Dewan Ekonomi, Jun 1999, ms 47-48

KEKAYAAN BUKAN FAKTOR KEJAYAAN

Muhammad Syukri Salleh
Projek Pengurusan Pembangunan Islam (IDMP)
Universiti Sains Malaysia
 
 

PENGENALAN

Mengikut hukum aqal, bila usahawan Islam cemerlang, maka tentulah Islam secara otomatik pun jadi gemilang. Kecemerlangan berhubungan dengan kejayaan dan kejayaan usahawan Islam berhubungan dengan kegemilangan Islam itu sendiri. Biasanya ukuran kecemerlangan ialah kecekapan hingga mampu menghasilkan produktiviti yang tinggi. Tinggi produktiviti maka tinggilah keuntungan. Tinggi keuntungan maka tinggilah kekayaan. Dalam pengertian biasa, hasil dari kecemerlangan ialah kekayaan dan kekayaan selalunya menjadi pengukur kepada kegemilangan sesuatu, termasuk Islam.

Dalam andaian ini, ada dua persoalan yang boleh dikemukakan. Pertama, apakah benar pengukur kepada kecemerlangan itu ialah kekayaan? Dan kedua, apakah benar kekayaan itu menjadi pengukur kepada gemilangnya Islam? Dalam persoalan pertama, berdasarkan kepada realiti kehidupan hari ini, dan dengan menggunakan kecekapan dalam erti yang luas, memang orang yang cekap boleh mencapai kekayaan.

Takrifan kecekapan di sini tidak terhad kepada kecekapan di dalam mengurus dan mentadbir perusahaannya, tetapi juga termasuk kecekapan dalam menyalahgunakan amanah yang diberikan, dalam menipu serta dalam berbagai cara yang tidak betul untuk memenuhi kepentingan mencari kekayaan itu. Ertinya, seseorang boleh jadi kaya dan oleh itu cemerlang, kalau kaya itu jadi pengukur kepada kecemerlangan, tanpa mengira bagaimana kecekapan itu digunakan untuk mencapai kekayaan dan kecemerlangan itu. Selalunya kecekapan dalam mencapai kekayaan begini tidak membawa manfaat kepada masyarakat, lebih-lebih lagi tidak langsung membawa kepada gemilangnya Islam. Biasanya kekayaan itu tidak kekal, malah sebaliknya sering memakan dirinya kembali.

Sebaliknya, ada orang yang cekap dalam mengurus dan mentadbir perusahaannya boleh jadi tidak jadi cemerlang kerana tidak beroleh kekayaan, kalaulah hanya kekayaan sahajalah yang menjadi pengukur kepada kecemerlangan. Walaupun cekap mengurus dan mentadbir tetapi mereka boleh jadi tidak juga kaya-kaya. Namun begitu masyarakat dapat merasakan manfaat dari kecekapan mereka itu, walaupun mereka tidak tergolong ke dalam golongan yang dianggap cemerlang.

Hasil kecekapan mereka diagihkan kepada pekerja-pekerjanya dan ahli-ahli masyarakat yang memerlukannya. Itulah sebabnya mereka tidak kaya-kaya. Lebih dari itu, harta benda yang didapati hasil dari kecekapan mereka diagihkan untuk maksud-maksud yang boleh menjadikan Islam gemilang.

Antara dua bentuk kumpulan masyarakat di atas, yang banyaknya dalam dunia hari ini adalah yang pertama. Mereka cekap, cemerlang dan kaya tetapi tidak membantu pekerja-pekerjanya, masyarakatnya apatah lagi membantu menggemilangkan Islam. Malah secara umum di seluruh dunia, telah terbukti bahawa walaupun cukup ramai usahawan Islam yang cemerlang dan kaya-kaya, tetapi Islam tetap juga tidak gemilang seperti gemilangnya Islam pada zaman Rasullallah s.a.w dan para sahabat. Kenapa demikian? Kita cuba mencari jawapannya di bawah ini.
 

APA ERTI USAHAWAN

Dalam teori ekonomi konvensional, usahawan adalah salah satu dari faktor pengeluaran, selain dari buruh, modal, tanah dan sebagainya. Dengan usahawan sesuatu proses pengeluaran dapat dijayakan. Tetapi usahawan dalam maksud ini hanya terhad kepada kebolehan fizikal dan aqal manusia usahawan itu. Bab kerohanian mereka tidak diambil kira. Ertinya, di sini, maksud usahawan tidak dilihat dari perspektif manusia sebagai satu manusia yang cukup, yang mempunyai kedua-kedua dimensi rohani dan jasmani.

Bolehkah usahawan menjadi cemerlang dan mampu menggemilangkan Islam kalau proses pengeluaran itu dilakukan oleh manusia yang tidak cukup satu manusia? Jawabnya ialah ya dan tidak. Ya kalau mengikut perspektif konvensional dan tidak kalau mengikut perspektif Islam.

Mengikut ekonomi konvensional, kecemerlangan diukur berdasarkan kepada dua perkara. Pertama ialah kadar pengeluaran atau kadar hasil atau kadar produktiviti, manakala kedua ialah kuasa membeli. Makin tinggi kadar pengeluaran atau kadar hasil atau kadar produktiviti seseorang usahawan maka makin tinggilah kuasa membeli dan oleh itu dianggap makin cemerlanglah mereka. Manusia walaupun tidak cukup sebagai satu manusia, asal saja mengeluarkan hasil maksima dan mampu meningkatkan kuasa belinya, maka itu cemerlanglah namanya.

Tetapi mengikut Islam, tidak mungkin seseorang usahawan itu cemerlang kalau usaha pengeluaran itu dilakukan oleh manusia yang tidak cukup seorang manusia, walaupun hasil pengeluarannya cukup tinggi. Manusia yang tidak cukup seorang  manusia, ertinya hanya semata-mata mempunyai dimensi fizikal tanpa mengambil kira dimensi kerohanian, tidak boleh menjadikan segala aktivitinya sebagai satu ibadah. Niatnya tidak mungkin kerana Allah, isi dan kaedah pelaksanaannya tidak semestinya mengikut syariat, natijah dari usahanya tidak mungkin sesuai dengan kehendak Allah dan mereka boleh saja meninggalkan ibadah-ibadah asas. Kalau perusahaannya tidak menjadi ibadah, mustahil sekali mereka dapat menggemilangkan Islam.

Oleh kerana hanya manusia yang cukup sebagai manusia sepertimana ditetapkan oleh Islam saja yang boleh menggemilangkan Islam, maka adalah wajib setiap perusahaan dan aktiviti usahawan dilakukan oleh usahawan berkenaan dalam keadaan cukup sebagai satu manusia yang mempunyai kedua-dua dimensi rohani dan jasmani dan menghubungkan dirinya dengan Allah (hablum-minallah) dan dirinya sesama manusia (hablum-minannas). Untuk cukup menjadi seorang manusia sepenuhnya, maka usahawan Islam mesti menghubungkan segala usaha mereka sesuai dengan tujuan kehidupan mereka sebagaimana perjanjian mereka dengan Allah di alam roh.

Di alam roh manusia telah mengaku bahawa mereka adalah hamba Allah. Di samping itu Allah anugerahkan pula kepada mereka satu status sebagai khalifah Allah. Ertinya dalam hubungan mereka dengan Allah, manusia adalah hamba Allah (abd Allah), manakala dalam hubungan mereka sesama mereka dan sumber alam, mereka adalah khalifah Allah, yang diberi amanah untuk mengurus sumber-sumber alam dan makhluk-makhluk di muka bumi.

Bagi tujuan menguji perjanjian roh dan penggunaan status sebagai khalifah Allah itulah maka manusia dikirimkan ke dunia. Kemudian nanti, di akhirat, Allah akan tentukan samada manusia masing-masing akan diberikan ganjaran baik atau ganjaran jahat, berdasarkan kepada setakat mana mereka telah memenuhi perjanjian sebagai hamba Allah dan telah menjalankan tugas mereka sebagai khalifah Allah.

Ertinya setiap manusia, termasuk manusia usahawan, mesti melalui tiga alam, yakni alam roh, alam dunia dan alam akhirat. Di antara alam-alam ini terdapat alam-alam kecil. Anatara alam roh dan alam dunia terdapat alam rahim, manakala antara alam dunia dan alam akhirat terdapat alam barzakh. Jadi bagi manusia yang masih hidup, dunia ini adalah merupakan alam yang kedua dan alam ujian. Mereka telah tempuhi alam pertama, iaitu alam roh atau alam perjanjian, dan kini sedang bersiap sedia untuk menempuh alam ketiga dan terakhir, iaitu alam akhirat atau alam ganjaran.

Ertinya, manusia bukan sahaja menjalankan aktiviti mereka dalam berbagai aspek termasuk perusahaan sebagai usahawan di dunia ini untuk kebahagiaan dunia ini dan juga kebahagian akhirat, tetapi juga semua itu dilakukan untuk memenuhi perjanjian mereka dengan Allah di alam roh. Oleh itu tidak cukup dikatakan bahawa apa yang manusia lakukan di atas dunia ini ialah demi untuk kebahagian di dunia dan di akhirat. Sepatutnya dikatakan bahawa apa yang dilakukan di dunia ini ialah untuk memenuhi perjanjian dengan Allah di alam roh muga-muga dengan itu akan berbahagialah manusia di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat. Ertinya setiap manusia diliputi oleh tiga alam, bukan hanya dua alam. Dan alam-alam ini pula adalah sequential, berurutan antara satu sama lain. Ia tidak terpisah-pisah.

Perusahaan-perusahaan usahawan di atas dunia ini oleh itu hanyalah merupakan alat memenuhi janji dengan Allah yang telah dimeterai di alam roh, muga-muga itu berbahagialah mereka di dunia ini dan juga di akhirat. Dalam konteks ini, usahawan adalah tuan kepada keusahawanannya, dalam mereka berinteraksi dengan sumber-sumber alam dan manusia.

Sebagai tuan, usahawan sayang kepada sumber-sumber alam, seperti usahawan sayang kepada mesinnya. Beliau tahu mesin itulah yang memberikan beliau menikmati hasil, jadi dijaga dan tidak diguna lebih dari sepatutnya. Begitu juga dengan faktor pengeluaran yang lain seperti tanah. Tanah boleh mengeluarkan hasil. Tetapi kalau ia diguna lebih dari sepatutnya, ia bukan sahaja menjejaskan hasil, tetapi juga membawa kesan buruk kepada dirinya dan masyarakat sekeliling. Usahawan, sebagai tuan, mesti sayang kepada sumber-sumber alam yang lain. Hanya iman dan taqwa sahaja yang boleh merealisasikan hal ini.
 
 
Back To Publications Page Back To Main Page

 
 
 
 
 
 
 
 

1

Hosted by www.Geocities.ws

1