Dewan Ekonomi, September 1999

MENGAPA PERLU BEKERJA?

Muhammad Syukri Salleh
Projek Pengurusan Pembangunan Islam (IDMP)
Universiti Sains Malaysia
 
 

Dalam lumrah hidup manusia, seorang bapa atau ibu biasanya berharap sangat anaknya belajar kuat-kuat agar nanti dapat kerja bagus-bagus. Belajar ada hubungan dengan kerja bagus-bagus dan kerja bagus-bagus ada hubungan dengan keselesaan hidup.

Begitu juga, seorang siswa atau siswi, bila mahu mengkhusus dalam apa-apa bidang pertamanya akan bertanya: bagaimana potensi kerja jika mengkhusus dalam bidang berkenaan? Mudahkah dia dapat kerja dan apakah bentuk kerja yang beliau boleh dapat?

Dari pengalaman saya, tidak pernah saya jumpa ada siswa atau siswi yang bertanya, bila mengkhusus dalam sesuatu bidang, apakah mereka boleh membantu masyarakat, menegakkan keadilan ekonomi dan sosial, apatah lagi meningkatkan iman dan taqwa. Yang ramainya ialah mencari satu bidang pengkhususan yang mudah untuk mereka dapat kerja. Pendek kata belajar dan bekerja bagi mereka lebih bertujuan memenuhi kepentingan diri sendiri dahulu, bukan sangat memenuhi kepentingan masyarakat dan negara.

Malah bila ditanya siapa saja kenapa mereka bekerja, jawapan mereka rata-ratanya ada kaitan dengan mendapatkan wang. Dengan wang itu mereka boleh gunakan untuk macam-macam tujuan seperti untuk memenuhi keperluan asas, untuk menanggung nafkah anak isteri dan keluarga, untuk memiliki barangan dan perkhidmatan, untuk memaksimakan penggunaan dan bagi yang merasa ada tanggungjawab sosial akan menambah, untuk mengagihkan semula pendapatan yang diterima itu sama ada dalam bentuk derma, sedekah, zakat dan sebagainya.

Kalau dilihat dari perspektif negara pula, bekerja adalah penting. Bila rakyat bekerja, ertinya pengangguran kurang. Bila pengangguran kurang, masalah ekonomi dan sosial negara pun kurang. Sebab itu mengurangkan pengangguran, selain dari mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan kesamarataan, menjadi faktor penting dalam membangunkan negara. Dengan meningkatnya pekerjaan dan kurangnya pengangguran, pendapatan negara kasar akan meningkat. Negara pun dikatakan akan membangun.

Dalam ekonomi, apabila manusia bekerja dan mendapat wang, ertinya manusia telah mendapat kuasa beli. Dengan kuasa beli itu mereka boleh memaksimakan kepenggunaan dan bagi yang baik, boleh mengagihkan semula pendapatan untuk mencapai keadilan ekonomi dan sosial. Kuasa beli itu sentiasa dihubungkan dengan tingkat produktiviti dan pendapatan. Lumrahnya makin tinggi produktiviti dan pendapatan seseorang, makin tinggilah kuasa beli yang akan mereka dapati. Kuasa beli ini diukur dengan pemilikan wang tunai seseorang itu.

Atas sebab wang tunai inilah maka ramai manusia meninggalkan sawah ladang, berhijrah ke bandar. Kalau bekerja sawah atau ladang di kampong, wang tunai itu tidak terjamin dan lambat didapati. Kalau tanaman tidak menjadi, tidak adalah wang tunai. Malah kalau tanaman menjadi pun, wang tunai hanya didapati apabila ditukarkan dengan hasil tanaman. Ertinya ada orang tengah yang mesti petani lalui. Sedangkan kalau bekerja di bandar, seperti di kilang misalnya, pekerja hanya sumbangkan tenaga kerja dan nanti, dalam tempoh tertentu, mereka akan diganjar dengan wang tunai secara terjamin.

Dengan wang tunai itu dan oleh itu dengan kuasa beli yang ada pada mereka, pekerja berkenaan boleh gunakan untuk macam-macam perkara, termasuk perkara-perkara yang diguna oleh orang-orang bandar. Oleh kerana pekerja itu bekerja di bandar, walaupun mereka asalnya orang kampong, mahu tidak mahu mereka terpaksa mengguna barangan dan perkhidmatan orang-orang bandar. Malah dalam banyak kes, kadang-kadang mereka secara rela hati mengguna barangan dan perkhidmatan bandar lebih dari orang bandar sendiri.

Dengan konsep kerja yang begitu, maka yang lahir ialah masyarakat pengeluar dan pengguna. Kerja mereka hanyalah untuk mengeluar dan mengguna sahaja. Dalam keadaan demikian, huru hara tetap juga berlaku seperti huru hara keluarga (misalnya keruntuhan rumahtangga, anak-anak yang tidak terdidik dan derhaka dan sebagainya), huru hara sosial (misalnya pergaulan bebas, gejala sosial dan sebagainya), huru hara emosi (misalnya tidak ada sifat qanaah, tamak haloba dan sebagainya), huru hara pengeluaran (misalnya penindasan, pemerasan dan sebagainya), huru hara penggunaan (misalnya pembaziran, hedonisme dan sebagainya) dan huru hara lain-lain lagi.
 

KERJA DALAM ISLAM

Kalau dilihat dari perspektif Islam, ternyata bahawa Islam memang menyuruh manusia bekerja. Ini dapat dibuktikan dengan mudah melalui firman Allah SWT dan sejarah awal orang-orang Islam sendiri. Antaranya adalah seperti berikut.

(i) Bukti ayat-ayat al-Qur’an:

“Dialah (Tuhan) yang menurunkan air dari langit, di antaranya untuk minuman kamu dan di antaranya untuk tumbuh-tumbuhan; di sana kamu mengembala ternakan” (al-Nahl: 10).

“Dialah (Tuhan) yang memberi kemudahan laut supaya kamu makan daging (ikan) yang lembut dan supaya kamu keluarkan dari dalamnya perhiasan yang kamu pakai dan engkau lihat kapal layar di laut dan supaya kamu mencari kurniaan Allah (rezeki), mudah-mudahan kamu bersyukur” (al-Nahl: 14).

“Dialah (Tuhan) yang menjadikan bumi itu rendah untukmu, maka berjalanlah kamu pada beberapa penjurunya dan makanlah rezeki kurniaan-Nya, dan kepada-Nyalah kamu dibangkitkan” (al-Mulk: 15).
 

Dari ayat-ayat di atas ada perkataan-perkataan mengembala ternakan, keluarkan dari laut perhiasaan, mencari kurniaan Allah, dan berjalan ke penjuru-penjuru dunia untuk mencari rezeki (sebagaimana yang diitalickan di atas). Semuanya mempamirkan suruhan Allah untuk bekerja.

Ini sesuai dengan status manusia sebagai Khalifah Allah, pemegang amanah Allah di atas muka bumi ini. Namun status ini terikat kuat dengan satu lagi status yang didapati manusia ketika di alam roh, yakni status sebagai hamba Allah SWT.

Sebab itu ayat-ayat al-Qur’an di atas diselitkan dengan unsur-unsur Tauhid. Misalnya “Tuhan yang menurunkan air dari langit”, “Tuhan yang memberi kemudahan laut” supaya manusia bersyukur, dan “Tuhan yang menjadikan bumi ini rendah” untuk manusia. Ertinya kerja-kerja yang Allah suruh manusia buat itu tidak mungkin berjaya kecuali dengan kuasa Allah SWT. Allah adalah Tuhan yang Maha Berkuasa manakala manusia hanyalah hamba-Nya.

Dan segala kerja-kerja itu pula bukanlah untuk mendapatkan kuasa beli semata-mata. Ia juga bukan pula untuk memaksimakan kepenggunaan sahaja. Ia adalah sebagai alat membuktikan bahawa benar manusia itu adalah hamba-Nya yang patuh mengikut perintah Allah SWT, sesuai dengan perjanjian manusia dengan Allah SWT di alam roh.

Jadi dalam bekerja itu, manusia tidak boleh hanya meningkatkan produktiviti dan pendapatan, meningkatkan kuasa beli dan kepenggunaan. Itu hanya peranan manusia sebagai khalifah Allah SWT dalam hubungan mereka sesama manusia dan sumber alam (hablumminannas). Selain itu, malah lebih mustahak lagi, manusia mesti setiap saat sentiasa menghubungkan diri mereka dengan Allah SWT (hablumminallah) sebagai hamba Allah SWT. Ertinya manusia, dalam kerja mereka, malah dalam apa jua urusan dalam hidup, mesti mendirikan hubungan menegak (hablum-minallah, sebagai hamba Allah) dan hubungan mendatar (hablum-minannas, sebagai khalifah Allah). Pengabaian salah satu darinya, menurut firman Allah SWT sendiri, akan membawa kepada kehinaan.
 

(ii) Bukti-bukti dari Sejarah

Rasulallah SAW pernah meminta seorang yang datang meminta bantuan supaya bekerja. Baginda menjual barang-barang yang dipunyai oleh orang itu untuk membeli kapak dan selebihnya untuk memenuhi keperluan asas mendadak. Dengan kapak sebagai modal akhirnya orang itu terlepas dari kemiskinan.

Sayyidina Umar Ibn Khattab pula pernah menghalau seorang yang beribadah di dalam masjid sedangkan tanggungan nafkah beliau dan keluarganya diserahkan kepada adiknya. Kata Sayyidina Umar r.a., adik orang itu adalah lebih baik dari orang itu yang tidak bekerja. Orang itu dihalau keluar dari masjid agar beliau bekerja dan menanggung nafkahnya dan keluarganya sendiri.

Tetapi dari segi sejarah juga terdapat sekumpulan sahabat yang dipanggil Ahlus-Suffah pada zaman Rasulallah SAW yang tidak bekerja. Malah keperluan asas mereka pun tidak mampu mereka penuhi. Kenapa Rasulallah biarkan dan tidak menyuruh mereka bekerja?

Ada dua perkara yang dapat kita belajar dari sini. Pertama, erti kerja di sisi Islam dan kedua, kedudukan mereka yang tidak bekerja untuk matawang dari pandangan Islam.
 
 
Back To Publications Page Back To Main Page

 
 
 
 
 

1

Hosted by www.Geocities.ws

1