maklumat terperinci tentang keanggotaan ini, lihat KIMB 1997a:6-11.

[17] Jumlah anggota ini merupakan peningkatan dari 1,025 orang pada tahun 1995, 1,064 orang pada tahun 1996, 1,068 orang pada tahun 1997, 1,075 orang pada tahun 1998 dan 1,256 pada tahun 1999 (KIMB 2000:20). Secara keseluruhan, kadar penambahan anggota KIMB dari tahun ke setahun adalah tidak memberangsangkan. Bagi tahun 1995, peratus pertambahan keanggotaan hanya 8.81% (KIMB 1995:19), pada tahun 1997 hanya 0.376% (KIMB 1997b:18) manakala pada tahun 2000 hanya 4.41% (KIMB 2000:20).

[18] Perlahannya perjalanan KIMB ini diakui sendiri oleh Pengerusi Lembaganya, Wan Mohamad Wan Sulong. Lihat Wan Mohamad Wan Sulong 2000:140-141.

[19] Untuk perbincangan lanjut tentang ekonomi Al-Arqam dan pencapaiannya, lihat Muhammad Syukri Salleh 1992, dan 1994b.

[20] Kerajaan Malaysia telah mengharamkan Al-Arqam dan pemimpin-pemimpinnya, termasuk Ustaz Ashaari Muhammad, dua orang isterinya dan beberapa orang anak lelakinya, ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) - sebahagiannya sehingga dua kali - kerana dikatakan mengamalkan ajaran sesat dan mengancam keselamatan negara. Ustaz Ashaari Muhammad, isterinya Khadijah Aam dan anak lelakinya Ustaz Fakhrurrazi masih ditahan di bawah tahanan daerah sehingga sekarang. Pelbagai pendapat telah dikemukakan tentang sebab sebenar Al-Arqam diharamkan. Sesetengahnya mengatakan ianya bukan berhubungan dengan faktor teologikal, tetapi lebih berhubungan dengan faktor politikal. Untuk mengikuti beberapa perbincangan tentang hal ini, lihat Sharifah Zaleha Syed Hassan 1995, Muhammad Syukri Salleh 1995, dan Ahmad Fauzi Abdul Hamid 1998.

[21] Menurut Ustaz Ashaari Muhammad (dalam temubual dengannya pada 21 Februari 2001), Al-Arqam lahir bukan kerana mimpi beliau, atau kerana beliau marah kepada seseorang, atau marah kepada pemerintah. Ia lahir dari kesedaran Islam dalaman dan dari kajian Islam serta pengaturan strategi beliau sejak umur belasan tahun lagi. Al-Arqam pada asasnya oleh itu tidak merupakan sebuah gerakan reaktionari dan tidak menggunakan  pendekatan confrontational. Ia lebih berbentuk exemplary dan menggunakan pendekatan harmoni. Tetapi  sistem yang cuba diwujudkan ternyata bertentangan dengan sistem arus perdana.

[22] Temubual dengan bekas pemimpin Al-Arqam dan kini Anggota Lembaga Zumalah Sdn. Bhd. Ustaz Shuib Sulaiman di Quality Hotel, Kuala Lumpur pada 11 April 2001. Menurut Ustaz Shuib, natijah dari berbezanya keyakinan inilah maka lahirnya kumpulan-kumpulan dari pecahan Al-Arqam seumpama, antara lain, syarikat motivasi Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. yang dikendalikan oleh beberapa bekas pemimpin Al-Arqam yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bersama dengan Ustaz Ashaari Muhammad, Yayasan Aminul Ummah yang agak cenderung kepada pemikiran perjuangan Ustaz Abdul Halim Abbas (bekas Timbalan Ustaz Ashaari Muhammad yang kini bermaustautin di Indonesia), dan syarikat Al-Mansur yang menumpukan kepada perniagaan rawatan kesihatan.

[23] Untuk perbincangan lanjut tentang ketiga-tiga bentuk ekonomi ini, lihat Muhammad Syukri Salleh 1993:34-43 atau 1994a:18-19, 32-33.

[24] Temubual dengan Ustaz Shuib Sulaiman di Quality Hotel, Kuala Lumpur pada 11 April 2001. Menurut  Ustaz Shuib, penekanan terhadap roh di sini bermaksud penekanan terhadap penyucian hati, dengan menghapuskan sifat-sifat terkeji (mazmuumah) dan memasukkan sifat-sifat terpuji (mahmudah). Ini tidak bererti penggunaan `aqal diketepikan, tetapi hanya penekanan terhadapnya sahaja kurang berbanding dengan penekanan terhadap roh atau hati. `Aqal berperanan menimbang mana suruhan dan mana larangan Tuhan dan oleh itu tidak terpisah dari roh, hati atau fitrah. Namun keutamaan tetap terletak kepada roh, hati atau fitrah.

[25] Untuk perbincangan lanjut tentang hal ini, lihat Rufaqa` t.t.j.

[26] Skim-skim pembiayaan KBI ini (dari nombor 3 hingga 7) dibuat berdasarkan prinsip Bai’ Bitahim Ajil.

[27] Mengikut Pengerusi Kohilal Ustaz Hassan Shukri (melalui temubual di Pejabat Kohilal di Jalan Sarikei, Kuala Lumpur pada 11 April 2001), pengedaran barangan-barangan ini mempunyai masalah kerana pembekal tidak dapat mengeluar dan menyediakan barangan dengan banyak kerana kekurangan modal. Sekarang mereka sedang berusaha menambahkan modal dengan harapan pengeluaran dapat ditambahkan.

[28] Menurut Laporan Kohilal 1999, Kohilal Letrik ini mempunyai masalah terutamanya kerana 33 cawangannya masih mempunyai hutang tertunggak kepada Kohilal sebanyak RM800,000. Masalah ini diatasi dengan mengadakan `credit collection’ dan kini hutang itu berbaki lebih kurang RM675,000. Lihat Kohilal 1999a:29.

[29] Untuk maklumat terperinci tentang Skim Al-Qardhul Hasan ini, lihat Kohilal 1999b:48-55.

[30] Untuk maklumat terperinci tentang Skim Mudharabah ini, lihat Kohilal 1999b:56-58.

[31] Untuk maklumat terperinci tentang Skim Murabahah ini, lihat Kohilal 1999b:59-66.

[32] Untuk maklumat terperinci tentang Skim Jualan Mudah (Juadah) ini, lihat Kohilal 1999b:67-74.

[33] Untuk maklumat terperinci tentang Tabung-Tabung ini, lihat Kohilal 1995b:75-97.

[34] Tabung-tabung lain yang juga dimansuhkan ialah Tabung Kebajikan dan Tabung Bangunan. Tabung Kebajikan menghadapi masalah kekurangan sumbangan dan kekurangan permohonan dari anggota. Masalah yang lebih kurang sama juga dihadapi oleh Skim Al-Qardhul Hassan. Skim ini berkurangan kerana kekurangan permohonan di samping menghadapi kekurangan peruntukan kerana anggota-anggota telah memindahkan Simpanan Am mereka ke Skim Simpanan Mudharabah dan makin meningkatnya hutang tak berbayar (Kohilal 1995a:28).

[35] Temubual dengan Setiausaha KIMB Tuan Syed Ibrahim Syed Noh di Pejabat KIMB di Pusat Bandar Melawati, Kuala Lumpur pada 12 April 2001.

[36] Lihat misalnya notakaki 27, 28 dan 34.

[37] Kekurangan modal (atau dana) juga disebutkan sebagai salah satu masalah KIMB sekarang, selain dari kekurangan kakitangan penuh masa (Tembual dengan Setiausaha KIMB Tuan Syed Ibrahim Syed Noh di Pejabat KIMB di Pusat Bandar Melawati pada 12 April 2001).

[38] Temubual dengan Encik Hassan Abdul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif KBI, di Pejabat KBI di Pusat Bandar Sri Rampai, Kuala Lumpur pada 14 Mac 2001.

[39] Temubual dengan Puan Rogayah bte Zakaria, Pengurus Keanggotaan dan Skim/Susulan Kredit, di Pejabat Kohilal di Jalan Sarikei, Kuala Lumpur pada 13 Mac 2001. Permasalahan tidak membayar atau lambat  membayar hutang, menurut Pengerusi Kohilal Senator Ustaz Haji Hassan Shukri (temubual 11 April 2001), memang fenomena biasa di kalangan ahli-ahli Kohilal. Kursus-kursus kesedaran agar ahli-ahli dapat memberi kerjasama yang sebaiknya dirasakan beliau perlu diadakan dari masa ke semasa.

[40] Kandungan majlis-majlis ini banyak tertumpu kepada topik muamalah. Sekarang misalnya perbincangan  untuk kepimpinan memakai buku Fiqh Keutamaan karangan Yusuf al-Qardhawi, manakala sebelum ini dipakai buku karangan Yusuf al-Qardhawi yang ada kena mengena dengan ekonomi. Di dalam majlis-majlis berkenaan juga dibincang tentang isu-isu semasa. Di dalam Majlis Iltizam selalu ditekankan agar berbaik sangka dengan Allah SWT agar para peserta dapat menghadapi segala masalah dengan sedar.

[41] Temubual dengan Encik Hassan Abdul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif KBI, di Pejabat KBI di Pusat Bandar Sri Rampai, Kuala Lumpur pada 14 Mac 2001.

[42] Temubual dengan Pengerusi Kohilal Senator Ustaz Haji Hassan Shukri di Pejabat Kohilal Jalan Sarikei pada 11 April 2001.

[43] Temubual dengan Pengerusi KIMB Wan Mohamad Wan Sulong, Setiausaha Tuan Syed Ibrahim Syed Noh, Bendahari Mohd Hasni bin Mohamed dan Ahli Lembaga Pengarah Tuan Yaacob Tuan Sof di Pejabat KIMB di Pusat Bandar Melawati Kuala Lumpur pada 12 April 2001.

[44] Lihat Pusat Motivasi Qatrunnada 1999.

[45] Maksud ukhwah di sini berbeza dari ukhwah yang difahami oleh JIM. Kalau ukhwah JIM lebih menekankan kepada jaringan, ukhwah Rufaqa’ lebih menekankan kepada rasa berkasih sayang, bermaaf-maafan, bantu-membantu dan sebagainya.

[46] Temubual dengan Ustaz Ashaari Muhammad dan Ustazah Khadijah Am di Rawang Country Home pada 21 Feburari 2001.

[47] Lihat juga fokus di dalam satu lagi tabloid bulanan Rufaqa`, Ana, Mac 2001:6-7.

[48] Temubual dengan Ustaz Haji Ashaari Muhammad dan Khadijah Aam di Rawang Country Home pada 15 Mac 2001.

[49] Temubual dengan Ustaz Shuib Sulaiman di Quality Hotel, Kuala Lumpur pada 11 April 2001.

[50] Temubual dengan Ustaz Ashaari Muhammad dan Ustazah Khadijah Aam di Rawang Country Home pada 11 April 2001.

[51] Temubual dengan Ustaz Hashim Jaafar di Rawang Country Home pada 15 Mac 2001.

[52] Dipetik dari Sheikh Muhammad Zakariyya 1996:35-36.

[53] Temubual dengan Ustaz Ashaari Muhammad dan Ustazah Khadijah Aam di Rawang Country Home pada 11 April 2001.

[54] Temubual melalui talipon dengan Senator Ustaz Haji Hassan Shukri, Pengerusi Kohilal pada 9 April 2001.

[55] Temubual dengan Pengerusi Kohilal Senator Ustaz Haji Hassan Shukri di Pejabat Kohilal Jalan Sarikei pada 11 April 2001.

[56] Temubual dengan Pengerusi KIMB Wan Mohamad Wan Sulong, Setiausaha Tuan Syed Ibrahim Syed Noh, Bendahari Mohd Hasni bin Mohamed dan Ahli Lembaga Pengarah Tuan Yaacob Tuan Sof di Pejabat KIMB di Pusat Bandar Melawati Kuala Lumpur pada 12 April 2001.

[57] Temubual dengan Pengerusi KIMB Wan Mohd Wan Sulong dan Setiausahanya Tuan Syed Ibrahim Syed Noh di Pejabat KIMB di Pusat Bandar Melawati, Kuala Lumpur pada 12 April 2001.

[58] Untuk beberapa nas berkenaan dengan hal-ehwal perniagaan, lihat Lampiran 1.

[59] Dipetik dari Sheikh Muhammad Zakariyya 1996:27.

[60] Dipetik dari Sheikh Muhammad Zakariyya 1996:33-34.

[61] Dipetik dari Sheikh Muhammad Zakariyya 1996:34.

[62] Petikan Sheikh Muhammad Zakariyya 1996:77-78 dari At-Tarqhib.

[63] Dipetik dari Sheikh Muhammad Zakariyya 1996:29-30.

[64] Dipetik dari Sheikh Muhammad Zakariyya 1996:31.
 
 

RUJUKAN
 

Ahmad Fauzi bin Abdul Hamid, 1998. Islamic Resurgence in the Periphery: A Study of Political Islam in Contemporary Malaysia, With Special Reference to the Darul Arqam Movement 1968-1996, tesis Ijazah Doktor Falsafah, University of Newcastle Upon Tyne, United Kingdom.

Ahmad Sodikin Kasimin and KKUJ Central Committees, 2000. “Transforming JIM into Economic Powerhouse: Preliminary Paper”, dlm. Mohamed Hatta Shaharom, Ahmad Sodikin Kasimin dan Mohd Radzi Shaari, eds., Risalah Pemimpin – Penulisan Jawatankuasa Pusat JIM, Kuala Lumpur: Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM).

Ana, Mac 2001. “Perniagaan Islam: Allah Sumber Rezeki”, ms.6-7.

Ana, Mac 2001. “12 Tujuan Berniaga”, ms. 7.

Dunia `Alim,  Mac 2001. “Apa Rahsia Membangunkan Ekonomi?”, ms. 9.

Hendricks, Gay dan Goodeman, Kate, 1996. The Corporate Mystics.

KBI (Koperasi Belia Islam Malaysia Berhad), t.t.a. Koperasi Belia Islam Malaysia Berhad – Undang-Undang Kecil, Kuala Lumpur.

KBI (Koperasi Belia Islam Malaysia Berhad), t.t.b. Koperasi Belia Islam Malaysia Berhad – Company  Profile, Kuala Lumpur.

KBI (Koperasi Belia Islam Malaysia Berhad), t.t.c. Koperasi Belia Islam Malaysia Berhad – Maklumat Korporat, Kuala Lumpur.

KIMB (Koperasi Islah Malaysia Berhad), 1995. KIMB - Laporan Tahunan 1995, Kuala Lumpur.

KIMB (Koperasi Islah Malaysia Berhad), 1997a. Koperasi Islah Malaysia Berhad – Undang-Undang Kecil, Kuala Lumpur, 16 April.

KIMB (Koperasi Islah Malaysia Berhad), 1997b. Laporan Tahunan KIMB 1997, Kuala Lumpur.

KIMB (Koperasi Islah Malaysia Berhad), 2000. Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Ke-7, Kuala Lumpur, 17 Jun.

Kohilal, 1993. Kohilal - Laporan Tahunan 1993 – Mesyuarat Agung Perwakilan Tahun Ke-6, Kuala Lumpur.

Kohilal, 1998. Kohilal - Laporan Tahunan 1998, Kuala Lumpur.

Kohilal, 1997. Kohilal - Laporan Tahunan 1997, Kuala Lumpur.

Kohilal, 1999a. Kohilal - Laporan Tahunan 1999, Kuala Lumpur.

Kohilal, 1999b. Kohilal – Undang-Undang Kecil & Aturan-Aturan, Kuala Lumpur.

Mohamed Hatta Shaharom, Ahmad Sodikin Kasimin dan Mohd Radzi Shaari, eds., 2000. Risalah Pemimpin – Penulisan Jawatankuasa Pusat JIM, Kuala Lumpur: Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM).

Muhammad Syukri Salleh, 1992. An Islamic Approach to Rural Development: The Arqam Way, Asoib International Limited, London.

Muhammad Syukri Salleh, 1993. "Arqamnomics: Pemikiran Baru Ekonomi Islam", dlm. Darul Arqam, ed., Huraian Minda Terkini Dalam Seminar Pembangunan Ekonomi Era Ekonomi Komersil, ms. 34-43. 

Muhammad Syukri Salleh, 1994a. "Arqamnomics: Pemikiran Baru Ekonomi Islam", ERA, Dasar Padu (M) Sdn Bhd, Kuala Lumpur, March 1994a, hal.18-19, 32-33.

Muhammad Syukri Salleh, 1994b. "An Ethical Approach to Development: The Arqam Philosophy and Achievements", Humanomics (Canada), Vol.10, No.1, January, ms.25-60.

Muhammad Syukri Salleh, 1995. "Islamic Change in Malaysia: The Politics of Unfavorable Responses", in Jean DeBernardi, Gregory Forth and Sandra Niessen, eds., Managing Change in Southeast Asia: Local Identities, Global Connections, Canada: Canadian Council for Southeast Asian Studies, ms.227-243.

Pusat Motivasi Qatrunnada, 1999. “Sembahyang, Falsafah dan Peranannya – Membina Peribadi Agung Melalui Sembahyang”, Kuala Lumpur.

Rufaqa’ Corporation, 1995. “Kepentingan Perpaduan Dalam Perniagaan”, makallah, tidak diterbitkan, 27 September.

Rufaqa’ Corporation, t.t.a. “Falsafah Perniagaan Menurut Pandangan Islam”, makallah, tidak diterbitkan.

Rufaqa` Corporation, t.t.b. “Sistem Ekonomi Islam”, makallah, tidak diterbitkan.

Rufaqa` Corporation, t.t.c. “Perbezaan Ekonomi Islam Dibanding Dengan Ekonomi Kapitalis”, makallah, tidak diterbitkan.

Rufaqa` Corporation, t.t.d. “Bagaimana Menghadapi Kapitalis”, makallah, tidak diterbitkan.

Rufaqa` Corporation, t.t.e. “Keutamaan Fitrah Daripada Akal”, makallah, tidak diterbitkan.

Rufaqa’ Corporation, t.t.f. “Konsep Perjuangan Dalam Perniagaan”, makallah, tidak diterbitkan.

Rufaqa` Corporation, t.t.g. “Proposal Bagi Pentadbiran Hati Manusia (Humanware Administration)”, makallah, tidak diterbitkan.

Rufaqa` Corporation, t.t.h. “Mengatasi Masalah Perniagaan”, makallah, tidak diterbitkan.

Rufaqa` Corporation, t.t.i. “Menilai Kejayaan Perniagaan”, makallah, tidak diterbitkan.

Rufaqa` Corporation, t.t.j. “Menilai Kejayaan Perniagaan Menurut Islam”, makallah, tidak diterbitkan.

Rufaqa` Corporation, t.t.k. “Sistem Kerjasama Dalam Ekonomi Islam”, makallah, tidak diterbitkan.

Sharifah Zaleha Syed Hassan, 1995. “The Revival of Islam in Post-Indpendence Malaysia: A Case Study of the Al-Arqam Movement”, kertas dibentangkan di First EUROSEAS Conference, Leiden, The Netherland, 29 Jun-1 Julai 1995.

Sheikh Muhammad Zakariyya, 1996. Terj. Muhammad Abdul Lathif, Panduan Mencari Nafkah Hidup Yang Diberkati – Jawapan Terhadap Masalah Harian Anda, Kuala Lumpur: Darul Nu’man, cetakan kedua.

Thamo, 2001. “Setelah 7 Tahun Pengharaman Al-Arqam – Kini Asaa’ri Digelar Jutawan”, Buletin Utama, 29 April-5 Mei, ms. 1-2, 22-23.

Tsuruoka, Doug, 1993. “Strong Fundamentals: In Malaysia, Islam is a Basis for Business”, Far Eastern Economic Review, Vol.156, No.37, September 16, ms 74-75.

Wan Mohamad Wan Sulong, 2000. “Koperasi Islah Malaysia Berhad (KIMB)”, dlm. Mohamed Hatta  Shaharom, Ahmad Sodikin Kasimin dan Mohd Radzi Shaari, eds., Risalah Pemimpin – Penulisan Jawatankuasa Pusat JIM, Kuala Lumpur: Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM).
 

TEMUBUAL
 

Koperasi Belia Islam (KBI)

1- Dr Mohd Ali Hj Baharom, di dalam kereta dalam perjalanan dari Pejabat KBI di Pusat Bandar Sri Rampai ke Quality Hotel, Kuala Lumpur pada 14 Mac 2001.
2- Encik Hassan Abdul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif KBI, di Pejabat KBI di Pusat Bandar Sri Rampai, Kuala Lumpur pada 14 Mac 2001.
 

Koperasi Al-Hilal (Kohilal)

1- Puan Rogayah bte Zakaria, Pengurus Keanggotaan dan Skim/Susulan Kredit, di Pejabat Kohilal, Jalan Sarikei, Off Jalan Pahang, Kuala Lumpur, pada 13 Mac 2001.
2- Senator Ustaz Haji Hassan Shukri, Pengerusi Lembaga Kohilal, melalui talipon pada 9 April 2001 dan di Pejabat Kohilal Jalan Sarikei, Off Jalan Pahang, Kuala Lumpur, pada 11 April 2001.
3- Encik Mohd Ismath Habib Mohamad, Setiausaha Lembaga Kohilal, di Pejabat Kohilal Jalan Sarikei, Off Jalan Pahang, Kuala Lumpur pada 11 April 2001.
 

Koperasi Islah Malaysia Berhad (KIMB)

1- Encik Wan Mohamad Wan Sulong, Pengerusi Ahli Lembaga KIMB, di pejabat KIMB di Pusat Bandar Melawati, Kuala Lumpur pada12 April 2001
2- Tuan Syed Ibrahim Syed Noh, Setiausaha Ahli Lembaga KIMB, di pejabat KIMB di Pusat Bandar Melawati, Kuala Lumpur pada 12 April 2001.
3- Encik Mohd Hasni bin Mohamed, Bendahari Ahli Lembaga KIMB, di pejabat KIMB di Pusat Bandar Melawati, Kuala Lumpur pada 12 April 2001.
4- Tuan Yaacob Tuan Sof, Ahli Lembaga Pengarah KIMB, di pejabat KIMB di Pusat Bandar Melawati, Kuala Lumpur pada 12 April 2001.
 

Rufaqa’ Corporation

1- Ustaz Haji Ashaari Muhammad, Pengerusi Eksekutif, Syarikat Rufaqa’ Corporation, di Rawang Country Home pada 21 Februari 2001, 15 Mac 2001, dan 11 April 2001.
2- Ustazah Khadijah Aam, di Rawang Country Home pada 21 Februari 2001, 15 Mac 2001, dan 11 April 2001.
3- Ustaz Hashim Jaafar, Ahli Lembaga Pengarah Zumalah, di Rawang Country Home pada 15 Mac 2001, di Quality Hotel, Kuala Lumpur pada 11 April 2001, dan di dalam kereta dalam perjalanan dari Hentian Jalan Duta ke KLIA pada 13 April 2001.
4- Ustaz Shuib Sulaiman, Ahli Lembaga Pengarah Zumalah, di Quality Hotel, Kuala Lumpur pada 11 April 2001 dan di dalam kereta dalam perjalanan dari Hentian Jalan Duta ke KLIA pada 13 April 2001.
 

Fitrah Perkasa Sdn. Bhd

1- Tuan Haji Ahmad Salim Omar, Pengarah Urusan, di Quality Hotel, Kuala Lumpur pada 10 April 2001.
2- Encik Pahrol Mohd Juoi, di Quality Hotel, Kuala Lumpur pada 10 April 2001.
3- Ustaz Hashim Ahmad, di Quality Hotel, Kuala Lumpur pada 10 April 2001.
 

Yayasan Aminul Ummah Malaysia

1- Encik Mohd Rodhi Daud, Pengerusi, di Quality Hotel, Kuala Lumpur pada 10 April 2001.
2- Ustaz Jaafar Salleh, di Quality Hotel, Kuala Lumpur pada 10 April 2001.
 


 
 
 
Back To Conferences Page Back To Main Page

 
 
Hosted by www.Geocities.ws

1