PENGUKUHAN NILAI AMANAH:
SUMBER DAN PERKAEDAHAN[1]

Profesor Muhammad Syukri Salleh[2]
Projek Pengurusan Pembangunan Islam (IDMP)
Universiti Sains Malaysia
 
 
 

PENGENALAN

Amanah merupakan salah satu sifat yang wajib bagi Rasulullah s.a.w.[3]. Kerana amanahnya Rasulullah s.a.w., Baginda diberi gelaran Al-Amin oleh masyarakat Makkah.

Amanah juga adalah salah satu dari sebelas nilai utama yang ditekankan oleh Kerajaan Malaysia terutamanya ke atas pegawai dan kakitangan perkhidmatan awamnya. Malah amanah diletakkan di tempat pertama di dalam senarai sebelas nilai utama ini (INTAN 1991:vi, xvii, 7-8)[4].
 

MAKNA AMANAH

Dari segi bahasa, amanah berasal dari perkataan Arab, bermaksud tenteram, aman, terselamat dan harmonis.

Dari segi nilai dan akhlak, amanah bermaksud menghargai kepercayaan orang lain terhadap diri seseorang dengan melaksanakan tuntutan yang terdapat dalam kepercayaan itu. Dengan kata lain, amanah ialah tanggungjawab yang diterima seseorang yang kepadanya diberikan kepercayaan bahawa ia dapat melaksanakannya sebagaimana yang dituntut, tanpa mengabaikannya. Apabila tanggungjawab ini dilaksanakan dengan sempurna, ia merasa tenteram, aman, terselamat dan harmonis (Mohd Nakhaie Hj. Ahmad 1996:2).

Semua manusia telah diberikan amanah, dari amanah terhadap diri sendiri, terhadap rumahtangga hinggalah kepada terhadap pengurusan negara. Amanah-amanah ini merupakan pengurusan hak-hak seseorang yang dipertanggungjawab ke atas seseorang untuk dilaksanakan dengan adil (Abdul Monir Yaacob 1998:175). Ini termasuk amanah untuk mentadbir dunia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang. Maka semuanya enggan untuk memikulnya dan mereka khuatir akan mengkhianatinya dan dipikul amanah itu oleh manusia” (Al-Ahzab (33):72).
 

Rasulullah s.a.w. juga, menurut Ibnu Abbas r.a., telah bersabda bahawa Allah SWT telah berfirman, maksudnya:

Wahai Adam! Sesungguhnya Aku telah menawarkan `amanat’ itu kepada langit dan bumi, namun kesemuanya tidak sanggup menanggungnya. Apakah engkau sanggup menanggungnya dengan segala risikonya? Bertanya Adam: Dan apa yang akan aku dapat kiranya aku sanggup menanggungnya? Berfirman Tuhan: Kiranya engkau sanggup menanggungnya dengan baik, nescaya engkau akan diberi pahala, dan kiranya engkau menyia-nyiakannya, nescaya engkau akan disiksa. Berkata Adam: Aku sanggup menanggungnya dengan segala risikonya. Maka tiadalah lama dia berada di syurga, melainkan sekadar antara shalat yang pertama dan shalat Ashar, maka dia pun telah dikeluarkan syaitan dari syurga itu” (Riwayat Abus-Syaikh)[5].
 

Amanah sebenarnya merupakan satu nilai dan etika. Nilai ditakrifkan oleh INTAN (1991:20) sebagai “kepercayaan yang mendorong seseorang atau sesebuah institusi untuk bertindak mengikut pemilihan yang berasaskan nilai-nilai utama masyarakat”. Etika pula bermaksud “tanggungjawab dan akibat tingkahlaku seseorang atau profesion terhadap masyarakat”.

Menurut INTAN (1991:77-79), amanah ialah menyerahkan sesuatu kepada orang yang berhak menerimanya. Matlamatnya ialah keadilan. Ciri-cirinya tergambar di dalam tindakan-tindakan berikut:

i- Menggunakan masa dengan sebaiknya;

ii- Membelanjakan harta awam mengikut peraturan yang ditentukan dan jauh sekali daripada melakukan rasuah dan pembaziran; dan

iii- Menyiapkan kerja mengikut tempoh yang ditetapkan.

Seseorang dianggap tidak beramanah sekiranya cuai di dalam menjalankan tugas, menyalahgunakan kuasa dan kedudukan, dan melakukan tugas-tugas peribadi dengan berselindung di balik tugas-tugas rasmi.
 

KEPENTINGAN AMANAH

Amanah merupakan salah satu syarat berimannya seseorang. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

Tidak sempurna iman bagi orang yang tidak beramanah dan tidak diterima sembahyang orang yang tidak bersuci dan tidak sempurna agama, orang yang tidak diterima sembahyangnya” (Riwayat At-Tabrani).

Tidak sempurna iman bagi orang yang tidak beramanah dan tidak sempurna agama bagi orang yang tidak menepati janji” (Riwayat Ahmad).

Tiada iman pada orang yang tidak beramanah” (Riwayat Ahmad).
 

Amanah juga menjadi salah satu pengukur kepada munafiq tidaknya seseorang itu. Rasulullah s.a.w. bersabda:

Tiga perkara yang jika terdapat salah satu daripadanya, bererti terdapat tanda munafiq sekalipun ia berpuasa, bersembahyang, menunaikan haji, umrah dan mengakui dirinya seorang Islam iaitu apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia memungkirinya dan apabila diamanahkan ia menggkhianatinya” (Riwayat Abu al-Syeikh).
 

Malah amanah merupakan sumber rezeki. Rasulullah s.a.w. bersabda:

Amanah membawa rezeki dan khianat membawa kefakiran” (Riwayat Ad-Dailami).
 

Atas sebab pentingnya amanah, Allah SWT mengingatkan:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)” (Al-Anfal 8:27)[6].
 

Rasulullah s.a.w. pula mengingatkan:

Apabila amanah telah disia-siakan, maka tunggulah kehancuran. Sahabat bertanya: “Bagaimana mensia-siakannya?” Rasulullah menjawab: “Apabila sesuatu jawatan diserahkan kepada orang-orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancurannya” (Riwayat Al-Bukhari).
 

Di sisi Kerajaan Malaysia, nilai amanah, bersama dengan sepuluh nilai dan etika-etika lain yang ditekankan, adalah penting kerana dua sebab (INTAN 1991:19):

i- Ia menentukan arah dan memberikan makna kepada pemikiran, tindakan dan tingkahlaku anggota Perkhidmatan Awam bagi memenuhi tanggungjawab dan amanah mereka sebagai pekerja negara; dan

ii- Ia memberi penyatuan dan penyelarasan di antara anggota-anggota Perkhidmatan Awam sebagai institusi utama yang membuat sumbangan kepada pembangunan tamadun masyarakat.

Nilai amanah disyaratkan mesti ada pada setiap anggota Perkhidmatan Awam kerana keadaan tugasnya mengurus dan menjaga kewangan serta harta benda Kerajaan dan rakyat (INTAN 1991:41). Dengan mengamalkan nilai amanah, anggota Perkhidmatan Awam akan berlaku adil dan dapat melahirkan keamanan dan kemakmuran kepada seluruh masyarakat. Rakyat jelata akan memperolehi kesejahteraan hidup (INTAN 1991:78).
 

BENTUK-BENTUK AMANAH

Secara mudah, amanah boleh dibahagikan kepada beberapa bentuk seperti berikut:

1- Amanah terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya

Amanah bentuk ini bermaksud menjalankan tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah Allah SWT, sesuai dengan rahsia penciptaan dan fungsi hidup manusia. Ia merupakan amanah yang paling utama. Pelaksanaan tanggungjawab sebagai hamba merupakan pengukuhan hablumminallah (hubungan manusia dengan Allah SWT). Manakala pelaksanaan tanggungjawab sebagai khalifah Allah SWT merupakan pengukuhan hablumminannas (hubungan manusia sesama manusia dan dengan sumber alam).

Sebagai hamba Allah SWT, manusia mesti setiap saat dalam apa jua perbuatan, termasuk dalam menjalankan tugas-tugas Perkhidmatan Awam, beribadah kepada Allah SWT. Sebagai khalifah Allah SWT, manusia mesti setiap saat mengurus, membangun dan memakmurkan alam mengikut syariat, sebagaimana dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w.

Dengan memelihara dan menghargai amanah Allah SWT dan Rasulullah s.a.w., seseorang dapat melahirkan suasana aman, tenteram dan penuh harmoni.
 

2- Amanah Terhadap Diri Sendiri

Di peringkat unit yang lebih kecil, manusia mesti memegang amanah terhadap dirinya sendiri. anggota-anggota jasadnya (mata, telinga, mulut, perut, tangan, kaki dan kemaluan) dan anggota-anggota bathinnya (aqal, hati dan nafsu) yang dikurniakan Allah SWT. Semuanya mesti berfungsi mengikut tuntutan Allah SWT dan sebagaimana dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w.
 

3- Amanah Terhadap Masyarakat

Amanah terhadap masyarakat timbul kerana sifat masyarakat yang bergantungan antara satu sama lain. Orang kaya dan orang miskin, penjual dan pembeli, pemimpin dan pengikut, pegawai dan kakitangannya, pemerintah dan rakyat, dan sebagainya semuanya bergantung antara satu sama lain.

Dalam keadaan ini, masing-masing mesti menjalankan tanggungjawab sebagaimana sepatutnya hingga lahir suasana saling memerlukan, saling berfungsi, saling memenuhi, saling membantu dan akhirnya saling sama-sama menikmati hasilnya yang sejahtera, aman, tenteram dan harmonis.
 

CONTOH AMANAH

1- Khalifah Umar Abdul Aziz

Baginda memadamkan lampu kepunyaan Kerajaan yang digunakan untuk kerja rasminya apabila puteranya masuk untuk berbincang tentang urusan keluarganya. Apabila puteranya bertanya kenapa Baginda melakukan demikian, Baginda berkata begini:

…lampu yang sedang ayahanda gunakan untuk bekerja sebentar tadi adalah kepunyaan Kerajaan, minyak yang digunakan itu dibeli dengan wang Kerajaan, sedangkan perkara yang hendak kita bincangkan ini adalah urusan keluarga…Sekarang lampu yang baru kita nyalakan ini adalah kepunyaan keluarga kita, minyaknya pun kita beli dengan wang kita sendiri” (Mohd Nakhaie Hj. Ahmad 1996:17).
 

2- Nenek Khalifah Umar Abdul Aziz

Beliau enggan mematuhi suruhan ibunya agar mencampurkan susu yang akan dijualnya dengan air. Katanya Khalifah Umar bin Khattab melarang melakukan perbuatan demikian. Apabila ibunya berkata ramai orang telah melanggar larangan itu dan Khalifah Umar dan pembantunya tidak ketahui tentang perbuatannya, beliau berkata begini:

Jika Umar tidak tahu, tetapi Tuhannya Umar pasti tahu. Demi Allah, saya bukanlah orang yang tergolong mentaatinya di hadapan ramai tetapi mendurhakainya di waktu sunyi” (K.H. Firdaus 1997:42-44)[7].
 

SUMBER AMANAH

Amanah adalah salah satu sifat mahmudah (sifat terpuji).

Sifat mahmudah ini membawa seseorang berakhlak. Ia akan berakhlak bukan sahaja dengan sesama manusia, tetapi juga lebih-lebih lagi dengan Allah SWT.

Ilmu untuk berakhlak terkandung di dalam ilmu tasauf[8]. Ilmu tasauf mengajar manusia mengenal diri, mengenal sifat mazmumah (sifat terkeji), mengenal sifat mahmudah (sifat terpuji) serta mengajar kaedah-kaedah menghapuskan mazmumah dan mendapatkan mahmudah tersebut.

Dengan terhapusnya mazmumah dan tercapainya mahmudah, seseorang akan tinggi iman dan nafsunya. Paling tidak ia akan mempunyai iman ayan dan nafsu mutmainnah. Lebih tinggi lagi ia akan mempunyai iman haq atau iman haqiqat, dan nafsu radhiah atau nafsu mardhiyyah atau nafsu kamilah[9]. Apabila seseorang mencapai tingkat-tingkat iman dan nafsu ini, dengan tersendirinya akan adalah sifat amanah di dalam dirinya.

Sebaliknya kalau seseorang itu mempunyai iman dan nafsu yang rendah dari iman ayan dan nafsu mutmainnah, umpamanya iman taqlid atau iman ilmu, dan nafsu ammarah, atau nafsu lawwamah, atau nafsu mulhamah, maka tidak akan adalah sifat amanah di dalam dirinya.

Dengan lain perkataan, amanah hanya dapat dicapai dengan meningkatkan tingkat iman sekurang-kurangnya kepada tingkat iman ayan dan meningkatkan tingkat nafsu sekurang-kurangnya kepada tingkat nafsu mutmainnah. Tapak kepada iman dan nafsu ini ialah hati. Kerana amanah ditentukan oleh iman dan nafsu, maka amanah juga terletak di hati. Huzaifah r.a. meriwayatkan, katanya:

Rasulullah s.a.w. menceritakan kepada kami dua buah Hadis. Aku telah mengetahui salah satu daripadanya dan aku masih menunggu Hadis yang kedua. Baginda menceritakan kepada kami bahawa: Amanah ditempatkan pada pangkal hati seorang lelaki. Setelah al-Qur`an diturunkan, mereka mula mempelajari dari al-Qur`an begitu juga mereka mula mengetahui dari Sunnah. Seterusnya Baginda menceritakan kepada kami tentang kehilangan amanah dengan bersabda: Seorang lelaki sedang tidur lalu amanah diambil dari hatinya sehingga menampakkan kesannya. Kemudian dia tidur lagi lalu diambil pula amanah dari hatinya sehingga kesannya bengkak seperti melecur kerana terkena bara yang jatuh ke kaki. Kesan tersebut terus membengkak sedangkan tidak ada apa-apa di dalamnya. Seterusnya Baginda mengambil seketul batu kecil lalu menjatuhkannya ke kaki Baginda. Orang ramai kembali meneruskan urusniaga masing-masing. Hampir tidak ada seorang pun yang menunaikan amanah lantas Baginda bersabda: Di kalangan Bani Polan ada seorang lelaki yang sangat amanah. Sehinggalah Baginda berkata kepada seorang lelaki: Alangkah tabahnya! Alangkah jujurnya! Alangkah pintarnya! Sedangkan dihatinya tidak ada iman walaupun sebesar biji sawi. Benar-benar telah datang kepada suatu zaman dan aku tidak peduli kepada sesiapa di antara kalian aku berjual beli. Jika dia orang Islam maka agamanya akan menegahnya mengkhianatiku. Sekiranya dia seorang Nasrani atau Yahudi maka penguasanya akan menegahnya dari mengkhianatiku. Adapun hari ini aku hanya berjual beli dengan si Polan dan si Polan” (Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad Ibnu Hambal[10]).
 

KAEDAH MENDAPAT AMANAH

Kerana amanah merupakan sifat mahmudah, ibunya ialah iman dan nafsu, dan tapaknya ialah hati, maka pengukuhan sifat amanah mestilah memakai kaedah menyucikan hati. Hati yang suci bererti iman yang tinggi, nafsu yang bersih, akhlak yang mulia, serta akhirnya amanah yang kukuh di dalam diri.

Semua ini boleh dicapai melalui tiga peringkat usaha yakni:

1- Takhalli – Mengosongkan hati dari mazmumah;

2-  Tahalli – Memasukkan mahmudah ke dalam hati yang telah kosong dari mazmumah; dan

3- Tajalli – Merasai nikmat mahmudah.

Peringkat takhalli dan tahalli boleh dilaksanakan antara lain melalui memakan makanan yang suci, membaca al-Qur`an, mengingati mati dan mencari ilmu.

Menurut Imam Ghazali (1978:13-17), mahmudah (atau budipekerti baik) boleh didapati melalui perjuangan dan latihan-latihan diri, yakni memaksa diri dengan perbuatan-perbuatan yang dikehendaki oleh budiperkerti yang dituntut, sehingga lama kelamaan perbuatan-perbuatan baik itu menjadi tabiatnya dan akan menjadi mudahlah apa yang ditujunya. Latihan dan perjuangan ke arah budipekerti baik seumpama amanah, pemurah dan tawadhuk ini boleh disebut sebagai mujahadatun-nafsi. Puncaknya ialah tajalli, yakni merasakan kenikmatan dan kelapangan hati dari perbuatan-perbuatan yang timbul dari dirinya itu.

Natijah dari ini semua ialah wujudnya rasa kehambaan dan rasa berTuhan di dalam diri. Merasa betapa dhaifnya diri dan betapa berkuasanya Allah SWT, betapa dahsyatnya neraka dan betapa indahnya syurga. Setiap saat wujud rasa diawasi. Pertama rasa diawasi Allah SWT kerana Allah SWT itu Maha Mendengar, Maha Melihat dan Maha Mengetahui, dan Allah SWT mengingatkan:

Katakanlah: “Jika kamu menyembunyikan apa yang ada dalam hatimu atau kamu melahirkannya, pasti Allah mengetahui”. Allah mengetahui apa-apa yang ada di langit dan apa-apa yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu” (Ali Imran 3:29).
 

Kedua, rasa diawasi oleh Malaikat Raqib dan Atid yang sentiasa mencatat amal kebaikan dan kejahatan manusia.

Apabila rasa-rasa ini telah subur di dalam diri, datanglah rasa kehambaan kepada Allah SWT, umpamanya seperti rasa-rasa berikut[11]:

i- Malu kepada Allah SWT, malu untuk melakukan dosa dan malu mengekalkan sifat-sifat yang jahat;

ii- Rasa diri lemah, lalu tidak sanggup menyombong diri dengan Allah SWT dan dengan sesama manusia;

iii- Rasa takut, hingga terdorong untuk bersungguh-sungguh beribadah dan bersungguh-sungguh meninggalkan maksiat. Rasa takut ini bukan hanya takut kepada hukuman dan azab Allah SWT, tetapi takut kehilangan kasih sayang Allah SWT, takut cinta tidak terbalas, takut kalau-kalau terputus dari bantuan dan rahmat Allah SWT.

iv- Sentiasa berhati-hati, sentiasa berhalus di dalam setiap perbuatan, tingkahlaku malah di dalam niat di dalam hati.

v- Sentiasa terasa kasih sayang Allah SWT, walaupun di dalam kesakitan, dalam penderitaan, dalam keadaan doa tidak dimakbulkan Allah SWT kerana dengan kesakitan, penderitaan dan tidak termakbulnya doa itu, Allah SWT hapuskan dosa dan ganjarkan dengan pahala dan kesejahteraan di akhirat kelak.
 

Dengan rasa ini semua maka lahirlah akhlak dan kukuhlah amanah dalam diri seseorang itu.

Kesemua rasa-rasa ini sebenarnya merupakan buah kepada penghayatan ilmu fardhu `ain. Rasa kehambaan dan berTuhan adalah aqidah yang lahir dari ilmu Tauhid. Melaksanakan suruhan dan meninggalkan larangan Allah SWT adalah syariat yang lahir dari ilmu Feqah. Manakala natijah beramanah adalah akhlak yang lahir dari ilmu Tasawuf.

Umpama sepohon pokok, Tauhid adalah tunjang, Fiqh adalah batang, manakala Tasauf adalah buah. Ketiga-tiga mesti wujud sekaligus. Tidak hidup pokok yang hanya ada tunjang tanpa batang dan buah. Tidak munasabah ada pokok yang ada buah tanpa tunjang dan batang. Dan tidak berguna pokok yang hanya ada tunjang dan batang tanpa buah.

Pengukuhan sifat amanah oleh itu mesti bermula dari fardhu `ain ini.
 

KESIMPULAN

Amanah adalah sifat mahmudah yang mesti ada dalam setiap diri manusia, bukan dalam diri kakitangan awam sahaja.

Amanah mesti diamalkan setiap saat dan di mana sahaja, bukan hanya ketika waktu pejabat dan di pejabat sahaja.

Untuk menjadi darah daging, amanah bukan hanya perlu dipelajari dan diamalkan, tetapi juga mesti dirasai dan dihayati. Ini tidak mungkin terjadi kecuali seseorang itu mempunyai iman paling kurang iman ayan dan nafsu paling kurang nafsu mutmainnah.
 
 

LAMPIRAN

NAS-NAS TENTANG AMANAH
 

Nas-nas Al-Qur`an

1- Beratnya Memikul Amanah

Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang. Maka semuanya enggan untuk memikulnya dan mereka khuatir akan mengkhianatinya dan dipikul amanah itu oleh manusia” (Al-Ahzab (33):72).
 

2- Kewajipan Melaksanakan Amanah

Jika kamu dalam perjalanan (dan bermuamalah tidak secara tunai) sedang kamu tidak memperoleh seorang penulis, maka hendaklah ada barang tanggungan yang dipegang (oleh yang berpiutang). Akan tetapi jika sebahagian kamu mempercayai sebahagian yang lain, maka hendaklah yang mempercayai itu menunaikan amanahnya (hutangnya) dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya; dan janganlah kamu (para saksi) menyembunyikan persaksian. Dan barangsiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya; dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan” (Al-Barqarah (2):283).
 

3- Serahkan Amanah Kepada Yang Berhak

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat” (An-Nisaa’ (4):58).
 

4- Larangan Berkhianat Terhadap Amanah

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui” (Al-Anfaal (8):27).
 

5- Amanah Sebagai Sifat Orang Beriman

Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyu` dalam shalatnya, dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna, dan orang-orang yang menunaikan zakat, dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela. Barangsiapa mencari yang di balik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. Dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah (yang dipikulnya) dan janjinya, dan orang-orang yang memelihara sembahyangnya. Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi, (yakni) yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya” (Al-Mu’minun (23):1-11).
 
 

Nas-Nas Hadith

1- Penjaga Amanah

Diriwayatkan daripada Anas r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya setiap umat itu terdapat seorang penjaga amanah dan orang yang menjaga amanah umat ini ialah Abu Ubaidah bin al-Jarrah” (Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi dan Ahmad Ibnu Hambal).
 

2- Beratnya Memikul Amanah

Ibnu Abbas r.a. meriwayatkan, telah bersabda Rasulullah s.a.w. bahawa Allah SWT telah berfirman: Wahai Adam! Sesungguhnya Aku telah menawarkan `amanat’ itu kepada langit dan bumi, namun kesemuanya tidak sanggup menanggungnya. Apakah engkau sanggup menanggungnya dengan segala risikonya? Bertanya Adam: Dan apa yang akan aku dapat kiranya aku sanggup menanggungnya? Berfirman Tuhan: Kiranya engkau sanggup menanggungnya dengan baik, nescaya engkau akan diberi pahala, dan kiranya engkau menyia-nyiakannya, nescaya engkau akan disiksa. Berkata Adam: Aku sanggup menanggungnya dengan segala risikonya. Maka tiadalah lama dia berada di syurga, melainkan sekadar antara shalat yang pertama dan shalat Ashar, maka dia pun telah dikeluarkan syaitan dari syurga itu” (Riwayat Abus-Syaikh).

Bahawa itu adalah suatu amanah dan ia di hari Qiamat akan menjadi kerugian dan penyesalan, kecuali bagi orang yang mengambilnya dengan cara hak serta menunaikan kewajipan yang terpikul di atas bahunya” (Riwayat Muslim).
 

3- Amanah Sebagai Syarat Berimannya Seseorang

Tidak sempurna iman bagi orang yang tidak beramanah dan tidak diterima sembahyang orang yang tidak bersuci dan tidak sempurna agama, orang yang tidak diterima sembahyangnya” (Riwayat At-Tabrani).

Tidak sempurna iman bagi orang yang tidak beramanah dan tidak sempurna agama bagi orang yang tidak menepati janji” (Riwayat Ahmad).

Tiada iman pada orang yang tidak beramanah” (Riwayat Ahmad).
 

4- Amanah Sebagai Pengukur Kemunafikan Seseorang

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Tanda-tanda orang munafik ada tiga perkara, iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia mungkiri dan apabila diberi amanah dia mengkhianati” (Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Nasaie dan Ahmad Ibnu Hambal).

Tiga perkara yang jika terdapat salah satu daripadanya, bererti terdapat tanda munafiq sekalipun ia berpuasa, bersembahyang, menunaikan haji, umrah dan mengakui dirinya seorang Islam iaitu apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia memungkirinya dan apabila diamanahkan ia mengkhianatinya” (Riwayat Abu al-Syeikh).

Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik yang tulen. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik, hingga dia meninggalkannya. (Empat sifat itu ialah) apabila dipercayai ia khianat, apabila bercerita ia dusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengenepi kebenaran (menegakkan benang basah) (Riwayat Ahmad).
 

5- Amanah Sebagai Sumber Rezeki

Amanah membawa rezeki dan khianat membawa kefakiran” (Riwayat Ad-Dailami).
 

6- Tempat Letak Amanah Di Pangkal Hati

Diriwayatkan daripada Huzaifah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. menceritakan kepada kami dua buah Hadis. Aku telah mengetahui salah satu daripadanya dan aku masih menunggu Hadis yang kedua. Baginda menceritakan kepada kami bahawa: Amanah ditempatkan pada pangkal hati seorang lelaki. Setelah al-Qur`an diturunkan, mereka mula mepelajari dari al-Qur`an begitu juga mereka mula mengetahui dari Sunnah. Seterusnya Baginda menceritakan kepada kami tentang kehilangan amanah dengan bersabda: Seorang lelaki sedang tidur lalu amanah diambil dari hatinya sehingga menampakkan kesannya. Kemudian dia tidur lagi lalu diambil pula amanah dari hatinya sehingga kesannya bengkak seperti melecur kerana terkena bara yang jatuh ke kaki. Kesan tersebut terus membengkak sedangkan tidak ada apa-apa di dalamnya. Seterusnya Baginda mengambil seketul batu kecil lalu menjatuhkannya ke kaki Baginda. Orang ramai kembali meneruskan urusniaga masing-masing. Hampir tidak ada seorang pun yang menunaikan amanah lantas Baginda bersabda: Di kalangan Bani Polan ada seorang lelaki yang sangat amanah. Sehinggalah Baginda berkata kepada seorang lelaki: Alangkah tabahnya! Alangkah jujurnya! Alangkah pintarnya! Sedangkan dihatinya tidak ada iman walaupun sebesar biji sawi. Benar-benar telah datang kepada suatu zaman dan aku tidak peduli kepada sesiapa di antara kalian aku berjual beli. Jika dia orang Islam maka agamanya akan menegahnya mengkhianatiku. Sekiranya dia seorang Nasrani atau Yahudi maka penguasanya akan menegahnya dari mengkhianatiku. Adapun hari ini aku hanya berjual beli dengan si Polan dan si Polan” (Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad Ibnu Hambal).
 

7- Amanah Sama Dengan Sedekah

Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a. katanya: Nabi s.a.w. telah bersabda: Bendahari Islam yang amanah dan melaksanakan (atau kemungkinan juga Baginda bersabda: menunaikan) apa yang diperintahkan. Dia memberikannya secara sempurna dan berganda serta dalam keadaan senang hati, dia menyerahkan kepada orang yang diperintahkan supaya memberikannya. Maka dia juga dikira sebagai salah seorang yang bersedekah” (Riwayat Bukhari, Muslim, Nasaie, Abu Daud, dan Ahmad Ibnu Hambal).
 

8- Pahala Untuk Bendahari Yang Amanah

Diriwayatkan daripada Aisyah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila seorang isteri membelanjakan dari makanan yang terdapat di rumahnya tanpa melakukan kerosakan, maka dia akan mendapat ganjaran dari apa yang telah dibelanjakannya dan suaminya juga beroleh pahala dari apa yang telah diusahakan. Begitu juga Bendahari yang amanah, mendapat pahala samalah seperti mereka tanpa mengurangi sedikitpun pahala dari suami isteri tersebut” (Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Nasaie, Abu Daud, Ibnu Majah, dan Ahmad Ibnu Hambal).
 

9- Natijah Menyia-nyiakan Amanah

Apabila amanah telah disia-siakan, maka tunggulah kehancuran. Sahabat bertanya: “Bagaimana mensia-siakannya?” Rasulullah menjawab: “Apabila sesuatu jawatan diserahkan kepada orang-orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancurannya” (Riwayat Al-Bukhari).

[1] Sinopsis kertas yang disampaikan di Bengkel Khas II: Pengukuhan Nilai Amanah Dalam Latihan, anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di INTAN Kampus Wilayah Selatan (IKWAS), Kluang, Johor pada 17-19 Jun 2001.

[2] Prof Muhammad Syukri Salleh ialah Profesor Pengajian Pembangunan dan Ketua Projek Pengurusan Pembangunan Islam (IDMP) di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Email: [email protected]  Laman web: http://www.geocities.com/muhammadsyukri/

[3] Tiga lagi sifat yang wajib bagi Rasulullah s.a.w. ialah siddiq (benar), tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana). Lawan kepada sifat amanah ialah khianat, lawan kepada sifat siddiq ialah kazib (dusta), lawan kepada sifat tabligh ialah katiman (menyembunyikan) dan lawan kepada sifat fatanah ialah baladah (bodoh). Keempat-empat sifat yang berlawanan ini adalah sifat-sifat yang mustahil bagi Rasulullah s.a.w.

[4] Sepuluh lagi nilai utama yang ditekankan ialah bertanggungjawab, ikhlas, dedikasi, sederhana, tekun, bersih, berdisiplin, bekerjasama, berbudi mulia dan bersyukur. Lihat INTAN 1991:vi.

[5] Dipetik dari Syed Ahmad Semait 1996:396.

[6] Mengikut Mohd Nakhaie Hj. Ahmad 1996:12 (notakaki 1), mengkhianati amanah Allah SWT dan Rasul-Nya bererti meninggalkan suruhan-Nya dan melanggar larangan-Nya. Mengkhianati amanah sesama manusia pula bererti tidak memenuhi sesuatu yang telah diamanahkan sama ada yang berupa harta benda, rahsia atau sebagainya.

[7] Khalifah Sayyidina Umar bin Khattab bersama pembantunya bernama Aslam kebetulan pada malam itu berehat di tepi rumah perempuan tersebut setelah penat meninjau keadaan rakyat jelatanya. Kedua-duanya mendengar perbualan berkenaan dari balik dinding rumah. Beberapa lama selepas itu Khalifah Sayyidina Umar bin Khattab mengahwinkan perempuan amanah itu dengan anak lelakinya yang bernama Ashim. Hasil perkahwinan itu lahirlah Ummu Ashim yang kemudiannya dikahwini oleh Abdul Aziz bin Marwan dan membuahkan pula kelahiran Umar bin Abdul Aziz. Lihat K.H. Firdaus 1997:42-44.

[8] Ilmu tasauf ialah salah satu dari tiga ilmu fardhu `ain. Dua lagi ilmu fardhu `ain ialah ilmu Tauhid yang bersangkutan dengan aqidah dan ilmu fiqh yang bersangkutan dengan syariat.

[9] Terdapat lima tingkat iman dan tujuh tingkat nafsu. Tingkat iman paling rendah ialah iman taqlid (iman ikut-ikut, tanpa ilmu). Yang tinggi sedikit ialah iman ilmu (berilmu, tetapi tidak beramal dengan ilmunya), diikuti dengan iman `ayan (berilmu dan beramal dengan ilmunya), iman haq (iman wali-wali) dan iman haqiqat (iman para Rasul). Nafsu paling rendah pula ialah nafsu ammarah. Yang tinggi sedikit ialah nafsu lawwamah, diikuti dengan nafsu mulhamah, mutmainnah, radhiah, mardhiyyah dan nafsu yang paling tinggi, kamilah.

[10] Secara lebih terperinci, Hadith ini terdapat di dalam kitab-kitab berikut: Kajian Hadis: Riwayat Bukhari di dalam Kitab Meminta Simpati Hadis nombor 6016, Fitnah Hadis nombor 6559, Berpegang Dengan Sunnah Hadis nombor 6734; Riwayat Muslim di dalam Kitab Iman Hadis nombor 206; Riwayat Tirmizi di dalam Kitab Fitnah Hadis nombor 2105; Riwayat Ibnu Majah di dalam Kitab Fitnah Hadis nombor 4043; dan Riwayat Ahmad Ibnu Hambal di dalam Kitab Juzuk 5, ms 383-384.

[11] Lihat Siti Hasibah 1995:78-79; dan Mazlina Ismail 2001:2-3.
 

RUJUKAN

Abdul Monir Yaacob, 1998. “Prinsip Pengurusan dan Pentadbiran Menurut Al-Qur`an dan Sunnah”, dlm. Syed Othman Alhabshi dan Hamiza Ibrahim, eds., Pengurusan dan Pentadbiran – Mencapai Kecemerlangan Melalui Penghayatan Nilai, Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Imam Ghazali, 1978. Disesuaikan oleh Syaikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi dan dialihbahasa oleh Syed Ahmad Semait. Bimbingan Mu’minin Pada Mencari Redha Rabbil-`Alamin, Jilid 2, Singapura: Pustaka Nasional.

INTAN (Institut Tadbiran Awam Negara Malaysia), 1991. Nilai dan Etika Dalam Perkhidmatan Awam, Kuala Lumpur: INTAN.

K.H. Firdaus, 1997. Tokoh Kepimpinan dan Pejuang Keadilan Khalifah Umar bin Abdul Aziz, Kuala Lumpur: Pustaka Ilmi.

Mazlina Ismail, 2001. “Dalam Marah Pun Ada Kasih Sayang”, Ana, Jun, ms. 2-3.

Mohd Nakhaie Hj. Ahmad, 1996. Huraian Kepada Panduan al-Qur`an dan Hadith Bagi Pegawai dan Kakitangan Perkhidmatan Awam, Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, cetakan kedua.

Siti Hasibah, 1995. “Rasa Diawasi Mengawal Diri”, Dunia Baru, Disember, ms. 78-79.

Syed Ahmad Semait, 1996. Analisa dan Komentar Hadis Qudsi – Edisi Baru, Singapura: Pustaka Islamiyah Pte Ltd, cetakan ketiga.
 
 
Back To Conferences Page Back To Main Page

 
 

Hosted by www.Geocities.ws

1