PERKAEDAHAN PEMBANGUNAN
BERTERASKAN ISLAM

Profesor Muhammad Syukri Salleh
Projek Pengurusan Pembangunan Islam (IDMP)
Universiti Sains Malaysia
 

Umumnya setiap manusia Islam naik saksi bahawa Allah SWT adalah Tuhan manakala Nabi Muhammad adalah Rasul-Nya. Ertinya mereka mengakui bahawa mereka adalah hamba Allah SWT dan pengikut kepada Nabi Muhammad s.a.w. Menjadi hamba Allah diterima secara jelas oleh aqal dan hati setiap manusia, sesuai dengan janji mereka di alam roh. Manusia tidak marah sekiranya mereka dipanggil hamba Allah, berbeza dengan kalau sekiranya mereka dipanggil hamba betina, hamba kereta, hamba harta, hamba dunia dan hamba-hamba yang lain.

Sebagai hamba Allah SWT, manusia mesti sentiasa mengabdikan diri, atau dalam bahasa yang lebih halus, beribadah, kepada Allah SWT. Ibadah ini tidak hanya terhad kepada perkara-perkara ritual agama, tetapi juga merangkumi setiap aspek kehidupan manusia pada setiap ketika, termasuk dalam melaksanakan pembangunan berteraskan Islam.

Pelaksanaan pembangunan berteraskan Islam pula tidak mungkin menjadi ibadah kecuali mengikut kaedah-kaedah yang telah ditetapkan. Oleh kerana ibadah mempunyai perkaedahan-perkaedahan berkenaan, maka sekaligus ibadah jugalah yang menjadi perkaedahan kepada pembangunan berteraskan Islam, seperti juga kepada segala perbuatan manusia di atas muka bumi ini.

Secara kasar, ibadah bolehlah dibahagikan kepada tiga bentuk, yakni ibadah asas, amalan-amalan utama (fadho-ilul `amal) dan ibadah umum.

Ibadah asas ialah ibadah-ibadah yang wajib dilaksanakan oleh setiap manusia, umpamanya seperti sembahyang, berpuasa, berzakat, naik haji dan sebagainya. Ibadah asas ini lebih cenderung berbentuk fardhu `ain. Dengan melaksanakan ibadah asas, manusia sebenarnya menegakkan hubungannya dengan Allah SWT (hablum-minallah). Dengan menegakkan hubungannya dengan Allah SWT (hablum-minallah), manusia sebenarnya menegakkan pembangunan kerohanian. Dengan perkataan lain, apabila manusia melaksanakan ibadah asas, manusia membangunkan kerohanian mereka.

Amalan-amalan utama (fadho-ilul-amal) pula ialah amalan-amalan yang tidak wajib dilaksanakan tetapi sangat digalakkan Islam, seperti berwirid, berzikir, bertasbih, melakukan perkara-perkara sunat dan sebagainya. Ia lebih berbentuk amalan-amalan tambahan kepada amalan-amalan wajib, yakni yang sunat-sunat. Oleh kerana amalan-amalan sunat begini mengikut Hadith Qudsi merupakan salah satu sebab Allah SWT cintakan seseorang, maka ianya adalah sangat penting dalam menegak dan menambah-eratkan hubungannya dengan Allah SWT (hablum-minallahnya). Jadi dengan melaksanakan amalan-amalan utama ini, pembangunan kerohanian mereka menjadi kian kuat.

Manakala ibadah umum pula ialah ibadah-ibadah yang lebih bersifat fardhu kifayah, umpamanya bermunakahah, bermuamalat, berkecimpung di dalam bidang ekonomi, perubatan, perundangan, politik, pembangunan dan sebagainya. Bila ibadah umum ini ditegakkan, maka tertegaklah hubungan antara sesama manusia dan antara manusia dan sumber alam (hablum-minannas).  Natijahnya ialah tertegaklah pembangunan material dan fizikal.

Ringkasnya, ibadah asas dan amalan utama membawa kepada pembangunan kerohanian manakala ibadah umum membawa kepada pembangunan material dan fizikal. Dengan lain perkataan, pembangunan kerohanian merupakan buah kepada pengamalan ibadah asas dan amalan utama, manakala pembangunan material dan fizikal merupakan buah kepada pengamalan ibadah umum. Oleh kerana pembangunan berteraskan Islam merupakan gabungan kedua-dua pembangunan rohani dan material dan fizikal, maka pembangunan berteraskan Islam sebenarnya merupakan buah kepada pengamalan ketiga-tiga bentuk ibadah di atas keseluruhannya.

Kalau dilihat secara kasar, pembangunan memang ternampak semacam terletak di dalam ibadah umum. Namun begitu, kerana maksud pembangunan di dalam kategori ini hanya bermaksud pembangunan material dan fizikal, maka melaksanakan ibadah umum sahaja tidak mencukupi untuk menegakkan pembangunan berteraskan Islam. Pembangunan berteraskan Islam bukan hanya pembangunan material dan fizikal, tetapi bergabung dengannya ialah pembangunan kerohanian. Jadi untuk menegakkan pembangunan berteraskan Islam secara komprehensif, ketiga-tiga ibadah asas, amalan-amalan utama dan ibadah umum perlu ditegakkan sekaligus.

Namun begitu, setiap bentuk ibadah itu tidak mungkin diterima Allah SWT, dan oleh itu begitu juga dengan pembangunan, sekiranya ia tidak mengikut kaedah dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan Allah SWT. Setiap ibadah ada kaedah melaksanakannya. Kalau tergelincir dari kaedah itu, maka tergelincirlah pembangunan berkenaan dan tidak jadilah ia sebagai pembangunan berteraskan Islam. Kaedah-kaedah ibadah itu jadinya mestilah diikuti sungguh-sungguh.

Kaedah ibadah asas dan amalan utama, yang membawa kepada pembangunan kerohanian tidak terlepas dari ilmu-ilmu Fardhu `Ain, yakni Tauhid, Fekah dan Tasawuf. Dalam mengerjakan sembahyang, puasa, haji dan sebagainya, ketiga-tiga unsur ini mesti dilaksanakan secara sepadu. Misalnya dalam mengerjakan sembahyang, puasa dan haji, rasa keTauhidan kepada Allah SWT mesti menjadi tunjang, manakala Feqah menggariskan peraturan-peraturan dan Tasawuf pula menentukan kekhusyukan. Ketiga-tiganya tidak boleh terpisah. Begitulah juga dengan ayat-ayat al-Qur’an. Ketiga-tiga unsur ini sering bersepadu di dalam satu ayat.

Di dalam ibadah umum pula, kaedahnya ditentukan oleh lima syarat. Pertama, niat mestilah kerana Allah SWT. Kedua, isinya mestilah tidak bertentangan dengan syariat. Ketiga, pelaksanaannya mestilah menurut syariat. Keempat, natijahnya tidak bertentangan dengan syariat. Dan kelima, ibadah-ibadah asas tidak ditinggalkan. Ertinya dalam menegakkan ibadah umum, yang hasilnya ialah pembangunan fizikal dan material, inilah kaedah-kaedahnya.

Gabungan antara kaedah ibadah asas, amalan-amalan utama dan ibadah umum membentuk satu kaedah pembangunan berteraskan Islam. Atas sebab itulah maka kaedah pembangunan berteraskan Islam sebenarnya adalah kaedah ibadah. Dan dengan itulah maka pembangunan menjadi alat kepada pengabdian manusia kepada Allah SWT, sesuai dengan fungsi kehidupannya di atas muka bumi ini. Dengan ini maka selamatlah manusia dari derhaka dalam taat, atau taat dalam derhaka.

Kesimpulannya, ibadah itu adalah merupakan kaedah pembangunan berteraskan Islam kerana manusia mesti sentiasa hidup dalam beribadah kepada Allah SWT, dalam setiap kehidupan, pada setiap saat dan ketika. Pembangunan pula adalah salah satu aspek kehidupan manusia. Ia juga oleh itu mesti dilaksanakan dengan menggunakan ibadah sebagai kaedahnya. Ibadah ini tidak mungkin dapat disempurnakan kecuali dengan menggunakan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan Allah SWT. Dalam bahasa yang lebih halus, peraturan-peraturan ini dipanggil syariat. Dalam konteks ini ibadah adalah kaedah pembangunan berteraskan Islam manakala syariat pula adalah peraturan-peraturan dalam beribadah itu.
 
 
 
Back To Publications Page Back To Main Page

 
 

Hosted by www.Geocities.ws

1