ALBUM
terbaru Exists, Mutan memberi makna tersendiri kepada kumpulan ini. Mutan
lahir daripada perubahan yang diharungi oleh Exists untuk mendapatkan
kemantapan dalam muzik.
Mutan, yang
menjadi judul album mereka mungkin agak pelik bunyinya. Namun, dalam Kamus
Dwibahasa Oxford, mutan atau dalam bahasa Inggerisnya, Mutant, bermaksud
''berbeza daripada induk akibat daripada perubahan genetik''.
Inilah yang cuba ditampilkan oleh Exists
iaitu menghidangkan kelainan kepada para penggemar muzik berbanding empat
album terdahulu. Kelahiran Mutan dianggap oleh Exists sebagai satu
transformasi dalam dunia muzik.
Kumpulan yang terdiri daripada empat anak
muda iaitu Ezad, Mus, Along dan Ujang, mahu menjadikan Mutan sebagai album
yang dapat merangsangkan fikiran para peminat mereka.
Exists memberitahu, sebelum ini mereka
menggunakan judul album berdasarkan lagu di dalam album.
Kali ini, mereka cuba menampilkan
perkataan-perkataan baru seperti mutan untuk memperkayakan khazanah
perbendaharaan kata.
''Mungkin tidak ramai yang tahu maksud
Mutan. Sebab itu kami cuba memberi sedikit maklumat kepada para peminat
untuk menambahkan istilah-istilah baru. Sekurang-kurangnya, mereka yang
mendapatkan album ini mengetahui perkataan-perkataan yang jarang kita
dengar.
''Penggunaan Mutan juga secara tidak
langsung bertepatan dengan pembaharuan yang ingin kami tampilkan dalam
karier kami,'' ujar Exists.
Album terbaru Exists ini menampilkan
beberapa penerbit sebagai salah satu usaha untuk mewarnakan album mereka.
Exists tidak mahu meletakkan sasaran kepada mana-mana penerbit.
Album Mutan dipasarkan pada 9 Oktober
lalu.
Sepuluh lagu yang terkandung dalam album ini ialah Terseksa Lagi Batinku,
Siapa Selain Aku, Emily, Dirantai Digelangi Rindu, Dan Kulihat Keagungan
Tuhan,, Kapal Terbang Kertas, Manifesto Luar Biasa, Hero (Siapa Dia),
Kotak Hujan dan Pancut Ke Siling.
|