Detik, 15 Disember 1999
 

LAJU TERENGGANU LAJU
Muhammad Syukri Salleh
 

Sejak PAS menguasai Terengganu, hampir setiap hari ada pengisytiharan tentang program-program yang hendak dilaksanakan. Paling pertama PAS telah mengistyiharkan cuti umum pada 30 November, sehari selepas pilihanraya, sebagai hadiah kepada rakyat Terengganu. Kemudian, kutipan tol di Jambatan Sultan Mahmud diisytihar dimansuhkan. Ini diikuti pula dengan pengisythiran pelbagai program dan rancangan-rancangan lain yang akan dilaksanakan di negeri berkenaan.

Kesemua sekali, dalam masa seminggu sejak PAS mengambil alih kuasa di Terengganu, yakni dari 30 November hingga rencana ini ditulis pada 6 Disember 1999, sudah lebih kurang 18 program diisytiharkan.

Selain dari cuti umum 30 November dan pemansuhan kutipan tol di Jambatan Sultan Mahmud di atas, telah diumumkan hari demi hari tentang perkiraan-perkiraan untuk memansuhkan cukai pintu rumah kediaman, melaksanakan cuti umum pada hari Jumaat dan Sabtu, memansuhkan cuti Sabtu pertama setiap bulan, mengisytiharkan harta Menteri Besar dan para anggota exconya, menjadikan kediaman rasmi Menteri Besar sebagai tempat perkumpulan dan perjumpaan orang ramai manakala Menteri Besar Tok Guru Haji Abdul Hadi terus menetap di rumah asalnya di Rusila, memansuhkan pembelian kereta rasmi baru bagi Menteri Besar dan anggota exconya, memendekkan waktu bekerja kakitangan kerajaan pada bulan Ramadhan, mengkaji semula sistem pentadbiran tinggalan Barisan Nasional dengan mengekalkan mana yang bersesuaian dengan Islam dan menghapuskannya mana yang bertentangan, mengkaji semula Pelan Strategik Fasa Kedua Pembangunan Negeri Terengganu (1996-2010) dan projek-projek mega seperti pembesaran Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan pelaburan kerajaan Negeri dalam Perwaja Steel Sendirian Berhad, mengkaji semula anak-anak syarikat milik kerajaan yang bermasalah, membetulkan para pentadbir kerajaan yang tidak memberikan perkhidmatan baik kepada rakyat, menekankan soal pembangunan manusia berasaskan Islam dalam membantu rakyat lebih memahami agama, melaksanakan zakat ke atas setiap individu Islam yang berkelayakan, dan akhir sekali, setakat ini, mengenakan kharaj (cukai tanah) ke atas individu bukan-Islam.

Sekali imbas, segala pengisytiharan di atas, dalam masa sesingkat ini, cukup menakjubkan. Ia boleh mempamirkan banyaknya idea dan lajunya kerajaan baru Terengganu dalam merealisasikan perubahan-perubahan. Dalam masa terdekat ini pula, tidak mustahil hari demi hari lebih banyak lagi pengistyiharan akan dibuat.

Namun begitu, dari perspektif yang lebih halus, pengisytiharan ini tidak begitu membantu dalam mempamirkan dinamisme dan kejituan kerajaan baru PAS di Terengganu. Pertama, ia kebanyakannya merupakan cakap-cakap pemimpin individu kerajaan PAS yang dinyatakan secara terpisah-pisah dan bukan kenyataan rasmi kerajaan Negeri yang dikeluarkan secara teratur. Dan kedua, ia kebanyakannya belum dikaji secara mendalam dan oleh itu belum ada perancangan terperinci dan konkrit. Dari lebih kurang 18 program yang diisytiharkan setakat ini, hanya 3 sahaja yang boleh dan telah dilaksanakan secara segera, yakni cuti umum 30 November, pemansuhan tol di Jambatan Sultan Mahmud dan keputusan Menteri Besar Tok Guru Haji Abdul Hadi tidak tinggal di rumah rasmi kerajaan. Yang 15 lagi hanya merupakan pernyataan hasrat yang kesemuanya masih dalam perancangan dan kajian, di samping sebahagian besarnya pula memerlukan masa dan proses yang panjang kerana melibatkan pemindaan dan penggubalan perlembagaan dan perundangan.

Kalau dikategorikan program-program yang telah diisytiharkan ini, ianya boleh jatuh ke dalam dua kategori. Pertama ialah program-program yang boleh dilaksanakan dengan segera kerana ia tidak melibatkan pemindaan atau penggubalan undang-undang perlembagaan. Dan kedua, ialah program-program yang memerlukan pemindaan atau penggubalan undang-undang dan perlembagaan dan oleh itu memerlukan kelulusan Dewan Undangan Negeri atau Parlimen.

Sebenarnya, menyatakan program dan rancangan kerajaan, tambah-tambah lagi bagi kerajaan baru seperti PAS di Terengganu, adalah cukup perlu agar ianya telus dan rakyat mengetahuinya dengan faham. Walaubagaimana pun, ia mesti dilakukan secara sistematik dan lebih profesional. Ia tidak boleh dilakukan melalui jawapan spontan kepada para pemberita dan wartawan atau melalui ucapan pemimpin-pemimpin kerajaan di majlis-majlis ceramah umum atau di majlis-majlis pengajian agama. Walaupun program itu berbentuk program kategori pertama yang boleh dilaksanakan segera, ia tetap patut diisytihar secara sistematik, profesional dan rasmi dari Kerajaan Negeri, melalui pemimpin-pemimpin yang bertanggungjawab ke atas bidang masing-masing, setelah kajian dibuat secara mendalam dan keputusan melaksanakannya telah ditetapkan dengan sahih.

Pengisytiharan begini boleh dibuat satu demi satu, tetapi tidak setiap hari sebagaimana yang dilakukan sekarang. Sebaiknya ia diisytiharkan dari masa ke semasa dan pakej demi pakej. Umpamanya ia patut dimulakan dengan pakej Pelan Strategik Islamisasi Negeri Terengganu sebagai blueprint dan garis panduan induk, kemudian diikuti dengan pakej-pakej yang lebih khusus seperti pentadbiran, pembangunan, ekonomi, pendidikan, kebajikan sosial dan sebagainya.

Dengan ini rakyat diberitahu dengan teratur dan sahih, diiringi pula dengan ilmu dan maklumat terperinci kenapa aspek-aspek ini hendak dilakukan sedemikian rupa. Di samping rakyat dididik melalui pengisytiharan itu, usaha musuh memanipulasi pengisythiran program-program sensitif seperti kes kharaj sekurang-kurangnya dapat diminimakan, kalau pun tidak dapat diatasi sepenuhnya.

Seeloknya lagi, para cendekiawan dan ahli profesional PAS, barangkali melalui bantuan Pusat Penyelidikan PAS, secara terancang menterjemahkan pula segala program dan perancangan ini secara akademik dan serius dalam bentuk buku, agar buku-buku tentang Islamisasi PAS di Terengganu membanjiri kedai-kedai buku di seluruh dunia sebagaimana melempah ruahnya buku-buku tentang Iran sebaik saja Iran jatuh ke tangan Ayatollah Khomeini. Hal begini tidak dilakukan di Kelantan ketika mula-mula PAS menguasai Kelantan dalam tahun 1990, kecuali satu dua buku-buku popular yang ditulis atas inisiatif individu, sesetengahnya pula dalam bentuk penuh emosi dan tidak objektif. Terengganu patut tidak mengulangi kekurangan ini kerana sesuai dengan minat orang-orang akademik dan profesional yang sedang memuncak terhadap PAS sekarang, satu wacana serius, objektif dan kritikal patut dihidangkan kepada mereka melalui penulisan-penulisan ini.

Pelbagai pihak di seluruh dunia sekarang sedang memerhati dan sangat ingin mengetahui tentang usaha dan perkembangan pemerintahan PAS di Terengganu, seperti juga minatnya mereka mengikuti segala perkembangan pemerintahan PAS di Kelantan. Oleh itu pemerintahan PAS di Terengganu (dan juga di Kelantan) mesti mempamirkan sebuah pemerintahan Islam yang jitu, kemas, sistematik dan profesional.

Hal ini tidak mustahil dilakukan barisan kepimpinan PAS yang mantap di Terengganu sekarang, dengan kekayaan sumber hasil negeri dan sedikit sebanyak landasan-landasan Islamik yang telah ditinggalkan oleh kerajaan Barisan Nasional. Di Terengganu sebelum ini telah dirangka satu pelan strategik bagi Fasa Kedua Pembangunan Negeri Terengganu (1996-2010) berfalsafahkan Wawasan SIHAT yang bermatlamat mencapai mujtama’ madani. Rangkaian yayasan-yayasan seperti Yayasan Keluarga, Yayasan Islam dan Yayasan Terengganu yang bermatlamat memenuhi keperluan dan kebajikan setiap rakyat Negeri Terengganu secara berkesinambungan juga telah lama diwujud dan berfungsi dengan baik. Begitu juga di Terengganu telah ada sistem kewangan Islam seperti Bai’ Bithaman Ajil, Amanah Saham Darul Iman (ASDI), Muassasah Gadaian Islam Terengganu (MGIT) dan pasaran modal Islam yang bermatlamat menjadi asas kepada pelaksanaan sistem kewangan Islam sepenuhnya. Kesemua ini perlu dikaji dengan terperinci dan diperkemaskan di mana perlu agar ianya boleh menjadi asas yang kuat dalam usaha pengIslamisasian Negeri Terengganu.

Laju Terengganu lajulah dalam melaksanakan Islam, tetapi laju itu biarlah bersistematik dan mantap.
 
 
Back To Publications Page Back To Main Page

 
 
 
 
 
 

1

Hosted by www.Geocities.ws

1